29 Julai 2012

Lajim Ukin cetus momentum perubahan rakyat Sabah

9 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin (gambar) melepaskan semua jawatan dalam Umno disifatkam sebagai 'sejarah baru' politik Sabah.

Pesuruhjaya PAS Sabah, Aminuddin Aling berkata, tindakan berani Lajim itu mampu mencetuskan momentum perubahan yang besar kepada rakyat negeri di bawah bayu itu.

"Ini satu sejarah yang baru dalam politik negeri Sabah dan PAS sangat mengalu-alukan momentum perubahan ini kerana ia sudah tentu memberi impak yang besar kepada kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Semalam, Lajim mengumumkan peletakan jawatan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Umno, Ketua Umno Bahagian Beaufort dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Beaufort berkuatkuasa serta-merta.

Beliau didakwa berbuat demikian kerana tidak lagi yakin terhadap kemampuan Umno BN membela nasib rakyat Sabah.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau tidak terperanjat dengan pengumuman lajim, Aminuddin menyifatkan ia sebagai 'menyembunyikan kegerunannya'.

"Najib hanya nak sembunyikan rasa gerunnya sahaja kerana pasti akan ada yang mengikuti jejak langkah Lajim ini," katanya.

Difahamkan, Lajim akan membuat pengisytiharan keluar Umno dan menyertai Pakatan Rakyat di rumah beliau, petang ini.

"Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dr Hatta Ramli akan ada bersama petang ini dan kita tunggulah pengisytiharan Lajim," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, mood rakyat Sabah mahukan perubahan dan bosan dengan janji kosong BN.

"Kita lihat di Sabah rakyat mahukan perubahan. Mereka sudah bosan dengan BN yang hanya tahu berjanji. Saya yakin kalau Pakatan Rakyat sentiasa menyampaikan maklumat yang tepat kepada mereka, rakyat akan pilih Pakatan Rakyat," katanya.

harakahdaily/-

Lagu Kebangsaan, sepatah pun tak sebut 'merdeka'

9 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Belum reda dengan kritikan terhadap tema dan rekabentuk logo sambutan Hari Kebangsaan, kini lagu temanya pula jadi sasaran pertikaian.

Sejak ia dilancarkan awal bulan ini, dan dimuat naik pelbagai pihak di Youtube, hanya kritikan-kritikan pedas memenuhi ruang komen termasuk mereka yang memilih 'dislike'.

Ada antara mereka memberi komen bahawa lirik lagu tersebut langsung tidak relevan dengan kemerdekaan apatah lagi untuk menanam semangat patriotik di kalangan rakyat.

"Sepanjang-panjang lirik ini, satu pun tak ada sebut perkataan Merdeka. Kata lagu tema Hari Kebangsaan," komen seorang pengunjung youtube.

"Kalau Tunku Abdul Rahman hidup lagi mesti dia menyesal," tambah yang lain.

Tidak kurang juga, ramai yang melihat lirik lagu 'Janji Ditepati' yang ditulis oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim itu tidak lebih dari mengungkit 'jasa' BN melalui transformasi 1Malaysia yang digagas Datuk Seri Najib.

Selain mesejnya didakwa bersifat politik keterlaluan, ianya juga memperlihatkan sikap terdesak parti memerintah sehingga terpaksa 'mencemar' sambutan hari kebangsaan dengan kempen politik BN.

"Ni bukan lagu patriotik, ini lagu politik...tiada nilai, ungkit janji walau banyak dimungkiri...Auta yang diberi," komen salah seorang penonton lain pula.

Terdapat juga sesetengan dari mereka yang sukar untuk mempercayai tindakan 'berani' BN yang sanggup mengambil kesempatan sampai ke tahap ini.

"Sangkak la lagu ni...siapa la yang tergamak buat lagu macam ni," lagi komen dari penonton.

"Adoi, apa punya senikata la, sampai BR1M, klinik, kedai runcit pun nak dimasukkan, bankrap idea betul," luah penonton kecewa.

HARAKAHdaily/-

Penghormatan buat Gaza

9 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “13 lukisan yang saya hasilkan ini mengisahkan tentang kehidupan Palestin dalam perspektif berbeza,” kata pelukis muda, Muhammed Izzfahan Bukhary Izat Bukhary, 15.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan 13 lukisan bertemakan ‘Penghormatan Buat Gaza’ yang mula dipamerkan di Hotel Zenith awal Ramadan lalu.

Menurutnya, pameran solo kali pertama itu memberinya peluang mempamerkan hasil karyanya yang bakal dijual kepada peminat lukisan.

“Setiap lukisan yang dipamerkan mempunyai cerita tersendiri. Tajuk lukisan yang diberi jelas menggambarkan maksud sebenar lukisan yang cuba disampaikan.

“Antara tajuk lukisan saya ialah Conspiration, Victory, Free Style, The End 1 & 2, Right Target, Knock Zionist, Forbidden Saturday, Love Palestine dan From Masjidil Al-Aqsa to Masjidil Haram 1 &2’,” katanya.

Izzfahan berkata, dia mendapat idea menghasilkan lukisan itu dengan bantuan bapanya, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 45, yang sebelum ini juga seorang pelukis.

“Ayahlah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Setiap kali saya mendapat idea untuk menghasilkan lukisan, saya akan berbincang terlebih dahulu dengannya.

“Saya turut memperbaiki kelemahan daripada lukisan yang saya hasilkan sebelum ini. Saya tidak pernah menghadiri kelas lukisan, hanya berguru dengan ayah,” katanya.

Menurutnya, bagi memantapkan lagi idea untuk menghasilkan lukisan, dia gemar membaca buku serta melayari laman web berkaitan.

“Saya memang minat melukis. Pendek kata, jika ada masa terluang, pasti saya akan penuhkan dengan aktiviti melukis.

“Pun begitu, saya tidak merancang untuk menjadikan aktiviti melukis ini sebagai satu karier pada masa akan datang. Biarlah saya terus jadikan aktiviti ini sebagai hobi,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang arkitek.

Bagaimanapun katanya, dia berharap pameran itu akan mendapat perhatian peminat seni lukis, sekali gus menjadikan salah satu lukisannya sebagai koleksi peribadi.

“Jika ada lukisan yang terjual, separuh daripada duit itu akan disalurkan kepada tabung Palestin, manakala separuh lagi akan digunakan untuk membantu saya meningkatkan mutu lukisan.

“Saya tidak meletakkan sasaran jualan, tetapi saya harap ada pembeli yang prihatin membantu rakyat Palestin,” katanya.

SINAR HARIAN/-