07 November 2012

RM207b: PAS bantu waris buruh paksa tuntut pampasan

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: PAS menubuhkan Sekretariat Jejak bagi menjejaki waris bekas buruh binaan landasan keretapi Siam ke Burma bagi menuntut pampasan RM207 bilion dari kerajaan.



Sekretariat yang baru ditubuhkan itu bukan sahaja bertujuan untuk menjejak mereka yang terlibat tetapi juga akan membantu mereka mendapatkan tuntutan yang dianggarkan bernilai antara RM2.8 juta hingga RM3 juta setiap keluarga.



Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini Sekretariat Jejak telah berjaya mengumpul 123 waris keluarga mangsa di Perak dan 347 waris di Pahang.



"Waris yang kita jejaki ini adalah berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma.



"Kita akan melebarkan sayap Sekretariat Jejak ke setiap negeri bagi mendapatkan maklumat dan menjadikan pengantara kepada waris untuk membuat tuntutan," jelasnya pada sidang media di parlimen.



Sementara itu Nizar turut mendesak kerajaan memberi penjelasan di mana wang berjumlah RM207 bilion hasil tuntutan 30,000 mangsa landasan maut itu.



"Kita mahu penjelasan dari Kementerian Kewangan berhubung isu ini, yang bagi saya sehingga sekarang tidak ada penjelasan langsung walaupun ada maklumat mengatakan ia telah dibawa ke kabinet untuk dibincangkan.



"Menurut laporan sebuah laman web pihak berkuasa di sana pembayaran telah dibuat kepada Malaysia oleh Kerajaan Jepun sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, tapi sehingga kita tiada penjelasan diberikan oleh Kerajaan Malaysia," sambungnya lagi.



Satu persatuan yang diberi nama Persatuan Kebajikan Bekas dan Warisan Buruh Binaan Landasan Keretapi Siam ke Burma 1942-1946 ditubuhkan yang mana akhirnya telah berjaya didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 11 Januari 2011.



Sejak didaftarkan secara rasmi, Ahli Jawatankuasa Persatuan telah memohon beberapa kali untuk mendapatkan wang pampasan dari Kerajaan Malaysia, tapi hingga kini masih gagal.



Turut serta pada sidang media sebentar tadi, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Al-Hiss serta anggota jawatankuasa Sekretariat Jejak Negeri Perak.



Sekretariat Jejak boleh dihubungi ditalian 019-2316539 dan 013-3266194.

Sumber : Harakahdaily


Nazrin: Adakah Raja dikehendaki membisu bila rakyat gelisah?

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - 


Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertanya adakah Raja-Raja Melayu wajar terus berdiam diri membisu seribu bahasa ketika institusi-institusi kerajaan kelihatan semakin 'terseret dalam kancah politik kepartian'.

Menurut baginda, integriti, profesionalisme, imej neutral serta tidak partisan institusi tersebut yang semakin dipertikaikan, menghakis rasa hormat dan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.

"Suasana ini jika berlarutan memungkinkan warga beralih kepada opsyen-opsyen lain, memungkinkan berlakunya suasana tanpa perundangan, memungkinkan negara terjerumus ke dalam anarki.

"Adakah dalam suasana kegelisahan warga ini Raja dikehendaki bersifat pasif membisu seribu bahasa?" soal baginda ketika menyampaikan Syarahan Perdana Budaya bertajuk 'Raja Berperlembagaan: Kelangsungan Negara Bangsa' di Kuala Lumpur petang tadi.

Baginda sebelumnya menegur "gelagat-gelagat politik keterlaluan" yang mengganggu kemakmuran negara.

"Politik menjelma dalam bentuk ketaksuban dan mendominasi tata urus negara sehingga penglihatan, pendengaran, pengucapan, kegiatan dan penggunaan sumber semakin berpaksikan politik.

"Matlamat jangka pendek politik bagaikan mengatasi kepentingan jangka panjang kelangsungan negara bangsa," titah baginda.

