22 Ogos 2011

Tiada demo Pemuda PAS P Pinang sokong Jais

22 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PULAU PINANG, 22 Ogos: Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang tidak pernah berdemo menyokong Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Simpang Enan sepertimana yang tersiar di Utusan online baru-baru ini.

Setiausahanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berharap Utusan online lebih berhati-hati ketika menyiarkan berita seumpama itu kerana ia boleh memburukkan nama baik Dewan Pemuda PAS negeri.

Sebenarnya, jelas beliau perhimpunan selepas solat Jumaat tempoh hari dianjurkan oleh bekas Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Hafiz Nordin menerusi badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajuinya.

"Jika Dewan Pemuda PAS Negeri nak anjurkan, bukan 20 yang hadir malahan ratusan. Kami mempunyai displin sebab tidak memandai-mandai buat demo sebab ia belum mendapat rumusan daripada PAS sendiri ekoran pembatalan di saat akhir oleh pihak Gereja Methodist Damansara Utama (GMDU) serta Jais untuk berjumpa pemimpin PAS," jelasnya.

Katanya, kesan berita yang tidak tepat itu menyebabkan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mendapat kencaman hebat daripada blogger yang tidak mengetahui perkara sebenar.

"Sedangkan Dewan Pemuda PAS negeri tidak tahu menahu soal demo secara aman berkenaan," ujarnya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: