11 Januari 2013

Kasut, beg lukisan tangan semakin mendapat sambutan

Kasut, beg lukisan tangan28 Safar 1433H. [MOD] -

Shio Fung dan ibu saudaranya Kah Sim menunjukkan hasil lukisan tangan pada kasut yang dijual mereka. Foto: Bernama
 
ALOR SETAR - Jika dulu kasut atau beg yang mempamerkan lukisan dengan tangan hanya popular di bandar-bandar besar sahaja, kini ia semakin mendapat tumpuan khususnya masyarakat di utara tanah air.

Barangan daripada bahan kanvas putih yang diserikan dengan pelbagai corak lukisan tangan mengikut kreativiti pelukis boleh memberi tarikan kepada orang ramai dan inilah perniagaan yang diusahakan di sebuah kedai, di sini.

Pemilik kedai berkenaan, Yee Shio Fung, 28, berkata permintaan terhadap barangan yang mempunyai lukisan tangan ini kini semakin bertambah sehinggakan beliau kadang-kadang tidak dapat memenuhi tempahan pelanggan.

Shio Fung yang menjalankan perniagaan berasaskan lukisan tangan ini bersama ibu saudaranya, Ng Kah Sim, 43, berkata mempunyai minat yang sama iaitu melukis telah mendorong mereka membuka perniagaan tersebut.

“Di sini belum ada lagi perniagaan seperti ini, jadi kami mencuba nasib dan nampaknya tidak menghampakan kerana saban hari permintaan untuk barangan kami, terutama yang mempunyai lukisan tangan, semakin meningkat.

“Memakai kasut dengan lukisan tangan kini menjadi trend, bukan sahaja kepada generasi muda malah orang dewasa. Pelanggan kami bukan sahaja dari Kedah, ada yang datang dari negeri lain termasuk Johor, kerana kami juga menjual melalui internet,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Shio Fung berkata walaupun trend ini masih baru di negeri ini, permintaan daripada pelanggan amat menggalakkan sejak memulakan perniagaan mereka.

“Setiap bulan mendapat tempahan tidak kurang 50 pasang kasut selain barang-barang lain seperti beg tangan, dompet dan terbaru beg sekolah dan kasut bayi diperbuat daripada kanvas.

“Kami tidak menghadkan corak yang diinginkan pelanggan malah boleh memilih atau memberitahu corak atau gambar apa yang mahu dilukis,” katanya.

Beliau yang memulakan perniagaan sejak dua tahun lalu, berkata pelanggan boleh membawa kasut mereka sendiri ke kedainya untuk dilukis dan menerima beg atau apa sahaja barangan kanvas.
Katanya bukan mudah menghasilkan lukisan pada sepasang kasut kerana ia memerlukan ketelitian bagi memastikan kualiti produk.
“Paling susah melukis pada kasut bayi kerana saiznya kecil membuatkan terpaksa membuat corak atau bentuk yang kecil menerusi gabungan pelbagai warna selain mengambil masa lama berbanding kasut saiz biasa,” katanya.

Shio Fung yang berkelulusan perakaunan dari sebuah kolej swasta berkata dalam sehari beliau boleh melukis paling banyak pada tujuh pasang kasut.

Katanya, jika corak yang dipilih halus dan rumit, memerlukan masa yang agak lama kerana ia lebih sukar berbanding gambar animasi atau pemandangan.

Mengenai harga barangan di kedainya, Yee berkata serendah-rendahnya RM40 dan bergantung pada jenis corak yang dihasilkan.

“Walaupun kami menyediakan pelbagai produk kanvas, namun permintaan untuk kasut adalah lebih tinggi,” katanya.

Yee merancang mengembangkan perniagaannya itu dengan menambah variasi produk lukisan tangan.-Bernama

Tiada ulasan: