IPOH: Menteri Besar Perak Darul Ridzuan akhirnya menyahut cabaran untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Perak (PFA) yang dilanda masalah kewangan, selepas enam bulan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, mulai pertengahan Oktober ini.
Dato Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin secara terbuka mengatakan kesediaannya itu pada media hari ini (10 Ogos) selepas membuat kajian teliti daripada segenap aspek dan atas semangat kesukanan untuk membuktikan bahawa Pakatan Rakyat mampu menguruskannya dengan lebih cemerlang.
Beliau berkata, selama ini beliau bukan berdiam diri tetapi sebaliknya telah beberapa kali menonton perlawanan pasukan Perak di Stadium Perak untuk mendapatkan gambaran dan memahami apa kah peranan yang dapat dilaksanakannya.
“Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan awal sebanyak RM300,000 untuk menyelesaikan masalah gaji para pemain dan jurulatih pada bulan lepas, dan menjelang hari raya aidilfitri ini akan menyalurkan sebanyak RM250,000 lagi untuk menjelaskan sebulan gaji pemain yang tertunggak dan urusan perbelanjaan pemain dan pegawai ke perlawanan AFC di Lebanon akhir Sept ini,” katanya.
Perak akan menentang Lebanon pada perlawanan sukuakhir pusingan pertama Kejohanan AFC di Stadium Perak pada 16 Sept ini dan bertolak ke tempat lawan pada 20 Sept.
Sebelum ini, kerajaan negeri bukan sengaja membiarkan para pemain atau pasukan Perak terumbang ambing tetapi terpaksa menumpukan pada usaha memperkemaskan hal ehwal pentadbiran dahulu, kata beliau.
Nizar berkata, peralihan pimpinan akan dibuat oleh barisan kepimpinan PFA yang beberapa kali telah menawarkan jawatan itu kepadanya, pada kongres PFA pertengahan Oktober dan pada masa ini saya bersetuju mengambil alih setelah segala hal ehwal kewangan persatuan itu diauditkan nanti.
Dalam tempoh terdekat ini, saya mewakilkan pada seorang pegawai saya untuk berurusan dengan pegawai PFA dan para pemain bagi mempercepatkan proses pengambilalihan itu.
Beliau berkata, oleh kerana pemain telahpun tamat kontrak pada akhir Ogos atau Sept ini, maka sebelum pengambilalihan itu berlaku, langkah perlu dibuat untuk mengenalpasti pemain yang akan dikekalkan, di samping jurulatih yang akan mengemudikan pasukan.
“Jika menunggu pengambilalihan rasmi, maka pemain ini akan berada dalam dilema dan waktu akan menjadi begitu kritikal untuk pemain membuat keputusan, yang akhirnya memungkinkan usaha membentuk sebuah pasukan kuat menjadi kabur.
sumber : http://perakdaily.com/