08 Februari 2013

Berguling ditimpa air panas

27 Rabi'ul Awal 1434 H. [MOD] -



KOTA BHARU –Percubaan pertama seorang tauke kedai makan mencelur ulam-ulaman di dalam periuk mengandungi air panas bukan sahaja tidak menjadi malah, dia kini menyesal tak sudah apabila air itu terbalik lalu menimpa anak bongsunya semalam.

Kejadian pukul 7.30 pagi di Kampung Tendong, Pasir Mas itu menyebabkan Nur Aleeya Maisara Mohd. Izba, 18 bulan, melecur di belakang badan dan kaki kirinya. 

Mengimbau semula kejadian itu, ibu mangsa, Wan Rohaila Hassan, 39, memberitahu, sebelum kejadian, dia telah memasukkan air yang baru dimasak ke dalam periuk berkenaan manakala anaknya sedang tidur di ruang jualan.

Katanya, periuk itu diletakkan di atas bangku setinggi satu meter di dapur gerai miliknya berdekatan Klinik Kesihatan Tendong.

“Saya bercadang untuk mencelur ulam-ulaman ke dalam air panas tersebut untuk dijual pada waktu tengah hari. Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini sejak berniaga lima tahun lalu.

“Entah macam mana tiba-tiba saya terdengar anak saya meraung kuat sambil berguling-guling di atas lantai dapur dengan kulit yang menggelembung manakala periuk itu tergolek atas lantai berhampirannya,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

sinar/-

Tiada ulasan: