11 Januari 2013

Murid tahun empat cemas, kenderaan dipandu ibu dirempuh

28 Safar 1433H. [MOD] -

Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Keadaan dua Perodua Myvi yang terbabit dalam kemalangan di simpang lampu isyarat SK Mentakab Jaya, Kampung Megat Segama, Temerloh semalam.
Murid tahun empat cemas,  kenderaan dipandu ibu dirempuh
Latifah dan anaknya Umi Aishah ditenteramkan orang ramai yang membantu dalam kejadian semalam.
TEMERLOH – Seorang murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Mentakab Jaya di sini mengalami saat mencemaskan apabila kenderaan dipandu ibunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat hadapan sekolah dekat  Kampung Megat Segama di sini, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Latifah Abd Ghani 42, yang memandu Perodua Myvi baru keluar dari simpang sekolah selepas mengambil anaknya Umi Aishah Mohd Nasir untuk pulang ke rumah di Taman Seri Kemuning.

Menurutnya, sebaik lampu isyarat menghala ke bandar Temerloh bertukar hijau dia terus memandu keluar dari simpang sekolah tetapi secara tiba-tiba sebuah kereta Perodua Myvi dari arah bandar Temerloh terus merempuh bahagian hadapan keretanya.

“Akak terkejut sangat, tiba-tiba kereta akak dirempuh sebelah kanan dan berpusing ke kiri,” katanya di tempat kejadian semalam.

Latifah berkata, akibat rempuhan itu kereta dipandunya beralih kedudukan manakala Perodua Myvi yang melanggarnya terbalik.

Latifah bersama anaknya kemudian dibantu orang ramai mendapatkan rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Songsang.

Kedua-dua beranak itu dilaporkan hanya alami bengkak-bengkak di tangan.

Sinar Harian yang kebetulan berada di tempat kejadian merakamkan detik cemas orang ramai cuba membantu mengeluarkan dua mangsa dari kereta yang terbalik.

Sementara itu, menurut penumpang wanita dalam kereta Perodua Myvi yang merempuh kereta Latifah, dia bersama adik lelakinya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lipis.

“Kami ada temu janji di hospital, sampai di sini tiba-tiba terbabit kemalangan, nak buat macam mana lagi,” katanya yang enggan dikenali.

Beberapa peniaga berhampiran tempat kejadian menggesa pihak berkuasa meletakkan lebih banyak papan tanda keselamatan di kawasan terbabit selain memanjangkan tempoh lampu isyarat di situ.

sinar/-

Tiada ulasan: