28 Safar 1433H. [MOD] -
اَلْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى
وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا
اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا
مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ
وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ
تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا
اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Bertakwalah kita kepada
Allah SWT dengan sebenar-benar takwa, dengan mentaati segala perintah-Nya dan
menjauhi segala larangan-Nya. Ingatlah!, bahawa segala amal perbuatan kita akan
disoal oleh Allah SWT di akhirat kelak.
Muslimin Yang di
Rahmati Allah,
Minggu
ini adalah minggu kedua anak-anak kita kembali ke alam persekolahan. Berbagai
ragam dapat kita lihat pada diri anak-anak kita setelah berbulan mereka bercuti
sekolah. Namun inilah rutin biasa yang perlu ditempuh oleh kita sebagai ibu
bapa demi membina generasi yang cemerlang yang bertaqwa di masa akan datang.
Menghantar
anak-anak ke sekolah harian atau sekolah berasrama bukanlah bermakna kita
menyerahkan urusan pendidikan anak-anak kepada pihak sekolah semata-mata. Ibu bapa
dan pihak sekolah hendaklah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab mendidik
anak-anak dengan sebaik-baiknya. Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya : “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu dari api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu;
Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah
dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkan.
Ibu-bapa
adalah asas dalam menentukan dasar pembinaan akhlak dan sahsiah anak-anak. Anak-anak
pada peringkat awal pembesaran mereka, memerlukan ibu-bapa sebagai orang
terawal penunjuk jalan teladan yang baik. Menurut prinsip pendidikan Islam,
saat kritikal dalam proses membina teras nilai murni, akhlak mulia, kasih
sayang dan komunikasi yang berkesan sebenarnya bermula dari dalam rahim ibu
lagi sehinggalah anak itu mencapai usia baligh.
Ibu-bapa
tidak boleh melepaskan diri dalam mendidik anak-anak walau apa jua sekalipun. Para
ulama’ telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:
Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga
mumayyiz (enam tahun ) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka
dengan penuh kasih sayang.
Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga
baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan
memberi tanggungjawab kepada mereka.
Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun hingga dewasa
(21 tahun ) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati
pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat.
Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun,
hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak
bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat
agar segala tindakan mereka terkawal.
Jika kita tidak mengambil berat terhadapa keperluan
anak-anak kita, mereka akan terdedah kepada gejala rosak akhlak, ajaran sesat,
hilang kemuliaan akhlak dan maruah, begitu juga aspek pendidikan turut
ketinggalan. Sesungguhnya kesan yang paling menonjol akibat kelemahan kualiti ibu
bapa pada hari ini adalah tercabutnya
akhlak anak-anak daripada diri mereka yang boleh mengheret mereka ke kancah krisis gejala sosial.
Satu kisah pada zaman Rasulullah SAW, seorang sahabat
yang berjemaah bersama baginda kerap keluar awal dari jemaah sebelum sempat
berdoa. Baginda bertanyakan kenapa balik tergesa-gesa sebelum sempat berdoa.
Sahabat itu menerangkan dia mempunyai anak kecil yang ibunya baru meninggal
dunia. Dia takut anaknya mengambil dan memakan buah tamar jiran yang gugur di
halaman rumahnya dan ditakuti akan menjadi darah dagingnya. Sahabat itu
menjelaskan daging yang disuburkan dari benda yang haram itu tidak layak masuk
syurga. Mendengarkan penjelasan itu, Baginda terdiam dan tidak berkata apa-apa,
hanya memperhatikannya sahaja dia pulang ke rumah.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran
bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh daripada kita
sebagai ibu bapa. Dalam hal ini, kita perlulah membudayakan ilmu dan akhlak
dalam kehidupan seharian anak-anak. Dalam menjamin perkara tersebut, kita
sebagai ibu bapa hendaklah menetapkan sekurang-kurangnya 7 petunjuk sebagai
ukuran bagi menentukan hala tuju dan tindakan yang mesti dilaksanakan oleh
anak-anak kita antaranya seperti berikut:
1.
Memastikan
anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari secara berterusan, seelok-elok
para bapa hendaklah solat berjemaah sekurang-kurangnya satu waktu bersama
anak-anak,
2.
