30 April 2010

Kempen di alaf baru, di mana kelemahan kita ?

15 Jamadil Awal 1431H.
Oleh: WFAUZDIN NS

Pakatan Rakyat boleh dikatakan sentiasa menjuarai setiap program ceramah mereka. Tidak pernah Bn terutamanya Umno yang dapat mengatasi sambutan dan kehadiran orang ramai di dalam ceramah anjuran PR. Paling terkini, di Hulu Selangor baru-baru ini program ceramah dari PR jauh lebih hebat dari Bn walaupun PM sendiri yang turun bersama mantan PM. Dalam bab ini, kita sentiasa menang.

Namun demikian, apakah kita masih merasakan program ceramah adalah faktor utama akan memberi kemenangan akhirnya? Jika di era 70 an dan 80 an mungkin ada benarnya, tetapi di zaman sekarang mungkin kita boleh kaji semula. Jika dilihat berdasarkan pengalaman, kehadiran orang ramai di dalam ceramah PR terutamanya sewaktu kempen pilihanraya kebanyakannya adalah datangnya dari luar kawasan mengundi. Oleh yang demikian, kesannya tidak begitu memberangsangkan untuk menarik pengundi-pengundi menyokong kita.

Tidakkah kita boleh berfikir kaedah lain yang lebih berkesan? Kempen dari rumah ke rumah yang WAJIB diketuai oleh pemimpin besar sekurang-kurangnya MP atau Adun dari PR perlu turun bersama sepanjang tempoh berkempen. Setiap kumpulan mesti diketuai oleh pemimpin besar ini agar setiap kempen atau hujah boleh diberikan dengan betul dan tepat. Ada kemungkinan sebelum ini terdapat jentera kempen yang hanya diwakili oleh pimpinan bawahan tidak mampu untuk menerangkan isu-isu besar atau melawan hujah-hujah yang mungkin dikemukakan oleh pengundi. Pemimpin-pemimpin besar di dalam PR tidak lagi boleh hadir berkempen di bawah-bawah khemah untuk memberikan ceramah sahaja. Mereka perlu turun setiap hari menemui pengundi-pengundi yang dikenalpasti pendokong tegar Umno/Bn.

PR juga mesti aktif di dalam mengadakan aktiviti masyarakat. Aktiviti seperti bersukan, perkhelahan, hiburan yang tidak melalaikan dan banyak lagi aktiviti yang boleh mendekatkan kita kepada golongan yang tertutup minda ini. Kebanyakan mereka jahil untuk menilai perjuangan kita kerana mereka sering disajikan dengan laporan dari media haprak seperti TV3 suku dan Utusan Meloya itu. Pendekatan berjanji sewaktu pilihanraya juga tidak releven untuk kita sebagai pejuang rakyat. Kita tidak perlu berjanji seperti yang puak-puak mereka itu lakukan. PR mesti lakukan kerja tidak mengira masa. Jangan menanti rakyat yang susah mengadu pada kita, sebaliknya kita mesti mencari di segenap pelusuk kawasan rakyat yang memerlukan bantuan kita.

Aktiviti memakmurkan tempat ibadat juga amat penting. Bukan bertujuan untuk berpolitik secara kepartian di dalam masjid tetapi kita mesti tunjukkan betapa kita tidak pernah memisahkan agama dan politik. Bagi negeri-negeri yang kita kuasai, peranan pimpinan negeri penting untuk tidak terlalu mengawal atau mengetatkan peraturan sehinggakan pimpinan kita sendiri tidak boleh bercakap di dalam masjid hanya kerana tiada tauliah. Berapa orangkah selama ini dari pimpinan kita yang mengajar ajaran sesat di dalam masjid? Pelik dan ajaib, di dalam Negeri Selangor yang kita perintah, Tuan Guru Nik Aziz tidak boleh bercakap di dalam masjid. Hairan dan pelik, YB Khalid Samad pun dipersoalkan apabila memberi khutbah atau berucap di dalam masjid? Bijakkah kita berbuat demikian? Yang pentingnya, adakah mereka itu ingin menyesatkan umat? Cuba kita lihat Imam atau Khatib di negeri-negeri yang mereka kuasai, kita naik jemu dan bosan dengan cerita 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, dan banyak lagi tajuk-tajuk khutbah mereka. Tiada kena mengena dengan politikkah itu?

Mudah-mudahan kita lebih sedar bahawa kita bukan lagi parti di zaman 70 dan 80 an lagi. Kita berada di alaf baru yang memerlukan pendekatan baru. Jika kita masih lagi bergantung kepada cara lama, tidak hairan satu masa nanti kita akan ketandusan penyokong sedikit demi sedikit. Kita mesti berbeza sekarang kerana kita telah memegang beberapa negeri. Jika mahu mentadbir secara `lurus' pun biarlah bertempat. /wfauzdin.blogspot.com

Sudah Tiba Masanya Saya Sokong Pakatan Rakyat - Tamrin Ghafar

15 Jamadil Awal 1431H

Bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Thamrin Ghafar (gambar) menyifatkan sudah tiba masa bagi beliau menyokong Pakatan Rakyat setelah melihat penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa berleluasa yang dilakukan oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional selama lebih 50 tahun mentadbir negara.

Bercakap kepada Suara Keadilan baru-baru ini anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu berkata beliau sendiri tidak bersetuju dengan banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan Umno-BN yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

"Saya dah mula sedar bahawa banyak isu yang saya sendiri tidak boleh terima tentang dasar Umno dan Barisan Nasional. Saya rasa sudah sampai masanya saya terpaksa mengubah sikap," kata Thamrin yang juga adalah bekas Pengerusi MARA.

Kehadiran beliau pada dua majlis utama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor telah mengejutkan penyokong Pakatan Rakyat.

Thamrin pertama kalinya hadir pada majlis Pidato Perdana anjuran Pemuda Pakatan Rakyat di Sg Buaya 24 April lalu dan juga ceramah 'grand finale' di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat./Kelab Greenboc/-