9 Rejab 1432H. [MOD] -
KUALA LUMPUR, 10 Jun: Golongan muda di negara ini tidak perlu ragu-ragu untuk menyokong PAS kerana agenda Negara Berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS meliputi kesemua golongan, dengan sebahagian daripadanya turut terfokus kepada golongan muda.
Antara fokus untuk golongan muda dalam agenda negara berkebajikan PAS termasuk usaha-usaha yang akan dilakukan bagi membolehkan mereka, termasuk lepasan universiti, mendapatkan pekerjaan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menjelaskan, selain itu, antara agenda negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS akan turut berusaha mendapatkan rumah kepada golongan muda dan membantu para pelajar mendapatkan biasiswa.
Menurut beliau, kepada para nelayan dan petani, PAS akan turut membantu mereka menerusi skim-skim tertentu yang akan diperkenalkan, manakala golongan miskin pula akan dibantu menerusi skim kebajikan khas kepada mereka.
Katanya, negara berkebajikan adalah penyusunan strategi PAS bagi melepaskan rakyat dari mengalami bebanan hidup dan ia akan dilaksanakan secara adil selaras dengan tuntutan Islam.
"Ini jelas menunjukkan golongan muda juga tidak diketepikan, sehingga tiada pihak yang terkecuali untuk menikmatinya," katanya pada program Analisis Astro Awani yang disiarkan 5.00 petang semalam dan diulang tayang sekitar jam 11.30 pagi ini.
Barisan kepimpinan baru PAS yang dipilih oleh para perwakilan PAS pada Muktamar PAS Ke-57 pada 3 hingga 5 Jun lalu, menurut beliau, akan mengadakan mesyuaratnya hujung minggu ini.
Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu termasuklah yang menyentuh tentang strategi pelan bernegara, sejajar dengan perjuangan PAS untuk melaksanakan negara berkebajikan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat memerintah negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.
Sehubungan itu, beliau berharap agar golongan muda yang mewakili pengundi-pengundi muda turut bangkit bersama PAS untuk menerokai politik baru di tanah air.
"Jadi, kita amat berharap agar golongan muda akan turut meninggalkan politik fitnah dan politik penuh tipu daya yang diamalkan oleh Umno BN selama ini," katanya.
Menyentuh tentang permintaan Pemuda PAS Pusat yang mahukan PAS memberikan kuota 40 peratus kepada golongan muda dalam parti di semua peringkat termasuk dalam pilihan raya yang disuarakan oleh Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi, beliau yakin PAS akan memberikan pertimbangan sewajarnya mengenai tuntutan itu.
"Pada saya, tuntutan Pemuda yang disuarakan oleh Ketuanya, Nasrudin itu bukanlah perkara asing kerana sebelum ini saya juga pernah memimpin Pemuda PAS dan turut mempunyai pengalaman seperti itu.
"Sekiranya Pemuda berjaya menunjukkan prestasi yang baik dan dapat mempertahankan prestasinya, saya yakin parti akan memberikan tempat kepada mereka seperti yang dikehendaki itu," ujarnya.
Strategi PAS sekarang, tegasnya, adalah untuk mencipta satu gelombang kebangkitan untuk membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya, bagi membolehkan agenda negara berkebajikan dilaksanakan di tanah air demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya.
Sejajar dengan itu, PAS pasti akan menggembleng seluruh tenaga dalam parti dengan turut memberikan ruang sewajarnya kepada Pemuda yang berkebolehan serta berkelayakan, dengan gabungan kalangan profesional, ulama dan aktivis yang terdapat dalam PAS sendiri.