13 April 2009

Kekuatan akidah halang keruntuhan akhlak

Oleh : Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.

Pada hari ini, kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat mencedera dan membunuh mereka. Berlakunya gejala pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga melahirkan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah, bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.

Di manakah silapnya apabila pemuda pemudi menjadi rosak akhlaknya? Banyak jawapan yang boleh diberikan. Semua jawapan tersebut berkaitan di antara satu sama lain dan bantu membantu ke arah kerosakan akhlak remaja hari ini.

Asas pendidikan remaja adalah di rumah. Sekiranya di rumahnya sendiri mereka tidak mendapat asas pendidikan, maka apabila berada di luar rumah sudah tentu payah untuk membentuk peribadi Muslim yang sejati kerana godaan dan pancaroba di luar sana seperti pergaulan dengan rakan-rakan yang jahat, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan dan sebagainya adalah lebih hebat dan mencabar. Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni yang berpeluang untuk selamat, namun bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.

Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sejati, yang akan menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang mampu tumbuh menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak mampu dihalang dan dicantas oleh gejala maksiat yang bersimpang siur, kiri dan kanan, akan lahirlah pemuda-pemuda dan generasi sebagaimana firman Allah (maksudnya): Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, maka kami (Allah) menambahkan kepada mereka dengan hidayah. (Al-Kahfi: 13)

Untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sejati, di dalamnya terpancar kecantikan ajaran Islam, maka asas perkahwinan mestilah dibina di atas cita-cita Islam, bukan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu. Biarlah pasangan yang mahu berkahwin itu berniat daripada perkahwinan mereka untuk melahirkan zuriat keturunan yang baik yang akan meramaikan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang akan dibanggakan oleh Nabi s.a.w. di hadapan para nabi dan rasul yang lain, bukan sahaja kerana jumlahnya yang ramai tetapi juga kerana mereka patuh dan tunduk kepada ajaran Allah SWT.

Untuk mencapai tujuan tersebut, mereka yang berkeinginan mendirikan rumah tangga mestilah membuat pilihan pasangan masing-masing melalui kaca mata Islam, bukannya melalui kaca mata nafsu dan bisikan syaitan.

Di dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa seseorang perempuan yang dipilih untuk dijadikan isteri berdasarkan empat sifat: kerana kekayaannya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Sekiranya semua sifat tersebut tidak ada pada diri seseorang perempuan itu kecuali agamanya, maka sifat beragamanya yang mesti menjadi pilihan.

Pada hari ini, kaum lelaki yang ingin berkahwin dan ibu yang hendak mengahwinkan anak perempuan mereka tidak lagi memberi perhatian terhadap sifat beragama dan berakhlak. Perempuan yang mahu dikahwini itu mungkin dikenali di pusat membeli-belah atau di perhentian bas, di tepi pantai atau di dalam surat khabar melalui iklan mencari jodoh. Mereka menjadikan artis, penyanyi dan pelakon sebagai contoh isteri solehah sedangkan artis itulah perosak utama muda-mudi Islam pada hari ini kerana pakaian dan fesyen mereka menjadi ikutan di kota-kota dan pedalaman.

Sementara ibu bapa pula menerima sahaja lamaran untuk meminang anak gadis mereka tanpa menyelidiki sama ada teruna itu sembahyang, puasa menutup aurat atau tidak. Kita bimbang sekiranya anak gadis kita yang asalnya beragama, menutup aurat, sembahyang dan berakhlak mulia, apabila jatuh ke tangan lelaki yang tidak setia kepada agamanya akan membawa fitnah kepada anak gadis kita.

Islam juga mewajibkan ibu bapa mendidik anak dengan pendidikan Islam, mengajar mereka mengenal Tuhan sekalian alam iaitu Allah SWT, mengajar mereka perangai yang baik, akhlak dan kesopanan, mengajar mereka batas-batas halal dan haram dan bersikap tegas kepada anak-anak sekiranya ada timbul bibit-bibit untuk cenderung kepada kejahatan sebelum nasi menjadi bubur.

Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab api neraka, bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat yang kasar lagi bengis, mereka tidak melanggar perintah Allah ke atas mereka dan mereka lakukan apa yang disuruh. (At-Tahrim: 6)

Allah Taala memerintahkan supaya setiap orang Islam berusaha menyelamatkan diri masing-masing dan ahli keluarga daripada azab api neraka. Bagaimanakah caranya? Caranya ialah dengan beramal menurut ajaran Islam. Suami hendaklah memastikan isteri masing-masing patuh kepada ajaran Islam pada perbuatan, percakapan, berpakaian dan melakasakan apa yang diwajibkan oleh Allah Taala dan meninggalkan apa yang dilarang.

Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka. Menjadi kewajipan untuk bertanya ke manakah mereka keluar, dengan siapa, bila akan pulang dan pelbagai soalan berkaitan. Jangan membiarkan anak-anak melakukan apa yang mereka suka walaupun melanggar batas agama.

Betapa ramai anak-anak yang tidak bersembahyang kerana berkawan 24 jam, pulang ke rumah untuk tidur dan makan. Betapa ramai anak-anak yang terjebak dengan ketagihan dadah dan ganja, pil khayal dan ubat batuk kerana terpengaruh dengan kawan-kawan. Pada asalnya cuma untuk cuba-cuba tetapi apabila sudah ketagih tidak lagi pulang ke rumah siang dan malam.

Anak-anak gadis sudah pandai berkawan dengan lelaki walaupun masih bersekolah menengah. Anak gadis diarak ke hulu ke hilir dengan motosikal oleh lelaki yang bukan suaminya, sudah menjadi perkara biasa di dalam masyarakat. Ibu bapa tidak lagi mampu berbuat apa-apa, sekadar memerhatikan sahaja gelagat anak muda mereka.

Anak pinak adalah harta penting yang dikurniakan oleh Allah. Jika seseorang itu bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari sesuap nasi sedangkan rezeki esok hari belum dapat dipastikan lagi, mengapakah kita mensia-siakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah yang berupa anak sedangkan anak itu sendiri akan menjadi pesaka yang amat berharga apabila mati kelak, sekiranya anak itu menjadi anak yang soleh.

Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.

Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam di dalam membina rumah tangga. Suami yang baik dijadikan untuk isteri yang baik, akan melahirkan pula anak-anak yang soleh, yang akan menjadi harta yang tidak ada galang ganti, bermanfaat semasa hidup dan sesudah mati. Itulah benteng yang yang paling kukuh untuk menghadapi kerosakan akhlak muda mudi masa ini.

Kes Adun digantung disebut di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kes Pengantungan Zambry dan kuncu-kuncunya akan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan pagi ini. Demikian satu tulisan memaklumkan perkara itu oleh speaker DUN Perak, V. Sivakumar dalam blognya "suara perak".

Beliau juga mengatakan pada hakikatnya mahkamah tidak mempunyai bidangkuasa untuk membicarakan kes ini. Keputusan untuk mengantung 7 ADUN Perak dibuat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Apa sahaja tindakan atau keputusan yang dibuat oleh Dewan Negeri atau jawatankuasanya tidak boleh diheret ke mahkamah. Ini merupakan imuniti yang diberikan oleh Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan.

"Kita lihat apa yang akan berlaku di Mahkamah Persekutuan esok" tulisnya dalam blog tersebut.

Blog Speaker DUN Perak.

"Tolong maklumkan kepada semua ADUN PakatanRakyat Perak dan maklumkan kepada umum mengenai bolog saya yang baru" Demikian antara kandungan perbualan saya dengan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar kelmarin.

Kini Sivakumar mempunyai blog dalam versi Bahasa Melayu untuk dikunjungi oleh semua. Sila layari : http://speakforperak.blogspot.com

Nizar dan ADUN PR hadir Majlis Keputeraan Sultan Perak

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan hadir bersama 16 ADUN Pakatan Rakyat lain pada Majlis Peanugerahan Pingat dan Santapan Diraja Sempena keputeraan Sultan Perak pada 19 April ini di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. ADUN Pakatan Rakyat semuanya diundang menghadiri majlis sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda itu.

"Saya dijemput oleh Sultan menghadiri majlis (ulang tahun hari keputeraan)...seperti ahli-ahli politik lain (di Perak), saya dijemput, bukan (sesuatu yang) istimewa," kata beliau ketika dihubungi Mstar.

Desas-desus sebelum ini menyebut beliau akan menghadap Sultan Azlan pada tarikh tersebut. beberapa akhbar internet dan blog menyiarkan berita yang boleh disalah tafsir dalam perkara tersebut.

Dalam kenyataan yang berbeza ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim telah mengesahkan jawapan telah diberikan kepada pihak Protokol majlis tersebut iaitu sebanyak 17 ADUN termasuklah DS. Nizar dan beliau sendiri disahkan hadir dan 11 orang mempunyai masalah yang tidak dielakkan dan mereka memberi jawapan tidak hadir.

Pada 7 April lalu, Nizar memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dengan menewaskan calon Barisan Nasional dan Bebas dengan majoriti undi sebanyak 2789 undi.

Menteri Besar Perak Pakatan Rakyat itu juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.

Selepas memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang, yang dilihat sebagai referendum rakyat berhubung isu krisis politik Perak, Nizar meminta diadakan pilihan raya baru negeri dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sidang DUN bawah pokok awal Mac juga meluluskan usul sedemikian dan telah dipersembahkan untuk perkenan Sultan Perak.

Adun BN tidak percayai MB Terengganu?

KEMAMAN, 12 April :- Khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat Terengganu sejak hampir empat bulan lalu kononnya akan ada usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar (MB) Terengganu, Dato? Ahmad Said semakin menjadi kenyataan.

Justeru, satu amaran 'keras' terpaksa dikeluarkan oleh MB Terengganu tersebut terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang berhasrat berbuat demikian.

Dato' Ahmad berkata mana-mana di kalangan Adun BN Terengganu yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadapnya akan berdepan dengan tindakan disiplin termasuk dipecat

"Ya, jika usul itu datang dari pihak pembangkang (PAS) kami (BN) dalam kerajaan akan menolaknya. Tetapi jika, ia (usul) dibawa (kemukakan) oleh wakil rakyat Barisan Nasional, dia (Adun) akan dipecat, itu biasalah.

"Jika usul (undi tidak percaya) itu dapat sokongan, kita (saya) akan bubar dewan (Dun Terengganu) itu sahaja. Kita (BN) terpaksa menerimanya kalau dia nak (hendak) buat..apa nak kata," tegasnya ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Taman Rekreasi dan Mini Zoo Kemaman, di Bukit Takal, 11 April lalu.

Dato' Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu berkata usaha mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang Menteri Besar dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) adalah satu perkara yang serius.

Selain itu, mengulas 'khabar angin' yang sama akan berlaku perubahan jawatan beberapa Menteri Besar termasuk di Terengganu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato? Seri Najib Tun Abdul Razak, Dato? Ahmad Said enggan mengulas lanjut.

Beliau menjelaskan tidak mengetahui apa-apa tentang hal 'khabar angin' (cadangan) bakal berlaku pertukaran Menteri Besar tersebut dan terserah kepada Tuanku.

"Itu (tukar Menteri Besar) saya tidak tahulah, Terengganu kena tanya dengan Tuanku sendirilah," ujarnya dengan menyelar pihak media yang sering kali menggembar-gemburkan isu yang tidak sahih dan 'khabar angin'.

Khabar angin di negeri ini semakin kuat mengatakan terdapat usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Adun Barisan Nasional (BN) pro-mantan MB Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh.

Usul tersebut dikatakan akan dikemukakan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu bermula Isnin (13 April) ini yang akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman. Harakahdaily.