03 Januari 2011

Nik Aziz akui bertemu PM, penjelasan dalam 24 jam

KOTA BHARU, 3 Jan: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengakui bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akhir Disember lalu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan hasil pertemuan itu kerana demi menjaga peraturan yang sepatutnya dilakukan oleh setiap pemimpin. Demikian seperti satu laporan dari Harakahdaily hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung pertemuannya dengan Perdana Menteri pada 25 Disember lalu.

Ketika ditanya adakah sebarang perkara telah dibincangkan antara pemimpin tertinggi negara itu, Tuan Guru juga turut mengakuinya.

“Tentu ada perkara yang dibincangkan, mana boleh bertemu dengan Perdana Menteri untuk bersembang biasa.

“Bagaimanapun kerana ianya pertemuan tertutup, jadi saya tidak boleh mendedahkannya kepada umum, itu salah dari segi peraturannya,” ujarnya selepas meraikan Wira Negara di Kampung Cherang, dekat sini tengah hari tadi.

Ketika ditanya adakah pertemuan itu turut mensentuh soal royalti, beliau juga enggan mengulas lanjut.

“Saya tak boleh sebut apa-apalah sebab ianya tertutup,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan Malaysiakini juga menyiarkan berita berkaitan dengan dipetik setiausaha akhbar kepada menteri besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari sebagai berkata penjelasan lanjut berhubung pertemuan itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Beliau (Nik Aziz) apa pun akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat, dijangka dalam masa 24 jam," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Setakat ini, Ahmad Fadhli berkata beliau belum mendapat sebarang arahan daripada menteri besar berhubung perkara itu.

Tiada ulasan: