H Fansuri
Apabila terdengar azan kita pasti mengetahui ia adalah panggilan solat. Tapi, saat darurat, azan dilaungkan sebagai panggilan jihad atau bagi memenuhi keperluan hajat masyarakat yang penting seperti hebahan mengenai kematian seseorang penduduk kampung.
Namun, mari tumpukan kepada azan sebagai seruan mendirikan solat.. Ini kerana, tersebut dengan jelas dalam kalimah-kalimat yang tersusun itu seruan: 'Marilah menuju solat' dan diikuti seruan: 'Marilah menuju kejayaan'.
Jadi, sudah tentu 'lagu' dan 'lirik'nya diciptakan untuk solat. Dalam suatu hadis, tersebut kisah di mana para sahabat sedang bermesyuarat bersama Baginda Rasulullah s.a.w untuk memutuskan kaedah yang sesuai untuk menyeru Muslimin menunaikan solat di masjid.
Antara idea yang dibangkitkan ialah penggunaan loceng yang mirip kepada Nasrani serta tiupan serunai yang mirip kepada Yahudi dalam peribadatan mereka. Akhirnya, Bilal pun dipilih sebagai muazzin pertama yang melaungkan azan dari sebuah tempat yang tinggi.
Kaedah azan yang digunakan oleh Rasulullah dan para sahabat melalui mesyuarat mereka itu sebenarnya mengandungi rahsia besar tentang 'kejayaan', 'kemajuan', 'pembangunan' dan 'kemakmuran' atau apa-apa saja perkataan yang seangkatan makna dengan kebaikan.
Di sini, timbul suatu persoalan baru - yang mana tiba dahulu, atau apa perlu didahulukan? Adakah 'solat' atau 'kejayaan' diutamakan daripada sebarang pekerjaan yang membuahkan 'kejayaan'.
Ini kerana seruan menunaikan solat terlebih awal disebut, dan dikemudiankan seruan bagi menuju kejayaan (al-Falah). Kejayaan di sini, merangkumi aspek duniawi dan ukhrawi.
Pendek kata, kalau kita boleh meluruskan solat, tentulah kita boleh menempa, menempah tiket ke arah kejayaan itu. Tidak cuma menempah. Malah, jika kita lurus soal solat, sudah tentu kita berhasil menguruskan kejayaan kita itu. Ertinya, kita diberi kebolehan mencipta ruang dan peluang untuk berjaya.
Kejayaan ini tentunya tidak dapat dicapai melalui usaha seorang saja melainkan ia mesti dilakukan secara berkumpulan dan berjemaah. Oleh itu, solat yang dimaksudkan di sini ialah solat berjemaah dan bukan solat bersendirian.
Ini kerana, ruh daripada seruan azan tadi bermaksud panggilan kepada orang-ramai untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid, tempat di mana azan itu dilaungkan tadi.
Umum mengetahui bahawa maju dan mundurnya sesuatu bangsa bukanlah kerana bahasa bangsa lain. Bahasa bangsa lain tiada fungsi penting dalam menentukan maju mundurnya sesebuah bangsa. Bukannya bahasa Inggeris akan menyebabkan pelajar itu celik di dalam Matematik-Sains. Tapi, ia bermula dengan 'sikap' rajin, latihan mengulangkaji pelajaran.
Sikap malas dan rajin bekerja ini dipandukan oleh semangat dan motivasi. Semangat pula dibentuk daripada cara berfikir dan memandang sesuatu perkara secara positif.
Semua ini bakal diperolehi oleh seseorang Muslim itu lewat solat-solatnya sama ada yang fardhu atau sunat. Tetapi, dalam solat jemaahlah sikap-sikap yang mencerminkan mundur dan maju umat Islam ini semakin jelas kelihatan.
Maju dan mundur ini pula diukur melalui sikap pergerakan dalam solat berjemaah yang terbahagi kepada dua pergerakan. Pergerakan ke 'depan – belakang' dan 'kiri – kanan'.
Sebenarnya, ada banyak lagi sikap yang boleh menentukan maju mundurnya umat Islam. Tapi, dalam hubungan azan dan solat berjemaah ini, biarlah kita tumpukan kepada hal ini terlebih dulu. Gerakan ini timbul kerana wujudnya saf depan-belakang dan saf kiri-kanan.
Pergerakan ke depan bererti langkah kemajuan seseorang makmum (dipimpin) menuju ke tempat imam (pemimpin). Sementara, pergerakan kiri dan ke kanan adalah bertujuan bagi merapatkan ikatan perpaduan dan persaudaraan jika wujud ruang kosong di dalam saf itu.
Jadi, inilah dua sikap yang mendatangkan maju mundurnya sesuatu bangsa Muslim itu. Ia adalah sikap selalu bersedia menjadi pemimpin untuk memimpin umat dan sikap sentiasa berusaha merapatkan ikatan persaudaraan dan perpaduan sesama mereka.
Gerakan menuju ke saf depan apabila dilihat wujudnya kekosongan, adalah menunjukkan seseorang itu sentiasa mara ke depan. Apabila tiba masanya, jika dipelawa untuk menjadi imam, maka seseorang itu bersedia memimpin solat berjemaah pada bila-bila masa.
Apabila seseorang itu melihat di bahagian kiri dan kanannya kosong, maka dia akan terus merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya. Dia tidak akan pernah membiarkan saf itu kosong diisi syaitan dan membiarkan kekosongan diisi kekosongan. Yang menyebabkan seseorang itu rapat kepada saudaranya, ialah kerana dia ingin memenuhi kekosongan itu.
Seseorang yang terasa hidupnya penuh kekosongan dan kesepian, ia sebenarnya menagih pengisian untuk berbual, berbincang, bertukar fikiran. Semua ini menjelma sebagai bahan fikiran saya sejak Ramadan ini ketika menunaikan solat terawih.
Ada peristiwa lain yang tak kurang menariknya berhubung ikatan persaudaraan ini. Suatu ketika, diriwayatkan bahawa Hasan al-Banna pernah mengadili hal solat terawih. Sebelah pihak, ingin membuat 8 rakaat sementara pihak lain mahu 20 rakaat. Al-Banna kemudian memutuskan agar solat terawih itu dibatalkan. Mereka terkejut dengan keputusan itu.
Akhirnya al-Banna bertanya-apakah hukum solat terawih itu? Mereka menjawab ia sunat. Apabila ditanya apakah hukum perpaduan sesama Islam, mereka serentak menjawab, hal memelihara perpaduan umat Islam itu hukumnya fardhu.
"Jika demikian lebih baik tidak mengamalkan yang sunat demi memelihara yang fardhu," kata al-Banna. Perpaduan penting dijaga kerana ia menentukan maju mundur umat Islam.
Percakaran sesama mereka menyebabkan kemunduran. Di beberapa buah masjid jika kita sering menelitikan hal ini, jarak-jarak antara saf tidak dirapatkan. Di sebuah masjid yang pernah saya kunjungi, ada suatu sikap aneh pada jemaahnya.
Apabila saya merapatkan diri bagi menutup ruang antara saf itu, ahli jemaah itu bertindak menghindari saya. Kemudian, saya cuba merapatkan semula. Ternyata dia telah bertindak dengan cara yang sama dan sengaja membiarkan ruang kosong itu wujud.
Dalam renungan saya, dia mungkin mahukan keselesaan. Mungkin jika rapat, keselesaan itu tidak dirasai. Jika benar itu yang dimahukan, adakah keselesaan itu matlamat di dalam solat berjemaah? Setakat ini, hal itu berlaku di desa pendalaman sahaja. Masjid di bandar belum lagi saya melihat wujudnya jarak saf yang terlalu ketara jauhnya.
Pun begitu, ada hal lain yang perlu diberi tumpuan tentang saf kiri – kanan ini. Lihat cara VIP menunaikan solat jemaah ketika solat Jumaat. Kita lihat punca wujudnya jarak antara saf itu ialah kerana mereka punya sejadah masing-masing. Jadi ketika bersolat di sejadah, maka secara tak langsung akan wujudlah jarak. Jika tidak, mungkin jarak itu tidak wujud..
