25 Mac 2011

Kami dah sedia: Pas

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH – Pas Perak melaungkan keyakinan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Pesuruhjayanya, Abu Bakar Hussain berkata, walaupun kuasa memanggil pilihan raya terletak kepada Perdana Menteri, tetapi kerajaan harus memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

“Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama bersedia,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak juga akan dibubarkan dalam masa terdekat sama seperti DUN Sarawak.

Katanya, konsep negara demokrasi tidak dihayati sepenuhnya pemimpin tertinggi apabila menyatakan tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Sebelum ini katanya, kerajaan ada mengumumkan tidak akan bubar Parlimen untuk mengadakan PRU semata-mata bersandarkan satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong kerajaan.

“Apappun bagi Pas, soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan tidak menimbulkan masalah kerana kami sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapinya pada bila-bila masa,” katanya.

Sinar Harian/-

Perak perlu pelan jangka panjang atasi banjir

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH, 25 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) bersimpati terhadap penduduk di sekitar Daerah Kerian yang mengalami bencana banjir seperti tiada kesudahan.

Ini, kata ketuanya, Zawawi Hassan kerana saban tahun mereka dilanda banjir, seolah-olah tiada usaha Kerajaan Negeri Perak bagi mengatasinya.

Katanya, penduduk sudah kerap kali membuat aduan kepada jabatan-jabatan berkenaan tetapi respons yang diterima menyalahkan penduduk tentang penggunaan air.

“DPPN Pk melihat satu kerangka pelan jangka masa panjang perlu bagi memastikan bencana banjir di daerah sekitar Kerian serta zon utara dapat dirancang bagi tujuan mengatasinya,” ujarnya.

Katanya, walaupun ada pihak mengatakan punca utama daripada banjir tersebut datangnya dari pembinaan landasan keretapi, tetapi sudah tentu semua jaminan sebelum pembinaan tersebut telah ditetapkan.

Justeru, beliau berharap pihak kerajaan negeri mencari inisatif konkrit bagi memastikan satu projek bagi mengatasi banjir dapat dibentuk dan dirancang dengan rapi.

Tambahnya, perancangan tersebut diharap akan memastikan punca utama akibat bencana banjir tersebut tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

Dalam masa yang sama, ujarnya DPPN Pk berharap kerajaan negeri dapat memohon sumbangan khas daripada Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa-mangsa banjir tersebut.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Negeri Perak telah membuat sumbangan pendahuluan sebanyak RM300 satu keluarga tetapi sumbangan ehsan daripada Kerajaan Pusat juga amat diperlukan kepada seluruh mangsa banjir tersebut.

Katanya, Kerajaan Pusat dahulu telah memberikan bantuan khas kepada mangsa banjir seperti di Kelantan, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan terbaru di Johor sebanyak RM500 satu keluarga.

“DPPN Pk berharap pihak kerajaan negeri agar memohon bantuan khas tersebut untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang semangkin bertambah di Daerah Kerian tersebut,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Fitnah: Mahathir, Najib bertanggungjawab

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA, 25 Mac: Setiausaha Agung PKR , Saifuddin Nasution Ismail berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti memikul tanggungjawab terhadap fitnah yang telah menjadi budaya dan amalan Umno sejak sekian lama.

Katanya, di saat parti itu kehilangan sokongan, fitnah adalah satu-satu senjata mereka untuk terus berkuasa.

Oleh itu, katanya penerbitan video seks palsu bertujuan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengejutkan.

Menurutnya, walau pun bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan beberapa individu tampil menyatakan mereka terlibat, dua tokoh berpengaruh dalam Umno, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mereka yang harus memikul tanggungjawab.

Ini, tambahnya kerana kedua-dua tokoh memainkan peranan penting menyuburkan budaya fitnah dengan memberi ganjaran dalam bentuk wang dan pangkat kepada mereka yang sanggup menjadi alat bagi menjayakan sesuatu fitnah.

Pada tahun 1998, Anwar difitnah melakukan liwat dalam satu konspirasi oleh Mahathir yang turut melibatkan hakim, polis, Peguam Negara serta beberapa individu.

Menurutnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini rekod menujukkan mereka diberi ganjaran besar.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Augustine Paul dinaikkan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dan kemudiannya Hakim Mahkamah Persekutuan.

Manakala Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill dan Datuk Richard Malanjum dinaikkan pangkat sebagai sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Datuk Ariffin Jaka juga dinaikkan dari Hakim Mahkamah Tinggi menjadi Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Machang menambah, mereka dinaikkan pangkat lebih awal berbanding hakim-hakim yang lebih senior ketika itu seperti Gopal Sri Ram, Datuk Mokhtar Sidin, Datuk Denis Ong and Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Peguam Negara, Tan Sri Mohtar Abdullah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Pegawai penyiasat, (Tan Sri) Musa Hassan meroket daripada ke SAC2 kepada SAC1, Pengarah Siasatan Jenayah dan kemudiannya Ketua Polis Negara. Timbalan Pendakwaraya, Tan Sri Abdul Gani Patail dinaikkan sebagai Peguam Negara.

SAC 1 Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof dilantik menjadi Ketua Polis Melaka.

Katanya lagi, individu lain seperti seperti Azizan Abu Bakar yang pada asalnya adalah seorang pemandu telah mendapat ganjaran dan djadikan pengarah sebuah syarikat.

“Kemudian fitnah ini diteruskan oleh Najib mencipta satu lagi konspirasi baru, kali ini tuduhan rekayasa dibuat dengan Anwar dituduh meliawat Saiful Bukhari Azlan.

“Apakah ada yang percaya bahawa Saiful dan pemain-pemain lain yang menjayakan skrip fitnah ini tidak diberi ganjaran?” soalnya.

Katanya, Ummi Hafilda Ali kini berceramah ke seluruh negara memburukkan Anwar.

Menurutnya, Malaysiakini baru-baru mendedahkan pengakuan seorang ahli perniagaan, Baginda Minda yang mendakwa bahawa seorang menteri senior menawarkan sehingga RM10 juta kepada Ummi Hafilda untuk berbohong terhadap Anwar di dalam mahkamah.

Natijahnya, kata beliau Mahathir dan Najib seolah-olah memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka digalakkan memfitnah dengan ganjaran besar menanti, malah mereka juga akan dilindungi.

“Kerana itu, Rahim Tamby Chik dan individu-individu tersebut berani membuat video seks palsu, iaitu fitnah terbesar dan terjijik setakat ini di Malaysia.

“Najib dan Mahathir mesti memikul tanggungjawab!” tegasnya.

Harakahdaily/-

Umat Islam diseru sertai Solat Hajat 28 Mac

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 25 Mac: Umat Islam yang berada di Selangor termasuk negeri sekitarnya diseru hadir program Solat Hajat pada 28 Mac di Stadium Malawati, di sini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, solat hajat ini diadakan bagi menangkis fitnah jahat dan jijik terbesar selepas negara merdeka kerana dikatakan melibatkan pemimpin tertinggi BN.

Menurutnya, majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, kuliah Maghrib khas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan solat hajat akan dilakukan selepas Solat Isyak.

Setelah itu, akan berlangsung sesi Pidato Khas disampaikan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berucap malam itu.

Ustaz Idris menambah, rakyat Selangor khususnya dan juga dari negeri lain perlu hadir untuk sama-sama memohon ke Hadrat Ilahi bagi menangkis fitnah besar ini bagi mengelakkan kemusnahan negara.

"Meskipun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang semua bobrok itu berlaku tetapi harus ingat kita ada Allah SWT. Yang Maha kuasa untuk membantu kita.

"Nabi Muhammad pernah bersabda mengenai Doa adalah senjata orang Mukmin kerana itu umat Islam wajar kembali kepada-Nya dalam semua hal kehidupan," tegasnya.

Selain itu, beliau berkata, mereka yang belum mempunyai pendirian politik juga boleh hadir kerana implikasi runtuhnya negara bakal menimpa sesiapa sahaja sama ada berparti atau tidak.

Begitu juga dengan rakyat bukan Islam perlu hadir menyatakan sokongan dan mendapat penjelasan terus dari pimpinan PR.

Dalam hal fitnah dan mengaibkan peribadi musuh termasuk politik ini adalah ditolak dan dibenci oleh semua agama, jelasnya.

Bagi mereka yang ingin melakukan islah dan pembaikan terhadap semua sistem yang telah rosak di negara ini, tegasnya, ia mesti dilakukan dengan perubahan kuasa politik berdasarkan kebenaran.

Harakahdaily/-
Oleh : Ismail Hashim.

Nato Diberi Tugas Kuat Kuasa Resolusi PBB di Libya

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BRUSSELS, 25 Mac — Negara- negara Nato bersetuju untuk menguatkuasakan zon larangan terbang bagi melindungi rakyat Libya daripada tentera Muammar Gaddafi, kata Setiausaha Agungnya Anders Fogh Rasmussen.

Beliau berkata mandat perikatan yang sejak awal minggu ini diketuai Amerika Syarikat tidak menjangkaui zon larangan terbang tetapi Nato boleh bertindak bagi mempertahankan diri.

Kenyataan beliau itu dilihat bertentangan dengan kenyataan awal menteri luar Turki bahawa Nato akan mengambil alih keseluruhan operasi ketenteraan perikatan.

“Buat masa ini, akan ada satu operasi perikatan dan satu operasi Nato,” kata Rasmussen sambil menambah, perbincangan diteruskan bagi memberi peranan lebih luas kepada Nato.

Tv Selangor/-

Lagi NGO kesal dengan video seks

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Sebuah NGO Islam, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) pula memandang berat tuduhan salahlaku seks terhadap ketua pembangkang dan mendedah penuduh kepada jenayah Qazaf.

Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Haji Ahmad dalam kenyataannya berkata, isu yang ditimbulkan dan cara pendedahannya mencerminkan keaiban masyarakat negara ini.

"Ia menimbulkan persoalan sama ada masih wujud saluran amr makruf nahi mungkar. Ia bagaikan tidak mengutamakan pandangan agama, adab dan tata susila," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Apa pun motif pendedahan ini, Ikram mengingatkan, dalam Islam, tuduhan melakukan zina memerlukan bukti dan persaksian yang kukuh dan kegagalan membawa saksi yang cukup mendedahkan penuduh kepada jenayah Qazaf.

Ikram juga, katanya, memandang berat perbuatan membuat, memperoleh, memiliki dan menayangkan video lucah.

"Ia merupakan satu jenayah menurut Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Sesiapa yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Maruah semua yang terlibat dan berkaitan harus dijaga. Penuduh bertanggungjawab membuktikan tuduhannya, kata beliau.

Jika penyiasatan membawa kepada pendakwaan, tertuduh perlu diberi hak untuk membela diri.

"Kita perlu berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga disabitkan kesalahannya (Innocent until proven guilty)," katanya.

Sehubungan itu, Ikram menggesa supaya:

1. Pihak Polis menjalankan penyiasatan yang rapi,

2. Institusi-institusi media rasmi dan persendirian menyebarkan maklumat-maklumat secara tepat, adil dan bertanggungjawab,

3. Masyarakat menghindar dari membuat sebarang tanggapan sehingga penyiasatan dan proses undang-undang (due proses) selesai,

4. Masyarakat berpegang teguh dengan adab dan akhlak yang mulia di dalam kehidupan.

Harakahdaily/-

Syria terus tegang

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

37 lagi maut ditembak anggota keselamatan

DERAA: Polis Syria melancarkan serangan tanpa henti ke atas sebuah kawasan yang melindungi penunjuk perasaan antikerajaan, menembak mati sekurang-kurangnya 37 orang dalam satu operasi sebelum fajar.

Anggota keselamatan melepaskan tembakan ke arah beratus-ratus belia di utara pintu masuk ke Deraa menjadikan 43 orang awam terbunuh sejak Jumaat lalu.
“Kami menerima semua mayat itu pada 5 petang semalam. Semuanya ada kesan ditembak,” kata seorang pegawai hospital. Kelmarin, enam terkorban dalam serangan di masjid al-Omari selepas penunjuk perasaan berarak di jalanan menggesa pembaharuan dan kebebasan berpolitik, kata saksi.

Seorang aktivis yang berhubung dengan penduduk di sini berkata, polis menembak tiga lagi yang membantah di pusat bandar era Roman itu selepas matahari terbenam. Enam lagi mayat ditemui kemudian, kata aktivis.

Protes dipercayai daripada gelombang bantahan prodemokrasi di seluruh rantau Arab ketika ini. Anggota keselamatan bertindak melepaskan meriam air, gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan.

Ketika mangsa yang maut meningkat, penduduk dari perkampungan berhampiran iaitu Inkhil, Jasim, Khirbet Gazaleh dan al-Harrah cuba berarak ke sini malam kelmarin, namun ditembak anggota keselamatan.
Aktivis demokrasi menggunakan laman web sosial menggesa demonstrasi besar-besaran di seluruh negara hari ini, hari yang mereka gelar ‘Jumaat Bermaruah.’

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Mark Toner, berkata Washington terkejut dengan keganasan dan ‘amat bimbang penggunaan kekerasan oleh kerajaan Syria, penindasan dan penahanan tanpa undang-undang bagi menghalang keupayaan rakyat melahirkan harapan mereka.’

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Syria berpusat di London melaporkan dalam laman webnya memetik sumber di sini bahawa pihak berkuasa Syria menembak dan membunuh anggota tentera Khaled al-Masri kerana enggan mematuhi arahan mengambil bahagian dalam serbuan di masjid al-Omari.

Televisyen tempatan menuduh sekumpulan ‘samseng bersenjata’ menyerang ambulans di bandar ini dan pasukan keselamatan membunuh empat penyerang dan mencederakan penduduk lain serta mengejar mereka yang melarikan diri.

Ia menafikan bahawa pasukan keselamatan menyerbu masjid, namun turut menunjukkan rakaman senjata, AK-47, bom tangan, peluru dan wang yang didakwanya dirampas dari dalam.

Berita Harian/-

PRN Sarawak : BN Gagal Selesai Kemelut NCR

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 25 MAC : Isu hak tanah adat atau NCR di Sarawak yang melibatkan hampir kesemua kaum di negeri itu gagal ditangani kerajaan Barisan nasional walaupun banyak gula-gula politik sudah ditabur menjelang pilihanraya negeri pada Apil in

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Sarawak, Baru Bian berkata, walaupun ia adalah isu yang mendesak kepada parti pemerintah itu dalam memenangkan Barisan Nasional, bagaimanapun isu hak tanah adat ini umpama sejarah hitam yang tidak mampu dipadamkan oleh BN.

Justeru ujar Baru, walau seberapa banyak janji yang ditaburkan pemerintah di saat ini, perhatian rakyat tentunya tertumpu kepada lebih 200 kes tanah adat yang sudah dikemukakan di mahkamah namun masih tertangguh sehingga kini.

" Kalau kita lihat di kawasan pedalaman, banyak kerusi di kawasan ini adalah kerusi yang mewakili masyarakat Dayak. Terdapat 29 daripada 71 kesemuanya. Bagi Melanau dan Melayu ada 26. Ertinya di seluruh Sarawak, bukan hanya satu kawasan sahaja yang terlibat dengan masalah ini. Tapi di Sematan, Lundu, Sibu, Miri, Kelimau dan Lawas. Itu sebabnya menjadi isu yang panas,"katanya.

Beliau berkata demikian dalam rancangan Terus Terang di Tv Selangor ketika diaju berhubung peluang Pakatan Rakyat pada pilihanraya negeri yang akan diadakan pertengahan bulan depan.

Menurutnya, Pakatan Rakyat dengan gabungan parti PAS, PKR, DAP dan SNAP yakin bahawa gagasan itu bukan hanya mampu memberi saingan kepada Barisan Nasional namun berpeluang membentuk kerajaan negeri.

Apatah lagi, isu tanah adat yang dibawa oleh PR sememangnya menjadi ketakutan utama kepada Barisan Nasional, sementelah mengetahui keyakinan gagasan itu dalam usaha menyelesaikan masalah hak tanah milikan tanah ini.

Ketakutan itu semakin memuncak saat pilihanraya negeri hampir tiba apabila mengenangkan 30 tahun pemerintahan di bawah Taib Mahmud, rakyat di Bumi Kenyalang masih berdepan dengan isu milikan tanah yang tiada jalan penyelesaian.

Meskipun tanah penduduk bergeran, namun ia sewenang-wenangnya boleh dirampas oleh kerajaan untuk tujuan tertentu.

Paling menyedihkan, tiada peruntukan masa dan nilai pampasan ditetapkan dalam Kanun Tanah Sarawak bagi memastikan setiap kali berlakunya pengambilan tanah, setidak-tidaknyanya kerajaan tidak menzalimi pemilik tanah.

" Dalam pengalaman saya sebagai seorang peguam yang mewakili kes yang masuk sehingga ke mahkamah tinggi, mereka yang berasal dari keluarga Bidayuh, Iban, Ulu, Penan dan juga orang Melayu sendiri, ia menjadi isu yang begitu panas sekali,"katanya lagi.

Tv Selangor/-

RTC: Dendam kesumat yang tidak padam

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Tidak sampai 48 jam selepas 'Host tayangan perdana anda..., Dato T' yang indentitinya dirahsiakan sebelumnya, akhirnya indentiti dalang-dalang utama dalam merencana fitnah jahat ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim terbongkar.

Salah seorang darinya, Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Thamby Chik (RTC) yang juga bekas Ketua Menteri Melaka sebelum beliau meletak jawatan gara-gara dikaitkan dengan kes rogol gadis bawah umur sekitar tahun 1993.

Ini bukanlah kali pertama penglibatan RTC sebagai dalang untuk menjatuhkan Anwar. Ketika kes liwat 1 yang mengegarkan dunia politik negara pada tahun 1998, RTC juga dikatakan salah seorang dalang utama di sebalik tabir menerbitkan buku '50 dalil kenapa Anwar tidak boleh jadi PM'.

Selain nama beliau yang dikatakan sebagai pemilik lot premis lokasi mencetak buku fitnah tersebut, beliau turut menyertai beberapa 'road show' jelajah negara bersama Umi Hafilda dan beberapa ahli politik BN lain dalam menyebarkan fitnah jahat itu kepada rakyat.

Persoalan yang sama dengan isu penayangan video lucah baru-baru ini, mahukan masyarakat percaya bahawa tindakan RTC tersebut hanya berlandaskan kepentingan moral pemimpin dan masyarakat semata-mata sehingga ketika itu sanggup bersusah payah menjelajah untuk memberi penerangan kepada masyarakat negara ini.

Adakah masyarakat negara ini terlalu bodoh untuk mempercayai tindakan tersebut tiada kaitan dengan kepentingan politik parti yang disokong oleh RTC?

Secara umumnya, bagi kebanyakkan pemerhati yang mengikuti perkembangan politik era 80an dan 90an percaya tindakan RTC tersebut berdasarkan teori dendam beliau terhadap Anwar dalam isu rogol gadis bawah umur yang sekaligus menamatkan karier politik beliau.

Bagaimanapun, sejauh mana penglibatan Anwar dalam isu rogol gadis bawah umur ini agak kabur. Namun umumnya ramai yang percaya, sikap Anwar ketika masih di dalam Umno yang sukar untuk bertolak ansur dengan sebarang unsur salah laku pemimpin Umno samada skandal seks mahupun rasuah telah menyebabkan beliau mempunyai lebih ramai musuh berbanding kawan di dalam Umno.

Bagi mana-mana pihak yang pernah mengikuti rakaman mesyuarat MT Umno terakhir yang disertai Anwar bagi membela dirinya dalam tuduhan salah laku seks-meliwat, pasti akan setuju akan statement bahawa Anwar mempunyai lebih ramai musuh berbanding kawan ketika di dalam Umno lagi.

Ketika mesyuarat itu berlangsung, Anwar yang dianggap telah kehilangan taring di dalam kerajaan setelah dipecat dari jawatan TPM oleh PM beberapa hari sebelum itu telah ditentang hebat oleh beberapa Ahli MT Umno.

Hakikatnya sebelum itu, ketika Anwar masih bergelar TPM, Ahli MT yang rata-rata memegang jawatan sebagai menteri itu sama sekali tidak berani mengangkat muka sekalipun, apatah lagi untuk berhujah dengan Anwar.

Rata-rata para penentang atau musuh Anwar ketika itu merupakan pemimpin Umno yang mempunyai fail siasatan BPR (kini SPRM) hasil siasatan badan itu yang dipercayai setelah mendapat arahan dari Anwar.

Hanya beberapa Ahli MT ketika itu yang tampak lebih neutral ialah individu yang dianggap sebagai pendukung Anwar, termasuk Muhyiddin Yassin dan Zahid Hamidi.

Kembali semula dengan kes rogol gadis bawah umur yang melibatkan KM Melaka tersebut, Anwar ketika itu juga dipercayai sebagai pemimpin yang paling berkeras mahukan tindakan diambil terhadap RTC.

Akhirnya, RTC memilih jalan terbaik dengan menerima 'nasihat' dari pemimpin tertinggi Umno untuk meletakkan jawatan beliau dalam kerajaan dan parti bagi mengelakkan sebarang tindakkan lain yang lebih memalukan.

Antara penglibatan individu lain yang paling diingati dalam isu yang sama ketika itu ialah seorang lelaki Cina iaitu KM Pulau Pinang sekarang, Lim Guan Eng yang akhirnya merengkok selama enam bulan di penjara hanya disebabkan cuba mendapatkan keadilan untuk seorang cucu dan nenek yang bukan sebangsa dengannya.

Setelah hampir dua dekad peristiwa rogol gadis bawah umur dan kes liwat 1 berlalu, dendam kesumat RTC masih tidak pudar malahan ianya semakin membara apabila individu yang disasarkan masih ampuh mendepani satu demi satu gelombang fitnah yang melanda beliau dan keluarga.

Biarpun satu ketika RTC telah berjaya membalas dendamnya apabila berjaya menurunkan Anwar dari hanya tinggal selangkah ke tampuk kuasa dan mengaibkan nama Anwar serta keluarga ke seluruh dunia, namun ia masih tidak cukup buat insan bernama RTC ini.

Amarah dendamnya itu adalah sesuatu yang luar biasa buat kebanyakkan manusia biasa dan tidak akan bertepi selagi Anwar mampu berdiri mengharungi arus politik negara.

Apatah lagi kedudukan RTC yang merupakan orang kaya Melaka yang mempunyai ramai orang hubungannya dan faktor wang bukannya masalah, tentunya dengan kedudukan kewangan beliau itu, banyak perkara mampu direncanakannya.

Harakahdaily/-
Nazli Ibrahim

Thailand Rasai Gempa Bumi Di Myanmar

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

BANGKOK 25 MAC : Thailand merasai sedikit gegaran berikutan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.9 pada skala Richter melanda Myanmar pada malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand, Somchai Baimuang berkata penduduk di wilayah utara di Chiang Rai, Chiang Mai, Nam dan Bangkok turut merasai kesan daripada gempa bumi pada pukul 8.55 malam waktu tempatan.

"Jangan panik dan tiada gempa bumi di Thailand dan tiada amaran tsunami dikeluarkan," katanya.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan kejadian gempa bumi di Myanmar terletak jauh di pedalaman dan tidak mencetuskan ombak tsunami.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan menjelaskan pusat gempa bumi itu terletak 1,613km dari Barat Laut Kangar, Perlis.

Kenyataan itu menambah Jabatan Meteorologi sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan maklumat terkini mengenai gempa tersebut.

Gempa bumi pada pukul 10.15 malam waktu Malaysia itu bagaimanapun tidak membawa ancaman tsunami.

Tv Selangor/-

Menyanggah memoir Mahathir II dan masalah edaran Harakah

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Apabila saya semak kembali ruangan indeks dalam memoir Dr Mahathir Mohamad, A Doctor in the House, bekas Perdana Menteri itu memang ada mencatatkan Peristiwa Memali pada halaman 7, bab pertama.

Sesudah saya menatap bagaimana pembaca cuba dikelirukan dengan beberapa peristiwa penting semasa 22 tahun pemerintahannya, seperti kes pengharaman Umno, cabaran Tengku Razaleigh Hamzah, kebebasan kehakiman, Operasi Lalang 1987 dan pemecatan Tun Salleh Abas bersama dua Hakim Mahkamah Agong,

baru saya terkesan bahawa Dr Mahathir mahu menyamakan tragedi berdarah itu di dengan kes-kes seperti pencerobohan kuil Hindu di Kerling, Selangor pada 26 Mei 1979 dan serangan ke atas balai polis di Batu Pahat, Johor pada 16 Oktober 1980.

Memali, bagi Dr Mahathir, dilihat tidak lebih daripada satu lagi fenomena "ajaran songsang" dan ini amat dikesali. Asyahid Ibrahim Libya dan anak-anak muridnya tidak pernah melakukan serangan kepada pihak lain, malahan mereka yang berlindung di rumahnya diceroboh dengan ketumbukan bersenjata berat sehingga mengakibatkan 14 penduduk kampung terkorban.

Selain itu, kritikan Dr Mahathir mengenai perjumpaannya dengan bekas Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares dan sambutan dingin bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew dalam lawatan pertamanya, disanggah wartawan The Straits Times. Akhbar Nanyang Siang Pau, 12 Mac, yang merujuk pertemuan dengan kedua-dua negarawan Singapura itu menyifatkan ingatan Dr Mahathir "lebih teruk".

"Beliau tidak dapat lagi melawan usia yang semakin tua. Kesahihan daya ingatan beliau mengenai peristiwa silam boleh dipertikaikan dan perlu dikaji selidik untuk mencari kebenarannya. Sebab itu, ungkapan 'sejarah saya' yang disebut Tun Mahathir sebenarnya hanya bertujuan menyedapkan telinga orang ramai sahaja," petikan penulis Nanyang, Huang Zi.

Justeru, sukar dipastikan kesahihan beberapa kritikan Dr Mahathir terhadap perwatakan pemimpin-pemimpin lain, seperti Tun Hussein Onn, Perdana Menteri sebelumnya.

Dakwaan Dr Mahathir mengenai pemecatan Tun Salleh Abas, cukup menyimpang daripada hakikat sebenar. Beliau beria-ia mahu menafikan krisis kehakiman 1988 berpunca daripada masalah yang dihadapinya bagi mengekalkan kuasa sebagai Presiden Umno, sekali gus Perdana Menteri. Dr Mahathir meletakkan bebanan itu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun menyedari Tun Salleh mengkritiknya dalam beberapa ucapan, Dr Mahathir menegaskan, beliau tidak mengambil apa-apa tindakan, jauh sekali untuk menyingkir Tun Salleh. Dia hanya bertindak apabila Agong menyatakan rasa tidak puas hati berkenaan "dua surat tersebut", iaitu berkaitan rungutan Tun Salleh mengenai bunyi bising proses baikpulih kediaman Agong (?) dan aduan berkenaan tuduhan Perdana Menteri terhadap badan kehakiman.

Seperti saya jelaskan sebelum ini, adalah menyalahi Perlembagaan apabila yang memulakan tindakan untuk memecat Tun Salleh ialah Agong dan bukannya PM. Motif jahat Dr Mahathir lebih ketara jika dilihat komposisi tribunal. Dia terpaksa meletakkan orang yang paling dipercayainya, iaitu Abdul Hamid Omar, Hakim Besar Malaya, yang turut terlibat bersama 20 hakim menghantar surat yang dikatakan menimbulkan kemurkaan Agong.

Dr Mahathir tentu sedar bahawa Abd Hamid bukan saja terlibat dengan surat itu, malahan beliau yang merupakan hakim kedua terkanan akan menjadi Ketua Hakim Negara yang baru jika Tun Salleh didapati bersalah oleh tribunal yang dipengerusikannya. Dilihat usia Abd Hamid yang lebih tua, beliau tidak akan menduduki kerusi no. 1 kehakiman sekiranya Tun Salleh menamatkan khidmat sehingga pencen pada umur 65 tahun.

Tun Salleh berusia lima bulan lebih muda berbanding Abd Hamid. Tarikh lahir Abd Hamid ialah 25 Mac 1925, manakala Tun Salleh, 25 Ogos 1929. Kedua-duanya dilantik Hakim Besar dan Ketua Hakim Negara, masing-masing pada 3 Feb 1984. Jelas, Abd Hamid merupakan orang berkepentingan dan mendapat manfaat jika Tun Salleh dilucutkan. Abd Hamid bukan sahaja tidak layak menjadi pengerusi tribunal malah tidak layak menjadi ahli.

Sepatutnya Tun Salleh diadili oleh mereka yang setaraf dengannya, misalnya dua bekas Ketua Hakim iaitu Tun Mohamad Azmi dan Tun Mohamad Suffian. Selain itu, Dr Mahathir juga memilih ahli tribunal yang dipersoalkan kewibawaannya, iaitu peguam Abd Aziz Zain (peguam pula yang mengadili hakim!) dan Speaker Dewan Rakyat, Tun Mohd Zahir Ismail (Dr Mahathir yang melantiknya sebagai Speaker).

Seorang lagi anggota tribunal ialah Hakim Mahkamah Tinggi Singapura, TS Sinathurai, yang dikenali paling memihak kepada kerajaan Singapura dan disyaki dipergunakan Lee Kuan Yew untuk mencari kesalahan musuh-musuh politiknya.

Beberapa perkembangan yang menakjubkan dalam proses tribunal itu, sehingga menyebabkan lima Hakim Mahkamah Agung digantung dan seterusnya dua daripadanya dipecat, menunjukkan bagaimana terdesaknya Dr Mahathir untuk melakukan apa saja untuk menyingkirkan Tun Salleh.

Sukar dibayangkan apabila pendaftar-pendaftar mahkamah diarah balik awal supaya tidak ada kakitangan mahkamah untuk memetrai perintah Mahkamah Agung dalam permohonan Tun Salleh untuk mendapatkan perintah larangan sementara kepada tribunal. Dan cop mohor Mahkamah Agung turut disembunyikan!

Jika Dr Mahathir hanya menurut kehendak Agong (dan ini bercanggah dengan Perlembagaan), masakan beliau bersungguh-sungguh melakukan komplot yang luar biasa dahsyatnya!
Sila rujuk buku "Islam, Kehakiman dan Kediktatoran - Kes Tun Salleh Abas"; Penerbitan Pemuda 1989.

Begitu juga dengan dakwaan karut Dr Mahathir bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 yang membabitkan penahanan borong lebih 100 aktivis, dikendalikan sepenuhnya oleh pihak polis, dan bukannya atas kehendak eksekutif.

Saya masih ingat waktu itu, bulan Oktober 1987 dirasakan cukup membahang dengan isu perkauman yang sengaja dibiarkan terbakar. Ramai teman-teman wartawan hairan mengapa persoalan perkauman boleh dibahaskan secara cukup terbuka, termasuk oleh para menteri dan timbalan menteri. Lebih pelik apabila Perdana Menteri Dr Mahathir bukan saja berdiam diri, malah bertindak keluar negara pula? Ketika itu, kes rayuan Umno 11hangat diperkatakan.

4 Oktober, 5 resolusi diluluskan di Dewan Perhimpuna Cina membantah perlantikan 14 guru besar dan penolong kanan yang tidak mahir berbahasa Mandarin. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai paling lantang bersuara. 11 Oktober, di kuil Thean Hou, Jalan Kelang Lama, perhimpunan lebih besar membabitkan tokoh-tokoh MCA, DAP dan NGO Cina, juga atas isu sama. Esoknya, di Dewan Rakyat, pertikaman lidah berlaku antara wakil Umno, MCA dan DAP. Speaker bermurah hati membenarkan perbahasan.

Lebih panas, 17 Oktober, di Stadium Jalan Raja Muda, ucapan perkauman, seperti "Basah ia (keris) dengan darah Cina" berkumandang. Kedai-kedai Cina berdekatan ditutup. Ia persiapan menyambut perhimpunan setengah juta pada 1 Nov, yang diusahakan Sanusi Junid, Setiausaha Agung Umno. Pendek kata, ketegangan sengaja dicipta bagi mewajarkan penahanan ISA, sebagai laluan buat Dr Mahathir memperkukuhkan kedudukannya yang begitu goncang berdepan cabaran musuh-musuh politiknya.

Dia turut meminda ISA secara gopoh-gapah, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 13 Julai 1988, segera dibawa ke Dewan Negara esoknya untuk diluluskan dengan mudah dan diperkenankan Agong pada hari berikutnya 15 Julai. Ia semata-mata dibuat bagi memastikan penahanan Lim Kit Siang tidak dibatalkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Dzaiddin Abdullah.

Bayangkan ironinya, Kit Siang membawa kesnya ke mahkamah atas ISA yang belum dipinda tetapi perbicaraan ditangguhkan bagi menunggu pindaan ISA diluluskan, dan kemudiannya Ketua Pembangkang itu dibawa semula ke hadapan hakim dengan undang-undang yang baru! Hakim Dzaiddin mengatakan, jika Kit Siang diadili menurut ISA sebelum pindaan, maka beliau akan dibebaskan daripada Kamunting.

Cukuplah Dr Mahathir, biar sejarah menentukannya, usah cuba ditulis semula ...

II. Masalah pengedaran Harakah perlu langkah penyelesaian segera

Bukan Dinsman yang mula menyuarakan masalah pengedaran Harakah dan rungutan kesukaran mendapatkan lidah rasmi PAS itu. Suatu ketika dahulu, sehingga ada yang mengeluh: "Lebih mudah dapatkan bekalan dadah daripada mencari Harakah." Ketika itu pihak penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) "mengamuk sakan" merampas Harakah yang dijual secara terbuka.

Tetapi, bukan itu yang hendak disuarakan Dinsman dalam kolumnya, Wacana Budaya, minggu lalu. Dia merungut apabila aktivis PAS sendiri menghadapi kesukaran membeli Harakah. Beliau merujuk pengalaman rakannya, aktivis PAS di Johor. Jika seorang penggerak PAS pun mengadu susah mencari akhbar parti, bagaimana dengan orang lain, ya?

Menjadi tabiat saya untuk sengaja meninggalkan Harakah di tempat-tempat awam bagi berkongsi dengan khayalak yang lebih luas, termasuk ketika menunggu lama di hospital. Sahabat saya juga selalu "buat-buat lupa" tertinggal Harakah dalam pengangkutan awam, seperti LRT. Kami perhatikan sebahagian besar kelihatan seperti baru pertama kali menatap sebuah akhbar yang begitu asing kepada mereka.

Saya dimaklumkan, kesukaran mendapatkan Harakah bukan saja berlaku di Johor tetapi juga di wilayah lain, hatta di sekitar Lembah Klang. Tidak dapat dipastikan apakah ia berpunca daripada kegusaran pekedai atau peruncit untuk menjual Harakah disebabkan label "hanya untuk ahli PAS" atau ahli-ahli (dan pimpinan) PAS sendiri tidak serius untuk meluaskan pengedarannya? Mungkin ada yang menuding jari kepada pihak Harakah yang dilihat tidak proaktif memasarkannya?

Dinsman dalam artikelnya itu mengungkapkan: "Ada tokoh PAS yang tak balik rumah berhari-hari bermalam-malam kerana berceramah di seluruh pelosok negara bagi menyebarkan maklumat kepada rakyat, dan dalam masa sama ada AJK kawasan sendiri pun tak baca Harakah, apakah lagi nak sebarkan maklumat yang terdapat dalam Harakah kepada orang-orang di sekitarannya?"

Sekurang-kurangnya untuk pilihan raya umum terdekat, saluran maklumat melalui media cetak masih merupakan wadah terpenting dan perlu diberikan perhatian serius oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Semasa sidang editorial diasak untuk meningkatkan kualiti bahan, soal memastikan akhbar parti seperti Harakah dan Suara Keadilan sampai ke segenap pelosok tanahair harus dijadikan agenda utama.

Bukan sahaja penceramah PAS wajar mengingatkan audien tentang keperluan mendapatkan Harakah, tetapi jauh lebih penting adalah memastikan rangkaian parti mempromosikannya kepada anggota masyarakat yang mungkin jarang terdedah dengan program-program tradisi penerangan parti. Kempen "Satu Keluarga Satu Harakah" yang pernah dilancarkan perlu disegarkan kembali, dengan pendekatan yang lebih praktikal.

Ada beberapa rakan mencadangkan agar operasi langganan Harakah dipertingkatkan. Saya dimaklumkan jumlah langganan pos sekarang cukup kecil. Mungkin ada dermawan yang bersedia melanggan dengan kuantiti yang banyak dan seterusnya dibahagikan kepada sasaran yang sukar mendapatkan Harakah. Syor mereka agar skim langganan khas itu diiklankan besar-besaran, dengan pihak parti seeloknya menyenaraikan pihak yang patut menerima langganan Harakah tersebut.

"Mungkin bagi sesetengah dermawan, lebih baik menyumbangkan Harakah daripada memberi bantuan wang tunai. Dengan itu maklumat dapat disebarluaskan, termasuk menjawab pelbagai tohmahan dan perang saraf BN," kata seorang teman. "Cuba bayangkan kalau ribuan Harakah percuma dapat diedarkan di kawasan pilihan raya kecil, misalnya di penempatan Felda, yang sukar untuk ditembusi oleh jentera kempen. Lebih molek lagi jika Harakah percuma itu dapat dibeli dengan harga kos, tetapi dengan memastikan pasaran sedia ada tidak terjejas," tambahnya.

Semasa wartawan kanan, Wan Nordin Wan Yaacob melakukan tinjauan awal di Sarawak, di tengah keriuhan teka-teki tarikh pilihan raya negeri ke-10, saya bertanyakan soal pengedaran Harakah di sana. Memang tidak banyak yang teredar, hanya sekitar 2,000 naskhah. Mungkin disebabkan Harakah sendiri tidak pernah membuat laporan khas politik Sarawak atau ada sekatan yang menghalang akhbar alternatif tersebar bebas?

Pelbagai dakwaan mengenai amalan korupsi, salahguna kuasa dan pembolotan kekayaan negeri oleh Ketua Menteri, Taib Mahmud dan kroninya dilaporkan oleh laman web, khususnya sarawakreport.org, namun ramai sangsi sejauh mana rakyat Sarawak dapat akses dengan pendedahan itu.

Mungkin ia tidak menjadi masalah kepada masyarakat Tionghoa tetapi bagaimana dengan orang Melayu-Melanau atau Dayak (Iban) yang majoritinya tingal di luar bandar? Pengedaran bahan-bahan bercetak, seperti akhbar dan buku, agak mudah diganggu elit penguasa.

Penganalisis politik Sarawak, Prof Madya Dr Shahruddin Badarudin menyifatkan kebanyakan isu seperti kekayaan Taib serta masalah tanah adat sukar untuk meninggalkan kesan di hati pengundi, terutama masyarakat Bumiputera.

"Ia disebabkan halangan dari segi logistik termasuk cara penyebaran maklumat yang lebih banyak bergantung kepada internet serta kos penerangan melalui kertas yang tinggi. Ini cabaran getir buat Pakatan Rakyat melicinkan proses penerangan serta penyebaran bahan kempen kepada pengundi memandangkan kos yang terpaksa ditanggung begitu tinggi," katanya.

Harakahdaily/-
Oleh : Ahmad Lutfi Othman.

Pesawat tentera Libya ditembak jatuh

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Sebuah pesawat tentera Libya ditembak jatuh di pangkalan udara Misrata di barat Libya semalam

Menurut pasukan bersenjata Perancis, pesawat Libya itu ditembak oleh sebuah jet pejuang Perancis menggunakan peluru berpandu.

“Pesawat Perancis itu melakukan serangan senjata udara-ke-darat (AASM) setelah pesawat tersebut mendarat di pangkalan udara Misrata,” kata jurucakap dalam satu kenyataannya di Paris.

350 pesawat untuk serang Libya

Di Washington, Naib Laksamana Angkatan Tentera Amerika, William Gortney berkata lebih 350 pesawat kini digunakan dalam operasi serangan udara bersama tentera Bersekutu ke atas Libya.

Katanya, separuh daripada pesawat itu membabitkan angkatan tentera negaranya.

“Kekuatan tentera Bersekutu semakin meningkat dari segi saiz dan kemampuan," kata Gortney.

Sehubungan itu, beliau juga meminta tentera Libya supaya tidak tunduk dengan arahan Presiden Muammar Gaddafi selepas masuk hari keenam serangan udara dilancarkan ke atas Tripoli dan bandar lain.

“Mesej kami adalah mudah, letakkan senjata, berhenti daripada berbunuh sesama sendiri dan jangan patuhi lagi arahan Kolonel Gaddafi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat di Pentagon.

Di Brussels, setiausaha agung NATO, Anders Fogh Rasmussen berkata, tentera Bersekutu sudah mempersetujui untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya sebagai sebahagian usaha "melindungi orang awam".

Selepas diheret ke meja perundingan yang berlanjutan beberapa hari, anggota NATO terutama Turki menolak tindakan seranagn udara terhadap rejim Muammar Gaddafi namun 28 anggota badan itu akhirnya bersetuju untuk bertindaka bersama menguatkuasakan zon larangan terbang itu.

“Kami kini sudah mencapai keputusan untuk menguatkuasakan zon larang terbang di Libya.

“Kami mengambil keputusan ini sebagai sebahagian langkah badan antarabangsa untuk melindungi keselamatan orang awam," kata Rasmussen.

Malaysiakini/-

Angka Korban Tsunami Di Jepun Mencecah 9,800 Orang

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO: Sejumlah lebih 9,800 mangsa terkorban manakala 17,500 lagi masih hilang dalam bencana tsunami di Jepun, menurut laporan pihak polis yang dikeluarkan hari ini.

Seorang jurucakap polis dari daerah Miyagi yang terjejas teruk berkata, anggaran jumlah kematian akan meningkat sehingga 15,000 orang di kawasan itu sahaja.

mStar/-

NGO 1M'sia kini di Kuching, ditaja jutawan

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Menjelang pilihan raya negeri Sarawak, NGO 1Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menganjurkan siri jamuan makanan percuma dan pertandingan untuk penduduk Kuching - semuanya ditaja oleh seorang jutawan.

Menurut satu laporan dalam akhbar harian berbahasa cina, China Press, perkara itu diumumkan oleh penyelaras NGO tersebut, Sia Teck Keong dalam satu kenyataan semalam.

Sia berkata, objektif aktiviti tersebut diadakan adalah untuk menggalakkan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kumpulan tersebut, tegasnya lagi, adalah sebuah NGO bebas tanpa sebarang kaitan politik, dan kos operasinya ditanya oleh seorang jutawan yang menyokong konsep 1Malaysia.

Beliau tidak mendedahkan identiti jutawan tersebut.

NGO itu akan menganjurkan satu pertandingan bola keranjang di Batu Lintang pada hari Sabtu, satu majlis makan malam mega di Kenyalang keesokan harinya dan satu jamuan makanan Indonesia di Pusat Maklumat Islam di Kuching pada 2 April.

Semua majlis tersebut adalah terbuka kepada orang ramai.

Malaysiakini/-

P’raya Sarawak: Pemuda Pakatan keluar manifesto bersama

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Mac: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) dan Pemuda Pakatan Rakyat bersetuju membuat ketetapan mengeluarkan manifesto bersama khusus untuk generasi anak muda dan belia sekiranya berjaya menawan negeri Sarawak nanti.

Timbalannya, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani berkata perkara itu dicapai pada pertemuan bersama-sama dengan Pemuda Pakatan Rakyat yang dihadiri oleh pemuda DAP, PKR dan SNAP pada 23 Mac lalu di Kuching.

“Kami telah bersetuju bergading bahu dan bersepakat bersama untuk berusaha serta berazam menguasai Negeri Sarawak selepas Pilihan raya Negeri yang dijadualkan pada 16 April ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Pemuda Pakatan akan melancarkan jenteranya pada 27 Mac inidi bandar.

Menurutnya, wakil-wakil daripada setiap parti komponen Pakatan Rakyat akan memberikan motivasi, dan membakar semangat pemuda pada hari tersebut.

Beliau juga memaklumkan DPPP baru sahaja mengakhiri lawatan kerja ke Sarawak pada 22 hingga 24 Mac bertujuan untuk mengemaskini dan memastikan kelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda PAS di Sarawak.

Azman mengetuai lawatan itu dengan Setiausaha DPPP, Khairul Faizi Ahmad Kamil dan Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat.

Katanya, pada 22 Mac, DPPP telah mengadakan pertemuan dengan Pemuda PAS Negeri Sarawak berbincang dan memperkemaskan lagi jentera pemuda.

“Untuk memperincikan lagi susunan gerak kerja di Sarawak, pada 23 Mac 2011 DPPP mengadakan perbincangan dengan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid di kediamannya dan seterusnya bertemu dengan pemuda-pemuda Pakatan Rakyat di sebelah petangnya,” katanya.

Beliau menambah, DPPP akan membuat mesyuarat susulan segera di peringkat pusat, untuk menentukan serta memfokuskan peranan pemuda negeri-negeri untuk turun di dalam pilihan raya Sarawak.

“Kita berharap pemuda-pemuda PAS daripada Semenanjung Malaysia dan Sabah yang mempunyai kelapangan masa, mempunyai kekuatan wang dan fizikal dapat turun ke Sarawak bagi memberikan sokongan moral dan melicinkan gerak kerja pemuda-pemuda di Sarawak,” ujarnya.

Harakahdaily/-

Dua Laporan Polis Terhadap Trio 'Datuk T'

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dua laporan polis dibuat terhadap trio 'Datuk T' atas kesalahan membuat tayangan serta menyimpan rakaman video lucah di Seri Carcosa Negara Isnin lalu.

Laporan tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne dan Presiden Gerakan Anti Pendakwaan Terpilih (Gapet), Khairul Anwar Othman.

Mereka menuntut bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim ditangkap kerana kesalahan menyimpan dan mempamerkan rakaman video lucah.

Wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dan Khairul Anwar tiba di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 12 tengah hari dan keluar kira-kira dua jam kemudian.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Dalam laporannya, Gwo Burne dan Khairul Anwar menamakan Rahim dan Shazryl sebagai individu yang membuat tayangan video lucah didakwa melibatkan pemimpin kanan parti pembangkang.

"Saya menuntut supaya Rahim dan Shazryl ditangkap dan segera disiasat kerana melakukan kesalahan menyimpan dan mempamerkan rakaman video lucah.

"Ini kerana ia melanggar Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 5 Akta Penapisan Filem,” kata Gwo Burne kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi di sini, Khamis.

Beliau menggesa pihak polis segera bertindak kerana perkara tersebut telah dilihat sebagai satu konspirasi politik yang cuba menjatuhkan kredibiliti dan maruah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ramai yang marah dengan isu ini. Satu dan dua kes tuduhan kes liwat sudah cukup. Kita tidak mahu nama Malaysia diburukkan lagi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Khairul Anwar yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO), mendesak tidak ada campur tangan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dalam penyiasatan kes berprofil tinggi tersebut.

“Ini adalah satu kes yang perlu diambil perhatian kerana kita lihat mereka ini terlibat dengan rakaman dan tayangan video lucah ini,” katanya.

Isnin lalu, satu kumpulan yang dikenali sebagai Datuk 'T' sebagai mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu, yang dianggotai oleh Rahim, Eskay dan Shuib berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang tersebut dan isterinya dalam masa seminggu ini.