Baginda turut menegur hubungan Persekutuan dan kerajaan negeri yang kini "menjelmakan dimensi baru sehingga memeningkan kepala kakitangan awam yang berkhidmat di negeri-negeri".

Menurut baginda, pegawai-pegawai menghadapi dilema apabila berkhidmat di negeri-negeri yang berlainan parti dengan kerajaan Persekutuan.

"Berlaku keadaan pegawai-pegawai awam Persekutuan yang bertugas di negeri dilarang menghadiri acara-acara rasmi di peringkat negeri termasuk acara yang dihadiri Raja.

"Demikian juga dilaporkan pegawai-pegawai negeri turut dilarang menyertai acara anjuran Persekutuan.

"Kelainan politik antara negeri dan Persekutuan jangan sampai menjejaskan hubungan warga hingga memungkinkan warga kembali bersifat parokial kenegerian, lalu semakin tipis kesetiaan kepada negara bangsa," katanya.(MK)

Rangkaian TV: Obama dipilih semula presiden US

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] -

Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama telah dipilih semula, demikian mengikut unjuran rangkaian televisyen utama US. 

Kemenangan itu dianggap bersejarah kerana ini adalah kali kedua dalam beberapa dekad ini calon Demokrat menang penggal kedua di White House. 

Semua rangkaian televisyen utama US mengunjurkan Obama akan menang sekurang-kurangnya 274 undi - cukup untuk mengalahkan pencabarnya Mitt Romney dari parti Republican. 

 Manakala persaingan sengit berlaku di tiga lokasi penting - Ohio, Florida dan Virginia - Obama telah meraih kemenangan di Wisconsin, Michigan, Pennsylvania dan New Hampshire, dan sekaligus mengecut peluang Republikan.

Jangan tuduh sebelum rujuk kenyataan asal

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Hazayani Zakaria, KUALA LUMPUR: Semua pihak harus merujuk kenyataan asal seseorang itu sebelum membuat sebarang tuduhan khususnya isu melibatkan agama. Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz tidak merujuk kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dalam forum ‘Negara Islam: Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab?, Sabtu lalu. Sebaliknya beliau berkata, kedua-duanya terus membuat andaian bahawa Izzah bersetuju dengan tindakan orang Melayu memlih agama yang disukai. "Dalam dewan ini, kenyataan yang dibuat sebenarnya tidak dirujuk kepada apa yang sebenarnya disebutkan (Ahli Parlimen) Lembah Pantai dalam forum yang dihadirinya walaupun beliau telah membuat penjelasan bahawa kenyataannya disalah erti. "Saya meminta timbalan menteri sebelum membuat apa-apa tuduhan ke atas Yang Berhormat Lembah Pantai, merujuk dahulu secara tepat kenyataan yang dibuat oleh Lembah Pantai," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. Sebelum itu, Mohamad Aziz juga dalam soalan tambahannya mendakwa Izzah mengeluarkan kenyataan bahawa orang Islam berhak keluar Islam dan memilih agama yang diminati. Istilah Kafir Harbi Terdahulu, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani mempersoal sikap berdiam diri kerajaan dalam isu guru pondok, Abdullah Sa'amah yang mengeluarkan kenyataan bahawa haram bagi umat Islam menyokong DAP yang dikatakan secara terang-terangan menentang hukum Islam. Namun Abdullah berkata, MCA yang lantang menentang hukum hudud disifatkan Abdullah sebagai "bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya". "Kenapakah kerajaan ada double standard dalam tindakan yg diambil. Jika melibatkan Pakatan Rakyat cepat ambil tindakan. Kalau melibatkan Umno, diam sahaja. "Adakah benar DAP kafir harbi dan apakah tindakan yang diambil terhadap ustaz tersebut dan Utusan Malaysia yang mengeluarkan laporan itu? soalnya. Tanpa memfokuskan mengenai kenyataan Abdullah itu, Mashitah dalam jawapannya berkata, mana-mana orang bukan ISlam boleh disifatkan sebagai kafir harbi jika secara terang-terangan menentang Islam. "Iistilahnya senang sahaja. Sekiranya bukan Islam itu menentang kepada Islam, mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti mengecop bahawa syariah Islam ektsremisme dengan terang-terang menyebut tidak mahu Islam. 'Tak kiralah nak langkah mayat atau tidakkah'. "Ataupun merasakan, mempertahankan maruah Islam itu sesuatu yang membazir dan buang masa. Maka jelas ianya sesuatu yang menentang kepada Islam. "Tetapi mereka bukan Islam boleh patuh pada Perdana Menteri beragama Islam, patuh kepada perjanjian kontrak sosial di dalam Perlembagaan Persekutuan diboleh dikategorikan kafir zimmi yang boleh dijadikan sahabat," katanya. Amran dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan langkah yang diambil bagi mengawal pengeluaran fatwa oleh individu yang tidak diiktiraf yang boleh mengelirukan umat Islam terutamanya istilah "kafir Harbi" tindakan undang-undang yang akan diambil bagi mengelak agar ia terus berulang. (HD)

Kerajaan peruntuk RM3 bilion bagi BR1M 2.0

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Kerajaan memperuntukkan RM3 bilion bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0 (BR1M 2.0) mulai Januari 2013, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai. Pembayaran itu akan dilakukan menjelang 15 Januari sehingga 15 Mac, 2013, katanya kepada pemberita hari ini. Pendaftaran bagi BR1M bermula 1 Nov sehingga 31 Dis, 2012. "Permohonan bermula 1 November sehingga 31 Disember. Kita harap sesiapa yang tidak membuat permohonan semasa BR1M yang pertama, harap mereka akan buat pada kali ini," katanya di luar acara seminar jualan dua hari oleh pakar jualan dan pemasaran, Bob Urichuck hari ini. Seminar itu dianjurkan oleh Kumpulan Syarikat Job Hunt dan menarik lebih 300 peserta. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BRIM 2.0 semasa membentangkan Belanjawan 2013 di Parlimen pada 28 September. Rakyat yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan layak mendapat bantuan tunai RM500. Mengenai pilihan raya Presiden AS, Lim berkata Malaysia gembira dengan hubungan semasa dengan AS. "Amerika adalah satu negara penting. Amerika ialah negara dagangan ketiga terbesar kita yang berjumlah 10 peratus daripada keseluruhan perdagangan kita," katanya. (Bernama)

Liu: S'gor mungkin batal kelulusan kondo Batu Caves

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Kerajaan Selangor mungkin membatalkan kelulusan projek kontroversi kondominium Park Avenue di Batu Caves untuk mengabaikan bantahan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, kata Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu. Kawasan tanah rizab yang terletak antara projek kondominium 29 tingkat itu dan Batu Caves adalah terlalu sempit, dan ini boleh menyebabkan batu runtuh dan ketidakstabilan tanah, kata Liu kepada Malaysiakini semalam. "Projek ini adalah sangat dengan gua dan tidak ada langkah-langkah keselamatan yang mencukupi untuk mencegah batu runtuh," katanya sambil menambah bahawa sekarang pihaknya boleh membatalkan projek tersebut. "Kami ada hak untuk membetulkan (kesilapan) masa lalu." Liu berkata kerajaan negeri BN sebelumnya tidak sepatutnya meluluskan projek di tempat pertama. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan dalam akhbar harian berbahasa Inggeris the Sun pada hari Isnin bahawa surat JAS Selangor bertarikh pada 24 Januari 2007 kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menegaskan bahawa MPS telah meluluskan projek itu pada tahun 2007 walaupun dibantah oleh JAS. Surat tersebut, salinannya diperolehi Malaysiakini, menyatakan dengan jelas bahawa JAS tidak menyokong projek tersebut. Laporan cadangan pemajuan yang dikemukakan, tidak menyediakan tanah rizab yang mencukupi antara projek kondominium yang dicadangkan itu dengan bukit, yang dikehendaki di bawah dasar kerajaan negeri. Oleh itu, jabatan berkenaan tidak menyokong pembangunan tersebut kerana ia mempunyai potensi untuk menyebabkan tanah runtuh dan masalah lain. Satu lagi surat dari Jabatan Mineral dan Geosains di Selangor, yang salinannya juga diperolehi Malaysiakini, pula menyenaraikan lima syarat pembinaan yang perlu dipenuhi oleh pemaju. Rancangan pembinaan kondominium tersebut berhampiran Kuil Sri Subramaniar yang bersejarah, menarik perhatian selepas jawatankuasa kuil itu, yang disokong oleh pemimpin tinggi MIC, termasuk bekas presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu, mengetuai bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor. Isu itu timbul selepas jawatankuasa kuil itu yang disokong MIC mengadakan bantahan terhadap projek tersebut pada akhir bulan Oktober. Bagaimanapun, Liu kemudiannya mendedahkan dokumen-dokumen yang menunjukkan bahawa kerajaan BN telah, pada tahun 2007, meluluskan projek kondominium itu. Liu dilaporkan sebagai berkata bahawa Senator A Kohilan Pillay dari Gerakan dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan dari MIC adalah antara mereka yang bertanggungjawab meluluskan projek tersebut. Bagaimanapun, Kohilan dan Kamalanathan telah menafikan tuduhan itu dan membuat laporan polis mengenai perkara itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengumumkan bahawa sebuah pasukan petugas bebas ditubuhkan untuk mengkaji perkara itu. Anggota pasukan petugas itu dijangka diumumkan hari ini, selepas mesyuarat exco kerajaan negeri.(MK)

“Kapal” wang ihsan karam di Sungai Kelantan

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: “Kapal” yang membawa wang ihsan hasil petroleum di Kelantan karam di Sungai Kelantan bersama gambar Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Dr Awang Adek Hussin. Kapal replika hasil kreatif aktivis Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (R Malaysia) dipasang layar yang memaparkan tulisan Tolak Wang Ihsan, Tolak Jawatankuasa Khas dan Tolak Penderhaka. Replika tersebut dilepaskan Naib Presiden R, Abu Samah Hassan sambil disaksikan Presiden R Malaysia, Nazri Deraman dan aktivis R. Majlis bersejarah itu berlangsung di sebuah restoran terapung di Sungai Kelantan di Bandar Baru Lembah Sireh turut dirakam lensa-lensa kamera wartawan. Nazri berkata, wang ihsan yang diumumkan Perdana Menteri dibayar kepada kerajaan Pahang ialah wang royalti berdasar kepada perkiraan kadar 5 peratus setahun dan bukannya wang ihsan. “Berdasar pengiraan R, jumlah wang royaltu yang sepatutnya Pahang terima ialah RM102.65 setiap tahun, bukannya RM100 juta setahun berdasar harga minyak mentah semasa. “Ini bermakna Perdana Menteri telah menggunakan formula bayaran tunai atau royalti untuk mengira jumlah pemberian wang ihsan kepada Pahang,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Menurutnya perkataan wang ihsan hanyalah istilah politik yang cuba menafikan hak kerajaan Terengganu pada 2000 dan Kelantan sekarang. “Begitu juga nasib Kelantan pada 2010 di mana kerajaan memberi wang ihsan sebanyak RM20 juta kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan bagi menafikan hak kerajaan Kelantan mendapat royalti,” ujarnya. Kata beliau tindakan itu jelas melanggar Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian 1975 kerana disebut dengan jelas bayaran tunai yang mesti dibayar kepada kerajaan negeri dan bukannya pihak lain. Nazri juga merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Pahang kerana mendapat bayaran tunai RM100 juta daripada 5 peratus pengeluaran minyak di Medan Bertam, 160 km daripada pantai Pahang. Katanya, R dan rakyat Pahang hanya menerima bayaran berbentuk royalti dan bukannya wang ihsan.(HD)

S'gor cadang guna semula 2 loji air di Ampang

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KLANG: Kerajaan Negeri Selangor akan membuka dua lagi loji yang tidak beroperasi di Ampang dalam usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran air yang terawat kepada pengguna Lembah Klang. Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata kedua-dua loji itu merupakan aset Kerajaan Negeri tetapi telah diabaikan seperti Loji Bukit Jelutong. Katanya, pihaknya sudah meminta Timbalan Pengarah UPEN, Nor Azmi Diron untuk menyelidik potensi loji-loji itu. “Sekiranya kedua-dua loji itu berpontensi dan benar sudah tidak digunakan, saya akan berbincang perkara ini dengan lebih lanjut dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri. “Kita juga akan menggunakan mana-mana aset-aset ini untuk bangunkan semula loji ini dengan menggunakan kaedah teknologi membran atau kaedah konservatif,” katanya ketika ditemui TvSelangor. Baru-baru ini, Loji Perawatan Air (LPA) di Bukit Jelutong yang ditutup sejak 17 tahun lalu akan dibuka semula untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat. Kerajaan Negeri kini dalam proses menjalankan kajian rintis bagi membolehkan loji tersebut diguna semula dan dijangka siap Jun tahun depan. “Dalam masa kajian yang akan dilakukan, kita akan membuka tender kepada mana-mana kontraktor yang berminat. “Sekarang kita beri tempoh dua bulan kepada syarikat jurutera perunding untuk melaksanakan kajian menyeluruh untuk mengemukakan kertas kajian yang lengkap kepada Kerajaan Negeri,” katanya.(HD)

Menteri diminta jelas isu kejatuhan harga getah, kelapa sawit

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Zulaikha Zulkifli Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok memberi penjelasan tentang isu kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit mentah. Presidennya, Mazlan Aliman berkata, harga komoditi getah dan kelapa sawit mentah mula jatuh mendadak sejak sebulan lalu yang melibatkan seramai dua juta pekebun kecil. Menurut Mazlan lagi, sehingga hari ini kerajaan tidak mengumumkan langkah-langkah bagi memberi jaminan kepada pekebun ladang kelapa sawit dan getah bagi mengatasi kejatuhan harga komoditi walaupun memorandum telah diserahkan pada menteri terbabit dua minggu lalu. "Maklumat terakhir daripada wakil pekebun kecil yang kita terima ialah mereka kini menerima RM300 bagi satu tan kelapa sawit. Harga ini (kejatuhan harga komoditi) sangat jauh lebih buruk berbanding dua tahun lalu. Bagi getah pula sebelum ini RM5 hingga RM6 sekilo tetapi sekarang RM2.50 sekilo. "Harga yang diterima itu belum ditolak dengan harga upah kerja dan upah pengangkutan. Kita telah serah memorandum pada menteri dua minggu lalu tetapi sampai sekarang tak dapat lagi langkah bagi menjamin harga komoditi tidak jatuh. "Sampai sekarang tak ada yang menjawab mengenai hal ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara semalam. Harga satu tan kelapa sawit pada enam bulan lalu ialah RM550 hingga RM700. Pada 23 Oktober lalu, ANAK menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung masalah kejatuhan harga komoditi untuk diserah kepada Bernard. Mazlan berkata dua permohonan telah dilakukan untuk bertemu Bernard bagaimanapun gagal. Sehubungan itu, Mazlan mencadangkan agar kerajaan menyediakan kembali skim seperti yang pernah dilancarkan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu pekebun kecil yang menghadapi masalah kejatuhan harga komoditi. Jelas Mazlan, skim yang dibuat secara "ad-hoc" pada tahun 90-an itu membantu para pekebun dengan memberi sokongan pendapatan, insentif dan penanaman semula kelapa sawit. "Kerajaan boleh hidupkan skim itu. Skim itu dibuat masa zaman Mahathir. Skim itu membantu pekebun. "Tetapi sekarang, bukan sahaja skim, penanaman semula kepala sawit juga tidak dilakukan dan ini juga memberi masalah pendapatan kepada pekebun yang terpaksa menerima hasil daripada pokok kelapa sawit tua," katanya lagi.(MK)

Apa usaha Jakim beri kefahaman berkenaan hudud

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Perdana Menteri diminta menyatakan apakah usaha Jakim melalui agensi-agensi berkaitan seperti Yadim, Majlis Fatwa Kebangsaan, TV AL-Hijrah dan Radio Ikim dalam memahamkan berkenaan perundangan Islam, Hudud, Qisas dan Takzir. Demikian pertanyaan bagi jawab lisan yang dikemukakan Dr. Mohd Hatta Md Ramli [PAS-Kuala Krai] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. Ahli-ahli Parlimen PAS yang turut mengemukakan pertanyaan bagi jawab lisan hari ini seperti di bawah. Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [Bukit Gantang] meminta Menteri Pelajaran menyatakan kenapa Pentaksiran Berdasarkan Sekolah diperkenalkan di sekolah-sekolah Kerajaan, sedangkan banyak sistem operasi on-line tidak berkesan dan "lambat". Mengapa Kementerian Pelajaran tidak mahu memberi elaun tambahan untuk guru-guru yang terpaksa memasukkan (key-in) markah dan maklumat di rumah, yang melibatkan masa bersama keluarga dan terpaksa membayar bil elektrik yang tinggi serta para guru terpaksa melanggan broadband untuk membuat kerja sekolah? Mohd. Abdul Wahid Endut [Kuala Terengganu] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kejadian letupan loji di Kompleks PETRONAS Kerteh semenjak ia beroperasi serta nyatakan punca dan akibat kejadian dan langkah-langkah mengatasinya. Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan berhubung peratus saham FGV yang dilanggan oleh individu, syarikat, peneroka dan apakah nama dan peratus syarikat yang melanggan saham terbabit termasuk di dalam dan luar negara. Che Uda Che Nik [Sik] minta Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi menyatakan industri getah negara banyak melibatkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar berbanding dengan Industri sawit yang melibatkan ladang-ladang besar dan GLC yang kaya raya. Apakah langkah yang di ambil oleh Kerajaan untuk menstabil harga getah dalam memastikan pekebun kecil tidak terus tertindas dan terus berada dalam kemiskinan kekal. Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan anggaran kos tambahan yang diperlukan oleh Projek Rancangan Pengairan Bukit Sena Padang Terap bagi membolehkan ia beroperasi dengan sempurna. Nasharudin Mat Isa [Bachok] minta Menteri Kewangan menyatakan bilakah kali terakhir kakitangan MAS menerima bonus dan adakah penyelarasan semula gaji mereka akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan “roadmap” Kualiti Petrol (Fuel Quality) untuk kenderaan bagi meningkatkan keberkesanan penggunaan petrol dan diesel untuk pengguna.(HD)

Pemuda PAS sokong gesaan agar Nazri bercuti

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat Datuk Seri Nazri Aziz sepatutnya tahu batas perhubungan khususnya dengan mereka yang dikaitkan dengan tuduhan rasuah. Ketua peneranganya, Riduan Mohd Nor berkata, hubungan dengan individu seperti itu hanya akan mewujudkan pandang serong masyarakat lebeih-lebih lagi beliau merupakan menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang negara. "Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang negara, beliau semestinya tahu batas-batas pergaulan supaya tidak dilihat serong. "Kes ini akan dilihat pelik sekiranya beliau atau anak beliau mempunyai hubungan dengan individu yang sudah terpalit dengan rasuah," katanya. Beliau mengulas pendedahan PKR sebelum ini yang mendakwa keluarga Nazri ada kaitan dengan Michael Chia, jutawan balak kontroversi yang pernah ditangkap di Hong Kong dalam percubaan untuk menyeludup wang. Hubungan itu yang didedahkan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, adalah berupa kenderaan mewah SUV Hummer yang diguna oleh anak Nazri, Nedim. "Saya bersetuju dengan cadangan Rafizi Ramli, supaya Datuk Seri Nazri Aziz mengambil cuti sebagai Menteri Kabinet ekoran dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadap menteri undang-undang itu," kata Riduan lagi. Menurut Riduan lagi, Nazri perlu bercuti kerana beliau adalah menteri undang-undang dan SPRM berada di bawah tanggungjawab beliau. SPRM katanya, tidak mampu bertindak bebas dan telus jika badan itu berada di bawah individu yang turut dikaitkan dengan isu rasuah. "Kebenaran perlu dibuktikan dan Datuk Seri Nazri Aziz tidak perlu gusar sekiranya beliau berada di pihak yang benar. "Jika Datuk Seri Shahrizat Jalil sanggup bercuti malah melepaskan jawatannya, Datuk Seri Nazri sepatutnya bersikap lebih gentleman dengan mengambil pendirian yang sama iaitu dengan bercuti bagi memberi peluang kepada SPRM menyiasat dakwaan yang dilemparkan terhadapnya," kata Riduan lagi. Jika Nazri menyahut seruan bercuti itu kata Riduan, menteri itu akan terus dihormati kerana mempunyai prinsip yang jelas dan tegas terhadap rasuah dengan sanggup menjadikan dirinya role model yang boleh dicontohi oleh masyarakat. (HD)

Kalau parti putus tanding di Sabah saya OK !

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: "Kalau pimpinan PAS mengarahkan saya bertanding di Sabah atau Sarawak pun, saya akan pergi," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) hari ini. "Saya tidak boleh buat keputusan sendiri, kita terima senarai calon kemudian bincang bersama dan mesti patuh kepada keputusan parti. "Kalau parti kata tidak bertanding, maka tidak bertandinglah. Kalau bertanding maka bertandinglah. "Dan di mana sahaja bertanding sekalipun, kalau bertanding di Pekan, Pekan lah. Kalau bertanding di Sabah, Sarawak, maka di Sabah Sarawaklah," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat bulanan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut. Barisan pimpinan tertinggi PAS Pusat yang turut bersama di dalam sidang media itu terus ketawa sebaik sahaja wartawan meminta Abdul Hadi memberi respons berhubung hasratnya untuk bertanding di Pekan. Abdul Hadi mendapat perhatian media ekoran beliau menyatakan kesediaan untuk melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di parlimen Pekan dalam pilihan raya nanti. Menurut Ahli Parlimen Marang itu, kenyataanya untuk bertanding di Pekan adalah sebagai mesej kepada ahli dan parti bahawa beliau bukan seorang diktator. "Kenyataan itu adalah mesej kepada seluruh ahli-ahli parti yang menyokong parti supaya yang pertama, saya bukan diktator dalam parti," katanya. Pilihan raya Sehubungan itu, Abdul Hadi juga memberitahu PAS sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya ke-13 pada bila-bila masa. "Daripada taklimat diberikan dalam mesyuarat hari ini, kita sudah siap 90 peratus dari keperluan pilihan raya," katanya. Antara perkara utama yang dibincangkan adalah persiapan Muktamar PAS kali ke-58 yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 November di Kota Bharu Kelantan. Mesyuarat kali ini turut membincangkan beberapa perkara penting di peringkat antarabangsa termasuklah konflik yang dihadapi oleh umat Islam Rohingya, masalah di Filipina dan kezaliman terhadap rakyat Syria. Turut bersama dalam sidang media petang tadi, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Penolongnya Datuk Takiyuddin Hassan.(HD)