23 Ogos 2012

Ugutan dari Lombok

4 Syawal 1433H. [MOD] -

KAMUNTING: Keluarga arwah Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang dilarikan lelaki warga Indonesia ke Lombok sebelum meninggal dunia pada 6 Mei lalu mendakwa diganggu penculik anaknya itu dengan menghantar pelbagai ugutan menerusi panggilan telefon dan SMS.

Ibu Allahyarham Nur Afifah, Hasliza Ismail, 45, mendakwa lelaki itu yang dikenali sebagai Mohamad Yani, 30-an, kerap menghantar SMS dan menelefonnya sejak sebulan lalu dengan menggugut untuk menculik seorang lagi anak perempuannya, Nur Amalina, 18.

“Dia mengugut saya dengan memberitahu, mahu menghantar empat rakannya bagi melarikan Nur Amalina ke Lombok untuk menggantikan arwah Nur Afifah. Saya tidak pasti apa motif mereka berbuat demikian.

“Mungkin mereka tidak puas hati kerana hajat mereka untuk memperdagangkan Nur Afifah dalam sindiket pelacuran tidak tercapai apabila anak saya itu meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Panglima, di sini, semalam.

METO/-

Fitnah Ladang Rakyat, mohon maaf di mahkamah

4 Syawal 1433H. [MOD] -

PASIR MAS: Pihak tertentu yang tidak sebulu dengan kerajaan negeri Kelantan, khususnya berhubung Ladang Rakyat, diingat tidak menyebar sebarang fitnah kerana dibimbangi akan mengalami nasib yang sama sehingga terpaksa memohon maaf di mahkamah.

Mereka juga diingatkan supaya berhati-hati dengan menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan berkenaan Ladang Rakyat.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, ketika memberitahu Harakahdaily berkata projek Ladang Rakyat sekali lagi menghadapi fitnah pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menuduh telah menjual 1,400 hektar ladangnya di Limau Kasturi, Gua Musang kepada syarikat swasta.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Aidilfitri Majlis Tindakan Dun Tendong, dekat sini petang tadi (gambar) bagi mengulas kenyataan Adun Paloh, Datuk Norzula Mat Diah.

Norzula dalam sebuah akhbar harian hari ini berkata, kerajaan negeri melalui Ladang Rakyat telah menjual 1,400 hektar tanah Ladang Rakyat kepada syarikat swasta.

“Baru-baru ini blogger mesra Umno Syed Azidi Syed Abdul Aziz (Kickdefella), memohon maaf kepada Ladang Rakyat di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu atas fakta yang tidak benar berhubung Ladang Rakyat,” ujarnya.

Ahmad seterusnya berkta, tidak berlaku sebarang penjualan atau pindah milik tanah Ladang Rakyat di Limau Kasturi.

Tambahnya, sebaliknya tanah berkenaan dimajukan pihak swasta melalui satu kaedah pemajuan yang biasa diamalkan oleh agensi kerajaan, iaitu pajakan.

“Hak milik tanah kekal di atas nama Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat negeri Kelantan,” ujarnya.

Pada masa yang sama, beliau menolak dakwaan yang mentatakan tanah Ladang Rakyat di Limau Kasturi perlu diserahkan kembali pada rakyat adalah tidak berasas.

Tambahnya, ini kerana kerja-kerja pengukuran ladang telahpun dibuat, termasuk kawasan rentahan orang kampung juga turut dikelurkan dari kawasan Ladang Rakyat.

“Oleh itu, sebagai penjelasan kawasan Ladang Rakyat Limau Kasturi tidak pernah terbabit dengan kawasan terokaan orang kampung,” ujarnya.

HARAKAHDAILY/-

Tak setuju tak apa tapi jangan hina hukum hudud

4 Syawal 1433H. [MOD] -

TEMERLOH: PAS mengingatkan sesiapa yang tidak bersetuju dengan hukum hudud agar jangan sesekali mengeluarkan kenyataan menghina hukum yang termaktub di dalam al-Quran itu kerana ia bakal mengundang kemarahan umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

“Hudud bukanlah undang-undang baru. Ia telah dilaksanakan ribuan tahun dan pernah menjadi sistem ratusan negara di dunia Islam dan ia telah terbukti berjaya mencegah peningkatan kadar jenayah di zamannya, sebelum perundangan barat mengambilalih di negara yang dijajah mereka,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Harakahdaily.

Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa penghinaan kepada asas pegangan suatu agama akan mengundang kemarahan umat Islam tanpa mengira fahaman politik.

Beliau berkata pihak yang tidak bersetuju dengan hudud tidak perlulah mengeluarkan kenyataan menghina hukum itu seperti keberkesanannya dalam menangani jenayah dan sebagainya.

Kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, penghinaan terhadap hukum hudud, walaupun tidak dilaksanakan lagi di dalam negara boleh mengguris hati umat Islam kerana ia seolah-olah menghina Allah.

Dalam mempertahankan pendirian DAP dalam menolak hukum hudud, Presiden DAP Kebangsaan Karpal Singh baru-baru ini terlajak sehingga cuba merendah dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud dalam mengatasi jenayah.

Sebelum ini, Karpal hanya menolak hukum hudud dari sudut perundangan dan perlembagaan negara. Tapi kali ini, Karpal dilaporkan berkata hukum hudud bukanlah satu undang-undang yang adil untuk semua pihak kerana hukumnya memerlukan bukti yang 100 peratus tanpa keraguan berbanding undang-undang jenayah sivil sedia ada yang hanya memerlukan bukti tanpa keraguan yang munasabah.

Karpal juga memberikan contoh dalam kes rogol, adalah mustahil untuk mendapatkan 4 orang saksi dan kesannya, tidak ada suspek yang akan didapati bersalah.

“Ini masalah Karpal. Dia tak faham bahawa dalam Islam, selain hudud dan qisas ada hukuman takzir iaitu kesalahan-kesalahan yang hukumannya merupakan dera, iaitu penjenayah-penjenayah tidak dijatuhkan hukuman hudud atau qisas. Hukuman takzir adalah hukuman yang tidak ditentukan kadar atau bentuk hukuman itu di dalam Al-Quran dan Hadis.

"Tapi beliau tidak beriman pada Allah, jadi tak pelik beliau menolak. Tapi lebih elok senyap daripada mempertikai apa yang beliau tidak arif kerana ia mengundang kemarahan apabila pertikaian itu bersifat menghina,” kata Tuan Ibrahim.

Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi pula memberikan amaran bahawa kenyataan Karpal bakal mengundang kemarahan umat Islam.

"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubung baik sesama (Pakatan Rakyat) PR," kata beliau menerusi Twitter malam tadi.

Nasrudin juga menyatakan kekesalannya terhadap MCA yang juga mempertikai hukum hudud.

“Umno pula membisu, Majlis Fatwa kaku. Untuk semua: Tolong jangan pertikai hukum Allah," katanya lagi.

Untuk kenyataan Karpal, Tuan Ibrahim berkata PAS berharap DAP memahami kesan pada usahanya untuk keluar daripada parti yang dianggap parti Cina dan menyerahkan urusan dalaman ahli DAP kepada kebijaksanaan parti tersebut untuk mengambil tindakan.

“Kita sudah bersetuju untuk tidak bersetuju dalam isu hudud, dan isunya selesai di situ. Tidak perlu mempertikaikan perjuangan PAS yang inginkan hukum hudud. PAS sedar banyak halangan dan banyak tentangan – tapi ini tidak bermakna PAS akan henti berusaha untuk mencapai cita-citanya,” tegas Tuan Ibrahim.

“Penghalang utama PAS melaksanakan hudud selama ini ialah Umno-BN di Kelantan dan Terengganu, ketika itu DAP tidak berkawan dengan PAS dan DAP tidak mempunyai kuasa menghalang sedemikian, walaupun pendirian mereka menentang,” tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw berpendapat isu agama tidak perlu dicampuri oleh kaum lain yang tidak mengena dengan agama tersebut.

“Kita tak perlu nak masuk campur dalam isu agama lain yang akan beri kesan… sensitiviti pada kaum itu. Saya sendiri tak mahu sentuh isu seperti hudud kerana saya tahu itu akan menimbulkan rasa tidak senang kepada kaum lain,” kata beliau yang dipetik Sinar Harian Online.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula berkata segala kritikan pada Karpal, juga turut sama terpalit pada Tun Dr Mahathir dan Umno.

“Jika Karpal terus menentang, apa bezanya dengan Tun? Bahkan apa bezanya dengan Umno?

Bahkan lagi, selama mana DAP menentang hudud, udara keruh berjerebu itu akan dihirup oleh Umno,” tulisnya di blog sambil menambah penyebab utama lambatnya penerimaan masyarakat terhadap hukum hudud adalah Umno.

harakahdaily/