04 Februari 2009

Pakatan Rakyat pertikai keputusan SPR

Pakatan Rakyat memberi SPR tempoh 48 jam untuk mengkaji semula keputusannya untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi Behrang dan Changkat Jering.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, jika SPR gagal melakukan demikian, Pakatan akan mengambil tindakan susulan yang akan ditentukan kemudian.

"Kami juga menggesa (Pengerusi) SPR supaya meletakkan jawatan memandangkan ia bukan lagi bebas," kata beliau pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP negeri di sini.

Kata beliau, SPR tiada kuasa untuk menentukan sama ada notis makluman kekosongan Speaker sahih ataupun sebaliknya.

Jelas beliau, di bawah Perkata 113 Perlembagaan Persekutuan SPR perlu mengadakan pilihan raya kecil dan tidak wajar mengetepikan keputusan Speaker.

"Undang-undang tidak membolehkan SPR menjalankan sebarang inkuiri, sebaliknya jika ada rasa tidak puas hati ia harus diputuskan oleh mahkamah," katanya.

"Malah, dalam kes, mereka masih boleh mengelak daripada meneruskan pilihan raya meskipun dimaklumkan oleh Perdana Menteri bahawa Parlimen telah dibubarkan," katanya.

Pengerusi DAP, Lim Kit Siang berkata, SPR telah bertindak di luar perlembagaan dalam keputusannya tidak mahu mengiktiraf notis makluman kekosongan yang disampaikan oleh Sivakumar.

"Sebagaimana dijelaskan oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, fungsi SPR ialah bertindak selaras dengan notis pemakluman rasmi Speaker Perak mengenai kekosongan yang wujud dan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor di Perak berkata, bukan urusan untuk SPR bertindak dan merampas jurisdiksi mahkamah dalam mempertikaikan keputusan Speaker DUN negeri itu.

Dalam soal ini, cabaran perundangan seharusnya datang daripada kedua-dua ADUN berkenaan jika mereka mahu mencabar kesahihan surat letak jawatan masing-masing, kata beliau.

Sehubungan itu, kata beliau, semua opsyen akan dipertimbangkan untuk menyelesaikan krisis politik.mstar.