04 Mac 2011

Enam Lagi Rakyat Malaysia Pulang Dari Libya Esok

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Mereka terdiri tiga pelajar lelaki dan dua pelajar perempuan serta seorang petugas Ranhill Berhad, demikian menurut kenyataan Wisma Putra pada Jumaat.

Mereka dijangka tiba pada 7.30 pagi menerusi penerbangan Malaysia Airlines MH187.

Lima pelajar itu adalah antara tujuh pelajar yang ditaja oleh World Islamic Call Society untuk mengikuti pengajian di Universiti Dakwah Islamiah di Tripoli.

Libya kini bergolak akibat bantahan rakyatnya terhadap pemimpin negara itu Muammar Gaddafi.

mStar/-

Halim : Ali Rustam Mungkin Dalang Bawa Ummi Hafilda Dalam Ceramah BN

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 4 MAC : Pengarah pilihanraya kecil PAS bagi kawasan Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman menyelar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam yang membenarkan siri ceramah BN diselubungi dengan kisah fitnah dan mengaibkan oleh Ummi Hafilda terhadap Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Halim, hal seperti ini tidak sepatutnya berlaku apatah lagi kes fitnah terhadap Anwar masih dibicarakan di mahkamah dan Ummi tidak ada kredibiliti untuk bercakap tentang hal itu.

Oleh kerana sikap yang ditonjolkan oleh ketua menteri itu, Halim tidak menolak kemungkinan, Ali Rustam mungkin adalah dalang yang membawa Ummi dalam usaha terdesak BN untuk meraih undi di Merlimau. �

"Bukan dia (Ali Rustam) nak ambil tindakan, dia lah yang menaja ini (Ummi Hafilda) datang kemari.

"Adakah pihak Ali RUstam ini terdesak sangat? Sampai bawa dia ke mari. Maknanya Umno Melaka ini benar-benar terdesak sehingga bawa Ummi Hafilda ke pilihanraya kecil,"katanya kepada Tv Selangor.

Halim juga turut mempersoalkan tujuan Ummi Hafilda berceramah dalam kempen pilihanraya DUN Merlimau jika bukan didorong atau diminta oleh pihak tertentu berbuat demikian.

Senada dengan Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar, Halim juga menyifatkan Ummi sebagai askar upahan rejim Umno-BN.

"Kenapa sekarang dia bangkit. Tak kena mengena datang cerita keburukan orang di sini. Kes liwat ini masih bicara di mahkamah. Siapa dia ini? Askar upahan ?

"Pengundi di sini tak makan dengan isu begitu. Dia bertindak sebagai askar upahan saja. kalau tidak, dia tak akan datang sini, datang sini buat apa,"kata Halim.

Ummi Hafilda seperti yang dijangka terus menabur fitnah terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saudara kandungnya sendiri, Azmin Ali yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tv Selangor/-

Kerdau: BN mahu cetuskan ketegangan

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 4 Mac: Barisan Nasional (BN) didakwa semakin agresif melakukan provokasi sehingga sanggup ‘menyerang’ ke bilik gerakan PAS dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kerdau.

Terbaru, kira-kira jam 3.30 pagi tadi, lebih 50 petugas Umno menghampiri markas PRK PAS di Kampung Desa Murni dengan menunjukkan kemarahan, mengeluarkan kata-kata ugutan dan memasang bendera BN melindungi bendera PAS yang telah sedia dinaikkan.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Temerloh, Fairus Hisyam Nordin, yang berada di tempat kejadian, apa yang memeranjatkan provokasi tersebut diketuai sendiri oleh Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Said.

“Malam tadi kira-kira jam 3.30 pagi lebih 50 orang petugas BN datang ke bilik gerakan PAS di Desa Murni diketuai Ismail Said, mereka berteriak dengan nada marah dan menghamburkan kata-kata berbentuk ugutan.

“Masa itu kami dalam khemah cuma ada 15 orang dan tidak melayan provokasi tersebut kerana jika melawan mungkin mereka akan gunakan sebagai kempen di media kononnya PAS ganas, walaupun mereka yang memulakan.

“Tak cukup dengan itu, kami syak beberapa orang anggota polis berulang kali mengambil gambar juga untuk tujuan mengugut sebab ada antara kami yang berkerja sebagai kaki tangan awam. Manakala yang lain menaikkan berdera BN di hadapan bendera PAS,” katanya.

Tambah Fairus, beliau kecewa dengan tindakan provokasi pihak Umno itu dan akan membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi mengelakkan insiden yang sama berulang.

Pusat mengundi Desa Murni dijaga oleh kontingen dari PAS Kawasan Temerloh.

Sementara itu Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, kecewa dengan pembabitan ahli parlimen tersebut yang sepatutnya bertindak mempertahankan demokrasi dan keamanan.

“Kita faham jika budak-budak Umno yang bertindak secara tidak bertamadun begitu, tapi bila melibatkan seorang ahli parlimen yang merupakan penggubal undang, itu jadi pelik. Sepatutnya dia tidak bertindak kebudaka-budakan walaupun kita tahu Desa Murni ada kampung beliau.

“Apa jadi jika Pemuda PAS melayan karenah dan provokasi mereka... tidakkah nanti akan terjadi perkara yang buruk seperti pergaduhan? Kenapa tak boleh fikir?,” soal Suhaimi.

Dalam pada itu, seorang penyokong PKR mengadu tayar kereta beliau dipancetkan ketika pergi mendengar ceramah ketua umum parti mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rumpun Makmur malam semalam.

Sebelum ini, berlaku juga gangguan kepada program PAS di kawasan Felda Mohamad Sabu berceramah dan Bob Lokman di waktu yang berlainan.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairil Abdul Rahim.

Fuziah Gesa Peneroka Tuntut Janji Najib

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA KRAU 4 MAC : Peneroka Felda digesa oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Fuziah Salleh menuntut janji Perdana Menteri Najib Razak untuk memberi wang tabungan penanaman semula kumpulan tabungan penanaman semula (CES) dan Lembaga Sawit Malaysia (MPOB) yang dijanjikan beliau sebelum 6 Mac ini.

Dakwa Fuziah, Najib yang hadir berkempen di Jengka beberapa hari lalu telah menjanjikan kononnya akan membayar tunggakan bernilai RM13 ribu kepada peneroka Jengka 22 menerusi CES dan RM4 ribu seorang kepada peneroka skim penanaman semula MPOB dalam usahanya meraih undi peneroka di kawasan itu.

"Tiba-tiba ingat kepada peneroka Jengka 22 yang selama ini ada duit CES yang tertunggak sebanyak RM 13 ribu. Kenapa teringat? Kenapa Jengka 22 sahaja? Kenapa
tak teringat semua peneroka CES di seluruh negara. Saya nak cabar BN beri kepada semua sebelum 6 Mac beri duit CES kepada peneroka getah yang tanam semula kelapa sawit di seluruh negara setuju atau tidak?

"RM4 ribu itu hanya boleh dibayar selepas pokok ditebang. (Anda) tahu kan? tapi berani dia menjanjikan. Terdesak dan takutnya dia kepada penduduk Jengka 23. Sekarang tuan-tuan tuntut dia bayar sebelum pokok ditebang,"ujar Fuziah.

Menurut Fuziah lagi, apa yang membimbangkan ialah tawaran Najib jelas bertentangan dengan peraturan MPOB dan hanya akan merugikan peneroka yang menebang pokok mereka segera.

"6 Mac tarikh akhir kita beri pada dia beri duit RM4 ribu MPOB. Tuan-tuan jangan tebang pokok. Sekarang ini harga sawit tinggi RM813 setan. Duit ini hanya diberi bila harga sawit kurang RM400 setan. Saya tahu, dan MPOB semua tahu. Tapi kerana PM takut sangat tak dapat undi dari Felda Jengka 23, itulah tawaran beliau." kata Fuziah di hadapan kira-kira 700 hadirin di Felcra Rumpun Makmur, Kuala Krau malam tadi.

Ini bukan kali pertama Najib berjanji kepada masyarakat Felda, semasa PRK Parlimen Hulu Selangor, tahun lalu beliau berjanji untuk menyelesaikan isu perumahan generasi kedua Felda di Felda Soeharto, Gedangsa dan Sg Tengi.

Perdana Menteri juga pernah berjanji ketika PRK Tenang bulan lalu apabila mengumumkan 500 lot tanah kepada generasi kedua di Felda Cemplak, Cemplak Barat dan Felda Tenang namun sehingga hari ini tiada tanda-tanda ianya dilaksanakan.

Fuziah menyatakan ini merupakan taktik biasa Umno yang selalu melupakan rakyat dan hanya 'teringat'kan mereka bila menjelang pilihanraya.

"Pilihanraya kecil ini ialah waktu orang Kerdau dapat imbuhan. Selama ini jalan tuan-tuan berlubang, ada BN ingat? Selama ini susah payah tuan-tuan, ada
Najib dan BN ingat? Tapi sekarang PRK, tiba-tiba ingat. Tiba-tiba ingat dan tiba-tiba buat jalan," kata Fuziah.

Justeru beliau menggesa masyarakat Kerdau menjadi lebih proaktif dalam memperjuangkan nasib mereka dan tidak hanya menerima sahaja apa yang disogok dan
digula-gulakan kerajaan UMNO.

"Kita kena tunjukkan bahawa kita sudah berani kepada kerajaan BN. jangan kamu nak gula-gulakan kami, jangan nak beli kami dan kami tuntut hak kami dan bukan
untuk digula-gulakan,"kata Fuziah.

Tv Selangor/-

Pelajar syukur terima sumbangan kerajaan negeri

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN, 4 Mac: Pelajar Mesir dari Pulau Pinang beruntung mempunyai kerajaan negeri yang dipimpin walaupun bukan Islam tetapi tahu menilai keresahan dan kerumitan ibu bapa untuk mencari dana membiayai semula pembelajaran mereka.

Mereka berpendapat apa gunanya jika pemimpin kerajaan yang memerintah tidak mahu menyelami kesusahan keluarga untuk menghantar kembali anak-anak bagi meneruskan pembelajaran di Mesir.

Ketika ditemui di Dewan Sri Pinang selepas program penyerahan cek RM2,000 kepada 318 pelajar oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng kelamrin, ramai tersenyum kerana ibu bapa mereka hanya perlu menambah sahaja kewangan bagi mencukupkan tambang untuk kembali belajar.

