07 November 2012

Menteri diminta jelas isu kejatuhan harga getah, kelapa sawit

22 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Zulaikha Zulkifli Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) meminta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok memberi penjelasan tentang isu kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit mentah. Presidennya, Mazlan Aliman berkata, harga komoditi getah dan kelapa sawit mentah mula jatuh mendadak sejak sebulan lalu yang melibatkan seramai dua juta pekebun kecil. Menurut Mazlan lagi, sehingga hari ini kerajaan tidak mengumumkan langkah-langkah bagi memberi jaminan kepada pekebun ladang kelapa sawit dan getah bagi mengatasi kejatuhan harga komoditi walaupun memorandum telah diserahkan pada menteri terbabit dua minggu lalu. "Maklumat terakhir daripada wakil pekebun kecil yang kita terima ialah mereka kini menerima RM300 bagi satu tan kelapa sawit. Harga ini (kejatuhan harga komoditi) sangat jauh lebih buruk berbanding dua tahun lalu. Bagi getah pula sebelum ini RM5 hingga RM6 sekilo tetapi sekarang RM2.50 sekilo. "Harga yang diterima itu belum ditolak dengan harga upah kerja dan upah pengangkutan. Kita telah serah memorandum pada menteri dua minggu lalu tetapi sampai sekarang tak dapat lagi langkah bagi menjamin harga komoditi tidak jatuh. "Sampai sekarang tak ada yang menjawab mengenai hal ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara semalam. Harga satu tan kelapa sawit pada enam bulan lalu ialah RM550 hingga RM700. Pada 23 Oktober lalu, ANAK menyerahkan memorandum kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen berhubung masalah kejatuhan harga komoditi untuk diserah kepada Bernard. Mazlan berkata dua permohonan telah dilakukan untuk bertemu Bernard bagaimanapun gagal. Sehubungan itu, Mazlan mencadangkan agar kerajaan menyediakan kembali skim seperti yang pernah dilancarkan oleh mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantu pekebun kecil yang menghadapi masalah kejatuhan harga komoditi. Jelas Mazlan, skim yang dibuat secara "ad-hoc" pada tahun 90-an itu membantu para pekebun dengan memberi sokongan pendapatan, insentif dan penanaman semula kelapa sawit. "Kerajaan boleh hidupkan skim itu. Skim itu dibuat masa zaman Mahathir. Skim itu membantu pekebun. "Tetapi sekarang, bukan sahaja skim, penanaman semula kepala sawit juga tidak dilakukan dan ini juga memberi masalah pendapatan kepada pekebun yang terpaksa menerima hasil daripada pokok kelapa sawit tua," katanya lagi.(MK)

Tiada ulasan: