13 Ogos 2011

Berbaik sangka terhadap Allah

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Md Zainal MZD

Sebagai orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah, kita mesti sentiasa berbaik-sangka terhadap Allah dalam semua perkara.

Secara umumnya berbaik sangka terhadap Allah boleh dibahagikan kepada 6 perkara

1. Menjaga Aqidah: Semua kita mesti berusaha untuk mengekalkan Aqidah supaya tetap dalam Islam dan berusaha sebaik mungkin dalam beribadat semoga dengan itu akan mati dalam keadaan beriman kepada Allah Subhanahuwataala.

Sentiasa menjauhkan diri dari perkara-perkara yang boleh menyebabkan jatuh syirik atau menyekutukan Allah, sentiasa percaya bahawa setiap sesuatu itu adalah dengan Qada’ dan Qadar Allah dan tidak dengan yang lain. Yang memiliki kuasa menyembuhkan penyakit adalah Allah. Kalau berhasil mendapatkan sesuatu harta, semuanya adalah dengan keizinan dan kurniaan Allah sedangkan kita hanya berusaha setakat yang kita mampu sahaja. Bagitulah juga jika mendapat pangkat janganlah mengatakan hanya atas usaha kita melainkan mesti bersandarkan kepada ketentuan Allah. Sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancang dan pelaksana.
.
2. Menjaga Akhlak Dalam sebarang masa kita mesti menjaga akhlak kita supaya tidak bercanggah dengan apa yang dianjurkan oleh Islam.

Dalam kehidupan sehari-hari sama ada secara bersendirian, berkeluarga, bersama jiran, atau sesama orang Islam yang lain, lebih-lebih lagi jika bersama dengan orang yang bukan Islam, apa yang kita lakukan dan tontonkan akan menunjukkan keindahan Islam. Kalau baik yang kita tunjukkan maka pandangan orang lain terhadap Islam akan baik tetapi jika buruk yang kita tampilkan, bukan saja diri kita dipandang rendah sebaliknya Agama Islam juga akan dipandang buruk dan diperlecehkan.

Pergaulan, tingkahlaku, percakapan serta cara berpakaian dan lain-lainnya mestilah sentiasa mengikut syariat Islam...

3. Tidak berputus asa dan sentiasa bersabar: Maksud tidak berputus asa di sini ialah sentiasa berusaha untuk maju kehadapan walaupun kadang-kadang kita menghadapi seribu satu macam halangan atau kesukaran.

Dalam kita berusaha kita kerapkali menghadapi kegagalan. Sekiranya gagal dalam sesuatu usaha janganlah cepat berputus asa. Allah telah berjanji bahawa sebarang usaha yang kita lakukan akan diberikan ganjaran dan ditunaikan Allah. Kejayaan dan hasilnya ada masa cepat ditunaikan, ada masa lambat ditunaikan dan ada masanya Allah akan gantikan dengan yang lebih baik dari apa yang kita harapkan. Kalau tidak berjaya didunia Allah akan berikan hasilnya di akhirat nanti. Belum dikira beriman sehingga kita tahan ujian Allah..

Jika kita menghadapi sebarang musibah atau tragedi buruk kita mestilah berbanyak-banyak sabar dan yakin bahawa semua itu adalah baik bagi kita sedangkan kita tidak mengetahuinya.
Allah Maha Mengetahui atas segala-galanya.

4. Yakin terhadap semua janji Allah: Berbaik sangka dengan Allah juga termasuk sentiasa yakin bahawa segala janji Allah itu adalah benar. Sebagai contohnya kita mesti yakin bahawa jika kita beribadat dan beriman kepadaNya, kita akan mendapat ganjaran dan balasan yang baik, dan jika tidak beriman maka bersedialah pula untuk menerima balasan azab siksa dari Allah yang mungkin diturunkan semasa kita hidup lagi di dunia ini, lebih-lebih lagi bila kita mati nanti.

Banyak contoh yang boleh kita ambil untuk pedoman;

a. Kerana ingkar kepada Allah, Fiiraun ditenggelamkan di dalam laut.
b. Kerana ingkar, pengikut Nabi Musa AS disesatkan oleh Allah di padang pasir untuk satu tempoh masa yang tertentu sehingga mereka kembali semula beriman.
c. Qarun ditelan bumi bersama hartanya bila dia kufur, sombong dan ingkar kepada rezeki dan anugerah Allah.
d. Sahabat Sahibul Kahfi dipelihara oleh Allah ( ditidurkan ) dalam gua sehingga lebih dari 300 tahun untuk dipertontonkan kuasa Allah kepada mereka sendiri dan rakyat negeri tersebut bagi menguatkan keimanan mereka tentang kuasaNya.
e. Pengikut Nabi Allah Lut diselamatkan sedangkan mereka yang kufur ditelan bumi bila bumi tempat mereka berada diterbalikkan Allah.

f. Nabi Allah Noh AS dan pengikutnya diselamatkan dari banjir besar dan diyakini tinggalan bahteraNya telah dijumpai di Turki.
g. Tentera Kufar Abrahah dihancurkan sewaktu mereka berusaha untuk merobohkan Ka’bah sedangkan penduduk Mekah tidak berupaya melawan mereka.
h. Untuk mengelakkan dari dibunuh, Nabi Musa AS dihanyutkan dalam sungai Nil tetapi baginda tetap dalam peliharaan Allah.
i. Nabi Allah Ibrahim AS diselamatkan Allah walaupun dicampakkan dalam api yang besar
j. Walaupun awalnya Nabi Yusof AS dianiaya, tetapi baginda akhirnya diselamatkan dan telah dilantik menjadi pembesar Mesir yang memerintah dengan adil..

Dalam hati setiap orang Islam jangan sekali-kali ada perasaan tidak yakin dengan janji Allah, kita boleh jadi kufur.

5. Sentiasa penuh berharap : Dalam mengerjakan sebarang kerja samaada ibadat khusus seperti solat, puasa, haji dan umrah atau mengeluarkan zakat ataupun dalam menuntut ilmu atau apa-apa ibadat sunat, kita mestilah sentiasa ada perasaan penuh pengharapan semuanya itu akan diterima oleh Allah.

Tidak boleh ada langsung walau sedikit pun perasaan ragu-ragu dalam hati kita sama ada ibadat kita diterima Allah atau tidak. Sebab itulah jika melakukan sesuatu kerja mestilah dilaksanakan dengan sungguh-sungguh sedaya upaya kita dan kemudiannya kita bertawakkal kepadaNya.

Sebagai contohnya bila kita berpuasa hendaklah dilakukan dengan penuh keimanan dan sentiasa berharap akan ganjaran Allah, kalau tidak maka akan sia-sialah puasa kita...

“ Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahalanya, akan diampunkan Allah dosanya yang telah lalu” Maksud Hadis.


6. Sentiasa mengingati mati Orang yang berbaik sangka dengan Allah juga mesti sentiasa mengingati mati. Apabila kita sentiasa mengingati mati kita akan sentiasa berbuat baik dan akan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang dilarang walau sekecil mana sekalipun, antaranya:

a. Tidak memakan riba
b. Bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab
c. Tidak menganiaya sesama manusia, haiwan atau pun tumbuhan dan lain-lain
d. Jika ada lebihan harta sentiasa menginfakkannya ke jalan Allah
e. Berbuat baik dan baik sangka sesama manusia terutama ibubapa dan jiran.
f. Sentiasa nasihat menasihati dan menjaga hubungan silaturrahim.
g. Menjaga dan melayani anak-anak yatim sewajarnya, jika ada.
h. Kalau berniaga, tidak akan melakukan penipuan atau sepertinya.
i. Tidak berlebih-lebihan atau membazir dalam berbelanja, dsb.

Sentiasa bertaubat dan mohon ampun dari Allah atas dosa dan kesalahan yang lalu. Sesungguhnya kita semua tidak sempurna dan sudah tentu telah banyak membuat kesalahan secara sedar atau tidak. Kita mesti sentiasa memohon dikekalkan di jalan yang lurus. Sentiasa berusaha untuk menambahkan kerja kebaikan tanpa mengira masa. Sentiasa sedar bahawa Allah berkuasa mengambil nyawa bila-bila masa tanpa sebarang notis, dekatnya antara hidup dan mati hanyalah sejarak dua jari kita sahaja..

Di samping itu, kita mestilah sentiasa bersyukur atas segala limpah kurnianNya. Sesungguhnya jika hendak menghitung rahmat dan kurniaan Allah nescaya tidaklah kita terdaya untuk melakukannya.

Justeru itu marilah kita sentiasa berdoa semoga hidup kita sentiasa dalam peliharaan Allah dan Insyaallah akan mati dalam iman dan akan diletakkan bersama orang-orang yang dikasihiNya, Amin

Tazkiyah an nafs sebagai rutin pejuang Islam.


13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Mohd Hafez Sabri

TELUK INTAN, 9 Ogos - Para ahli gerakan Islam khususnya ahli PAS mesti menjadikan penyucian jiwa atau tazkiyah an nafs sebagai rutin hidup tanpa rasa jemu dan penat. Demikian dinyatakan oleh Naib Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria semasa menyampaikan tazkirah Ramadhan di Markaz PAS Kawasan Teluk Intan. Beliau telah menyampaikan tazkirah di dalam program Ihya Ramadhan PAS Kawasan Teluk Intan.

Menurut beliau, penyucian jiwa itu sangat penting kerana tugas dan tanggungjawab dakwah dan jihad adalah sangat berat yang memerlukan jiwa yang kental untuk menghadapinya. Selain itu, tazkiyah an nafs diperlukan kerana medan dakwah itu penuh dengan mehnah dan tribulasi serta banyaknya penghalang dan perosak yang mencabar para pejuang agama kebenaran.

Dalam konteks itu, Ustaz Ibrahim telah membacakan sebuah hadis yang bermaksud "Mukmin itu berada di antara lima musuh iaitu mukmin yang mendengkinya, munafiq yang membencinya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang menggelincirkannya."

Tazkiyah an nafs juga akan dapat melancarkan cita-cita pejuang Islam merebut maqam syuhada dan mardhatillah. Oleh itu, cara menyucikan diri ialah melalui bertaubat, isti'anah dan isti'azah (mohon bantuan dan pertolongan Allah), ibadah khususi, zikrullah dan aurad yaumi (wirid harian).

Turut hadir hadir di majlis tersebut ialah YDP PAS Kawasan Teluk Intan Ustaz Ismail Che Nik, ADUN Changkat Jong YB Hj. Mohd. Anuar Sudin, pimpinan PAS kawasan, pimpinan cawangan serta para ahli dan penyokong PAS.

Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii ditubuhkan.

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -
Mohd Hafez Sabri

Kuala Kangsar, Bekas bekas pelajar sekolah kebangsaan Sultan idris ke ii telah menubuhkan Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii, Kuala kangsar atau ringkas MPBMG - SKSI II.

Menurut Setiausaha MPBMG - SKSI II, En Shahrudin Mohd Ali Tujuan penubuhan Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii, Kuala kangsar adalah untuk mengumpulkan semua warga bekas pelajar agar berada didalam satu bumbung dan juga supaya bertanggungjawab dan sebagai tanda kasih kepada sekolah.

Menurut beliau lagi, semua maklumat berkaitan majlis permuafakatan ini boleh diperolehi didalam facebook atas nama Majlis Permuafakatan Bekas Guru & Murid SKSI II.

Setakat ini telah berjaya mengumpulkan semua lapisan pelajar bermula tahun 60an sehingga sekarang, jelas beliau.

Memetik ucapan beliau,

“ Justeru satu program majlis sambutan Aidilfutri akan dianjurkan pihak Majlis Permuafakatan Majlis Hari Raya bertujuaan mengumpulkan semua warga sekolah ini yang balik beraya di Bandar DiRaja Kuala Kangsar ini yang sekian lama tidak berjumpa dan terasa rindu akan sekolah tersebut”.

“ Pihak Majlis Permuafakatan menjemput semua bekas bekas guru dan pelajar ke majlis tersebut yang akan diadakan pada Hari Raya Ke 3 bermula jam 3,00 petang bertempat di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris II itu”.

Manakala maklumat mengenai program hari raya tersebut bolehlah menghubungi Encik Khalilul Rahman Abdul Samad, Pengarah Program ditalian 013 513 7171 atau Encik Shahruddin Mohd Ali, Setiausaha Program 012 577 0030

Bayaran bagi majlis sambutan aidilfitri tersebut adalah sebanyak rm 20 bagi yang berkeluarga dan rm 10 untuk individu.

Bagi, seluruh bekas guru dan pelajar yang berminat untuk menyumbang derma bagi memperkukuhkan dana Majlis Permuafakatan Bekas Murid dan Guru Sekolah Kebangsaan Sultan Idris ii boleh menghubungi Bendahari iaitu Puan Suhaida Mohd Hashim ditalian 017 480 2219.

Mubarak sudah mati?

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -

Seorang peguam Mesir, Hamed Seddik kemuka teori konspirasi bahawa pemimpin kuku besi itu telah meninggal dunia pada 2004.

Pasti orang ramai di seluruh dunia bagai tidak percaya apabila menonton berita dan gambar menunjukkan Hosni Mubarak, antara pemimpin paling digeruni di dunia Arab terlantar lemah di atas katil hospital, di dalam kurungan besi semasa perbicaraannya di Kaherah, Mesir, minggu lalu.

Bekas Presiden Mesir itu kelihatan begitu lemah dan mengasihankan dengan uniform penjara warna putih sambil ditemani dua anak lelakinya yang setia bersama bapa mereka bagi berhadapan dakwaan penyalahgunaan kuasa yang difailkan terhadap ketiga-tiga beranak itu.

Namun, detik paling mengejutkan dalam perbicaraan itu bukanlah keadaan Mubarak, tetapi apabila seorang peguam dengan lantang memberitahu hakim dan dunia, bahawa bekas pemimpin Mesir itu telah meninggal dunia pada 2004.

sinar harian/-

Lelaki ditahan bersama mercun bernilai RM9,000

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUANTAN - Polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai memiliki pelbagai jenis mercun yang dianggarkan bernilai RM9,000 di sebuah stesen minyak, Semambu di sini, awal pagi tadi.

Timbalan Komander Pasukan Gerakan Marin Polis Wilayah Tiga Kuantan Superintenden Sapian Salihin berkata, bertindak berdasarkan maklumat awam sepasukan gerakan Marin membuat intipan di kawasan berkenaan.

"Dalam intipan jam 3.50 pagi terbabit, suspek, 38, yang memandu kereta berseorangan ditahan berhampiran stesen minyak berkenaan. "Hasil pemeriksaan, polis menemui 17 jenis mercun yang disimpan di dalam kenderaan berkenaan dan dianggarkan bernilai RM9,000," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mercun berkenaan dipercayai untuk diedarkan di kawasan bazar Ramadan di sekitar Kuantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Letupan 1957. - Bernama

PM dan isteri tak mahu jadi saksi

13 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu peguam yang mewakili ketua pembangkang yang juga defendan, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa mereka tidak mahu menjadi saksi pembela.

Ini didedahkan oleh peguam utama Anwar - Karpal Singh - dan juga peguam Sankara Nair, lapor Malaysiakini.

Karpal dan Sankara, serta peguam kanan Datuk Param Cumaraswamy dan Ram Karpal, berada di dalam bilik yang sama apabila saksi-saksi dibawa masuk, seorang demi seorang.

Karpal berkata, apabila peguambela tiba di kompleks mahkamah, Najib dan Rosmah sudahpun berada di situ.

"Najib masuk dahulu dan apabila kita tanya, beliau kata tak mahu jadi saksi pembela dan tidak mahu ditemubual," kata Karpal.

Kemudian tiba giliran Rosmah dan beliau memberitahu perkara yang sama, dan diikuti pula oleh bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Ketiga-tiga mereka (Najib, Rosmah dan Rodwan) berada di dalam bilik dan mereka tidak ditemani peguam.

Najib dan Rosmah tiba kira-kira jam 2.55 petang dan beredar kira-kira jam 3.28 petang.

Pembantu mereka menunggu di luar semasa mereka menghadiri temubual ringkas itu.

Karpal berkata mereka terkejut kerana tiada tanda-tanda yang Najib dan Rosmah akan datang hari ini.

"Biasanya, mereka akan memberi notis terlebih dahulu," kata peguam kanan itu.

Karpal menyifatkan Rosmah dalam keadaan 'teramat tegang' ketika diajukan soalan dan pada satu ketika, beliau (Rosmah) berkata, "jangan buli saya, Encik Karpal".

Kata Karpal, beliau tidak tahu mengapa Najib dan Rosmah takut untuk datang ke mahkamah, ketika mengulas keengganan mereka untuk menjawab soalan.

harakahdaily/-