Tambang RM2,000 itu diberikan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) yang memperuntukan RM1,000 seorang manakala kerajaan negeri pula RM1,000.

Mereka juga boleh berbangga kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang tetap mengutamakan mereka untuk menyambung pembelajaran kembali selepas pergolakan negara Afrika Utara itu reda.

Sharifuddin Fuat dari Maahad Qiraat Al-Azhar mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan negeri kerana menghulurkan bantuan kepada pelajar.

“Walaupun RM2,000 tapi ia sudah memadai untuk kami teruskan usaha sehingga tamat pengajian.

"Orang kata RM2,000 itu sikit berbanding tambang sebenar tetapi bagi kami ia satu penghargaan yang luar biasa dari kerajaan yang ketua menteri bukan Islam," tegasnya.

Mohd Zahid Ismail dari Univesiti Al Azhar, Kaherah dalam bidang Syariah pula berkata, sumbangan berkenaan memberi galakan yang tidak terhingga untuknyai berjuang di medan ilmu sehinggalah pulang menabur bakti pada tanahair tercinta.

"Pemberian itu sebagai satu azimat untuk kami belajar dengan lebih bersungguh. Biar kepulangan kami nanti lebih diberkati," terang beliau.

Muhamad Faiz Abdul Jalil dari Univesiti Al-Azhar Cawangan Zagazig bangga dengan keprihatin kerajaan negeri mengadakan majlis meraikan sumbangan tersebut.

"Kami ucapkan terimakasih pada Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria, Pengarah PUZ, Dr Azman Samad serta kepimpinan kerajaan negeri kerana sanggup membiayai pemergian semula ke Mesir," ujarnya yang mengambil jurusan Usuluddin.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said.

Apa lagi mahu diharap pada kerajaan BN

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KEPALA BATAS, 4 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menegaskan, negara tidak memerlukan pemimpin yang jahat dan bodoh tetapi mahukan individu yang baik akhlak, amanah dan bijaksana dalam mengatur peluang untuk memajukan negara.

Tambahnya lagi, kepimpinan yang ego, rakus dan gilakan kuasa pastinya merugikan pembangunan negara kerana bertindak bukan berdasarkan kehendak rakyat sebaliknya mengikut kepala atau arahan pihak ketiga walaupun tahu setiap arahan itu rakyat yang menanggungnya.

"Negara tidak memerlukan seorang pemimpin yang jahat dan bodoh kerana sikap tersebut tidak menguntungkan pentadbiran negara. Bertambah parah kalau individu itu tidak berakhlak, melakukan penyelewengan dan bersikap ego," ujarnya ketika berucap pada majlis Karnival Penang Harmoni di Dewan Millenium, di sini malam tadi.

Kerakusan dan kezaliman ketika memerintah, tegasnya, bukan sahaja dirasai oleh rakyat bahkan pelabur juga terasa bimbang untuk meneruskan usaha menaman modal di negara ini.

Sebab itu, hari ini ekonomi Malaysia semakin mengucup setelah kebanyakan pelabur lari.

Bagaimanapun, katanya sejak kebelakangan ini apabila empat negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor menunjukan prestasi ekonomi membanggakan berbanding negeri di bawah Barisan Nasional (BN).

Katanya, untuk mencapai tahap negara maju, rakyat harus menolak pemimpin jahat yang merampas harta rakyat dan gagal merencanakan pembangunan mengikut acuan sebenar, bukannya program 'mi segera' yang akhirnya menguntungkan kroni.

Sekarang ini, ujarnya kepimpinan negara seakan filem 'Ali Baba dan 40 orang penyamun' kerana menipu dan ditipu.

“Apa tidaknya, di era kepimpinan Tun Dr Mahathir, beliau yang dianggap pandai merampas hak rakyat akhirnya ditipu pula oleh Menteri Pengangkutan ketika itu,” katanya.

Begitu juga dengan Perdana Menteri kelima, Tun Abddulah Ahmad Badawi juga menjadi mangsa penipuan Menteri Pengangkutan.

"Apa lagi nak harapkan BN memerintah nanti semua harta rakyat dikebas satu persatu. Melainkan rakyat bangkit jadi 'Marjinah' hasil lakonan Seniwati Negara, Sarimah yang mengajak rakannya menuang air panas ke dalam tong yang ada penyamun," katanya disambut gelak ketawa hadirin.

Turun berceramah pada malam tadi ialah Ketua Wanita DAP, Choong Eng dan penulis lirik, Bob Lokman.

Harakahdaily/-
Oleh : Mohd Sabri Said.

Najib tidak tolak kemungkinan pilihan raya umum awal

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Najib di Melbourne hari ini.

MELBOURNE, 4 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menolak kemungkinan akan mengadakan pilihan raya umum awal, yang disebut-sebut bakal diadakan tahun ini.
Bagaimanapun tegas Najib beliau tidak memerlukan mandat baru menerusi pilihan raya umum ke-13 untuk meneruskan pembaharuan-pembaharuan seperti memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan.

Dalam temu bual dengan Reuters sempena lawatan ke Australia hari ini, Najib berkata, prestasi yang baik pada pilihan raya negeri Sarawak akan membantu menilai tanggapan orang ramai dan kemungkinan akan memberikan petanda ke arah pilihan raya umum awal.

Mandat semasa kerajaan pusat hanya berakhir April 2013.

Di DUN Sarawak, BN kini memiliki 63 daripada 71 kerusi.

Najib, yang perikatan pimpinannya Barisan Nasional (BN) yang menyaksikan prestasi buruk tiga tahun lalu, berjanji untuk memulihkan keyakinan pelabur di Malaysia dengan melaksanakan pembaharuan termasuk memperkenalkan cukai tertangguh berganda.

Ketika pilihan raya umum 8 Mac 2008, Najib merupakan timbalan perdana menteri. Beliau menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri Najib April 2009.

“Ia persoalan mengenai penilaian di akar umbi, bagaimana rakyat fikir tentang kerajaan, sama ada kita boleh ada faktor rasa selesa dan rakyat ada keyakinan ke atas kerajaan dan kedudukan pembangkang,” katanya.

“Saya tidak menolak apa jua kemungkinan. Kemungkinan awal atau kemungkinan kemudian. Saya masih menilai situasi. Sarawak akan menjadi sebahagian daripada penilaian (saya), sudah pasti,” kata Najib yang juga pengerusi BN.

Najib merujuk kepada kejayaan BN dalam empat daripada lima pilihan raya kecil yang lalu, mengatasi Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut berhadapan dengan kes liwat kedua dalam hidupnya.

BN berhadapan dengan dua pilihan raya kecil serentak iaitu DUN Merlimau dan Kerdau dengan pengundian pada Ahad ini.

“Setakat ini ia (kedudukan, sokongan) nampak baik. Setakat ini laporan dari lapangan agak menggalakkan tetapi kami tidak boleh memandang ringan, kerana pembangkang akan lebih bersungguh-sungguh kali ini untuk menerokai laluan di Sarawak,” kata beliau.

Katanya perkembangan-perkembangan itu adalah usaha ke arah membentuk keyakinan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun Najib mengakui bahawa pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri bukan segala ukurannya jika mengambil kira keputusan akhir pilihan raya umum.

TheMalaysianInsider/-

Persediaan Sebelum Tidur

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Hadith:

DIRIWAYATKAN daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.

Riwayat al-Bukhari

Huraian Hadith:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW.

Dalam suatu riwayat menerangkan: "Daripada 'Aisyah r.a katanya: "Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur.

Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur.

Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula.

Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Pembangkang Libya tolak Chavez sebagai orang tengah

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BENGHAZI: Kumpulan pembangkang dan pemberontak di Libya hari ini menolak pembabitan Presiden Venezuela, Hugo Chavez sebagai orang tengah dalam rundingan bagi membawa semula keamanan serta meleraikan krisis politik di negara itu.

“Kami mempunyai kenyataan yang jelas. Ia sudah terlambat. Sudah banyak darah mengalir," kata Mustafa Gheriani, jurucakap pembangkang yang mengisytiharkan penubuhan Majlis Kebangsaan di bandar timur Benghazi, sebelum ini.

Chavez, yang menjadi rakan pemimpin rapat dengan Presiden Libya, Muammar Gaddafi mencadangkan agar satu misi pengaman antarabangsa diwujudkan di kalangan negara yang menjadi rakan baik Libya bagi mengadakan rundingan bagi mengelak perang saudara. “Kami tidak akan berunding dengan sesiapa mengenai rakyat kita yang sudah terkorban.

"Salah satu jalan untuk kami berunding dengan Chavez ialah jika Gaddafi meninggalkan negara ini ke Venezuela.

“Selepas itu kami akan meminta Gaddafi dihantar semula ke Libya untuk dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Berita Harian/-

ADUN Lenggeng didapati bersalah rasuah

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Negeri Sembilan, Mustafa Salim didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada seorang kontraktor bertujuan mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mendapati ADUN Barisan Nasional itu bersalah terhadap dua tuduhan menerima suapan daripada M Manimaran untuk tujuan itu. Dia didakwa di bawah Seksyen 10(a)(aa) Akta Anti-Rasuah 1997, menerima wang suapan di sebuah restoran di Mantin pada 31 Ogos 2008 dan boleh dikenakan hukuman penjara antara 14 hari dan 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada jumlah suapan atau minimum RM10,000. Hakim Mahkamah Sesyen, Amran Jantan dijangka menjatuhkan hukuman terhadap Mustafa pada jam 2.45 petang ini

Kapal misi hantar makanan ke Libya berpatah balik

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

ROM: Sebuah kapal yang membawa muatan 1,000 tan tepung ke bandar Benghazi di timur Libya dilaporkan berpatah balik semalam selepas menerima laporan kawasan itu terdapat pengeboman udara.

Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kapal itu berpatah balik tanpa menurunkan semua muatan tepung yang sepatutnya dihantar ke negara bergolak itu.

“Keputusan itu dibuat pemilik kapal berkenaan kerana ia berisiko. Kami juga peka terhadap operasi pengemboman dari udara di kawasan berkenaan," kata Greg Barrow, jurucakap Program Makanan Dunia PBB yang beribu pejabat di Rom, Itali.

Berita Harian/-

Pengeboman untuk takutkan pemberontak: Anak Gaddafi

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

LONDON: Serangan bom ke atas bandar pelabuhan Brega hanya bertujuan untuk menakut-nakutkan pemberontak Libya ke atas Presiden Muammar Gaddafi, kata anaknya, Seif Al-Islam kepada stesen televisyen Britain, Sky News, lewat malam tadi.

“Operasi pengeboman udara itu hanya untuk menakut-nakutkan mereka supaya menjauhi kawasan berkenaan. “Sebenarnya tiada bandar di sana. Bandar Brega terletak berbatu jauhnya. Saya bercakap mengenai pelabuhan yang mempunyai pusat penapisan minyak," katanya. Seif berkata, rejim pemerintahan tetap akan mempertahankan pelabuhan itu daripada jatuh ke tengan pemberontak.

"Ini adalah hub minyak dan gas di Libya. Kepada kami semua, kami makan, kami hidup kerana Brega. Tanpa Brega enam juta rakyat tidak mempunyai masa depan kerana kita eksport semua hasil minyak kami dari sana," katanya.

Berita Harian/-

Kejadian rusuhan kian buruk, 180,000 tinggalkan Libya - PBB

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

GENEVA 4 Mac - Sekurang-kurangnya 180,000 orang telah meninggalkan Libya akibat daripada kejadian rusuhan yang semakin buruk ketika ini, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), hari ini.

Kebanyakan individu yang meninggalkan negara yang sedang bergolak itu adalah pekerja dari Mesir dan Tunisia termasuk pekerja dari beberapa negara lain.

Utusan Malaysia/-

PM Mesir pula letak jawatan, Essam Sharaf jadi PM baru

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KAHERAH 4 Mac - Perdana Menteri Mesir, Ahmed Syafiq meletakkan jawatannya berkuat kuasa semalam, satu lagi sambutan kegembiraan bagi penunjuk perasaan yang mahukan sisa pemerintahan rejim Presiden Hosni Mubarak dibersihkan.

Bekas Menteri Pengangkutan, Essam Sharaf dilantik untuk menggantikan Shafiq dan membentuk kerajaan baru.

Angkatan bersenjata memerintah negara itu sejak Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan pada 18 Februari lalu ekoran protes selama 18 hari di seluruh negara tersebut.

Utusan Malaysia/-

Pemberontak minta PBB matikan serangan tentera

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

BREGA - Pemberontak Libya meminta pertolongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan udara tentera upahan Afrika yang diarah pemimpin Muammar Gadaffi untuk menyerang rakyatnya sendiri, semalam.

Pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan, kelmarin terhadap pemberontak melalui darat dan udara sebagai amaran jika ada negara Barat mahu campur tangan dalam krisis negara itu.

Askar Gaddafi dilaporkan berjaya mendapat semula Brega selepas seminggu ditawan pemberontak dan mereka akan bergerak ke ibu negara Libya jika beliau tetap enggan meletak jawatan.

Terdahulu, Gaddafi mengecam bahawa ribuan rakyatnya akan terbunuh jika Amerika Syarikat atau Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) campur tangan dalam krisis negaranya.

Serangan bom turut berlaku berdekatan terminal minyak kelmarin, di mana sekurang-kurangnya 14 orang terkorban.

Sinar Harian/-

Cerai setiap 15 minit

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA - Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan perceraian berlaku dalam kalangan umat Islam dicatatkan setiap 15 minit pada tahun 2009.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama dalam kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.

“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia yang disertai 1,200 penjawat awam.

Anggota panel pada seminar itu terdiri daripada pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan pendakwah, Datuk Dr Fatma Zahrah Mohd Ramadan.

Mashitah berkata, Jakim akan memperbanyakkan lagi program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.

Setakat ini katanya, Jakim menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga.

Dalam perkembangan lain Mashitah berkata, Jakim masih memantau pergerakan saki baki pengikut ajaran al-Arqam yang didakwa mengadakan perjumpaan dikenali sebagai ‘Sidang Parlimen Roh’ selepas kematian pengasasnya, Ashaari Mohamad atau Abuya pada 13 Mei tahun lalu.

“Kita masih mengikuti apa yang mereka buat. Jadi minta kepada rakyat supaya berhati-hati dan tidak mengkuti kepada ajaran itu,” katanya.

Sinar Harian/-

9.4 juta saman belum dijelas

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Hussin Ismail memberitahu sebanyak 9.4 juta saman masih belum dijelaskan pesalah trafik sehingga kelmarin.

Hussin berkata demikian selepas merasmikan perasmian kaunter saman trafik Polis Diraja Malaysia di Pos Malaysia Berhad di pejabat Pos Besar di sini semalam.

Menurutnya, pesalah trafik kini boleh menjelaskan saman di 703 cawangan Pos Malaysia di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan untuk orang ramai menyemak serta membuat pembayaran selain daripada 153 kaunter yang sedia ada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), lima di pusat membeli belah dan portal Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
“Dengan adanya perkhidmatan itu, orang ramai terutamanya penduduk luar bandar tidak perlu untuk ke IPD bagi menjelaskan saman malah boleh berbuat demikian di mana-mana cawangan pejabat pos yang terdekat.

“Bagi mereka yang ingin membuat bayaran di IPD, polis akan membuka kaunter setiap hari dari jam 8 pagi hingga 10 malam sehingga Khamis depan,” katanya.

Sinar Harian/-

Kempen BN di Merlimau bertentangan slogan 1Malaysia

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau sangat kotor dan bertentangan dengan slogan 1Malaysia yang dilaungkan BN.

Beliau yang kesal dengan beberapa perbuatan khianat termasuk penyebaran risalah fitnah dipercayai dilakukan Umno BN berkata, Umno BN harus bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Kempen ini mahu menonjolkan 1Malaysia yang sepatutnya menunjukkan perpaduan dan satu kempen yang bersih.

"Tapi sangat sedih apabila melihat kempen yang sangat kotor. Ada fitnah, dusta, risalah-risalah dan gambar lucah, tuduhan-tuduhan tidak berasas dan siapa yang bertanggungjawab?

"Tentulah Barisan Nasional. Tak boleh lari daripada itu," kata beliau pada sidang media di bilik gerakan DAP, pekan Merlimau dekat sini, petang ini.

Hadir sama ialah calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Merlimau, Yuhaizad Abdullah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga berkata, Umno harus memberi peluang kepada pengundi-pengundi untuk memilih calon daripada mana-mana parti tanpa menggunakan wang sebagai umpan.

"Siapa menang siapa kalah terpulang kepada pengundi-pengundi.

"Berkempenlah secara bersih dan hormati keputusan rakyat. Tak perlu ada insiden-insiden seperti pecah kereta, pentas DAP cuba dibakar.

"Ini semua tidak patut berlaku dan semua bertentangan dengan slogan 1Malaysia.

"Politik wang sangat jelas dan ini bukan satu pertandingan yang sihat dan sangat dikesali," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi Pakatan Rakyat untuk menang pada PRK ini, beliau berkata, kalah atau menang bukan keutamaan tapi perkara yang lebih penting adalah melihat perubahan yang dilakukan pengundi-pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kita tahu tempat ini memang sukar untuk menang, mungkin tak boleh menang tapi apa yang mustahak dapat sambutan pengundi-pengundi di kawasan ini yang menunjukkan sokongan lebih kuat kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Ujarnya juga, selepas pilihan raya umum 2008, semakin ramai rakyat yang mahukan politik baru.

"Sejak tsunami politik tiga tahun dahulu kita lihat ada perubahan bukan sahaja di negeri Melaka tapi di Malaysia dan apa yang berlaku di Mesir,Tunisia dan Timur Tengah, kita lihat perkembangan politik baru dan rakyat mahu menuntut perubahan termasuk di Malaysia," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

Merempat..? Harga Rumah Mahal!

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MIRI, 3 Mac 2011 – Sering kita diperdengarkan dengan kenyataan keluar dari mulut pemimpin negara seperti dibawah;

"Selaras dengan gagasan 1Malaysia, kerajaan komited dan akan terus memberi keutamaan dalam penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki atau disewa mengikut keperluan golongan tertentu” – sumber Utusan Malaysia

tetapi amat malang sekali rakyat masih dibebani dengan harga rumah yang mahal dan segelintir masih merempat terbiar di kawasan setinggan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyatakan Dasar Perumahan Negara (DRN) telah digubal dan ianya akan memenuhi keperluan asas rakyat, iaitu tempat tinggal yang selesa dan mampu dimiliki bagi memperkasakan pilihan dan autonomi rakyat.

Menurut beliau, bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan telah mensasarkan pembinaan sebanyak 78,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan penempatan semula setinggan.

Begitu juga dengan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pelaksanaan (DRN) di Sarawak akan memastikan kerajaan negeri menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti mengikut piawaian ditetapkan untuk kumpulan sasaran.

Menurut beliau, di bawah pelaksanaan (DRN) harga rumah mampu milik negara telah disemak semula dengan harga rumah kelas itu di Semenanjung Malaysia meningkat daripada RM30,000 kepada RM42,000 manakala di Sarawak daripada RM42,000 kepada RM50,000 seunit. Pada masa sama kerajaan akan membina 8,000 unit Rumah Mampu Milik untuk dijual di seluruh negeri dan kedua-dua projek ini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10)

Apa yang lebih mengecewakan sekarang ini ialah kerajaan persekutuan melalui Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPP) telah memperkenalkan Program Perumahan Rakyat (PPR), Rumah Mampu Milik (RMM), Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) dan sebagainya yang berharga RM40,000 hingga RM80,000 seunit tetapi masih ada lagi segelintir rakyat tidak mampu untuk membeli dan memiliki rumah.

Lain ceritanya pula dengan pemaju perumahan konglomerat seperti Naim Cendera, Miri Housing dan lain-lain di Sarawak ini harga rumah (single & double storey/terrace/corner/intermediate) boleh mencecah sehingga RM150,000 ke RM600,000 seunit dan kebiasaannya harga rumah terus melambung naik secara mendadak dalam tempoh masa kurang setahun dengan alasan pemaju bahawa minyak, harga tanah dan bahan binaan dikatakan telah menaikkan kos binaan.

Keadaan ini boleh mengakibatkan rakyat yang berpendapatan sederhana dan pertengahan tidak mampu membeli rumah idaman mereka.

Kini, trend pembinaan rumah mewah nampaknya semakin tidak terkawal oleh pemaju perumahan. Dengan mencecah setengah atau suku juta ringgit, berlipat kali ganda lebih tinggi berbanding purata pendapatan isi rumah di Sarawak. Masalah peningkatan melampau nilai hartanah dan rumah kebelakangan ini memang telah lama dirasai dan jika diteliti pemilik rumah-rumah mewah di pinggir Bandaraya Miri khususnya di perumahan Luak, Piasau dan Permyjaya kebanyakan pembeli asing iaitu warganegara Brunei.

Memang tidak dinafikan kehadiran pembeli asing khususnya warganegara Brunei akan memberikan impak positif kepada ekonomi negara atau negeri tetapi ia tidak harus memperjudikan hak dan nasib rakyat tempatan.

Sekarang ini masih ada lagi rakyat berkeluarga miskin, tiada berpendapatan tetap, pendapatan kurang RM1000 sebulan, papa kedana, dengan keadaan rumah yang usang dan dengan keadaan hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang merempat di bumi sendiri.

Apa nasib rakyat, anak cucu kita 10 tahun lagi? Berapakah harga hartanah dan rumah di Sarawak ketika itu nanti? Masihkah ingat kenyataan lawak baru-baru ini oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Alfred Jabu ak Numpang?
“kerajaan negeri sedang berusaha mengeluarkan rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini keluar dari belenggu kemiskinan dengan mendapat pendapatan sebanyak RM1,200 sebulan bagi satu keluarga dalam tempoh 10 tahun akan datang.” – sumber The Borneo Post

…dan rakyat nak jawab dan tanya balik Tan Sri Alfred Jabu ak Numpang pula…
Apa yang Tan Sri boleh nampak pada nilai wang RM1,200 untuk keluarga pada 10 tahun akan datang??? jika itulah sasaran dungu kamu wahai sang pemimpin; sudah pasti rakyat masih ‘meNUMPANG’ di bumi sendiri…

oleh : masalahrakyat

Pesta rasuah di Kerdau dan Merlimau

29 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Salah guna kuasa/sogokan/rasuah/pancing/beli undi dan penyelewengan pihak BN mengiringi sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau dan Kerdau. Kes-kes berikut telah dicatatkan berlaku menjelang penamaan calon sehingga kempen 2 Mac 2011:

1. Pada Seminar Kecemerlangan Institusi Keluarga di Sekolah Kebangsaan Chenderah di Kampung Chenderah di Merlimau, Rabu (2 Mac) - Mohd Ali, Ketua Menteri Melaka menyogok 70 basikal kepada murid sekolah SK Chenderah (MstarOnline 3 Mac) dengan taktik memancing undi ibu bapa pelajar terbabit.

2. Muhyiddin dalam lawatannya ke DUN Merlimau (1 Mac), memancing undi dengan menjanjikan peruntukan geran pembinaan sekolah agama rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau berjumlah RM1.5 juta (Utusan online 3 Mac).

3. Pihak Felda turut membantu BN di PRK Kerdau membeli undi melalui pengumuman bayaran ses di bawah Skim Insentif Tanam Semula yang diberi kepada 433 peneroka dengan bayaran wang insentif RM1,000 sehektar atau bersamaan RM4,000 seorang yang kesemuanya bernilai RM1.8 juta. Majlis membeli undi itu dijadualkan pada Jumaat ini (4 Mac), dua hari menjelang pengundian (Umno online 2 Mac; Utusan online 3 Mac).

4. Umpan untuk beli undi ibu bapa pelajar telah dilakukann oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dengan memberi sumbangan kepada seramai 34 pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu termasuk 29 pelajar dari Sekolah Menengah Dang Anum. Majlis mengumpan itu diadakan di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Jamuan Rakyat DUN Merlimau (dlm. Sinar Haroiana online - http://www.sinarharian.com.my/merlimau/).

5. PAS menerusi Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Sabki telah mengadu secara rasmi kepada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melibatkan penggunaan jentera kerajaan/premis awam pihak BN di Kerdau sebagai tindakan salah guna kuasa dan penggunaan melampau premis Sekolah Rendah Batu Sawar, Padang Awam Teluk Sentang dan Dewan Orang Ramai Felda Jengka 23 serta Balai Raya Kuala Tekal. Di situ telah didirikan khemah dan menaikkan bendera parti serta aktriviti kempen.

6. Tan Sri Muhyiddin telah berjanji bersifat menyogok 300 seramai ibu bapa merupakan pengundi Dun Kerdau sedia meluluskan pembinaan blok tambahan untuk bengkel kemahiran hidup dan makmal bernilai RM5 juta di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan turut mempengaruhi pengundi sebagai pancing undi dengan sanggup dimasukkan cadangan dalam projek Rancangan Malaysia ke-10. Di samping turut berjanji untuk menyiapkan 18 sekolah di parlimen Kuala Krau yang akan diberikan peruntukan penyelenggaraan sebanyak RM1.9 juta (Malaysiakini 1 Mac).

7. Berlaku pengedaran kotak barangan kepada pengundi Cina di Kerdau dan dilihat menyogok dan merasuah pengundi apabila peenerima diarahkan memasang pelekat BN pada rumah masing-masing dan dibuktikan lagi (sogokan dari BN) kerana pada kotak itu ada gambar wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan menterinya Datuk Seri Shahrizat Jalil. Setiap kotak mengandungi nasi, Milo, biskut, susu tepung dan sardin dalam tin (Malaysiakini 28 Februari).

8. Datuk Seri Najib Razak mengumumkan satu nilai sogokan untuk memancing undi berjumlah hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau menjelang hari penamaan calon. Pengumuman itu dibuat di dua majlis perjumpaan berasingan di hadapan pengundi di Batu Sawar dan pengundi Cina, India dan Orang Asli di Kampung Baru Kerdau. Sogokan sebanyak RM10 juta itu dalam bentuk sogokan projek mengganti paip bernilai RM9.25 juta, gelanggang serbaguna masyarakat Cina RM400,000, membina kuil Hindu RM100,000, dan Balai Bomba sukarela RM150,000 (Malaysiakini 27 Februari).

9. Kehadiran Mohd Najib dan isterinya Rosmah menaiki helikopter berkempen sebelum penamaan calon di sekitar daerah mengundi Kerdau dan 'kawasan 3+1' – gugusan Felda Jengka 22, Felda Jengka 23, Felda Jengka 25 dan Felcra Rumpun Makmur dilihat sebagai salah guna kuasa kerana menggunakan wang kerajaan. Helikopter itu tidak dibiayai oleh Umno Kerdau (Malaysiakini 28 Februari).

10. Masjid as-Sujjah Merlimau (premis awam) juga digunakan sebagai pentas menyampaikan kempen oleh pengkuliah antara waktu maghrib-isyak (pada Isnin, 2 Feb). Antara ucapan pengkuliah yang sempat dicatatkan ialah "Yahudi menguasai ekonomi di Amerika Syarikat kerana ia adalah negara mereka, dan di Malaysia, orang Melayu tidak menguasai ekonomi, tetapi sebaliknya mereka menguasai politik. Jadi, anda mesti menyokong parti yang melindungi dan mempertingkatkan martabat Melayu... Saya berharap rakyat akan membuat keputusan yang betul dalam pilihan raya supaya martabat kita dapat dipertahankan." Memahami konteks itu, jelas pengkuliah itu adalah berkempen untuk BN atas masjid (Malaysiakini 2 Mac).

11. Tan Sri Muhyidin mengumumkan akan membina sekolah agama rakyat di Taman Muhibah dekat Masjid as-Sujjah Merlimau berjumlah RM1.5 juta di majlis perjumpaan pegawai agama masjid yang dihadiri sama calon BN Roslan (Berita Harian 2 Mac). Pengumuman itu satu sogokan dan mempengaruhi pengundi dari kalangan pegawai masjid seluruh Dun Merlimau.

12. Satu majlis di SMK Dang Anum, Merlimau (premis awam) pada hari Isnin (28 Februari) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengeluarkan kenyataan, berikutan pengumuman kenaikan gaji para guru oleh Tan Sri Muhyidin, lalu beliau meminta 311 orang guru di Merlimau dapat membalasnya dengan mengundi BN (Malaysiakini 2 Mac).

13. Agensi kerajaan Pusat, Biro Tata Negara Negara (BTN) turut menyertai kempen pilihan raya kecil Merlimau dengan mengadakan tiga ceramah setiap hari bermula Ahad (27 Mac) lalu. Misinya ialah memburuk-burukkan DAP yang kononnya ‘menentang Islam dan mengancam orang Melayu’ (Malaysiakini 1 Mac).

14. Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari telah membuat laporan SPRM berhubung salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbrian di bawah Mohd Ali Rustam melibatkan projek dan dana Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM13.85 juta. Penyelewengan didakwa berlaku dalam kes pembinaan kompleks MAIM dan penyerahan milik lot PT 83 kepada kontraktor dan penjualan lot 106 dan 106 oleh kontraktor terbabit kepada pihak ketiga serta kelewatan jadual pembinaan kompleks yang tidak diambil sebarang tindakan (Berita Harian 2 Mac). Atas kes ini ada isu amalan kronisme, subhat dan semacam melindungi penyelewengan oleh MAIM dan Mohd Ali selaku Ketua Menteri.

15. Mohd Ali Rustam juga diketahui umum oleh para kontraktor yang menyertai tender projek negeri Melaka, sebagai ketua menteri yang mengamalkan kronisme dan rasuah. Mana-mana kontraktor yang ingin mendapatkan projek dan kelulusan tender perlu mendapat surat akuan daripada runnernya dan perlu berjumpanya terlebih dulu, kemudian membuat beberapa komitmen untuk kepentingannya (Laporan menerusi SMS 3 Mac).

Perkara yang sama turut dilaporkan oleh seorang profesor dari salah sebuah universiti di USA yang membuat kajian berkaitan pembangunan negeri Melaka.

Berdasarkan pendekatan BN yang tidak bermoral, tiada integriti dan mencabar amalan demokrasi di PRK Merlimau-Kerdau, maka by hook or by crook BN akan menang!

Ini kerana, pihak pengundi sedia terperangkap dengan segala janji manis, takut dengan ugutan dan terpukau dengan sogokan berjuta-juta ringgit. Itulah pengundi BN.

Harakahdaily/-
Oleh : Wan Nik Wan Yussof .