Sehubungan itu, Anwar pada Selasa membuat laporan polis di IPD Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks yang ditayangkan kepada wartawan di Carcosa Seri Negara. Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Anwar menyifatkannya sebagai serangan yang mengaibkan, melampau dan bermotifkan politik ke atas karakter serta reputasi beliau dan keluarganya.

mStar/-
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

Tidak Mustahil Malaysia Jejak Kebangkitan Rakyat Arab, Jika Demokrasi Terus Diperlekeh

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 24 MAC : Pengajaran paling penting yang didapati dari fenomena gelombang kebangkitan rakyat Arab ialah jaminan mengenai kestabilan politik yang selari dengan demokrasi dan kebebasan sesebuah negara.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin menyatakan betapa rakyat Malaysia khususnya anak muda menginginkan kestabilan politik namun kerap dicabuli oleh pemerintah Kerajaan Pusat Umno Barisan Nasioal.

Beliau turut menjawab amaran Perdana Menteeri Najib Razak dan Timbalannya Muhyiddin Yassin kepada gagasan Pakatan Rakyat agar tidak menghasut rakyat bangkit menentang pemerintah mereka.

"Hakikatnya paling penting adalah kestabilan politik. Ini yang harus ada jaminan. Pengajaran yang didapati dari Arab apa dia? Kestabilan politik demokrasi dan kebebasan perlu berlaku selari. Najib dan Muhyiddin beri amaran kepada semua pihak pembangkang jangan hasut rakyat bangkit seperti di Arab. Prasyarat nak jadi seperti Arab dan rakyat bangkit bukan kita. Prasyaratnya ialah rejim," tegas Badrul.

Beliau menyatakan demikian di Forum Kebangkitan Rakyat Arab anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO) Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) di sini hari ini.

Lebih 300 hadirin memenuhi ruang Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor bagi mendengar pandangan panel- panel yang terdiri dari Badrul, Pakar Perundangan Prof Dr Abdul Aziz Bari, Aktivis Masyarakat Hishammudin Rais dan Choo Chon Kai.

Fenomena kebangkitan rakyat Arab di Mesir, Libya, Algeria Bahrain dan pelbagai negara lagi mendapat tumpuan dunia apabila satu demi satu kerajaan konvensional yang diasaskan bekas penjajah kolonial masing- masing.

Hishammudin Rais mendakwa hal ini sebenarnya berpunca kontradiksi dan pergeseran antara rakyat yang mahu merampas kembali sumber kekayaan negara mereka yang hanya dinikmati golongan tertentu.

"Semua hal ini dilahirkan oleh British bila mereka menemui minyak di negara-negara berkenaan. Kontradiksi Utama di sini ialah warga Arab di Mesir, Libya, dan lain-lain bangkit nak kawal sendiri hasil ekonomi tapi tak dibenarkan," ujar Aziz.

Bagaimana? Dulu masa perjuangan Parti Komunis Malaya nak tubuhkan Republik Rakyat di Malaysia, British naikkan United Malays National Organization. Cara yang sama digunakan di negara ini naikkan 'keluarga pemerintah' untuk kuasai minyak dari Maghribi, ke Tunisia dan lain-lain. Perubahan ambil masa tapi hakikatnya sama;" terang Hisham.

Menurut Aziz Bari, rakyat tidak perlu takut dengan amaran dan retorik Kerajaan Pusat bahawa kebangkitan rakyat bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Aziz dalam kesimpulannya dengan serius menyatakan Perlembagaan Persekutuan adalah hak rakyat dan tak perlu ditakuti kerana ia boleh diubah.

"Saya tak taksub dengan perlembagaan. Saya berpendapat kalau rakyat tak suka perlembagaan itu, dia boleh buang. Perlembagaan bukan suatu benda yang sakral, ia boleh ditukar kalau kita rasakan ia perlu dirakyatkan," kata Aziz Bari.

Tv Selangor/-

PAS cadang pendidikan Islam, moral subjek wajib lulus SPM

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia turut menjadikan subjek pendidikan Islam dan moral sebagai subjek wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain daripada mata pelajaran sejarah.

Beliau berkata, pendidikan Islam dan pendidikan moral merangkumi pelbagai perkara asas yang amat penting untuk dipelajari dan difahami oleh pelajar-pelajar sejak di bangku sekolah lagi.

Katanya, jika kedua-dua mata pelajaran itu tidak dijadikan mata pelajaran wajib lulus, pelajar-pelajar tidak akan bersungguh-sungguh mempelajarinya sedangkan ianya merupakan penyelesaian kepada masalah moral.

"Persoalannya kenapa mata pelajaran sejarah sahaja diwajibkan lulus sedangkan pendidikan Islam merupakan fardu ain kepada setiap orang Islam tidak menjadi mata pelajaran wajib lulus tapi wajib ambil sahaja.

"Apabila tak wajib lulus, mana mungkin pelajar akan belajar bersungguh-sungguh dalam mata pelajaran ini," kata beliau ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Menurutnya juga, mata pelajaran pendidikan Islam dan moral amat penting kepada setiap pelajar kerana negara ketika ini ketandusan pemimpin yang berintegriti dan bermoral.

"Kita sekarang ketandusan pemimpin berintegriti. Lihat sahaja masalah rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

"Jadi kita perlukan pelapis kepimpinan yang berintegriti. Integriti bukan lahir dengan pencapaian subjek lain tetapi asasnya agama. Jadi sudah sapai masa kerajaan kaji balik sukatan pelajaran dan mata pelajaran wajib lulus kalau betul-betul nak lahirkan generasi yang berintegriti dan bebas daripada masalah moral yang semakin kritikal," katanya.

Tegas Siti Zailah juga, kerajaan tidak bersungguh-sungguh melahirkan insan yang cemerlang dari semua sudut apabila mengabaikan kedua-dua mata pelajaran ini.

"Ini menunjukkan kerajaan tidak serius melahirkan insan yang berkualiti yang mengikut kata kementerian, kita perlu melahirkan modal insan.

"Bagaimana nak lahirkan modal insan kalau mata pelajaran melibatkan agama dan moral tidak diwajibkan lulus," katanya yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Pusat.

Sementara itu, beliau mengakui kepentingan pelajar mempelajari sejarah tetapi katanya, ia tidak harus bergantung kepada buku teks semata-mata yang faktanya dilihat diselewengkan oleh orientalis.

"Sejarah memang penting tapi bukan hanya sejarah yang ditulis dalam buku teks yang kita tengok banyak yang diselewengkan faktanya oleh barat.

"Contohnya Kamal Atartuk dikatakan bapa pembebasan Turki sedangkan dia lah yang menghancurkan Islam di Turki.

"Sejarah jangan hanya bergantung kepada buku teks orientalis sahaja tapi kembangkan juga sejarah Islam yang boleh dijadikan iktibar untuk pemerintahan yang lebih baik," katanya.

Terdahulu, Timbalan Menteri, ketika menggulung perbahasan titah Diraja di Dewan Rakyat memberitahu, bermula pada tahun 2013, mata pelajaran Sejarah akan dijadikan mata pelajaran wajib lulus sebagai syarat layak untuk mendapat sijil SPM.

Dasar ini katanya selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan moda insan cemerlang, berkemahiran tinggi, berdaya saing, mempunyai semangat jati diri yang kental serta memiliki semangat patriotik dan nilai kewarganegaraan yang tinggi.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

Bayi Ditinggalkan Abang Disangkakan Mangsa Buang

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

JOHOR BARU: Tindakan seorang budak lelaki meninggalkan adik perempuannya berusia tiga bulan di tingkat bawah rumah mereka di Flet Taman Larkin Perdana di sini untuk bermain, menimbulkan kekecohan penduduk yang menyangkakan bayi itu merupakan bayi dibuang.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Zainuddin Yaacob berkata kejadian berlaku 12 tengah hari apabila bayi itu ditemui dalam sebuah beg galas oleh seorang peniaga.

"Melihat keadaan bayi itu yang hampir dihurung semut, peniaga terbabit terus menghubungi polis," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Zainuddin berkata siasatan polis mendapati bayi berkenaan sebenarnya ditinggalkan secara tidak sengaja oleh abangnya yang berumur enam tahun kerana dia pergi bermain dengan kawan-kawannya.

Beliau berkata bayi itu dijaga oleh abangnya selepas ibu mereka keluar mencari kerja manakala nenek mereka pergi ke sebuah klinik.

Selain bayi itu, budak lelaki berkenaan turut menjaga dua lagi adik perempuannya yang berumur tiga dan dua tahun.

Menurut Zainuddin, bapa kanak-kanak itu tiada di rumah kerana bekerja di sebuah resort di Pulau Sibu, dekat Mersing.

"Ibu mereka yang berumur 24 tahun pulang ke rumah ketika polis masih berada di tempat bayi ditemui itu. Wanita itu kemudian dibawa ke Balai Polis Larkin untuk direkodkan keterangan," katanya.

Peniaga Shahril Tugiman, 36, berkata ketika beliau temui bayi itu, dia tidak menangis.

"Saya bertanyakan kepada abangnya yang sedang bermain tetapi budak lelaki itu hanya menggelengkan kepala sebagai tanda tidak mengetahui siapa bayi tersebut. Bimbang kemungkinan bayi itu adalah bayi yang dibuang, saya terus menghubungi polis," katanya.

mStar/-

Anwar Dakwa Rahim Mahu Balas Dendam

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa penglibatan Tan Sri Rahim Tamby Chik dengan kontroversi video seks yang memaparkan individu kononnya pemimpin utama parti pembangkang kerana dendam kesumat.

Kata Ketua Pembangkang itu, terlibatnya Rahim mengingatkan beliau kepada kes lama iaitu dakwaan skandal seks bekas Ketua Menteri Malaka itu pada awal tahun 1990-an.

"Dia buat semua ini kerana membalas dendam," katanya selepas penangguhan prosiding kes liwat di sini, Khamis.

Rahim pada tahun 1994 meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selepas didesak oleh Anwar yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Dalam Satu temu bual bersama portal berita pada tahun 1995, Rahim menyalahkan Anwar sebagai dalang kejatuhan karier politiknya.

Dalam pada itu, Anwar turut menuduh polis melindungi Rahim dan rakan-rakannya iaitu ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Semalam, trio yang dikenali sebagai 'Datuk T' itu membuatkan pengakuan bahawa mereka adalah dalang di sebalik pendedahan video seks berkenaan.

Tv Selangor/-

Akad Nikah Di Dalam Masjid - Ulasan Ilmiah

Rabiulakhir 1432H. [MOD] -
Oleh : ibnuirfadzil.blogspot.com

PENDAHULUAN

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh di dalam akhbar Utusan bertarikh 20 Mac 2011 bahawa akad yang dilakukan di dalam masjid menyimpang daripada ajaran Nabi SAW. Di kesempatan yang ada, dapat saya mengulas serba sedikit permasalahan ini.

Berita tersebut seperti berikut :

KANGAR, 20 Mac (Bernama) -- Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.

Beliau berkata Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.

Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.

Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.

Ini adalah satu-satunya kes akad nikah dalam masjid yang dilakukan baginda, kata pendakwah itu hari ini ketika diminta mengulas keghairahan umat Islam ketika ini menjadikan masjid sebagai tempat akad nikah kerana menganggap ia lebih berkat.

Ahmad berkata adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin.

Sumber - BERNAMA

(http://www.ptgps.gov.my/index.php/bm/component/content/article/621-akad-nikah-di-masjid-menyimpang-dari-amalan-rasulullah-kata-ahmad-jusoh.html)

PERBAHASAN BERDASARKAN HADIS

Nabi SAW bersabda :

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ ، وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ ، وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Hebahkanlah perkahwinan ini, dan adakanlah di dalam masjid, dan palulah dengan kompang untuk majlis ini.

Diriwayatkan oleh al Baihaqi di dalam Sunan Kubra hadis no. 15095, diriwayatkan juga oleh at Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi hadis no. 1009

Imam at Tirmizi menyifatkan hadis ini sebagai Hadis Hassan Gharib.

Syeikh Badruddin al ‘Aini menyatakan di dalam Umdatul Qari bahawa ia juga telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, an Nasa’ie dan at Thabrani mengikut sanad yang berbeza di dalam kitab masing-masing, dan lafaz yang berbeza-beza.

(Badruddin al ‘Aini, Umdatul Qari Syarh Shahih al Bukhari, terbitan Multaqa Ahlul Hadis, tahun 2006, bil 29, hal. 332)

Ia juga telah ditakhrijkan oleh Ad Dailami (jil.1 hal. 101, hadis no. 335), Ibnu Jauzi di dalam Ilal al Mutanahiah (jil. 2, hal 627, hadis no. 1034) beliau menyatakan hadis ini sangat dha’if (lemah), dan Ibnu Hajar al Asqolani di dalamFathul Bari (jil. 9, hal. 226) juga menyatakan sanadnya lemah.

(Jalaluddin as Sayuti, Jami’ al Ahadis, jil. 5, hal. 109, hadis no. 3829)

Saya tidak mahu memanjangkan kalam di dalam perkara ini, boleh saya ringkaskan bahawa hadis ini juga telah ditulis di dalam kitab-kitab hadis berikut :

1. Mirqatul Mafatih Syarh Misykatil Masabih, karangan Mula Ali Qari (jil. 29, hal 332)

2. Jami’ al Usul Fi Ahadisir Rasul, karangan Ibnu Athir (jil. 11, hal. 439, hadis no. 8975)

3. Jam’ul Jawami’ karangan Imam Sayuti (jil. 1, hal. 429, hadis no. 170)

4. Kanzul Ummal Fi Sunanil Aqwal Wal Af’al karangan al Muttaqi al Hindi (jil. 16, hal. 291, hadis no. 44535)

5. al Ifsah Fi Ahadisin Nikah karangan Ibnu Hajar al Haitami (jil. 1, hal. 16, hadis no. 25)

6. dan banyak lagi..

PERBAHASAN BERDASARKAN FIQH

Saya teringat, ketika pengajian bersama Syeikh Sayyid Syaltut di Masjid al Azhar, beliau pernah berkata :

“Ulama Mazhab lebih arif tentang hadis daripada kita, bahkan mereka juga ahli hadis”

Maka, mazhab menjadi panduan bagi kita dalam mengeluarkan hukum sesuatu. Mereka yang tidak berpandukan mazhab, bahkan hanya merujuk terus kepada hadis Nabi SAW hanyalah dikhususkan oleh mereka yang pakar di dalam bidang tersebut. Ini kerana, untuk memahami hadis bukanlah dengan hanya membaca buku, kemudian terus jadi alim. Ia memerlukan kepada manhaj yang betul, dan panduan para ulama’.

Saya akan senaraikan beberapa perbahasan ulama Mazhab tentang akad nikah di dalam masjid :

Pertama : Mazhab Hanafi

Di dalam kitab al Bahrur Ra’iq Syarh Kanzid Daqa’iq (jil. 7, hal. 461) karangan Ibnu Najim al Misri, beliau berkata :

وَأَشَارَ الْمُصَنِّفُ بِكَوْنِهِ سُنَّةً أَوْ وَاجِبًا إلَى اسْتِحْبَابِ مُبَاشَرَةِ عَقْدِ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ لِكَوْنِهِ عِبَادَةً

Pengarang (kitab Kanzud Daqa’iq karangan Imam Hafizuddin an Nasafi) menunjukkan bahawa menjadi perkara sunat, ataupun wajib kepada menggalakkan akad nikah di dalam masjid, kerana ia adalah sebagai satu ibadah

Az Zaila’ie menukilkan kalam al Kamal, di dalam kitab Tabyinul Haqa’iq (jil. 5, hal. 192) mengulas hadis di atas :

وَيُسْتَحَبُّ مُبَاشَرَةُ عَقْدِ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ ؛ لِأَنَّهُ عِبَادَةٌ

Dan digalakkan melakukan akad di dalam masjid, kerana ia adalah satu ibadah

Juga dinyatakan di dalam kitab karangan ulama mazhab lain di dalam kenyataan ini seperti ad Durrul Mukhtar Wa Raddul Muhtar, Fathul Qadirkarangan Ibnu al Humam, Majma’ul Anhar karangan Syaikhi Zadah, Syarhul Kabir karangan Ibnu Qudamah dan banyak lagi.

Kedua : Mazhab Syafi’e

Di dalam kitab I’anatut Thalibin (jil. 3, hal. 273), karangan Abu Bakar ad Dumyati menukilkan ulasan tentang hadis di atas :

واجعلوه في المساجد مبالغة في إظهاره واشتهاره فإنه أعظم محافل الخير والفضل

Dan adakanlah (akad nikah) itu di dalam masjid, iaitu bermeriah dalam menzahirkannya dan menghebahkannya. Sesungguhnya ia adalah sebaik-baik sambutan yang baik dan mulia.

Beliau juga menyatakan di dalam halaman yang sama (jil. 3, hal. 273)

ويسن أن يكون العقد في المسجد

Dan disunatkan akad nikah dilakukan di masjid

Di dalam kitab Tuhfatul Muhtaj Fi Syarhil Minhaj (bah. 43, hal 493), karangan Ibnu Hajar al Haitami mengulas hadis di atas :

أَخَذَ الْبَغَوِيّ وَغَيْرُهُ مِنْهُ أَنَّهُ سُنَّةٌ فِي الْعُرْسِ

Al Baghwi dan lain-lain mengeluarkan hukum daripada mengambil hadis ini (hadis yang disebutkan sebelum ini), bahawa ia adalah perkara sunat di dalam perkahwinan

(ia juga telah dinukilkan oleh Imam Ramli di dalam Nihayatul Muhtaj Ila Syarhil Minhaj, bah. 28, hal. 288)

Ketiga : Mazhab Maliki

Di dalam kitab Mawahibul Jalil Li Syarhi Mukhtasar al Khalil (jil. 5, hal. 26) karangan Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin Muhammad al Maghribi menyatakan :

وأما العقد في المسجد فعده المصنف وغيره من الجائزات فقال في باب موات الأرض وجاز بمسجد سكنى رجل تجرد للعبادة وعقد نكاح ولم أر الآن من صرح باستحباب العقد فيه من أهل المذهب والله أعلم

Manakala akad nikah di dalam masjid, maka penulis (kitab Mukhtasar al Khalil) dan lain-lain menyatakan bahawa ia adalah diharuskan. Beliau (penulis kitab Mukhtasar al Khalil) menyatakan di dalam Bab Tanah Tandus, dan diharuskan untuk masjid itu, dihuni oleh lelaki yang memfokuskan ibadah semata-mata dalam hidupnya, dan berakad nikah. Dan aku belum nampak ketika ini, sesiapa yang menyebut dengan jelas tentang galakan berakad nikah di situ, dari kalangan ahli mazhab fiqh. WaLlahua’lam.

Jelas, adab seorang ulama apabila mengeluarkan sesuatu kenyataan. Beliau yang bermazhab Maliki menyatakan bahawa akad nikah di dalam masjid diharuskan. Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa tidak mengetahui sekiranya ada di sana mazhab yang menyatakan ia digalakkan.

