27 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -
Pesawat ringan
jenis Piper PA-28 milik Malaysian Flying Academy terhempas di tebing
dekat kondominium Cheng Height Melaka hari ini.- Foto Bernama
MELAKA - Sebuah pesawat ringan jenis Piper PA-28 terhempas di tebing
berhampiran Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dekat kondominium
Cheng Height di sini, hari ini.
Juruterbang P. Devenessrao, 20, dari Bahau, Negeri Sembilan, merupakan
pelatih Malaysian Flying Academy yang berada berseorangan di dalam
pesawat itu hanya cedera ringan di bahagian kepala serta tengkuk dan
dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Seorang saksi kejadian, Koperal Zameri Nawi, 50, dari Ibu pejabat Polis
Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata beliau melihat pesawat berkenaan
dalam keadaan terhuyung-hayang dalam kejadian 12 tengah hari itu.
"Pesawat itu kemudian merempuh beberapa batang pokok berhampiran
kondominium tersebut menyebabkan dahan-dahan pokok terpelanting ke jalan
raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau yang sedang melakukan tinjauan lalu lintas sempena Tahun Baru
Cina kemudian menghubungi IPD Melaka Tengah bagi memaklumkan mengenai
kejadian berkenaan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Supt
Ahmad Adnan Basri berkata Devenessrao berlepas dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Melaka, Batu Berendam pada 11.15 pagi untuk melakukan
latihan penerbangan sebelum membuat panggilan kecemasan kepada menara
kawalan pada 11.56 pagi.
Beliau berkata, pesawat berkenaan kemudian terhempas kira-kira 30 meter
daripada kondominium tersebut sebelum juruterbang terbabit keluar
menyelamatkan diri.
"Pihak polis akan mengawal keadaan di sekitar kawasan kemalangan ini
sementara menunggu pasukan penyiasat Jabatan Penerbangan Awam yang
difahamkan akan tiba esok bagi menyiasat punca kejadian," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Timbalan
Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata pihaknya menerima panggilan
berhubung kejadian itu pada 12.01 tengah hari sebelum tiba di lokasi
kejadian bersama empat jentera dan 26 anggota dari balai itu pada 12.10
tengahari.
Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan kerja semburan buih selepas
mendapati berlaku kebocoran minyak bagi mengelak percikan api dan
kebakaran.
Katanya bomba juga memasang tali pada bahagian ekor pesawat berkenaan
bagi mengelak ia terjatuh ke jalan raya berhampiran. - Bernama