03 Januari 2011

Nasruddin ajak Khairy masuk PAS

HarakahDaily | 3 Jan:

"Marilah bersama saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS untuk menyertai perjuangan Islam," kata Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hasan Tantawi kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin.

Kenyataan Nasrudin ini dibuat ekoran kenyataan Khairy yang menyatakan hasrat untuk berundur dari pentas politik dan tidak lagi bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Rembau yang beliau wakili sekarang.

"Saya mengajak Khairy mempelopori gerakan anak muda yang bangkit seimbang antara tuntutan Amal Islami dengan keperluan Transformasi Politik dalam negara kita," kata Nasrudin.

Bagi Nasrudin, Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib jelas tidak mahu menghargai malah tidak menghormati Khairy Jamaludin yang dipilih sebagai pemimpin Pergerakan Pemuda Umno sebaliknya mengambil Datuk Razali orang no 2 dalam Pergerakan Pemuda Umno ke jawatan Timbalan Menteri.

"Ini juga dilihat satu tamparan hebat buat Khairy Jamaludin," katanya.

Bagaimanapun, kata Nasrudin, beliau menghormati hasrat peribadi Khairy dan menyifatkannya sebagai "satu manifestasi penyisihan beliau dari menganggotai kabinet Datuk Seri Najib Abd Razak sebelum ini sedang beliau adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kebangsaan dan Ahli Parlimen Rembau."

Menurut Nasrudin, Khairy mempunyai potensi dan bakat kepimpinan yang baik terutama untuk mendekati anak - anak muda negara pada hari ini "dan saya kira ia lebih sempurna serta menjadi nilai tambah yang lebih baik jika Khairy melengkapkan diri dengan ilmu dan fikrah Islam yang mantap lalu menyertai Gerakan Islam ini untuk memperjuangkan Islam dan memimpin anak - anak muda menerajui kebangkitan dan perubahan era ini ke arah membina peradaban yang sejahtera dan negara yang aman membangun."

"Tidak baik mempersiakan bakat kepimpinan yang sedia ada sedang ia masih boleh digilap dan disempurnakan untuk menjadi seorang pemimpin anak muda yang berilmu dan beramal soleh," tambahnya.

"Jika Khairy sudah berasa letih dan bosan dengan politik lalu memilih untuk berehat , saya jangka ia adalah respon kepada situasi politik dalaman Umno yang beliau hadapi," katanya lagi .

Katanya, jiwa seorang pejuang mana mungkin boleh berehat dari perjuangannya.

"Justeru itu saya menghulur tangan mengundang Khairy Jamaludin untuk menyertai perjuangan Islam ini kerana indahnya perjuangan ini , ia tidak semata - mata berorientasikan gerakan politik sebaliknya diseimbangkan dengan gerakan tarbiyyah untuk membina aqidah yang benar, pemikiran Islam yang jelas dan syakhsiyah yang soleh serta gerakan dakwah untuk menyedarkan ummah agar kembali mengabdikan diri kepada Allah swt.

"Akhirnya saya mendoakan agar rakan sejawatan saya Sdr Khairy Jamaludin dikurniakan Allah swt akan kesejahteraan serta kekuatan untuk mendepani cabaran dan pentunjuk demi membuat pilihan yang tepat dan benar," kata Nasrudin lagi dalam kenyataannya itu. [MOD]

Nik Aziz akui bertemu PM, penjelasan dalam 24 jam

KOTA BHARU, 3 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana demi menjaga peraturan yang sepatutnya dilakukan oleh setiap pemimpin. Demikian seperti satu laporan dari Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri pada 25 Disember lalu.

Ketika ditanya adakah sebarang perkara telah dibincangkan antara pemimpin tertinggi negara itu, Tuan Guru juga turut mengakuinya.

“Tentu ada perkara yang dibincangkan, mana boleh bertemu dengan Perdana Menteri untuk bersembang biasa.

“Bagaimanapun kerana ianya pertemuan tertutup, jadi saya tidak boleh mendedahkannya kepada umum, itu salah dari segi peraturannya,” ujarnya selepas meraikan Wira Negara di Kampung Cherang, dekat sini tengah hari tadi.

Ketika ditanya adakah pertemuan itu turut mensentuh soal royalti, beliau juga enggan mengulas lanjut.

“Saya tak boleh sebut apa-apalah sebab ianya tertutup,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan Malaysiakini juga menyiarkan berita berkaitan dengan dipetik setiausaha akhbar kepada menteri besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sebagai berkata penjelasan lanjut berhubung pertemuan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Beliau (Nik Aziz) apa pun akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat, dijangka dalam masa 24 jam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Setakat ini, Ahmad Fadhli berkata beliau belum mendapat sebarang arahan daripada menteri besar berhubung perkara itu.

Kelantan hadiah rumah untuk Khairul Fahmi


28 Muharam 1432H.
Oleh : Salmah Mat Husain

KOTA BHARU, 3 Jan: Penjaga gol skuad Harimau Malaya yang berjaya membantu negara menjuarai Piala AFF Suzuki, Khairul Fahmi Che Mat dihadiahkan sebuah rumah oleh kerajaan negeri Kelantan hari ini.

Pengumuman mengenainya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika meraikan kepulangan beliau ke Kelantan di Chabang 4, Cherang dekat sini hari ini.

Bagaimanapun tidak dinyatakan apakah nilai rumah berkenaan. Pengumuman itu dibuat di majlis yang dianjurkan oleh pejabat Anggota Parlimen Kota Bharu dan juga kerajaan negeri Kelantan.

Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan pernah menghadiahkan rumah kepada Nik Madihah, pelajar Kelantan yang berjaya menjadi pelajar terbaik Malaysia dalam peperiksaan SPM.

Khairul Fahmi berjaya mempertahankan gawang Malaysia dari ditembusi semasa Indonesia bertandang ke Malaysia yang membawa Malaysia menang 3-0 dalam pusingan pertama perlawanan akhir piala itu di Bukit Jalil.

Beliau juga berjaya menjaga gawang Malaysia dengan baik apabila pasukan negara itu berkunjung ke Jakarta termasuk menyekat sepakan penalti oleh Indonesia.

Malaysia menang dengan agregat 4-2 walaupun kalah di Jakarta dengan 2-1.

Media hari ini melaporkan, sebuah laman web menyiarkan berita kononnya Mancester United berminat dengan Khairul Fahmi apabila pengurusnya, Sir Alex Ferguson mengarahkan lamaran ke atas Khairul dibuat selepas dua jam perlawanan akhir di Jakarta itu.

Tuanku Titah Perbincangan Selangor-SPA Untuk Penyelesaian Terbaik

28 Muharram 1432H.
KENYATAAN MEDIA MB SELANGOR

Saya telah mengadap DYMM Sultan Selangor hari ini bagi membincangkan isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

DYMM Sultan Selangor telah berpandangan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak calon-calon yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Ini kerana kuasa itu telah ditarik balik pada 1993 iaitu selepas krisis Perlembagaan berlaku yang mana Undang-undang Tubuh Negeri Selangor turut dipinda bagi memusatkan kuasa persekutuan.

DYMM Sultan Selangor mencadangkan supaya kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan SPA untuk mencari penyelesaian terbaik. Saya mengucapkan terima kasih kepada DYMM Sultan atas nasihat dan pandangan baginda.

Justeru itu, demi kebaikan Negeri Selangor dan menjunjung titah Tuanku, Kerajaan negeri akan menulis surat kepada SPA bagi membincangkan semula calon yang layak, sesuai dan berkebolehan untuk mengisi jawatan tersebut.

Sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara kerajaan negeri dan SPA, maka kerajaan negeri tidak mahu terlibat dalam sebarang bentuk majlis atau keraian berkaitan jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Ini bermakna majlis angkat sumpah di hadapan Menteri Besar tidak akan diadakan dan Dato’ Khusrin Munawi tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri akan mencadangkan kepada Dato’ Speaker untuk mengadakan sidang Dewan Negeri Selangor tergempar bagi meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor untuk mengembalikan kuasa pelantikan tiga pegawai eksekutif iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang Negeri kepada Sultan dan Menteri Besar.

TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR.

Mahkamah bebas Md Sabu dan 9 yang lain


28 Muharam 1432H

SEBERANG PRAI, 3 Jan: Mahkamah majistret Jawi hari ini membebaskan ahli jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Sabu dan sembilan yang lain tanpa perlu membela diri dari tuduhan menghalang tugas pejawat awam.

Majistret Mohd Izaham Ali melepaskan mereka selepas ditangkap di susur keluar Bukit Tambun di Lebuhraya Utara Selatan pada 9 Disember 2007.

Menurut majistret, terdapat percanggahan antara kenyataan polis dan juga saksi ketika mereka memberikan keterangan.

(Gambar fail: Mohamad Sabu dan tertuduh ketika dibicarakan sebelum ini di Mahkamah Majistret, Jawi)

Pihak pendakwa, katanya, gagal membukti kes mereka ekoran wujudnya keraguan dalam kes pendakwa.

Antaranya, wujudnya keraguan dalam waran tangkap yang dikemukakan pendakwa di samping pencanggahan keterangan antara saksi pendakwa.

Majistret juga berkata, tiada keterangan yang diberikan berhubung dengan dakwaan saksi pendakwa kononnya mereka mengganggu tugas polis seperti menolak polis atau enggan membuka pintu kenderaan seperti yang didakwa saksi pendakwa.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka telah dituduh menghalang anggota polis berpangkat Superitenden Mohd Nasir Salleh daripada menyerahkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret, Jalan Duta, Kuala Lumpur terhadap Mohamad Sabu.

Kesalahan tersebut didakwa telah dilakukan di hadapan Plaza Tol Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan, lebuhraya PLUS berhadapan susur keluar lebuhraya dari arah Kuala Lumpur ke Pulau Pinang pada jam 7.45 malam 9 Disember 2007.

Kesemua mereka juga dituduh menurut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana membawa humuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit akan kesalahan.

Dalam perbicaraan yang diadakan tadi, kesemua yang dituduh terdiri dari Mohamad Sabu, Fauzi Saharat, Abd Rahim Md Ariff, Zairun Azrul Zainal Abidin, Zamarul Aini Abdul Malek, Mohd Bunyamin Ishak, Md Lazim Osman, Abd Razak Ramli, Mohd Sabri Said dan Mohamed Salleh hadir.

Mohamad Hanipa Maidin bersama-sama dengan Aminuddin Zulikifli dan Yusnita Yusoff mewakili kesemua tertuduh.

Khalid menghadap Sultan

28 Muharram 1432H.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika di sini hari ini.

Kenderaan rasmi Menteri Besar itu dilihat memasuki Istana Mestika pada jam 10.50 pagi dan keluar kira-kira 12.20 tengah hari tadi. Pihak media yang berkumpul di hadapan pintu utama istana itu sejak jam 10 pagi hampa apabila tidak mendapat sebarang komen daripada Menteri Besar yang terus beredar dari situ. Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Abdul Khalid tidak berhenti walaupun dikerumuni wartawan dan jurugambar.

Difahamkan Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, bagi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, telah hadir di pejabat barunya di Tingkat 19 Bangunan Sultan Salahahuddin Idris Shah di sini sebelum jam 8 pagi tadi.

DEBAT : Pemuda Umno Bacul !


“ Kami di pihak yang benar ! “ laung pimpinan Pemuda PAS Larut disambut dengan laungan takbir oleh para hadirin "

SELAMA | 1 JAN
Kebaculan pemuda umno bahagian Larut kini telah terbukti apabila program debat antara Ketua Pemuda PAS Larut, saudara Nazri Din dengan Ketua Pemuda UMNO Larut , saudara Anwar Arifin tidak menjadi kenyatan disebabkan Ketidakhadiran ketua pemuda umno larut dan telah membuatkan orang ramai yang hadir berasa kecewa dengan sikap Ketua Pemuda UMNO Larut itu.

Setelah menerima berbagai halangan dari pihak tertentu ,program debat yang akan diadakan di Dewan Padang Astaka, Batu Kurau dipindahkan ke Dewan Majlis Daerah Selama. Orang ramai, Wakil Pemuda PAS Larut, Penganjur Program serta Perantara Debat menunggu hampir tiga jam, namun kelibat Ketua Pemuda Umno Larut tidak kelihatan.

Sementara itu, setelah Akmal Kamarudin selaku Naib Ketua Pemuda PAS Larut berjaya menghubungi sudara Anwar untuk bertanyakan dan mendapatkan penjelasan darinya. Namun, seperti lazimnya yang menjadi amalan pemimpin umno beliau memberikan berbagai alasan kuno untuk tidak hadir ke dalam Debat tersebut.

“Anehnya, Pemuda umno yang ajak kami berdebat, tapi mereka memberi banyak alasan yang tidak munasabah untuk tidak hadir sekalipun kami menawarkan untuk berdebat di pejabat umno Batu Kurau atau Pejabat umno di Selama ianya tetap ditolak” Kata Akmal.

“Kami rasa amat kesal dengan sikap mereka kerana kami telah menyediakan pelbagai isu tempatan berkaitan kepentingan rakyat,Melayu dan Islam untuk diketengahkan dalam debat,”

“Kita komited untuk terus memperjuangkan hak rakyat, Islam dan Melayu dengan konsep “Islam Adil untuk semua” dan menolak topeng ketuanan Melayu yang dicanangkan umno demi kepentingan politik murahan umno semata-mata” katanya lagi

Cubaan Kerajaan Pusat rampas kuasa di Selangor

3 Jan | IPOH
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain, menyatakan isu perlantikan SUK Selangor merupakan suatu lagi petanda diberikan Allah kepada rakyat Malaysia bahawa kerajaan Umno BN wajar ditolak dalam pilihanraya akan datang.

Beliau menyatakan, Kes perlantikan tersebut jelas menunjukkan kerajaan Umno BN memberi amanah bukan untuk kepentingan rakyat tapi untuk kepentingan peribadi mereka.

Memetik ucapan beliau “ Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. digambarkan bahawa kemusnahan akan berlaku sekiranya amanah diberikan kepada orang yang bukan ahlinya. Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w., bertanya tentang " bilakah terjadi kiamat ". Rasulullah s.a.w. menjawab : yang bermaksud :" Apabila hilang amanah, tunggulah kiamat itu. Orang itu bertanya lagi : Bagaimanakah keadaan itu berlaku ? jawab Rasulullah s.a.w. : " iaitu apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan)”.

Menurut beliau lagi, tujuan utama perlantikan SUK kerajaan negeri, di mana-mana negeri sekalipun, adalah supaya SUK dapat membantu menggerakkan pengurusan kerajaan negeri berkhidmat kepada rakyat.

Menjalankan tugas mentadbir sesuatu negeri bukan suatu yang mudah malah memerlukan kelayakan dan kerjasama daripada pelbagai pihak baik Adun yang dilantik oleh rakyat ataupun kakitangan kerajaan, jelas beliau.

Dalam kes di Selangor, perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK sepatutnya tidak berlaku kerana beliau telahpun mempunyai masalah yang kritikal sebelum ini dengan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor sewaktu beliau masih menjawat jawatan Pengarah JAIS. Jelas ini menunjukkan beliau tidak boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri seterusnya menjalankan amanah yang diberikan dengan baik.

Beliau jjuga menyatakan, Datuk Mohd Khusrin Munawi jelas dilihat sebagai agen yang dihantar Umno Barisan Nasional untuk mengganggu pentadbiran Pakatan Rakyat di Negeri Selangor, hal ini kerana Umno Bn tidak dapat menerima kenyataan bahawa kerajaan Selangor kini dibawah pemerintahan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menyatakan bahawa umno bn sememangnya cuba untuk mendapatkan semula negeri Selangor dengan apa cara sekalipun dan buktinya umno bn sudah Berjaya mendapatkan Perak dengan cara rampasan kuasa sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Perak itu juga menyeru agar rakyat Malaysia menolak kerajaan BN kerana perlantikan ini menunjukkan kerajaan BN tidak meletakkan khidmat kepada rakyat sebagai misi utama mereka sebaliknya berkhidmat memenuhi kepentingan dan kehendak nafsu mereka.

Menurutnya lagi, jika sebelum ini rakyat tercari-cari apakah buktinya bahawa kerajaan pusat BN sering menindas kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat, kes perlantikan SUK inilah bukti yang kukuh. Inilah perangai yang ditunjukkan kerajaan BN iaitu mengutamakan kepentingan peribadi berbanding amanah berkhidmat untuk rakyat.

Ustaz Abu Bakar Hussain juga mengajak semua pihak untuk bertakwa kepada Allah. Semua pihak harus ingat bahawa berkhidmat untuk rakyat bukan sekadar membantu rakyat menghadapi kehidupan dunia, sebaliknya membantu rakyat menghadapi kehidupan dunia dan akhirat yang kekal abadi.

sumber : ustazabubakar.wordpress.com

Bloggers : Majlis Makan Malam dan Dialog Bersama MB Kelantan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan akan mengadakan Majlis Makan Malam dan Dialog bersama para Blogger Pro Pakatan Rakyat pada 15 Januari ini di Hotel Grand Seasson, berdepan Hospital Kuala Lumpur. Ia sebagai persiapan dan persediaan menghadapi Pilihan Umum ke-13 tidak lama lagi.

Menurut Editor Harakah, Tarmizi Mohd Jam yang diamanahkan untuk urusan pendaftaran blogger dari luar Kelantan, program yang akan bermula jam 8.30 malam itu mempelawa semua blogger pro Pakatan Rakyat daripada negeri Kelantan dan luar Kelantan.

Dalam dialog dengan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ini, pelbagai isu dijangka akan dibangkitkan selain dari sama-sama mengemukakan syor dan pendekatan terkini untuk memasyarakatkan blog dan laman sesawang lainnya sebagai media baru yang efisyen menghadapi PRU-13 nanti.

Menurut Tarmizi, semua blogger pro-Pakatan Rakyat boleh MENDAFTAR diri sekarang dengan menghantar emel kepada beliau dialamat editorxkutif@yahoo.com.my serta memaklumwajibkan NAMA dan NAMA BLOG yang sedang beroperasi. INGAT DAFTAR SEKARANG dan sebarkan berita ini dalam blog, Facebook, twitter, website dll yang anda boleh capai.

Semua blogger akan diberi pass masuk ke majlis ini. Tarikh tutup penyertaan sebelum atau pada 6 Januari 2011. Tarmizi mengharapkan mana-mana blogger yang mendapat maklumat ini, boleh memanjangkannya kepada rakan-rakan blogger lain secepat mungkin.

Utusan macam nasi goreng basi

28 Muharam 1432H
Oleh : Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR, 2 Jan: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menyifatkan Utusan Malaysia umpama 'nasi goreng basi' kerana terus memainkan isu walaupun tahu isu yang dipaparkan tidak lagi relevan pada masyarakat.

Katanya, akhbar tersebut terus menabur fitnah yang boleh dikatakan semua isu sudah dijawab dan ada antaranya telah memakan diri Umno sendiri.

Tambahnya, isu wang judi sampai kini menjadi mainan bibir pemimpin Umno dan Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi parti itu sengaja memaparkan isu berkenaan walaupun tahu ia telah selesai.

"Utusan Malaysia macam nasi goreng basi senantiasa ulang cerita yang sudah selesai. Mereka terus sebut isu yang berulang walaupun tahu telah menikam Umno sendiri dengan harapan menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat secara bertalu-talu," ujarnya ketika berucap di majlis Jubli Perak PAS Kawasan Tasek Gelugor di Dewan Besar Sungai Dua malam tadi.

Beliau sebagai peneraju Negeri Pulau Pinang berharap rakyat tidak termakan dakyah jahat Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya memberi kepercayaan pada Pakatan Rakyat yang sedang memerintah agar terus melaksanakan berbagai program menjana perubahan pemikiran rakyat.

Kerajaan berhati rakyat tambahnya, melakukan berbagai perencanaan untuk meningkatkan sosio ekonomi, kebajikan dan seterusnya memberikan kemudahan terkini seperti Wifi pada rakyat mulai tahun ini.

Selain itu, ujarnya kerajaan berkonsepkan Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) mahukan pembelaan rakyat dijadikan amalan apabila memberikan RM100 kepada ibu tunggal dan Orang Kurang Upaya (OKU) sebagai rangkaian bantuan kepada warga emas dan miskin tegar.

"Negeri berkebajikan menjadi amalan kerajaan bukan macam Umno dan BN asyik memenuhkan poket sendiri dan sanggup melihat rakyat menderita dan sengsara," tegasnya yang juga Setiausaha Agung DAP.

Khusrin: BN Kian Terdesak Sabotaj Kerajaan Selangor

2 JAN: Tindakan Putrajaya melantik terus Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri adalah petanda jelas Umno-Barisan Nasional(BN) semakin terdesak untuk mengsabotaj kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Mantan Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata jawatan SUK akan membolehkan Khusrin membocorkan maklumat sulit kerajaan negeri kepada Umno sebagaimana yang berlaku dalam kes rampasan kuasa di Perak.

Ahli Parlimen Bukit Gantang dan ADUN Pasir Panjang ini diwawancara oleh Pakar Undang-undang Profesor Dr Abdul Aziz Bari dalam program 'Terus Terang' terbitan Tv Selangor, Nizar menceritakan pengalamannya ketika menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di Perak setelah menang pada pilihanraya umum 2008.

Beberapa bulan selepas menubuhkan kerajaan negeri, Nizar menyedari Setiausaha Kerajaan Negeri Perak mengambil arahan secara terus daripada Umno.

"Setelah tiga empat bulan, perjalanan kerajaan negeri tidak lancar kerana adanya unsur-unsur sabotaj. Contohnya, apa sahaja yang kami lulus atau batalkan dalam mesyuarat mingguan disampaikan ke ibu pejabat Umno di Ipoh," katanya.

Nizar berkata Setiasaha Kerajaan Negeri berkenaan bertindak untuk melengkapkan persiapan Umno bagi melancarkan rampasan kuasa.

Akibatnya pegawai-pegawai daerah mula mendapat arahan yang berbaur politik daripada SUK Perak.

"Apa yang diarah tidak dibuat, apa yang tidak diarah dia buat. Surat-surat yang diterima dari daerah-daerah mendapati ia telah ditandatangi oleh SUK, tetapi bila masa pula kami buat keputusan ini? soalnya.

Nizar berharap pengalaman Pakatan Rakyat di Perak akan memberi petunjuk penting kepada kerajaan Selangor dalam berdepan dengan tindakan Putrajaya melantik Khusrin sebagai SUK. Seperti dalam kes Perak, penggerak utama Umno di Selangor adalah juga Datuk Seri Najib Razak sendiri.

"Salah seoraang dari prime mover ambil kuasa di Perak ialah Najib, yang menjadi Pengerusi Umno Perak, kini di Selangor. Keduanya, ialah SUK yang menentang Pakatan Rakyat. Ketiga ialah peranan institusi istana seakan-akan sama.

Nizar menjelaskan rampasan kuasa di Perak berlaku apabila elemen seperti Ketua Setiausaha Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan individu yang rapat dengan Istana bersekongkol.

"Pada awal Jun, saya bertemu Raja Muda, menceritakan masalah yang saya hadapi. Saya beritahu kerajaan patik diganggu gugat. Saya jawab kerajaan patik digugat Datuk SUK dan Datuk Seri Anuar Zaini. Dia ini adalah 'major player' dan amat rapat dengan istana. Tuanku dengar dan dia amat memikirkan suasana itu.

"Saya terus berjumpa Ketua Setiuasaha Negara, meminta orang nombor dua digantikan dengan individu yang boleh bekerjasama dengan saya. Maka lebih lancar pentadbiran kerajaan negeri. Namun kedua-dua rayuan ini tidak membawa kesan yang diharapkan," jelasnya.

Akhirnya perlembagaan Perak dicabul untuk menobatkan Zambry Kadir dari Umno sebagai Menteri Besar walaupun Nizar tidak meletakkan jawatan atau tidak ada sebarang usul di kemukakan di Dewan Undangan Negeri Perak.

"Saya cukup-cukup yakin kerajaan Pakatan Rakyat Selangor harus berhati-hati, bahkan ambil tindakan lebih drastik dari yang kami ambil di Perak," katanya. (sumber :TVSelangor News)

Tenang: PAS Pulau Pinang mahu pastikan menang

28 Muharam 1432H
Oleh : Mohd Sabri Said

TASEK GELUGOR, 2 Jan: Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Saleh Man berkata, jentera PAS negeri pastinya akan bekerja secara bersungguh-sungguh di Dun Tenang seperti mana jentera negeri lain yang datang memenangkan calon PAS ketika Pilihan raya Kecil (PRK) Permatang Pasir.

"Insya Allah saya akan pastikan semua jentera PAS Pulau Pinang bergerak ke Tenang, Johor. Saya sendiri akan berbincang dengan Pengarah Jabatan Pilihanraya (JPN) PAS Negeri bagi melihat strategi dan lokasi yang PAS Johor cadangkan untuk Pulau Pinang bertapak," jelasnya.

Beliau yakin kedatangan jentera PAS Pulau Pinang akan memeriahkan keadaan sekaligus membantu jentera PAS di Tenang yang barangkali kekurangan pengalaman berbanding jentera yang dihantar oleh negeri.

Budaya politik di Johor, katanya sama sahaja dengan Pulau Pinang di mana orang Melayu masih sayangkan Umno walaupun tahu ia adalah parti yang tidak boleh diharapkan.

Apa pun, katanya sebagai parti yang diamanahkan bertanding mewakili Pakatan Rakyat, PAS perlu mencari di mana kelemahan Umno sebelum merencanakan gerakan bersepadu untuk menghalang kemaraan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada PRK itu menjelang pilihan raya umum ke-13 kelak.

"Memandangkan senario politik di Johor sama dengan Pulau Pinang menyenangkan jentera kita mencetuskan perancangan yang lebih berkesan," tegas beliau.

Beliau yakin dalam masa terdekat surat perkeliling mula dikeluarkan oleh JPN bagi menyenangkan penghantaran petugas mengikut kawasan seperti mana lazim dibuat sebelum ini.

'Peraturan untuk Wali Band sama dengan Jom Heboh'

28 Muharam 1432H

Konsert kumpulan terkenal Indonesia Wali Band yang dibantah Pemuda Umno Kelantan tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 negeri, sama seperti yang dikenakan terhadap aktiviti lain, seperti Jom Heboh anjuran TV3 suatu ketika dahulu.

Sehubungan itu, menurut Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, perkara itu merupakan pendirian kerajaan Kelantan sejak dasar
Membangun Bersama Islam diperkenal dan tidak "timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda".

"Dalam enakmen kawalan hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan dan persembahan konsert Wali Band tidak langsung melanggar enakmen tersebut.

"Manakala penganjur konsert, Anjung Tulus Corporation Sdn Bhd telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung," kata ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari.

Kelmarin Pergerakan Pemuda Umno Kelantan mempersoal kewajaran kerajaan Kelantan membenarkan Wali Band mengadakan persembahannya, yang didakwa semata-mata bermotifkan politik.

Ketuanya Anuar Safian dilaporkan berkata memang menghairankan Kelantan yang dahulunya langsung tidak membenarkan konsert seumpama itu diadakan, tetapi kini demi mendapat sokongan golongan muda, parti itu sanggup melakukan apa sahaja.

Dalam satu kenyataan, Ahmad Fadhli yang juga setiausaha kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat juga berkata, sebarang kelemahan dalam penguatkuasaan enakmen itu tidak sama sekali boleh menafikan hasrat positif yang terkandung dalamnya.

"Pemuda PAS Kelantan ingin menasihatkan Pemuda Umno Kelantan, khususnya ketuanya sendiri agar membaca dan memahami dahulu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang hanya menampakkan kedangkalan semata-mata," kata Ahmad Fadhli lagi.

SUK baru Khusrin masuk pejabat 6.45 pagi hari ini

3 Jan | MI
Bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Datuk Mohamad Khusrin Munawi hari ini secara rasmi memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri seawal 6.45 pagi tadi.

Minggu lalu Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan mengumumkan Khusrin dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan, Sultan Sharifuddin Idris Shah. Khusrin dijadual akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor pada 6 Januari ini.

“Saya sudah masuk kerja, saya datang ke pejabat untuk jalankan tugas pada pukul 6.45 pagi tadi. Setakat ini tiada apa-apa masalah mengenai kerja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.


Namun ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Khusrin bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen perhubung tugas baru beliau. “Saya akan keluarkan kenyataan dalam tempoh terdekat,” katanya kepada wartawan di pejabatnya. Hanya jurugambar sahaja yang dibenarkan masuk ke pejabatnya dengan dikawal ketat pengawal keselamatan.

“Kita tidak dibenarkan untuk halang beliau (Khusrin) tapi saya nak tahu kepada siapa beliau laporkan diri untuk bertugas.

“Sepatutnya beliau melaporkan diri kepada Menteri Besar,” kata sumber yang rapat dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim. Difahamkan Khalid akan menemui Sultan Selangor pada pukul11 pagi ini di Istana Mestika di sini.

Khusrin sebagai ketua Jabatan Agama Islam Negeri sebelum ini juga dilihat menentang pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa siri isu.

Pelantikan kontroversi Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dilihat menuju krisis perlembagaan jika istiadat mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor, yang dijadual akan berlangsung 6 Januari ini, diteruskan.

Kerajaan negeri Selangor sebelum ini menegaskan ia mempunyai kata putus dalam menentukan calon Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Sultan Selangor memberi perkenan kepada nama yang disyorkan Putrajaya untuk melantik Khusrin.

Khalid yang bercadang untuk menghadap Sultan Selangor Rabu lalu tetapi terpaksa menangguhkan hasrat beliau sebab baginda bercuti sehingga awal minggu depan. (sumber:Malaysian Insider)