Memastikan
anak-anak mempelajari dan membaca
al-Quran setiap hari,
3.
Memastikan
anak-anak mendapat makanan halal lagi baik,
4.
Membudayakan
amalan-amalan sunnah Rasulullah bermula bangun dari tidur sehingga tidur
semula,
5.
Membudayakan
amalan membaca bagi menambah ilmu pengetahuan,
6.
Menyemak
buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali
dalam seminggu,
7.
Mengadakan
perjumpaan dengan guru mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali dalam setiap
semester atau penggal bagi mendapat maklumbalas prestasi pembelajaran dan tahap
sahsiah anak-anak ketika berada di sekolah.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sebagai ibu-bapa, kita tidak boleh
mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah
menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke
sekolah. Ingatlah, tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan
hidup selesa pada masa akan datang. Tanggungjawab kita juga adalah memastikan
mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jati diri yang kuat.
Sebagai ibu bapa, kita perlu memberi
penghormatan yang tinggi kepada guru-guru untuk membimbing dan mendisiplinkan anak-anak
kita. Oleh itu, janganlah kita mudah melenting, hilang kewarasan, tetapi bersifatlah
berlapang dada apabila guru-guru mengambil tindakan disiplin ke atas anak-anak.
Kita perlu yakin bahawa tindakan guru adalah untuk mendisiplinkan anak-anak
kita dengan memberi pengajaran dan memulihkan akhlak merekasupaya menjadi insan yang berguna.
Mengakhiri khutbah pada hari ini,
marilah sama-sama kita menjaga dan mendidik anak-anak yang diamanahkan oleh
Allah SWT kepada kita. Didiklah mereka dengan kehidupan beragama, agar mereka
dapat berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan bakal penerus kepada
perjuangan Islam. Budayakanlah kehidupan mereka dengan perkara-perkara yang
boleh memberi manfaat kepada diri mereka. Marilah sama-sama kita merenung
firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72:
Maksudnya: “ Sesungguhnya Kami
telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka
enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia
sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil.“.
بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ،
وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ،
وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ،
أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ
وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ
فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.
خطبة كدوا
اَلْحَمْدُ للهِ القَائِل :
يَرْفَعِ اللَّهُ
الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
Maksudnya : Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang
yang beriman di antara kamu , dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan
agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat (surah al-Mujadalah : ayat 11)
أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا
عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ . اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ
سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ
إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا
اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Kesimpulan dari khutbah
pertama tadi ialah :
1.
Mendidik anak-anak
adalah merupakan kefardhuan dan tanggungjawab setiap ibu bapa.
2.
Menghantar anak ke
sekolah bukan bermakna kita melepaskan tanggungjawab mendidik anak-anak kita kepada pihak sekolah.
3.
Ibu bapa perlu
memastikan perancangan dan matlamat mendidik anak-anak mereka tercapai
4.
Keutamaan pendidikan
anak-anak hendaklah menepati kehendak Islam iaitu keutamaan kepada pendidikan
agama supaya anak-anak dapat menjadi manusia yang bertaqwa.
5.
Anak merupakan amanah
yang dipinjamkan oleh Allah Taala, amanah tersebut akan ditanya oleh Allah
diakhirat kelak.
6.
Kejayaan kita sebagai
ibu bapa mendidik anak adalah kejayaan dunia akhirat.
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ
وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ
قُلُوْبِهِمْ،
وَاجْعَلْ فِى
قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ
اللهِ صَلَّ اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم . اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ ،
اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ
الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ ،
اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ
أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ .
اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ
عَنْ سَبِيْلِكَ ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ
أَوْلِيَائَكَ،
اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ،
وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا
مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ
السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الْأَحْزَابِ،
إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ
وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سلطان أزلن مُحِبُّ
الدِّيْن شاه اِبْنِ اَلْمَرْحُوْمِ سلطان يُوْسُف
عِزُّ الدِّيْن شَاه غَفَرُ اللهُ لَهُ بِمَا
تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ
حَسَنَةً وَفِى الأخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ
أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ
ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم
تَذَكَّرُوْنَ .
فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ
يَزِدْكُمْ ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ ، وَلَذِكْرُ اللهِ
أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .
Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Perak