Seterusnya, sikap tidak mahu maju ke depan untuk memenuhkan saf di depan jikalau ada ruang kosong di depan mereka. Saya percaya, ada kalangan kita yang pernah menghadapi situasi ini. Iaitu, ahli jemaah itu akan berpura-pura seolah-olah dia tidak nampak ruangan kosong di depannya. Dia akan sentiasa menundukkan pandangannya.
Jika ada orang di saf depan mempelawa ahli jemaah itu mengisi kekosongan di saf depan, nescaya dia berpura-pura mengalihkan wajahnya ke belakang. Pada hemat saya, adalah wajar orang tersebut pergi ke hadapan kerana ruang kosong di saf depan itu memang betul-betul berada di hadapannya.
Jadi, demikianlah sedikit sebanyak dua perkara yang dapat dipelajari dalam solat jemaah. Islam tidak menutup ruang sesiapa pun untuk memimpin solat. Mungkin kita orang yang terkemudian. Tapi lama-kelamaan, ruang itu akan terbuka dan kita akan sentiasa menuju ke depan sehinggalah kita tiba di saf paling depan setelah ada ahli jemaah keluar saf.
Akhirnya, kita mungkin dipelawa untuk memimpin solat tersebut. Tapi, sebelum boleh memimpin itu, kita perlu merapatkan ikatan persaudaraan melalui saf kiri kanan terlebih dahulu, bersikap meraikan mana-mana ahli jemaah yang mahu ke depan jika ada ruang kosong di depannya. Jika dia pelawa kita memenuhi ruang kosong di saf depannya, kita janganlah bertangguh lagi untuk mara terus ke depan.
Saya menulis ini kerana berasa cemas dengan kepimpinan Dunia Islam pada hari ini. Kita ketandusan pemimpin sebenarnya. Semua itu kita boleh pelajari apabila kita mencermati solat jemaah. Saya tidak percaya Islam Hadhari boleh memimpin Dunia Islam hari ini. Kita ramai pemimpin, tapi kepimpinan itu tidak diikat dengan akhlak. Ringkasnya, kita banjir kepimpinan, tapi kemarau keteladanan.
Syahadan, jika tiada orang mahu ke depan, maka kita yang sedar ini patut maju ke depan. Ini bukan bererti kita sudah mantap. Tapi, bagai kata orang–tiada rotan akar pun berguna. Tetapi, setelah kita sedari pimpinan sebenar sudah tiba, maka jangan berebut kepimpinan dengan pimpinan itu pula.
Serahkanlah kepimpinan itu kepada yang berhak menerimanya pada waktu itu, sebab pada waktu itu dia telah ditakdirkan Tuhan untuk memimpin. Coretan ini diakhiri melalui kata-kata novelis Indonesia , Pramoedya Ananta Toer, yang mendalam dan bermakna dan diubah sedikit dengan ayat saya: "Betapa berbezanya bangsa Barat dan bangsa Hindia (Timur) ini. Di Barat, setiap orang berlumba membuat jasa lalu mendapat tempat dalam masyarakat, sesuai dengan sumbangannya itu.
"Tapi dalam bangsa Hindia (Timur), orang berasa cemas jika mereka tidak mendapat penghormatan, lalu mereka berlumba merebutkan tempat agar mendapat kedudukan dalam masyarakatnya. "
Sikap berlumba merebut tempat dan kedudukan ini yang menghancurkan slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' selama ini. Kita tidak menderita kekurangan pemimpin. Tetapi, kita banjir dengan pemimpin yang kemarau dengan keteladanan dan akhlak sebagai contoh ikutan kepada rakyatnya.
Syahadan, dua sikap inilah (sentiasa ke depan dan merapatkan persaudaraan) yang perlu diterapkan sebagai sumbangan setiap Muslim yang peka dan prihatin ke atas maju mundurnya bangsa Muslimin. Iaitu, selalu bersedia ke depan sebagai pemimpin dan sentiasa mengukuhkan ikatan tali persaudaraan.
Harakahdaily/-