9 Rejab 1434 H. [MOD] -
http://sanusisetpol.blogspot.com/, | 18 Mei 2013 |
Saturday, May 18, 2013
Berkasih Sayang Kerana Allah...
Catatan sebelum ini mengundang banyak persepsi, barangkali juga kali ini. Catatan ini ringkas, namun penuh makna bagi pemilik hati yang masih punya nilai keinsanan, apatah lagi nurani yang memahami tasawwur 'amal Islami, menghayati konsep, sistem, rukun dan adab berjemaah dalam sebuah Harakah Islamiyyah.
Pagi tadi, Dr Syamsuri, Setiausaha Politik Presiden PAS menghubungi aku memaklumkan Presiden akan datang menziarahi Ustaz Azizan petang nanti, jam 3.30. Hati dan perasaan segera lega dan gembira. Presiden PAS yang dikasihi itu, dalam waktunya yang sangat terbatas, akan meluangkan masa sekali lagi, membuat perjalanan jauh, menziarahi sahabat seperjuangan yang sedang mengalami saat-saat sukar dalam hidupnya.
Aku menyambut TGHH di kereta dan membawanya ke wad. Dia segak berjubah hitam berbutang hingga ke bawah, berserban seperti selalu. Wajahnya berseri walaupun nampak penat dengan kesibukannya. Pak Cop dan beberapa kepimpinan PAS Kedah menanti di pintu wad ICU. Dia memberi salam kepada beberapa pengunjung di koridor, terus melangkah laju terus ke bilik Ustaz Azizan.
Assalamualaikum! Suaranya bergetar. Ustaz Azizan dimaklumkan oleh anaknya Solehah, "Ayah! Ustaz Hadi mai..." Wajah Ustaz Azizan nampak berseri, bola matanya meliar mencari suara sahabat dan pimpinannya itu. Ustaz tidak mampu berkata-kata dan bersuara, tiub oksigen dan saluran paip masih menyekat suara dan mulutnya, dia cuba juga mengerakkan bibirnya untuk menjawab salam sahabatnya itu. Kedua belah tanggan terangkat ke paras dada, seolah menyatakan syukur di atas kedatangan itu.
"Bersabarlah, bersabarlah .... Banyakkan zikir dan doa. Hadis menyatakan orang yang bersabar menghadapi sakit akan diberi pahala yang banyak..." Kata TGHH sambil menggenggam tangan Ustaz Azizan. Wajah dan bola mata mereka bertentangan. Suara TGHH bergetar menahan sebak. " Ana datang nak bagitahu, keputusan yang besar bagi anta ini diambil untuk menyelamatkan nyawa anta, nyawa lebih penting dari anggota tubuh (kaki), atas kewajipan itu, kami semua sahabat dan keluarga membuat keputusan membenarkan pembedahan itu" kata TGHH. Ustaz Azizan mengangguk dan mengangkat tangannya sekali lagi seperti mahu kami juga berdoa untuknya. Mulutnya bergerak, namun tiada suara yang keluar.
TGHH memalingkan wajahnya ke belakang, matanya merah, air mata meleleh disebalik kaca matanya. Kami yang berada di situ tiada daya menahan pilu teramat sangat, dada berombak, nafas tersekat dan air mata menitis laju. Keakraban dan kasih sayang antara mereka terserlah memancar dalam pertemuan itu, tiada ayat untuk menzahirkannya. Aku berpaling ke sisi, Pak Cop, Dr Syamsuri, Helmi Khalid, Doktor dan jururawat turut menangis menekupkan mulut dengan tangan.
TGHH memegang dahi Ustaz Azizan yang saat itu memandangnya. Sambil mengusap kepala sahabatnya, TGHH mengeluarkan kalimat ini... "Bersabarlah... kerja keras anta selama lima tahun pasti Allah akan terima ..... Khalifah Umar Abdul Aziz menjadi khalifah selama dua tahun setengah sahaja, dia diracun dan mati. Anta sempat juga 5 tahun, lebih lama daripada Umar Abdul Aziz, bersyukurlah dan teruskan bersabar!" Kata-kata TGHH ini diucap dalam tangisan, tersekat-sekat dan perlahan. Kami di belakang bagai tertimpa 'segunung rasa hiba'...menjuraikan air jernih tak terkawal lagi.
"Ana akan ke Turkey esok, InsyaAllah ana akan sampaikan salam anta kepada sahabat-sahabat di sana." Kata TGHH perlahan. Ustaz Azizan mengangguk, matanya memandang wajah TGHH, ada aitrmata bertakung di kelopaknya. Aku segera terbayang pertemuan Ustaz dengan sahabatnya Sheikh Yusoff Karocha, penterjemah kitab dan guru kepada Tayeb Erdogan di Turkey. Mereka bertemu penuh keakraban pada Januari lalu.
Ustaz Azizan mengangkat kedua tangannya dalam kepayahan, TGHH membaca doa ringkas dalam bahasa arab, kami mengaminkannya. Pak Cop dan aku mengambil tempat di sisi katilnya, sementara TGHH mendapat penjelasan ringkas Doktor tentang kondisi terkini Ustaz Azizan. " Ustaz berehatlah, kami semua akan terus berdoa untuk Ustaz." Kata Pak Cop dalam esakan tangisnya.
"Ana minta diri dulu, anta teruslah berehat dan banyakkan sabar". Ustaz Azizan cuba menghulurkan tangganya yang masih bertambat beberapa paip dan wayar bersambung ke mesin. TGHH menyambut dan memegangnya. Dia menjengketkan kakinya, membongkok dan mencium dahi sahabatnya yang terbaring itu, agak lama. "Moga anta lekas sembuh!" Katanya dalam esakan.
TGHH menghala keluar. "Terima kasih semua!." Katanya sambil mengangkat tangan kepada Doktor dan jururawat yang sedang teresak kesayuan dalam bilik itu. Dia berhenti seketika, menanggalkan cermin mata dan mengesat air matanya di depan pintu. Aku lihat ramai juga yang menyaksikan pertemuan itu dari depan cermin pintu, turut menangis.
Demikianlah kasih sayang diantara dua tokoh pimpinan PAS yang terbina kerana Allah, subur dan terus segar untuk mengharungi perjuangan suci ini. Ikatan tulus dari hati yang tersimpul kukuh sejak puluhan tahun lalu itu tidak terlerai, tidak mampu dirungkai oleh apapun, dengan sebab apapun, kerana simpulan itu benar dan ikhlas atas jalan Allah, bukan palsu bukan lakonan. Mereka berdua telah sebalut dalam perjuangan ini.... Air mata masih berjurai saat aku menitikkan nokhtah kepada catatan ini.