22 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Sekali lagi, dunia menyaksikan bencana dahsyat di Somalia dan bahagian lain di Tanduk Afrika yang kini digelar oleh kebanyakan petugas media sebagai Tanduk Kebuluran.
Krisis kebuluran yang melanda wilayah itu meragut 29,000 nyawa kanak-kanak Somalia berumur lima tahun ke bawah, hanya dalam tempoh tiga bulan lalu.
Seramai 12 juta penduduk Somalia memerlukan bantuan makanan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memohon sumbangan ASD2.4 bilion (RM7.16 bilion) daripada negara anggotanya namun sehingga kini, badan dunia itu hanya berjaya mengumpul separuh daripada jumlah itu.
Kita semua perlu lebih berusaha untuk membantu penduduk Somalia dan rantau itu.
Negara kaya khususnya mempunyai kewajipan moral untuk membantu rakyat Somalia yang kebuluran dan menderita.
Bagi umat Islam kaya pula, kesengsaraan penduduk Somalia - kebanyakannya umat Islam - membawa mesej penting kerana ini adalah bulan Ramadan iaitu bulan yang menyaksikan umat Islam di seluruh dunia berpuasa dari waktu subuh sehingga senja.
Jika salah satu tujuan berpuasa adalah untuk memahami dan menyelami kesusahan golongan miskin dan kebuluran, krisis di Somalia ini menawarkan peluang kepada yang kaya untuk bermurah hati menyumbang kepada program bantuan makanan PBB.
Dalam krisis ini, adalah penting bagi setiap individu biasa dan komuniti bertindak balas terhadap bencana di Somalia dengan semangat perpaduan yang paling menyentuh jiwa.
Seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun di Ghana, Andrew Adansi-Bonnah melancarkan kempen untuk memungut 20 juta cedi Ghana (kira-kira RM39 juta) untuk projek “Selamatkan Kanak-Kanak Somalia daripada Kebuluran.”
Satu lagi badan kebajikan di Gaza, Palestin menamakan kempennya sebagai “Dari Gaza: Bersama Menyelamatkan Kanak-Kanak Somalia.”
Apabila golongan dengan keadaan hidup yang terhad dan tanpa sebarang harta bersedia berkorban untuk orang lain yang berada dalam keadaan lebih teruk berbanding mereka, ia memberi harapan kepada kemanusiaan.
Apa punca sebenar?
Sementara kita menunjukkan komitmen kepada kesusahan penduduk Somalia, kita juga perlu cuba memahami punca sebenar kebuluran itu berlaku.
Kemarau, seperti yang ditonjolkan media, tidak dinafikan menjadi punca. Tetapi, ia bukanlah satu-satunya punca krisis itu.
Somalia tidak mempunyai kerajaan yang berfungsi.
Sepanjang tempoh 20 tahun lalu sejak Presiden Said Barre digulingkan, negara itu hanya dicemari kekacauan dan anarki.
Jika Somalia mempunyai kerajaan yang melaksanakan undang-undang dan peraturan, mungkin kebuluran besar-besaran ini tidak akan berlaku.
Semasa pertengahan 70-an, kemarau berpanjangan berlaku di Somalia tetapi ia tidak menyebabkan kebuluran di seluruh negara kerana ada kerajaan yang bertindak pantas menanganinya pada waktu itu.
Kebuluran di Somalia juga berpunca daripada campur tangan kerap kuasa asing dalam hal ehwal dalaman negara.
Bertopengkan program kemanusiaan PBB, Amerika Syarikat (AS) cuba menentukan arah tuju politik Somalia pada 1992 dan 1993.
Potensi minyak di Somalia didakwa menjadi satu daripada dua sebab campur tangan AS itu.
Satu lagi sebab adalah kerana kedudukan strategik Somalia yang digelar Tanduk Afrika itu.
Namun campur tangan AS itu gagal malah menyebabkan kekacauan lebih buruk di Somalia.
Kerajaan boneka AS
Selepas pengeboman berkembar kedutaan AS di Kenya dan Tanzania yang didakwa dilakukan kumpulan militan Al-Qaeda pada 1998, dan diikuti serangan 9/11 pada 2001, AS sekali lagi masuk campur dalam urusan Somalia. Washington memberikan sokongan kepada Kerajaan Persekutuan Sementara (TFG) Somalia bagi menghalang kebangkitan Kesatuan Pengadilan Islam (UIC) yang semakin popular.
UIC berjaya menubuhkan kerajaan yang stabil pada 2006 yang menjamin undang-undang dan ketenteraman awam buat sementara waktu sebelum AS, melalui kerjasama rapat dengan kerajaan Ethiopia menggulingkan kumpulan Islam itu dengan mendakwa pertubuhan itu mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
Bekas anggota UIC kemudian membentuk pergerakan gerila secara besar-besaran dan mengawal sebahagian besar negara termasuk kebanyakan kawasan di ibu negara Somalia, Mogadishu pada Mei 2009.
Perang saudara yang sedang berlangsung inilah menjadi halangan besar kepada penghantaran bekalan makanan kepada rakyat kebuluran.
Selain itu, penghantaran makanan juga diganggu dengan sekatan dikenakan AS-PBB sebelum ini ke atas kawasan yang dikawal salah satu cabang kumpulan UIC, iaitu Al-Shabaab.
Kumpulan Al-Shabaab didakwa menghalang agensi bantuan makanan antarabangsa daripada mencapai kubu kuat mereka kerana khuatir akan kehilangan kawalan di kawasan itu.
Dan ini menyebabkan penduduk Somalia yang miskin dan kelaparan menjadi mangsa dalam perebutan kuasa ini.
Krisis Somalia ini menunjukkan betapa pentingnya untuk mempunyai sebuah kerajaan berfungsi yang mampu menjaga rakyatnya dan pada masa yang sama bukan juga menjadi boneka kepada kuasa asing.
sinar harian/-