11 Januari 2013

Tarbiah PAS berjaya menyelamatkan akidah

28 Safar 1433H. [MOD] -


Kehadiran PAS sebagai sebuah jamaah di negara ini secara rasmi 1951 untuk menerangkan Islam kepada masyarakat, bahawa Islam ialah ajaran yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kelahiran PAS, 

apabila ada di kalangan orang agama di dalam Umno yang memberi teguran kepada pemimpin Umno mengenai masalah Islam tidak dipedulikan. Semua cadangan hanya dibakulsampahkan sahaja. Isu loteri dibantah oleh ulamak di dalam Umno, tetapi tidak dipeduli, kerana yang penting ialah duit. 

Begitu juga  dengan isu Natrah yang telah dikembalikan kepada agamanya oleh mahakamah Singapura pada tahun 1950, Umno membisu. Akhirnya ulamak mengambil pendirian bahawa mereka perlu kepada satu  badan yang bebas untuk menyatakan Islam dan mempertahankan Islam.

PAS sebagai sebuah parti yang dasarnya Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasa 3, tidak pernah berganjak daripada menyatakan tentang Islam.  Seruan ini disampaikan kepada masyarakat tidak kira musim. Sama ada sewaktu pilihanraya atau selepas pilihanraya. Tugas PAS ialah untuk mengajak masyarakat kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

PAS bukan semata-mata parti politik yang  bergerak di musim pilihan raya, tetapi PAS juga sebagai sebuah jamah Islam yang menyampaikan seruan Islam kepada semua manusia tanpa ada had musim.

Pimpinan PAS terutamanya yang bergelar ulamak atau ustaz bekerja menyampaikan seruan Islam tanpa jemu-jemu. Mereka menerangkan Islam daripada perkara masuk tandas sampai kepada soal pemerintahan (politik). PAS dibantu oleh Tuan Guru pondok, walaupun mereka ini bukan memegang apa-apa jawatan di dalam PAS, namun pendirian mereka selari dengan apa yang dipegang oleh PAS. Maka mereka banyak membantu PAS melalui kelas-kelas pengajian mereka. Hasil daripada tarbiah mereka juga melahirkan kader-kader PAS.

Bukan satu kerja yang mudah untuk memecah kefahaman tradisi yang sudah berkarat lama di dalam pemikiran masyarakat. Ajaran Islam hasil peninggalan penjajah yang mengajar Islam hanya di dalam bentuk ritual, yakni hubungan dengan Allah semata-mata. Islam tidak diajar sebagai tatacara hidup yang lengkap. Akhirnya inilah yang menjadi anutan dan kepercaayaan sebahagian besar masyarakat di negara ini. Mereka didedahkan Islam yang sempit, sama ada melalui kelas pengajian formal (sekolah) atau tidak formal (surau dan masjid).

Walau pun penjajah sudah lama pergi meninggalkan negara ini, namun kepercayaan mereka terhadap Islam yang sempit sukar untuk diubah. Ketika inilah ulamak-ulamak PAS yang bekerja siang malam menyampaikan seruan ini kepada masyarakat.

PAS hanya berdakwah bukan menghukum. Kerja menyelamatkan akidah umat adalah satu tanggungjawab semua pihak. PAS mengambil tanggungjawab ini setelah Umno kurang mengambil perhatian perkara ini. Walau pun penjajah telah mengangkat kaki daripada bumi bertuah ini, namun mereka masih meninggalkan karat-karat sekular. Ajaran yang diajar,  Islam hanya soal peribadi, 

tidak ada kaitan dengan dunia dan akhirat. Rakyat hanya faham bahawa Islam yang ada pada batang tubuh mereka tidak akan terbatal. Mereka hanya diajar batal sembahyang, batal wuduk, batal haji, batal puasa, tetapi tidak diajar batal Islam.

Kesannya ada manusia yang berbicara sehingga menjejaskan akidah. Mereka ini  bukan orang jahil dalam agama, malahan terdiri daripada orang yang faham agama bergelar ustaz, tuan Imam dan sebagainya. Mereka ini berbicara di dalam dua keadaan, satu kerana memang tidak faham tentang konsep Islam yang sebenar. Mungkin kerana mereka tidak mempelajari secara mendalam. Kedua, mereka faham tetapi buat-buat tidak faham, kerana kepentingan duniawi.

Sedangkan ulamak PAS hanya menerangkan perkara yang membatalkan Islam. Seperti mana yang telah diajar mengikut disiplin keilmuan Islam. Atas kaedah yang disimpulkan oleh ulamak.

“Siapa yang mengakfirkan orang Islam maka ia kafir. Siapa yang tidak mengkafirkan orang kafir maka ia kafir. Siapa yang ragu terhadap kekafiran seseorang maka ia kafir”

Malangnya orang yang selalu mengkafirkan Umno, sekarang sudah masuk Umno. Mungkin kerana tidak ada lagi orang Umno yang hendak dikafirkan. Mereka ini ialah golongan pelampau yang tidak mengikut uslub  yang diputuskan oleh jamaah. Benarlah apa cara sekalipun kita mesti sederhana. Bertepatan dengan peringatan nabi SAW: “Sebaik-baik perkara ialah pertengahan”.

Hasil daripada penerangan yang dilakukan oleh ulamak PAS terutamanya, masyarakat sudah mendapat pencerahan. Mereka tidak lagi berani mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam dan memperolok-olok hukum Islam. Satu ketika dahulu sering kita dengar pimpinan Umno dan orang-orang agama di dalam Umno yang mengatakan jika laksanakan Islam akan mendatangkan huru hara. Jika hukum Islam dilaksanakan, 

ekonomi akan dibolot oleh orang bukan Islam kerana orang Islam dipotong tangan. Jika laksanakan Islam, tidak ada lagi batu untuk membuat jalan kerana diguna untuk melontar orang berzina. Ini ucapan yang tidak mempunyai kaitan dengan politik Pas, sebaliknya ia bersangkutan dengan akidah. Pas sebagai parti Islam wajib menyelamatkan akidah umat daripada sesat yang akan membawa kepada kekal di dalam neraka.

Atas kesedaran bahayanya gejala yang boleh merosakkan akidah maka Kerajaan Saudi telah mengedarkan risalah kecil kepada jamaah haji dan umrah. Buku yang memberi amaran kepada semua jamaah agar menjaga akidah dan memelihara perkara yang boleh membatalkan Islam dan haji. Begitu juga di dalam Kitab Mastika Hadis jilid pertama halaman 225-229 telah membicara dengan panjang lebar mengenai gejala membatalkan akidah. Diterangkan dengan ulasan yang menarik, akidah boleh terbatal melalui perkataan, perbuatan dan iktikad.

 harakah/-

Tiada ulasan: