Nasrudin Hassan

Nasrudin Hassan
SHAH ALAM - Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan mendakwa buku teks Bahasa Arab Tingkatan 5 mengandungi lebih 200 kesalahan utama, antaranya tatabahasa, metodologi bahasa dan susun atur bahasa dan ejaan.
"Sungguh memeranjatkan. Bagaimana Kementerian Pelajaran boleh mengeluarkan sebuah buku teks Bahasa Arab Tingkatan 5 yang menjadi silibus (peperiksaan) Sijil Pelajaran Malaysia, mengandungi lebih 200 kesalahan utama.

"Kesalahan yang melibatkan nahu tatabahasa, metodologi bahasa dan susunatur bahasa dan ejaannya," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu kata beliau, Dewan Pemuda Pas mahu Menteri Pelajaran bertanggungjawab penuh di atas kecuaian melampau yang merisikokan masa depan pelajar.

"Apakah kegagalan hampir 50 peratus pelajar yang menduduki peperiksaan kemasukan ke Universiti di Timur Tengah khasnya Mesir adalah berpunca dari silibus yang salah?" katanya lagi.

Nasrudin berkata, kesilapan ketara seperti itu sewajarnya tidak berlaku.

Katanya, "bukan sahaja ia merosakkan masa depan pelajar yang gagal menguasai bahasa Arab dengan baik tetapi juga melibatkan pembaziran dengan kos yang tinggi."

Justeru kata beliau, pihaknya mahu Dewan Pemuda Pas mahu mengetahui jumlah cetakan buku tersebut dan berapa pula kos percetakannya.

"Jangan hanya kerana kelalaian atau kecuaian yang didiamkan, mengorbankan wang rakyat," katanya lagi.

Kata Nasrudin, sebelum ini negara telah gempar dengan sedikit kesilapan pada novel Interlok yang akhirnya mencetuskan perdebatan para sasterawan negara dan cerdik pandai.

"Malang Kementerian Pelajaran tidak mempelajari kesilapan lalu. Akhirnya mempertaruhkan masa depan pelajar," katanya lagi.