14 Syawal 1433H. [MOD] -
Malam Ulang Tahun Merdeka – 31 Ogos itu - begitu indah dengan awan berarak perlahan-lahan, udara segar dan ramah menggapai rakyat berbaju kuning yang berhimpun aman untuk ‘Janji Demokrasi’ di depan Dataran Merdeka.
Jam Besar Dewan Bandaraya berbunyi setiap sejam sekali, seperti bernostalgia mengingatkan kembali detik penting sejarah negara, ketika bendera Union Jack diturunkan dan dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu sebagai simbolis berakhirnya era penjajahan British di tanah air kita dan bermulanya era merdeka.
Pada masa itu – 31 Ogos lalu – Sasterawan Negara, A. Samad Said masih muda Singapura, namun bakatnya sebagai penulis sudahpun menyerlah. Beliau ikut serta dalam gelombang perjuangan Angkatan Sasterawan ‘50, sebuah badan penulis yang mengukir sejarah kerana ikut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dan keadilan sosial untuk rakyat.
Gelombang Asas ’50 itu dipelopori oleh Usman Awang, Kris Mas, Asraf Haji Abd Wahab, A. Samad Ismail, Masuri S.N. dan lain-lain – sasterawan yang sentiasa berada di tengah rakyat.
Demikianlah perjuangan Asas ’50 yang sangat momental, yang disertai oleh A. Samad Said. Ertinya, sasterawan seperti beliau sejak sekian lama memperjuangkan kebebasan rakyat dan perjuangan itu masih diteruskannya.
Oleh itu – lebih 50 tahun - kemudian - ketika beliau mendeklamasikan puisi ‘Janji Demokrasi’ di depan Dataran Merdeka pasa malam 31Ogos lalu, di depan puluhan ribu rakyat berbaju kuning itu, adalah lanjutan dari perjuangannya masa lalu.
Malam itu, Sasterawan Negara itu membacakan puisinya dengan linangan air mata, mungkin mengingat perjuangan getir rakyat masa lalu untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan.
Namun apa yang berlaku sekarang, lebih setengah abad tanah air merdeka. Negara berdepan dengan kebejatan politik, rasuah dan penyelewengan serta semakin terhakisnya kebebasan. Inilah yang ditangisi oleh Sasterawan Negara seperti A. Samad Said.
Saya juga membayangkan malam itu, andainya tokoh pejuang kemerdekaan masa lalu – Ishak Haji Muhamad, Dr. Burhanudin, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaakub dan lain-lain - berada di Dataran Merdeka ketika itu, bagaimanakah mereka menyaksikan semuanya itu.
Berapa ramaikah mereka yang mengingat nama-nama besar pejuang kemerdekaan itu dalam suasana pelbagai media hanya menonjolkan nama-nama pemimpin politik yang berkuasa.
Mengikuti perjuangan sasterawan besar itu sejak setengah abad lalu, malah pernah belajar menulis dengannya, juga bekerja dibawahnya, saya terkesan bahawa A. Samad Said telah memanfaatkan bakat alam dan intelektual yang dianugerah Allah kepadanya untuk menjadi jurubicara rakyat, memperjuangkan hak dan kebebasan mereka.
Puisinya 'Janji Demokrasi' itu sangat mengesankan, mempunyai nilai estatika dan kemanusiaan yang tinggi dengan dilatarai pengamatan tajamnya terhadap kehidupan ini dan bagaimana ia menyaksikan sambutan ulang tahun kemerdekaan dalam suasana yang sedemikian rupa.
(A. Samad Said di tengah orang ramai)
Amatilah puisinya itu
Janji Demokrasi:
Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!
Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang
mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,
menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!
Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: “Janji Demokrasi!”
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!
Puisi ‘Janji Demokrasi’ itu mampu berdiri sendiri dengan gagahnya seperti hero filem ‘Walking Tall’, Joe Don Baker, bekas sarjan polis dengan cotanya bertindak seorang diri hendak memerangi rasuah dan kebobrokan masyarakatnya di sebuah bandaraya di Amerika. Walaupun ia tewas di tangan mafia, namun sarjan itu menjadi simbol sebuah perjuangan.
Malam Himpunan Janji Demokrasi yang dianjurkan oleh Gabungan Janji, yang merupakan gabungan kira-kira 47 NGO sekali lagi menyerlahklan A. Samad Said sebagai ikon bukan saja kepada anak muda, tetapi juga kepada civil society - masyarakat madani – pelbagai bangsa dan agama, yang sangat cintakan tanah airnya dan dalam masa yang sama sangat peka dengan hal-hal kebebasan, hak-hak rakyat dan keadilan.
Saya yakin masih tetap wujud sejumlah penulis yang bersama-sama mendukung perjuangan ini yang menjadikan penulisan sebagai wahana perjuangan menuntut kebebasan dan keadilan.
Saya percaya A. Samad Said sebagai sasterawan tidak berseorangan dalam perjuangan ini. Perjuangannya didukung oleh oleh rakyat prihatin semua generasi yang cintakan kebebasan dan keadilan.
Malam Himpunan Janji Demokrasi itu bertujuan untuk 'mengingatkan' kerajaan mengenai segala janji yang belum ditunai terhadap tuntutan BERSIH untuk pilihanraya yang bersih dan adil. Namanya itu sendiri sebagai satu ingatan selaras dengan tema sambutan rasmi sambutan hari Kebangsaan, iaitu 'Janji Ditepati'.
Kini, Sambutan 31 Ogos telah berlalu, jam besar di depan Dataran Merdeka akan terus berbunyi dan ia tahu kepada siapa ia berbunyi. Sementara segala yang ada di situ akan terus menyaksikan bagaimana rakyat Malaysias meneruskan kehidupan ini.
harakahdaily/-