ULASAN TAMBAHAN

Dinyatakan di dalam kitab Ghamzu Uyunil Basa’ir Fisy Syarhil Asybahi Wan Nazha’ir (bah. 7, hal 122) karangan Ahmad bin Muhammad al Hamawi :

قَوْلُهُ : وَيُسْتَحَبُّ عَقْدُ النِّكَاحِ فِيهِ . كَذَا فِي مُنْيَةِ الْمُفْتِي وَعِبَارَتُهُ عَقْدُ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ لَا يُكْرَهُ بَلْ يُسْتَحَبُّ

Katanya (pengarang kitab Asybah Wan Nazha’ir) : Dan digalakkan berakad nikah di dalamnya (masjid). Begitu juga disebut di dalam kitab Munyatul Mufti dan petikannya : Akad nikah di dalam masjid tidak makruh, bahkan digalakkan.

Di dalam Mausu’ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiah, terbitan Kementerian Waqaf, bil. ke 45, no. 28, menyebut :

اسْتَحَبَّ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ عَقْدَ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ لِلْبَرَكَةِ ، وَلأَِجْل شُهْرَتِهِ فَعَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : قَال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ.

Jumhur Fuqaha telah mengharuskan akad nikah di dalam masjid untuk keberkatan, dan untuk menghebahkannya. Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA, beliau berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda “Hebahkanlah perkahwinan ini, dan adakanlah di dalam masjid, dan palulah dengan kompang untuk majlis ini”

وَأَضَافَ الْمَالِكِيَّةُ فِي إِجَازَتِهِمْ لِعَقْدِ النِّكَاحِ فِي الْمَسْجِدِ أَنْ يَكُونَ بِمُجَرَّدِ الإِْيجَابِ وَالْقَبُول مِنْ غَيْرِ ذِكْرِ شُرُوطٍ وَلاَ رَفْعِ صَوْتٍ أَوْ تَكْثِيرِ كَلاَمٍ وَإِلاَّ كُرِهَ فِيهِ .

Ulama Mazhab Maliki menambah dalam menghukumkan sebagai harus, bagi akad nikah yang dilakukan di dalam masjid, iaitu hendaklah semata-mata lafaz ijab dan qabul, tanpa menyebut syarat-syarat yang lain, juga tanpa meninggikan suara, atau banyak bersembang. Sekiranya tidak (iaitu sekiranya terdapat unsur-unsur ini) maka, hukumnya makruh.

وَزَادَ الْحَنَفِيَّةُ فِي الْمُخْتَارِ عِنْدَهُمْ : أَنَّ الزِّفَافَ بِهِ لاَ يُكْرَهُ إِذَا لَمْ يَشْتَمِل عَلَى مَفْسَدَةٍ دِينِيَّةٍ فَإِنِ اشْتَمَل عَلَيْهَا كُرِهَ فِيهِ

Ulama Mazhab Hanafi pula menambah kitab al Mukhtar (Durrul Mukhtar Wa Raddul Muhtar) : Sesungguhnya majlis perkahwinan itu tidak makruh sekiranya tidak mengandungi unsur-unsur yang rosak dari perspektif agama. Sekiranya terdapat, maka makruhlah hukumnya.

BILAKAH HUKUMNYA HARAM?

Sepertimana yang telah saya sebutkan, ulama fiqh telah membahaskan begitu panjang lebar tentang akad nikah di dalam masjid. Ia bukanlah satu perbincangan yang baru. Hukum asal bagi akad nikah di dalam masjid, samada harus, sunat atau wajib.

Akad nikah di dalam masjid boleh jadi haram disebabkan beberapa faktor, sepertimana yang telah dinyatakan di dalam Majalah Majma’ Fiqh Islami (bil. 3, hal. 1092)

أما عقد النكاح في المسجد فشيء مندوب، نطقت باستحبابه الأحاديث ولكن ما يصحبه من الرقص، والغناء فلا يجوز أصلًا، فإن كانت حفلات الزواج لا تخلو من هذه المنكرات، فلتجنب المساجد منها

Manakala akad nikah di dalam masjid, ia adalah sesuatu yang digalakkan. Telah disebut galakan tersebut di dalam hadis-hadis. Akan tetapi, apa yang diiringi dengannya unsur-unsur tarian dan nyanyian, maka tidak dibenarkan. Sekiranya majlis perkahwinan itu tidak terlepas daripada unsur-unsur kemungkaran ini, maka hindarilah masjid daripadanya.

Apa yang dinyatakan di sini ialah, akad nikah di dalam masjid itu bukanlah diharamkan. Sebaliknya unsur-unsur yang diselitkan di dalam majlis ini, yang mengandungi unsur haram, maka ia diharamkan. Pengharamannya bukan disebabkan akad tersebut, tetapi disebabkan nyanyian, tarian dan sebagainya.

Juga disebutkan di dalam Majalah Majma’ Fiqh Islami (bil. 3, hal. 1282) :

إذا قلنا يندب عقد النكاح في المسجد ولا تجوز إقامة الحفلات فيها إذا اقترنت بمحظور شرعي كاختلاط إلى آخره

Sekiranya kita mengatakan digalakkan berakad nikah di dalam masjid, maka tidak dibenarkan melaksanakan majlis perkahwinan tersebut apabila disekalikan dengan unsur-unsur yang dilarang oleh syara’ seperti percampuran jantina dan sebagainya.

Dalam masa yang sama, di dalam kitab al Madkhal karangan Ibnu al Haj (bah. 2, hal. 264) mengajar kita beberapa adab ketika melakukan akad nikah di dalam masjid, tidaklah mengharamkannya semata-mata.

Syeikh Mustafa al Adawiy pula melontarkan sesuatu perkara di dalam Silsilatut Tafsir (jil. 10, hal 18)

صحيح أن المسجد أفضل بقعة، لكن كون جمع الناس في المسجد للعقد أفضل من غيره يحتاج إلى دليل، وقد يكون العقد في أي مكان سواء، فسنة الرسول هي الحكم، وقد عقد الرسول صلى الله عليه وسلم في البيت، وفي المسجد، وتعقد حتى في الطريق، أو في أي مكان بحضور الولي والشهود. هذه هي السنة. لكن أن تعمل العقد في المسجد، وتقول للناس: هذه الصورة الإسلامية للعقد فهذا افتراء على سنة رسول الله عليه الصلاة والسلام

Benar, Masjid itu adalah tempat yang paling baik. Tetapi, menghimpunkan manusia di dalam masjid untuk akad nikah di situ apabila dikatakan lebih baik daripada tempat lain, maka ia perlu bersandar pada dalil. Kadangkala akad di mana-mana tempat pun sama sahaja. Maka, sunnah Nabi SAW itu menjadi hukum. Nabi SAW pernah mengakadkan orang di rumah, dan di masjid. Pernah juga akadkan orang di jalan, ataupun mana-mana tempat dengan kehadiran wali dan saksi. Inilah sunnah. Akan tetapi, apabila akad dilakukan di dalam masjid, lalu kamu pula berkata kepada manusia : Inilah cara Islam untuk akad nikah, maka ia adalah rekaan terhadap sunnah Rasulullah SAW.

Jelas di sini, Syeikh Mustafa Adawiy tidak menafikan bahawa akad di dalam masjid itu adalah sunnah Nabi SAW, sebaliknya beliau menafikan golongan yang cuba mengatakan akad di dalam masjid ini adalah cara Islam, sehinggakan masyarakat memandang serong terhadap akad di rumah, atau di tempat-tempat yang lain.

Alhamdulillah, masyarakat Melayu di Malaysia, tidak pula memandang serong terhadap pasangan yang berakad di rumah. Tetapi, sangat kesal apabila ada golongan yang memandang serong berakad nikah di masjid.

KESIMPULAN

Hadis yang telah dinyatakan di permulaan penulisan ini adalah Hadis Hassan Gharib, yang telah diriwayatkan beberapa ulama’ hadis. Walaupun demikian, para fuqaha’ menggunakan hadis tersebut untuk mengeluarkan hukum berakad nikah di dalam masjid.

Maka, ringkasan hukumnya sepertimana yang dinyatakan :

1. Akad di dalam masjid hukumnya sunat berdasarkan Mazhab Hanafi dan Syafie.

2. Akad nikah di dalam masjid hukumnya harus pada Mazhab Maliki.

3. Hukumnya boleh jadi makruh, sekiranya terdapat di dalam akad nikah tersebut, unsur-unsur yang tidak elok. Sepertimana yang dinyatakan di dalam Mausu’ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiah. Akad nikah di dalam masjid semata-mata, tidaklah makruh, sebaliknya unsur-unsur yang digabungkan bersamanya.

4. Hukumnya boleh jadi haram, sekiranya terdapat unsur-unsur haram, sepertimana yang dinyatakan di dalam Majalah Majma’ Fiqh Islami. Akad nikah di dalam masjid semata-mata tidaklah haram, sebaliknya unsur-unsur yang digabungkan bersamanya.

5. Tiada pendapat yang menyatakan akad nikah wajib dilakukan di dalam masjid. Sebaliknya ia boleh dilakukan di mana-mana tempat yang sesuai. Sila rujuk Silsilah Tafsir karangan Mustafa Adawiy.

6. Tiada pendapat yang mengatakan akad nikah haram dilakukan di dalam masjid, kerana Nabi SAW pernah mengakadkan orang di dalam masjid. Maka, tidak mungkin Nabi SAW melakukan perkara yang haram.

Maka, daripada kesimpulan ini, dapatlah kita fahami bahawa Islam mengajar kita supaya “tidak melampau” dan “tidak pula meringan-ringankan”. WaLlahua’lam.

Link artikel ini di dalam blog saya :

http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2011/03/akad-nikah-di-dalam-masjid-ulasan.html

Saya sediakan link ulasan isu ini oleh Ustaz Anhar Opir, Mantan Presiden PMRAM

http://hjanhar.blogspot.com/2011/03/hukum-akad-nikah-di-masjid-adakah.html


Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil
Felo Markas Pengumpulan Kajian Ilmiah dan Hasilan (MANHAL)
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
ibnuirfadzil.blogspot.com