11 Januari 2013

Hormati hak berhimpun secara aman - Suhakam

28 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengalu-alukan kesediaan pihak polis untuk memudahcarakan Himpunan Kebangkitan Rakyat yang akan diadakan pada 12 Januari 2013 seperti yang umumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam (gambar) berkata, pihaknya turut menyambut baik dialog yang diadakan di antara pihak polis dan penganjur himpunan bagi memastikan hak untuk berhimpun dilaksanakan sepenuhya dalam perhimpunan yang akan dijalankan ini.

Katanya, Suhakam juga mengalu-alukan jaminan Ketua Polis Negara dalam memastikan personel polis memaparkan nama dan nombor badan semasa menjalankan operasi mereka sepertimana yang disyorkan oleh Suruhanjaya berdasarkan dapatan inkuri awam terdahulu berkenaan dakwaan penggunaan kekerasan melampau oleh pihak penguatkuasa.

“Walaupun Suruhanjaya mengambil maklum bahawa wakil media yang akan menghadiri perhimpunan tersebut akan diberi tag pengenalan khas yang dikeluarkan oleh pihak polis selain daripada tag rasmi yang dikeluarkan oleh kerajaan, ia berharap agar wakil media yang tidak memilik tag pengenalan khas polis turut mendapat perlindungan dan pengiktirafan yang sama semasa menjalankan tugas rasmi mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebagai institusi hak asasi manusia nasional yang sentiasa menangani isu berkenaan kebebasan berhimpun semenjak penubuhannya, Suhakam mengulangi seruannya kepada pihak penguatkuasa untuk menghormati dan memenuhi komitmen hak asasi manusia yang dijanjikan oleh kerajaan di peringkat nasional dan antarabangsa, dalam masa yang sama, mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa ke arah memperbaiki keadaan hak asasi manusia di negara ini.

Menurutnya, memandangkan hal ini boleh mempengaruhi imej polis dan negara, Suhakam berharap agar pihak polis akan menjalankan tugas mereka secara profesional dan mencontohi amalan terbaik pihak polis di negara lain seterusnya menambahbaik kelemahan daripada pengalaman terdahulu.

“Suruhanjaya yakin bahawa dengan adanya sikap positif yang ditunjukkan oleh pemimpin atasan polis, pihak polis boleh dan akan merealisasikan harapan masyarakat awam,” ujarnya.

Pada masa sama, kata beliau pihaknya juga menyeru agar pihak penganjur dan peserta mematuhi tanggungjawab masing-masing ke arah mempromosi satu perhimpunan yang aman.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: