30 Januari 2009

Muhyiddin ulangi UMNO hilang daya penarik.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi kenyataan sebelum ini yang menurut pandangannya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan daya penarik baru atau wow factor dari segi pengisiannya untuk mendekati rakyat.

Selain itu beliau mengajak semua ahli parti itu memikirkan bentuk perubahan yang perlu dilakukan bagi menarik semula keyakinan rakyat pelbagai kaum di negara ini terhadap parti itu.

Dalam kenyataan itu Muhyiddin menegaskan UMNO dan BN perlu kuatkan semangat juang parti. "Walaupun kalah di beberapa tempat dalam pilihan raya umum dan kecil, tidak seharusnya kita berasa kita dalam saf yang salah. Kalau ada kelemahan, kita perlu tangani," tegasnya.

''Saya tidak kata kita tidak ada kelemahan. Memang ada ahli yang menjejaskan parti seperti terbabit rasuah politik tetapi gambaran keseluruhannya tidaklah sebegitu, jadi persepsi pemikiran rakyat terhadap UMNO perlu diperbetulkan," katanya.

Esok 2 ADUN PKR temui DS Anwar ?

Saya menerima maklumat SMS yang diterima dari seorang Ahli BBC mengenai satu pertemuan yang akan berlaku antara dua orang Exco PKR Kerajaan Negeri Perak dengan DS Anwar Ibrahim.

Katanya sms itu asalnya dikirim oleh seorang wartawan akhbar Cina Si Chew kepadanya.

Setakat ini saya menghubungi beberapa teman namun belum mendapat pengesahan kebenaran sms itu dan apakah tujuan pertemuan tersebut juga belum diketahui.

Dalam pada itu, pada malam ini DS Anwar akan berada di Stadium mini di Bota dalam ceramah penerangan. ADUN Bota , Dato'Nasaruddin Hashim dijangka juga memberikan ucapan sulung kepada pengundinya dalam program yang dijangka akan mendapat sambutan pada malam ini.

PKR tidak bincang isu Adun sertai BN

Desas-desus bertiup kencang beberapa pemimpin PKR Perak akan meninggalkannya susulan penyertaan seorang wakil rakyat BN bersama parti itu hujung minggu lalu.

Bagaimanapun PKR tidak membincangkan isu tersebut dalam satu pertemuan biro politik malam tadi, kata timbalan presidennya Dr Syed Husin Ali kepada Malaysiakini.

"Tidak dibincangkan," katanya apabila diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai ura-ura dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR di Perak akan menyertai BN.

Tindakan memancing wakil-wakil rakyat PKR itu dipercayai sebagai reaksi balas penyertaan Adun BN bagi Bota, Datuk Nasharuddin Hashim pada 25 Januari.

Dr Syed Husin berkata, walaupun dimaklumkan mengenai laporan itu, beliau bagaimanapun belum membacanya.

Oleh itu, katanya, beliau enggan mengulas lanjut dakwaan harian berbahasa Inggeris tersebut.

"Saya juga tidak tahu apa yang Umno hendak lakukan," katanya ringkas, diminta mengulas rundingan sejak sebulan lalu untuk menarik wakil-wakil rakyat parti itu.

Malaysiakini difahamkam, rasa tidak puas hati dua exco PKR Jamaluddin Mohd Radzi dan Mohd Osman Mohd Jailu tercetus ekoran dakwaan wujud dominasi dua Adun DAP dalam pentadbiran kerajaan Perak.

Kedua-dua mereka tidak berpuas hati kepada Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming.

Bagaimanapun, difahamkan suara tidak puas hati exco berkenaan "hanya sebagai gertakan" dan tidak sampai kepada tindakan drastik untuk keluar Pakatan Rakyat.

Pertemuan biro itu selama empat jam di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya turut disertai oleh semua tiga exco PKR di Pulau Pinang, termasuk Timbalan Ketua Menteri I Mohammad Fairus Khairuddin.

Ketiga-tiganya diura-urakan sangat tidak berpuas hati dengan tindakan menggugurkan jawatan utama mereka dalam badan perhubungan PKR negeri awal bulan ini.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Syed Husin berkata, isu kegelisahan susulan rombakan dalaman itu "telah tenang".

"Bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi di semua negeri Pakatan Rakyat tenang," tambahnya.

Dr Syed Husin menjelaskan, pertemuan semalam buat pertama kali melibatkan semua 14 exco PKR di semua negeri Pakatan Rakyat, termasuk di Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun semua tiga exco dari Perak tidak hadir dengan alasan sakit dan menghadiri program sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri.

Semua tiga exco PKR dari Kedah juga tidak hadir di mesyuarat tersebut yang bermula kira-kira jam 9 malam.

Mesyuarat biro itu dengan barisan exco itu, kata Dr Syed Husin, akan diteruskan setiap bulan bagi menyelaraskan keputusan parti dan pentadbiran kerajaan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan.

Dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, biro politik PKR mempunyai sebelas anggota melibatkan 11 penjawat tertinggi parti, tidak termasuk 14 exco tersebut.Malaysiakini.

Perak umum 3 Februari cuti umum

IPOH , 29 Jan.: — Kerajaan Negeri Perak mengumumkan Selasa depan sebagai cuti umum sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata cuti ini juga bagi membolehkan rakyat Perak dan seluruh negara merayakan serta meraikan sambutan hari bersejarah yang menandakan genapnya 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah.

“Rakyat boleh menggunakan peluang ini untuk menyaksikan penganugerahan Darjah Dato’ Seri Azlanii (DSA) yang dikeluarkan kepada 25 individu yang telah banyak berjasa dan memberikan khidmat setia kepada baginda,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.


Tajol letak jawatan :Yang mana satu betul ?

Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali hari ini menafikan membuat kenyataan media menyatakan mahu meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak.

Bekas Menteri Besar itu sebaliknya berkata, kenyataan itu dibuat dalam satu perjumpaan tertutup yang sepatutnya tidak dilaporkan.

Kelmarin media melaporkan beliau mengesahkan sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri.

Katanya keputusannya itu berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasaruddin Hashim keluar daripada Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahad lalu.

Tajol Rosli yang juga bekas Menteri Besar Perak, berkata, surat peletakan jawatan itu diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jam 4.30 petang Isnin lalu.

Kedua-dua berita ini sangat mengelirukan kita, yang mana satu yang betul ?