05 Jun 2017

Isu Penjualan Arak dalam Penerbangan MAS

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

5 JUN 2017/ 10 RAMADHAN 1438
KENYATAAN DATUK MAS ERMIEYATI : PEMUDA PAS RAKAM TERIMA KASIH

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merakamkan terima kasih atas sokongan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin terhadap gesaan DPPM sebelum ini agar Malaysian Arlines (MAS) menghentikan hidangan minuman alkohol dalam semua penerbangannya.

2. Sekalipun dalam kenyataan itu, Mas Ermieyati menyatakan bahawa perkara tersebut bukan di bawah kuasa kementeriannya bahkan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, namun ia tetap merupakan satu perkembangan yang cukup baik dan positif. Tambahan pula kedudukan beliau sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO yang merupakan salah satu sayap utama di dalam parti yang menjadi tunjang pentadbiran kerajaan Malaysia pada hari ini.

3. Berasaskan kepada konsep politik dakwah yang terkandung di dalam Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS), DPPM memberikan komitmen untuk meneruskan gesaan dan teguran kepada pihak kerajaan untuk perubahan yang positif selari dengan kehendak Islam. Perubahan ini memerlukan sokongan seluruh lapisan masyarakat muslim khasnya kakitangan MAS yang beragama Islam agar reformasi yang dicita-citakan ini berjaya dilaksanakan.

4. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk seberapa segera melaksanakan perubahan polisi ini bagi memastikan tiada lagi gangguan ke atas penerbangan yang disebabkan oleh penumpang yang mabuk. Apa yang lebih utama daripada itu ialah keberkatan selepas mengharamkan sesuatu yang nyata diharamkan oleh Islam, agama rasmi negara ini.

5. Ramadhan yang mulia ini ialah masa terbaik untuk kerajaan melaksanakan keputusan yang diyakini akan disambut baik oleh sebahagian besar umat Islam yang juga pelanggan MAS di negara ini.

"MARA MENUJU CITA"
"SEJAHTERA BERSAMA ISLAM"


AHMAD FADHLI BIN SHAARI
NAIB KETUA,
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA.

Tiada ulasan: