04 Februari 2009

Kerajaan Perak tidak iktiraf 2 ADUN .

IPOH: Kerajaan negeri Perak tidak lagi mengiktiraf Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak kawasan Behrang dan Changkat Jering.

Speaker DUN Perak V. Sivakumar malam ini berkata, jawatan exco yang dipegang oleh keduadua ADUN itu juga dilucutkan dan mereka tidak dibenarkan menghadiri persidangan DUN negeri yang akan datang.

Katanya, tugas mereka akan dipangku oleh individu yang akan diputuskan pada mesyuarat exco akan datang.

Sivakumar berkata, keputusan tersebut diambil kerana beliau tidak mengiktiraf keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini yang memutuskan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering tidak kosong dan Jamaluddin dan Mohd Osman mengekalkan jawatan mereka.

"Saya tetap berpegang kepada keputusan sebelum ini bahawa keduadua ADUN berkenaan telah menyerahkan surat perletakan jawatan kepada saya," katanya kepada pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbar yang sama berkata, kerajaan negeri akan mencabar keputusan SPR di mahkamah selepas tempoh 48 jam.

Ketika ditanya sama ada akan meneruskna tindakan tersebut memandangkan pengerusi DAP Karpal Singh telah menyatakan bahawa tindakan itu hanya membuang masa, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri akan meneruskan tindakan mahkamah tersebut kerana berpandangan fakta kes kedua ADUN PKR tersebut adalah berbeza dengan kes yang dinyatakan Karpal.

Terdahulu Karpal memberitahu Bernama baahwa adalah sia-sia untuk mencabar keputusan SPR yang mengekalkan Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri kawasan Behrang dan Changkat Jering, di mahkamah.

Karpal Singh, yang juga seorang peguam kanan, berkata ia "akan hanya membazirkan usaha dan masa" untuk mencabar keputusan SPR itu yang diumumkan hari ini, kerana ia terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 1982 dalam kes serupa.

Pada 1982, Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Ong Kee Hui lawan anggota parti ketika itu Sinyium anak Mutit, memutuskan tindakan menyerahkan surat peletakan jawatan tanpa tarikh kepada speaker adalah bercanggah dengan kepentingan awam dan dengan itu adalah tidak sah.

"Keputusan SPR itu boleh dicabar dan tiada siapa boleh menghalang perkara itu dibawa ke mahkamah, tetapi mereka akan berdepan tugas amat sukar berikutan keputusan yang dibuat Mahkamah Persekutuan pada 1982.

"Dalam kes ini, saya pasti SPR telah dinasihatkan oleh pejabat Peguam Negara dan agensi berkaitan yang lain. Ini merupakan keputusan yang jelas di pihak SPR yang terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan," katanya.

Pandangan Karpal Singh itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian veteran parti itu Lim Kit Siang, yang dalam satu kenyataan berkata, SPR telah bertindak mengenepikan perlembagaan dan di luar bidang kuasanya apabila menolak keputusan speaker Dewan Undangan Negeri Perak berhubung kekosongan kerusi DUN Changkat Jering dan DUN Behrang dan diadakan pilihan raya kecil.

Tugas berperlembagaan SPR, katanya, ialah mengambil tindakan terhadap notis rasmi Speaker DUN Perak mengenai kekosongan di dua kerusi itu dan menetapkan pilihan raya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari akan datang.

"SPR tidak berhak untuk bertindak dan merampas bidang kuasa mahkamah untuk mempertikaikan keputusan speaker, kerana cabaran perundangan seumpama itu sepatutnya diambil oleh Jamaluddin dan Mohd Osman jika mereka mahu mencabar kesahihan peletakan jawatan mereka di kerusi DUN masingmasing," kata Lim.

Hari ini, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata keputusan itu dibuat kerana Jamaluddin dan Mohd Osman telah menulis surat kepada speaker DUN Perak yang menyatakan peletakan jawatan mereka adalah tidak sah.

Kemelut politik di Perak meletus tiga hari lepas apabila dua ADUN itu dikatakan "hilang", menimbulkan kebimbangan yang mereka telah berpaling tadah dengan menyertai Barisan Nasional (BN).mstar


Terkini : Mesyuarat tergempar Pakatan Perak malam ini

Kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat di Perak sedang berada di Kediaman MB Perak menghadiri mesyuarat tergempar malam ini bagi membincangkan tindakan selanjut berhubung isu membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Hadir sama ialah pemimpin tertinggi parti PAS, DAP dan PKR.

Pakatan Rakyat pertikai keputusan SPR

Pakatan Rakyat memberi SPR tempoh 48 jam untuk mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, jika SPR gagal melakukan demikian, Pakatan akan mengambil tindakan susulan yang akan ditentukan kemudian.

"Kami juga menggesa (Pengerusi) SPR supaya meletakkan jawatan memandangkan ia bukan lagi bebas," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP negeri di sini.

Kata beliau, SPR tiada kuasa untuk menentukan sama ada notis makluman kekosongan Speaker sahih ataupun sebaliknya.

Jelas beliau, di bawah Perkata 113 Perlembagaan Persekutuan SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dan tidak wajar mengetepikan keputusan Speaker.

"Undang-undang tidak membolehkan SPR menjalankan sebarang inkuiri, sebaliknya jika ada rasa tidak puas hati ia harus diputuskan oleh mahkamah," katanya.

"Malah, dalam kes, mereka masih boleh mengelak daripada meneruskan pilihan raya meskipun dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa Parlimen telah dibubarkan," katanya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, SPR telah bertindak di luar perlembagaan dalam keputusannya tidak mahu mengiktiraf notis makluman kekosongan yang disampaikan oleh Sivakumar.

"Sebagaimana dijelaskan oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, fungsi SPR ialah bertindak selaras dengan notis pemakluman rasmi Speaker Perak mengenai kekosongan yang wujud dan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor di Perak berkata, bukan urusan untuk SPR bertindak dan merampas jurisdiksi mahkamah dalam mempertikaikan keputusan Speaker DUN negeri itu.

Dalam soal ini, cabaran perundangan seharusnya datang daripada kedua-dua ADUN berkenaan jika mereka mahu mencabar kesahihan surat letak jawatan masing-masing, kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, semua opsyen akan dipertimbangkan untuk menyelesaikan krisis politik.mstar.

SPR hina DYMM Sultan Perak.

Keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)yang telah memutuskan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang telah kosong melalui peletakan jawatan masih disandang oleh wakil-wakil rakyat PKR adalah keputusan yang saya sifatkan sangat mengelirukan dan pada pandangan saya menghina DYMM Sultan Perak.

Tindakan SPR mendakwa tidak boleh menggunakan kuasa bawah Perkara 36(5) Perlembagaan Negeri Perak dalam memastikan berlakunya kekosongan bagi kedua-dua kerusi tersebut seperti kata pengerusinya Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof jelas sesuatu yang menghina DYMM Sultan Perak.

Saya menyifatkan suruhanjaya itu bertindak "bercanggahan dengan perlembagaan" negara dan negeri Perak apabila membelakangkan keputusan Speaker DUN Perak.

Lebih malang apabila dokumen yang dipertikaikan oleh SPR itu telah diserahkan kepada DYMM Sultan Perk kelmarin oleh Menteri Besar Perak, dan mendapat ulasan banyak pihak seperti bekas Hakim dan bekas Pengerusi SPR mengenai SPR yang patut akur dengan keputusan Speaker sesuai dengan peruntukan undang-undang yang diberi.

Keputusan mengosongkan DUN berkenaan dengan pertikaian kesahihan surat adalah dua perkara berbeza. Hanya mahkamah tempat yang boleh mengesahkan pertikaian surat perletakan dua ADUN.

Kenapakah SPR pada hari ini bertindak seolah-olah sebagai mahkamah dan saya menyifatkan sebagai satu keputusan yang jelas dipengaruhi oleh kepentingan politik pihak tertentu.

Dengan ini selaku pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Perak membantah keputusan SPR yang jelas menghina Sultan Perak dan Institusi Speaker di Negeri perak.

Keadaan ini amatlah dikesali dan sangat tidak bertanggung jawab dalam suasana hari ini seluruh rakyat di Perak malah diseluruh negara sedang meraya Jubli Perak DYMM Sultan Perak yang kami kasihi.