25 Mac 2011

Kami dah sedia: Pas

20 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

IPOH – Pas Perak melaungkan keyakinan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Pesuruhjayanya, Abu Bakar Hussain berkata, walaupun kuasa memanggil pilihan raya terletak kepada Perdana Menteri, tetapi kerajaan harus memberi tempoh tertentu sebelum mengadakan pilihan raya bagi membolehkan parti bertanding membuat persediaan.

“Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, pilihan raya tidak patut diadakan secara mengejut dan perlu diisytiharkan lebih awal seperti tiga bulan atau sebagainya supaya kita sama-sama bersedia,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak juga akan dibubarkan dalam masa terdekat sama seperti DUN Sarawak.

Katanya, konsep negara demokrasi tidak dihayati sepenuhnya pemimpin tertinggi apabila menyatakan tarikh pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebagai suatu kejutan.

Sebelum ini katanya, kerajaan ada mengumumkan tidak akan bubar Parlimen untuk mengadakan PRU semata-mata bersandarkan satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokong kerajaan.

“Apappun bagi Pas, soal cepat atau lambat pilihan raya diadakan tidak menimbulkan masalah kerana kami sentiasa dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapinya pada bila-bila masa,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: