29 Julai 2012

Penghormatan buat Gaza

9 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUANTAN - “13 lukisan yang saya hasilkan ini mengisahkan tentang kehidupan Palestin dalam perspektif berbeza,” kata pelukis muda, Muhammed Izzfahan Bukhary Izat Bukhary, 15.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, dia mengambil masa hampir dua bulan untuk menyiapkan 13 lukisan bertemakan ‘Penghormatan Buat Gaza’ yang mula dipamerkan di Hotel Zenith awal Ramadan lalu.

Menurutnya, pameran solo kali pertama itu memberinya peluang mempamerkan hasil karyanya yang bakal dijual kepada peminat lukisan.

“Setiap lukisan yang dipamerkan mempunyai cerita tersendiri. Tajuk lukisan yang diberi jelas menggambarkan maksud sebenar lukisan yang cuba disampaikan.

“Antara tajuk lukisan saya ialah Conspiration, Victory, Free Style, The End 1 & 2, Right Target, Knock Zionist, Forbidden Saturday, Love Palestine dan From Masjidil Al-Aqsa to Masjidil Haram 1 &2’,” katanya.

Izzfahan berkata, dia mendapat idea menghasilkan lukisan itu dengan bantuan bapanya, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 45, yang sebelum ini juga seorang pelukis.

“Ayahlah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya. Setiap kali saya mendapat idea untuk menghasilkan lukisan, saya akan berbincang terlebih dahulu dengannya.

“Saya turut memperbaiki kelemahan daripada lukisan yang saya hasilkan sebelum ini. Saya tidak pernah menghadiri kelas lukisan, hanya berguru dengan ayah,” katanya.

Menurutnya, bagi memantapkan lagi idea untuk menghasilkan lukisan, dia gemar membaca buku serta melayari laman web berkaitan.

“Saya memang minat melukis. Pendek kata, jika ada masa terluang, pasti saya akan penuhkan dengan aktiviti melukis.

“Pun begitu, saya tidak merancang untuk menjadikan aktiviti melukis ini sebagai satu karier pada masa akan datang. Biarlah saya terus jadikan aktiviti ini sebagai hobi,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang arkitek.

Bagaimanapun katanya, dia berharap pameran itu akan mendapat perhatian peminat seni lukis, sekali gus menjadikan salah satu lukisannya sebagai koleksi peribadi.

“Jika ada lukisan yang terjual, separuh daripada duit itu akan disalurkan kepada tabung Palestin, manakala separuh lagi akan digunakan untuk membantu saya meningkatkan mutu lukisan.

“Saya tidak meletakkan sasaran jualan, tetapi saya harap ada pembeli yang prihatin membantu rakyat Palestin,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: