13 Disember 2011

Sultan Abdul Halim lafaz sumpah Agong ke-14

17 Muharram 1433H. [MOD] -


Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berangkat tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pagi ini, bagi menghadiri istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Ketibaan Tuanku Abdul Halim bersama Sultanah Haminah Hamidun pada pukul 9.07 pagi disambut oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais.

Seramai 29 anggota dan pegawai dari Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja mengadakan kawalan kehormat setempat.

Baginda berdua kemudian berangkat ke Dataran Parlimen di Kuala Lumpur untuk sambutan penuh istiadat.

Tuanku Abdul Halim, 84, dipilih oleh Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja di Istana Negara pada 14 Okt lalu sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa hari ini.

Ini adalah kali kedua Tuanku Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas kali pertama pada 21 Sept 1970 untuk tempoh lima tahun, berakhir 20 Sept 1975.

Sementara Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Sambutan

Di Kuala Lumpur, keberangkatan tiba Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Haminah di Dataran Parlimen di Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi disambut dengan tiupan nafiri oleh 20 anggota dari Rejimen Kedua Kor Armour Diraja.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman menyambut keberangkatan tiba baginda berdua.

Baginda berdua kemudian diiringi ke peterana, melintasi pasukan kawalan tombak, diikuti dengan persembahan tabik "Hormat Diraja" oleh pasukan kawalan kehormat dan disusuli lagu Negara Ku oleh pasukan pancaragam pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang dipimpin Leftenan Nor Azizan Yahaya.

Serentak dengan itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan dan diikuti dengan tembakan meriam sebanyak 21 das.
Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa pasukan kawalan kehormat terdiri daripada 103 pegawai dan anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Muhammad Abdullah.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan disusuli dengan tabik 'Hormat Diraja' serta lagu Negaraku.

Lafaz sumpah

Baginda berdua kemudian menerima menghadap menteri-menteri kabinet dan ketua-ketua jabatan sebelum berangkat ke Istana Negara di Jalan Duta untuk istiadat melafaz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

NONETuanku Abdul Halim kemudiannya melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Ini merupakan kali kedua baginda dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama ialah dari 21 Januari 1970 hingga 20 September 1975 semasa berusia 43 tahun.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kalangan sembilan Raja Melayu dimulakan sejak negara Merdeka pada 31 Ogos, 1957.

Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November lalu.

Pengisytiharan

Berikut ialah pengisytiharan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'azam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 yang dibacakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan di Istana Negara di Kuala Lumpur hari ini:

"Bahawasanya adalah diperuntukkan oleh Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan bahawa hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan yang digelar Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh Majlis Raja-raja:

Dan bahawasanya menurut peruntukan Jadual Ketiga kepada Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja telah mengisytiharkan Beta dipilih memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Maka oleh yang demikian Beta, Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'azam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, dengan ini mengisytiharkan bahawa Beta pada hari ini telah memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong dan telah mengangkat sumpah yang dikehendaki oleh Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan mengikut cara yang ditetapkan oleh Perkara itu.

Diperbuat di Istana Beta, Istana Negara, di Ibu Negara Beta di Kuala Lumpur pada tiga belas haribulan Disember dalam tahun dua ribu sebelas."

Senarai Agong

Berikut adalah senarai Yang di-Pertuan Agong:

1) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad
Mangkat: 1 April 1960 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama)
Ditabal: 2 Sept 1957
Tempoh Jawatan: 3 Ogos 1957 - 1 April, 1960

2) Sultan Selangor
Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ala'iddin Sulaiman Shah
Mangkat: 1 Sept 1960
Ditabal: 1 Sept 1960 (mangkat beberapa jam sebelum ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kedua)
Tempoh Jawatan: Menjalankan tugas Yang di-Pertuan Agong sejak 4 April 1960 berikutan kemangkatan Tuanku Abdul Rahman)

3) Raja Perlis
Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail
Mangkat: 16 April 2000
Ditabal: 4 Jan 1961
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1960 - 20 Sept 1965
(Raja paling muda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu pada usia 40 tahun)

4) Sultan Terengganu
Sultan Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin
Mangkat: 20 Sept 1979
Ditabal: 21 Sept 1965
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1965 - 20 Sept 1970

5) Sultan Kedah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah
Ditabal: 20 Feb 1971
Tempoh Jawatan: 21 Jan 1970 - 20 Sept 1975

6) Sultan Kelantan
Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim
Mangkat: 29 Mac 1979
Ditabal: 28 Feb 1976
Tempoh Jawatan: 21 Sept 1975 - 29 Mac, 1979

7) Sultan Pahang
Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Mu'adzam Shah
Ditabal: 10 Julai 1980
Tempoh Jawatan: 26 April 1979 - 25 April 1984

8) Sultan Pahang
Sultan Mahmood Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail
Mangkat : 23 Jan 2010
Ditabal: 15 Nov 1984
Tempoh Jawatan: 15 April 1984 - 25 April 1989

9) Sultan Perak
Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Ghafarullahulahu Shah
Ditabal: 18 Sept, 1989
Tempoh Jawatan: 26 April 1989 - 25 April 1994

10) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Ja'afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman
Mangkat : 27 Dis 2008
Ditabal: 22 Sept, 1994
Tempoh Jawatan: 16 April, 1994 - 25 April, 1999

11) Sultan Selangor
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah
Mangkat: 21 Nov 2001 (mangkat semasa memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-11)
Ditabal: 23 Sept 1999
Tempoh Jawatan: 26 April 1999 - 21 Nov 2001

12) Raja Perlis
Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail
Ditabal: 25 April 2002
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2001 - 13 Dis 2006

13) Sultan Terengganu
Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Ditabal: 26 April 2007
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2006 - 12 Dis 2011

14) Sultan Kedah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah (Dilantik untuk kedua kali)
Ditabal:
Tempoh Jawatan: 13 Dis 2011

- Bernama

Ujub

17 Muharram 1433H. [MOD] -

Ujub ialah PERASAAN kagum atas diri sendiri. Merasa diri HEBAT. Bangga diri. Terpesona dengan kehebatan diri.

Perasaan ujub boleh datang pada bila-bila masa.

Orang yang rajin ibadah merasa kagum dengan ibadahnya.
Orang yang berilmu, kagum dengan ilmunya.
Orang yang cantik, kagum dengan kecantikannya.
Orang yang dermawan, kagum dengan kebaikannya.
Orang yang berdakwah, kagum dengan dakwahnya.

Sufyan at-Tsauri mengatakan ujub adalah perasaaan kagum pada dirimu sendiri sehingga kamu merasa bahawa kamu lebih mulia dan lebih tinggi darjat.

Muthrif rahimahullah telah berkata, “Kalau aku tidur tanpa tahajud dan bangun dalam keadaan menyesal, adalah lebih baik dari aku bertahajud tetapi berasa kagum dengan amalan tahajud tadi.”

Seorang sahabat Nabi Abu Ubaidah al-Jarrah yang menjadi imam. Setelah selesai beliau berkata, “Syaitan sentiasa menghasut aku supaya merasa aku ini lebih hebat dari orang di belakangku. Aku tidak mahu jadi imam sampai bila-bila.”

Ingatlah, semua kelebihan adalah anugerah dari Allah, oleh itu kagumlah hanya kepada Allah, bukan diri sendiri.

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri."(Surah An-Nisaa', sebahagian ayat 36)

Nabi saw. bersabda, "Apabila seorang lelaki sedang berjalan dengan memakai baju yang kemas dan rambut yang disikat menyebabkan dia rasa kagum dengan pakaian dan dandanan rambutnya (perasan lawa). Lalu Allah tengelamkan dia ke dalam muka bumi dan dia terus ditenggelamkan sampai hari kiamat.” (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw. bersabda, "Ada tiga hal yang dapat membinasakan diri seseorang iaitu kedekut yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan ujub (rasa kagum dengan diri sendiri).”. (HR Al-Bazzar dan Al-Baihaqi)

Imam Nawawi rahimahullah berkata,”ketahuilah bahwa keikhlasan niat terkadang dihalangi oleh penyakit ujub. Sesiapa ujub dengan amalnya sendiri maka akan terhapus amalnya". (Syarh Arba’in)

tazkirah/-

Keunikan perkahwinan wanita Islam Bulgaria

17 Muharram 1433H. [MOD] -

MEHMED AIUMANKOV bergambar bersama isterinya, Fetma Kuchikova di hadapan rumah mereka sewaktu majlis perkahwinan di kampung Ribnovo, Bulgaria.

SOFIA, Bulgaria - Seorang pengantin perempuan, Fatme Kichukova membiarkan wajahnya disolek dengan kapur tebal berwarna putih dan dihiasi labuci berwarna-warni.

Upacara itu hanya boleh dilihat oleh saudara-saudara perempuannya, sebelum Kichukova disatukan dengan suaminya, Mehmed Aiumankov.

Kichukova berkahwin di kampungnya, Ribnovo di kawasan pergunungan Rhodope, 210 kilometer selatan Sofia.

Penduduk kampung tersebut masih mengekalkan adat perkahwinan tradisional pada musim sejuk itu di sebalik fahaman komunis selama berdekad-dekad dan kemiskinan yang membuatkan ramai lelaki berhijrah ke luar negara untuk bekerja.

Ritual perkahwinan tersebut diteruskan dalam kalangan orang Pomak yang menganut Islam sewaktu zaman pemerintahan Uthmaniah. Penganut Islam mewakili 10 peratus daripada keseluruhan 7.4 juta rakyat Bulgaria. - Reuters

Kilik ke 14 Juta, terima kasih kepada semua.

17 Muharram 1433H. [MOD] -

Alhamdulillah semasa saya sedang melayari internet di sebuah kilang membuat perabut antik di bandar Jepara Indonesia sebentar tadi, sempat saya melayari Blog Cina islam yang dikendalikan oleh team moderator yang berusaha tanpa mengenal penat dan lelah untuk terus menampilkan blog kesayangan ini dengan sosok dan penampilan tersendiri.

Tanpa disedari klik pengunjung yang disediakan di sidebar kanan menunjukkan jumlahnya sebanyak 14,008,000 lebih.

Mudah-mudahan dengan mencecah 14 juta klik itu memberi perangsang dan petunjuk kepada kami untuk terus menampilkan blog ini dipersada media baru di negara Malaysia sesuai dengan jumlah pengunjung harian yang tidak jemu-jemu masuk ke blog ini.

Tiada hadiah dan penghargaan yang mampu kami berikan dengan semangat dan kesetiaan tuan, puan hadir ke blog ini, melainkan setinggi ucapan penghargaan dan terima kasih tidak terhingga.

Semuga Allah memberkati segala kerja buat kita dan menjadikannya sebagai sebahagian dari amal soleh yang melayakkan kita mendapat syurga Nya jua.

Drs. Khalil Idham Lim
Jepara Indonesia, 13 Disember 2011.

Gelombang baru PRU-13 memihak kepada PR

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Gelombang baru yang memihak kepada pembangkang dijangka berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), khususnya di negeri ini dan negara amnya.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, gelombang tersebut amat terasa ketika kini memandangkan PRU13 memperlihatkan satu titik baru dalam sejarah negara apabila Pakatan Rakyat (PR) buat pertama kali bertemu Barisan Nasional (BN).

Bagi Pas Terengganu, beliau berkata, pihaknya tekad memastikan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang buat kali ketiga selepas memenangi negeri ini sebanyak dua kali pada 1959 dan 1999.

“Kalau pilihan raya sebelum ini, kita (Pas) bersendirian, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersendirian dan DAP bersendirian tetapi kita tidak cukup kuat untuk bersendirian lagi.

“Kita juga rasa satu gelombang baru akan berlaku bukan sahaja di negeri ini tetapi di seluruh negara dan untuk menghadapi pilihan raya kali ke-13 dalam tempoh 54 tahun merdeka, inilah kali pertama pili-han raya iaitu satu pakatan lawan satu barisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kelab Veteran Pas Terengganu di Jalan Sultan Mahmud, di sini, kelmarin.

Pada majlis tersebut, keputusan mesyuarat bersetuju melantik Abdul Wahab Salleh sebagai Pengerusi Kelab Veteran Pas Terengganu bagi menggantikan Allahyarham Kassim Ahmad yang meninggal dunia, 19 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Abdul Wahid turut meminta golongan veteran mengadakan perjumpaan lebih kerap sebagai platform menyampaikan maklumat kepada ahli supaya mereka tetap dengan perjuangan parti dan bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, Kelab Veteran Pas perlu memainkan peranan untuk sebarang perbincangan, selain memberi sumbangan termasuk kewangan untuk kemajuan parti.

“Veteran kena bermaklumat dan kena bekerja untuk menghadapi pilihan raya. Kita harap perjumpaan ini bukan yang pertama dan terakhir. Kalau pertemuan ini boleh dibuat sekali sebulan lebih baik,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mempertahankan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang bakal disaman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berhubung satu artikel membabitkan kontrak perbekalan pakaian seragam sekolah.

Beliau berkata, Adun tersebut tidak menipu dan mendapati tiada apa yang tidak kena berhubung fakta yang dikaitkan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

sinar harian/-


Nyaris ditimpa pokok kayu ara

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA PILAH – Seorang pekerja SWM Enviroment Sdn Bhd (SWM) mengalami detik-detik cemas apabila nyaris ditimpa sebatang pokok dipercayai jenis kayu ara yang tumbang ketika melakukan kerja menyapu kira-kira jam 8.15 pagi di Jalan Bukit dekat sini, semalam.

Mangsa, Norsita Mohd Ibrahim, 39, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyapu di bawah pokok besar itu yang berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, tiba-tiba terdengar bunyi seolah-olah ranting patah dan kemudian melihat ke arah pokok itu sebelum ia semakin senget.

“Saya terus berlari ke tempat yang lebih selamat selepas terdengar jeritan pengawal keselamatan perpustakaan ber­hampiran menyuruh saya ‘lari’,” katanya kepada Sinar Harian.

Norsita berkata, dalam keadaan badan menggigil, dia berlari keluar untuk menyelamatkan diri kerana bimbang dihempap pokok ataupun dahan besar.

“Kejadian ini adalah pe­ngalaman yang tidak dapat dilupakan. Setiap hari, saya akan menyapu kawasan ini bermula dari taman permainan kanak-kanak hingga jalan simpang ke Dewan Datuk Bahaman Shamsudin.

“Memang malam tadi, hujan lebat dan mungkin sebab itu pokok tersebut tumbang. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana sempat melarikan diri,” katanya yang sudah berkerja bersama SWM selama setahun.

Norsita berkata, mujur ketika kejadian tiada kenderaan mela­lui jalan tersebut.

“Kebiasaannya, jalan ini sibuk ketika waktu pagi kerana masing-masing hendak menuju ke bandar Kuala Pilah.

“Namun, ketika itu, hanya saya seorang sahaja yang sibuk membersihkan daun-daun kering di atas Jalan Bukit ini berhampiran taman permainan kanak-kanak,” katanya.

Dalam pada itu, Norsita berkata, sepanjang jalan tersebut, terdapat pokok yang tinggi berkemungkinan boleh berlaku kejadian seperti hari ini (semalam).

“Saya sudah menyapu di kawasan ini sejak setahun lalu. Perasaan takut dan bimbang tetap ada ketika melalui bawah pokok yang tinggi hampir 23 meter.

“Bila hujan dan angin ribut, bimbang pokok itu tumbang secara tiba-tiba seperti kali ini. Mungkin hari ini, tiada kemalangan jiwa berlaku, pada hari seterusnya, kita tidak tahu,” katanya.

Sehubungan itu katanya, diharap pihak berkenaan dapat mencantas dahan pokok berkenaan bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini pada masa akan datang.

Sinar Harian

Allah Maha Kuasa

17 Muharram 1433H. [MOD] -

"Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki.

Ditangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Ali Imran - 26)

tazkirah/-

Rakyat Perak masih taruh harapan pada Nizar

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Dewan Pemuda PAS Perak mendakwa terdapat usaha dari pihak tertentu yang akan cuba mencemarkan imej dan nama baik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) menjelang PRU-13 nanti.

Tindakan itu, kata mereka ekoran Mohamad Nizar masih mendapat sokongan dan menjadi harapan seluruh rakyat negeri itu untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, faktor sokongan padu rakyat terhadap Nizar itu juga turut menjadi kebimbangan besar BN negeri itu terutama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Pada kami, sebenarnya Barisan Nasional (BN) Negeri Perak amat bimbang perkara tersebut dan cuba memastikan imej Datuk Seri Nizar diburukkan dengan pelbagai serangan.

"Kami yakin rakyat sedang menunggu untuk menyuarakan ‘undi’ mereka bagi memastikan Datuk Seri Nizar dan PR meneruskan pentadbiran bersih yang ‘terhenti’ dalam tempoh 11 bulan sahaja," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Pada masa sama jelasnya, Umno Perak kini sedang berdepan krisis dalaman apabila ramai di kalangan pemimpin Umno negeri itu kurang senang dengan Zambry dan mahu teraju kepimpinan negeri itu diganti orang lain.

Zambry juga dikatakan bukan calon pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kebanyakkan pimpinan Umno Bahagian terutamanya kurang senang dengan kepimpinan Datuk Seri Zambry berikutan ramai dikalangan mereka adalah penyokong kepada bekas Menteri Besar Perak ke-9 iaitu Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali.

"Kami mencabar BN Perak agar segera menamakan siapakah calon Menteri Besar jika BN Perak berjaya kembali mentadbir Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti," katanya.

Harakah Daily

Bersara 60 tahun burukkan krisis pengangguran

17 Muharram 1433H. [MOD] -

Semasa Penjawat Awam diberikan opsyen untuk melanjutkan umur persaraan wajib dari umur 56 tahun kepada 58 tahun dahulu lambakan pelajar yang tamat pengajian mereka begitu sukar untuk mendapat pekerjaan dimana-mana agensi sektor awam kerana mereka perlu menunggu selama 2 tahun berturut-turut kerana Penjawat Awam yang sepatutnya bersara pada umur 56 tahun dilanjutkan lagi kepada 58 tahun.

Kini apabila kerajaan mengumumkan untuk melanjutkan umur persaraan kepada kakitangannya lagi sekali daripada umur 58 tahun kepada 60 tahun yang akan berkuatkuasa 1hb Januari 2012 masalah pengangguran dikalangan belia-belia kita yang baru tamat pengajian mereka ini akan bertambah kerana keadaan akan lebih sukar untuk mendapatkan pekerjaan dimana mereka terpaksa menunggu hingga ketahun 2014 barulah dibuka kembali jawatan kosong apabila had umur persaraan wajib kakitangan awam mencecah umur 60 tahun itu pada akhir tahun 2013 dan mungkin ada yang layak bersara hingga ketahun 2014 mengikut tarikh lahir masing-masing.

Fenomina ini telah ditempuhi kepada belia dimasa proses peralihan perlanjutan umur persaraan daripada umur 56 kepada 58 tahun tidak berapa lama dahulu.Bayangkan lebih daripada 100 ribu pelajar yang tamat pengajian mereka dipusat pengajian tinggi dan lebih daripada 200 ribu yang hanya ada sijil kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun itu hendak diletakkan dimana jika tawaran pekerjaan semakin sempit ruangnya.Walaupun pihak Kerajaan berikan jaminannya tidak akan menjejaskan pengambilan kakitangan awam yang baru tetapi mana mungkin secara logiknya tawaran pekerjaan ditambahkan lagi lebih kurang 100 ribu itu tanpa sebab tertentu.

Ambil contoh dimana bakal-bakal Guru yang sudah lama mengeluh dan ada yang memendamkan rasa melalui media kerana masih belum mendapatkan tempat mengajar walaupun sudah agak lama menerima Ijazah dan Diploma mereka.Kalau dahulu ramai dikalangan belia berminat untuk mengambil Ijazah Perguruan kerana terjamin akan pekerjaan yang menanti tetapi ianya bukan lagi suatu jamian lagi.

Diharap pihak Kerajaan ambil tindakan sewajarnya bagaimana untuk menyelesaikan masalah pengganguran yang semakin meruncingkan itu.Saya cadangkan ambilkan sahaja lebih kurang 100 ribu belia yang layak bekerja disektor awam sebagai pekerja sambilan sebelum mereka ini diserapkan berperingkat-peringkat kejawatan tetap apabila ada yang akan bersara wajib nanti mengikut penggiliran masing-masing.Kemungkinan kaedah sebegini sedikit sebanyak akan dapat mengatasi masalah lambakan pengangguran itu nanti.

-Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail
Ampangan

Harakah Daily

PAS komited bantu perjuangan rakyat Palestin

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Dis: PAS hari ini menerima kunjungan daripada tiga wakil Badan Kebudayaan Palestin di Malaysia (PCOM) membincangkan kerjasama dua pihak bagi membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel.

Kunjungan mereka disambut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Menurut Pengarah Eksekutif PCOM, Muslim Abu-Umar PCOM yang beribu pejabat di sini sudah mempunyai hubungan yang erat dengan PAS lebih 10 tahun lalu.

Hari ini mereka hadir sendiri ke pejabat Harakah bagi berbincang program-program kerjasama yang boleh dilakukan dan berharap PAS dapat meningkatkan kerjasama dan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Kamarudin dalam pertemuan tersebut menyatakan pendirian PAS untuk sentiasa memberikan sokongan kepada perjuangan Palesytin melawan kekejaman Israel.

"Saya menegaskan sekali lagi komitmen dan pendirian PAS untuk sentiasa memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin hak-hak mereka sebagai sebuah negara yang bebas merdeka

"Kita juga harap supaya Malaysia turut meningkatkan lagi perjuangan menunutut wujudnya sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka seperti negara-negara lain," katanya.

PCOM juga berharap PAS dapat mempelopori perjuangan membebaskan Palestin di Malaysia.

Harakah Daily

Penghina hudud jangan kurang ajar - Ridhuan Tee

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.

Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.

Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.

"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima ‘hudud Pas’. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada ‘hudud PAS’, tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.

Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.

Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan “binasa diri” jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.

"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan ‘binasa diri’ jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang ‘memberi khidmat’?


"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.

Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.

Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.

"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.

Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.

"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.

Harakah Daily

Kelantan bangga dengan perlantikan Timbalan Agong

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 13 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Kelantan atas perlantikan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataannya, Husam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, "Perkenan para kekanda ke Bawah DYMM Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Kelantan selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.

"Besar pula maknanya bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim," kata Husam dalam satu kenyataan medianya.

Husam juga melahirkan keyakinannya, Tuanku Faris Petra mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negeri ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik dan berdedikasi yang ada pada baginda.

"Selama ini, dalam tempoh yang singkat, Tuanku menjadi kebanggan rakyat Kelantan dan rasa bangga itu akan Insya Allah akan dikongsi pula oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas Husam dalam kenyataannya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan ‘sembah tahniah’ di atas pengisytiharan Sultan Muhammad ke V memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pihaknya berbesar hati di atas perlantikkan itu.

“Semoga perlantikan tuanku membawa berkah dan keamanan di negeri Kelantan Tadahan Wahyu ini.

“Patik mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, merakamkan sembah tahniah kepada tuanku semoga tuanku di lindungi dunia dan akhirat,”ujarnya.

Syukur atas perlantikan Agong

Husam juga mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas perlantikan DYMM Al Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan DYMM Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang masing-masing selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang ke 14.

Selaku rakyat yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu selaku teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, saya merasa bangga dan bertuah menyaksikan perlantikan Tuanku berdua, kata Husam.

"Selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua bagi Ke Bawah DYMM Al Sultan Kedah, sudah tentu memberikan nostalgia zaman anak-anak saya dengan ketinggian budi, hemah, bijaksana dan mesra rakyat ke Bawah Duli Tuanku sewaktu berada di atas singgahsana sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali pertama dahulu.

"Insya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, Malaysia akan terus bersatu maju, adil, makmur, maju dan aman damai," kata Husam.

Husam juga mengucapkan junjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agung ke 13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atas khidmat baginda yang cemerlang.

"Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan 'afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan," katanya dalam kenyataan itu.

Harakah Daily

Doktor sahkan rawat ayah blogger Faisal di wad

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 13 Dis: Doktor pakar Hospital Raja Perempuan Zainab II, Dr Ahmad Shawani Mohd Sidek, 40 memberitahu mahkamah beliau pernah merawat bapa blogger Umno, Mohd Faisal Mohd Rohban Ahmad.

Ketika memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini katanya Roban Ahmad Samsir dirawat di wad pada 27 September hingga 4 November 2009 kerana menghidapi penyakit kencing manis.

Katanya, beliau boleh mengingati pesakit terbabit memandangkan namanya agak unik, dan kebetulan pula mendapat panggilan telefon anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) menanyakan nama pesakit terbabit.

“Sekadar memberi nama pesakit tidak menyalahi peraturan dan saya bukannya memberitahu lanjut jenis penyakit,” katanya menjawab soalan peguam defendan Adly Abdul Manas,” katanya.

Kes tersebut dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Husam diwakili peguam Hisham Fauzi turut dibantu Zainal Abidin Mustafa dan Rosilawati Zakaria. Bagaimanapun Zainal tidak hadir kerana ada kes lain di Putrajaya.

Naib Presiden PAS itu menyaman Faisal kerana menyiarkan tulisan berunsur fitnah dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009.

Rencana tersebut bertajuk “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”

Husam dalam pernyataan tuntutannya sebelum ini menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan mengelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguam mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama dan membayar ganti rugi RM500,000.

Faisal yang hadir bersama keluarganya dijangka menjadi saksi pihak defendan pada perbicaraan yang akan disambung pada 7 dan 8 Mac tahun hadapan.

Manakala prosiding kes Husam saman seorang lagi blogger mesra Umno, Kickdefella akan diadakan pada 18 Disember depan juga di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada pengurusan kes sebelum ini Kickdefella, nama sebenar Syed Azidi Syed Abdul Aziz memohon memindahkan kes tersebut ke Kuala Lumpur, namun dibantah plaintif.

Harakah Daily

Agong baru akan rapatkan Kedah dan Pusat

17 Muharram 1433H. [MOD] -

ALOR SETAR, 13 Dis: Kerajaan negeri Kedah yakin, hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan Pusat selepas ini akan bertambah baik ekoran perlantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dalam sidang medianya semalam bagi mengucapkan tahniah kepada Tuanku Abdul Halim.

Ini adalah perlantikan yang kedua kalinya buat Tuanku Abdul Halim sebagai Yang DiPertuan Agung.

Bagi Azizan, pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat Kedah.

Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.

"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Azizan berkata beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Katanya agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan akan terus dijaga.

"Pastinya pesanan serta pandangan Tuanku yang konstruktif, galakan dan tunjuk ajar kepada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan menjadi suntikan dan panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri," katanya.

Timbalan Agong

Sementara itu, rakyat Kelantan menyambut baik perlantikan Sultan Kelantan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri itu.

Tengku Muhammad Faris Petra, 42, putera sulung Sultan Ismail Petra, yang sering membahasakan diri baginda sebagai "kita", telah menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Baginda yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai "kita".

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat yang dikenali sebagai berbaju "gumbang", berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Harakah Daily

Masyarakat bukan Islam Kelantan tak gentar hudud

17 Muharram 1433H. [MOD] -

Beberapa orang anggota masyarakat bukan Islam yang ditemui Malaysiakini di Kota Bharu menolak pandangan bahawa undang-undang hudud yang telahpun diluluskan di negeri itu akan menjejaskan kegiatan ekonomi mereka.

Individu berkenaan sebaliknya berpandangan, undang-undang berkenaan akan dapat mengurangkan kadar jenayah seperti rompakan.

Seorang daripada mereka, yang ingin dikenali sebagai Puan Gan berpendapat penjenayah akan lebih takut untuk melakukan perbuatan itu kerana hukuman berat yang boleh dikenakan melalui undang-undang berkenaan.

Kedai kasutnya itu terletak berhampiran zon bersejarah Kota Bharu yang menempatkan bangunan dan lokasi bersejarah yang menjadi tarikan pelancong, termasuk Balai Syura, Istana Jahar dan Istana Batu.

Malangnya, kawasan itu sunyi pada waktu malam dan beliau bimbang keadaan itu akan mengundang kegiatan jenayah.

"Awal tahun ini, kedai emas (di hadapan kedainya) telah dirompak. Sebab itulah sekiranya undang-undang hudud ini dikuatkuasa, orang akan berfikir dua kali sebelum melakukan rompakan," katanya.

Wanita kelahiran Selising, Pasir Puteh itu juga yakin hukuman hudud seperti potong tangan akan mengelakkan jenayah seperti itu berlaku.

"Memanglah bunyinya sangat kejam (potong tangan). Tapi sekiranya seorang mangsa ragut terjatuh dan cedera parah, ia akan memberi kesan mendalam kepada keluarga... Mungkin lebih teruk," katanya lagi.

Ditanya lanjut, Puan Gan juga berpandangan bahawa peraturan keislaman yang diperkenalkan pihak berkuasa tempatan – Majlis Perbandaran Kota Baru Bandaraya Islam – tidak menjejaskan beliau.

Peraturan tersebut termasuk denda yang dikenakan ke atas wanita Islam untuk kesalahan tidak menutup aurat, termasuk tidak memakai baju berlengan panjang.

"Saya tidak fikir ia memberi kesan sangat kepada kita, malah orang Cina di sinipun berpakaian sopan, mungkin kita lebih konservatif," katanya yang menambah peraturan itu tidak dikuatkuasakan dengan ketat.

Beliau bagaimanapun terkejut apabila diberitahu bahawa ramai golongan bukan Islam di pantai barat Malaysia menentang hudud dan hukuman berkenaan.

"Kadang-kadang saya rasa surat khabar mainkan isu ini banyak sangat," katanya lagi.

malaysiakini/-

Suami, dua isteri ditahan

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SERI ISKANDAR - Kelicikan suami dan dua isterinya melakukan kegiatan pecah kereta secara berkumpulan mengundang padah apabila ketiga-tiga mereka berjaya ditahan di Pasir Putih, Ipoh, 8 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, penahanan tiga suspek itu, berjaya menyelesaikan lima kes kecurian melibatkan kejadian pecah kereta.

Menurutnya, pihaknya menjumpai lapan komputer riba dianggarkan bernilai RM15,000 yang dipercayai dicuri oleh suami dan dua isterinya sebelum menjual barang itu kepada seorang pembeli di Ipoh.

“Modus operandi, mengumpil kereta mangsa yang diletakkan di parkir setelah mangsa meninggalkan kereta berkenaan.

“Suspek bersama dua isteri dan seorang anak akan berlegar-legar di kawasan letak kereta untuk mencari kereta yang boleh di pecah,” katanya.

Mohamad Fakri berkata, apabila melihat ada kereta yang boleh dijadikan sasaran, salah seorang isteri akan mengekori mangsa masuk ke pasar raya bagi memerhatikan mangsa.

“Manakala suspek bersama seorang lagi isteri akan melakukan kerja-pecah kereta ini.

“Isteri yang mengekori mangsa akan memaklumkan jika mangsa selesai beli-belah dan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga menemui beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan untuk tujuan pecah kereta antaranya empat pemutar skru pelbagai warna dan saiz serta besi penyangkut.

“Kita juga menemui lima peranti storan media (pendrive), dua kad anggota Rela, enam pelbagai kad, 29 rangkai kunci kereta pelbagai jenis, 16 biji nar pengetat tayar, 12 suis kunci kereta, lima telefon bimbit pelbagai jenis dan satu kamera digital yang dipercayai barang curi,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang juga seorang mekanik, menjual komputer riba itu dengan harga RM400 hingga RM500 kepada pembeli.

“Kebanyakan mangsa adalah pelajar Institut Pengajian Tinggi sekitar daerah ini.

“Kes ini dilaporkan sejak Jun lalu sehingga kini dan kita percaya dengan penangkapan ini kita berjaya membongkar banyak kes lain” katanya.

Katanya, rentetan itu, pembeli komputer riba berkenaan turut ditahan di sebuah pasar raya di Ipoh.

Kes disiasat di bawah Akta 379 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi suspek dan kedua isterinya manakala, pembeli komputer riba disiasat di bawah Akta 379/411 Kanun
Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh di penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sinar Harian

Elaun Guru GSTT ditarik

17 Muharram 1433H. [MOD] -

Assalamualaikum wbt saudara editor,

Saya merupakan salah seorang guru sandaran terlatih yang telah bkhidmat selama 4 tahun.

Kerajaan telah mengumumkan pada bulan Mac yang lepas bahawa semua GSTT yang mencukupi syarat akan diserap dan diberikan kursus kpli/dpli/kdc bermula tahun 2012.

Berdasarkan kontrak lantikan saya sekarang (contract of services) kami dibayar gaji sebanyak RM1901.80, elaun bantuan sara hidup sebnyak RM300 dan elaun khidmat awam RM300.

Tetapi bermula minggu lepas, semua GSTT dipanggil mengikut PPD masing-masing untuk menukar status kami dari contract of services (cos) kepada contract for services (cfs).

Berdasarkan contact cfs gaji akan dibayar sebanyak RM2331dan tiada elaun lain.

Gaji GSTT cfs dibayar berdasarkan hari bekerja. Malang bagi kami, GSTT cos apabila dipanggil dan dipaksa menandatangani pertukaran kontrak dari cos kepada cfs dan terpaksa memulangkan semula perbezaan gaji yang kami telah terima dan caruman kwsp majikan kepada kerajaan bermula 11/10 dan gaji bulan disember akan dibayar mengikut hari bekerja.

Ini satu penganiayaan bagi kami. Di mana kami nak dapatkan wang untuk pulangkan semula wang tersebut sedangkan kami baru dimaklumkan mengenai pertukaran kontrak ini pada bulan Disember.

Walhal kami juga telah menerima surat tamat konrak berakhir 31 disember 2011 berdasarkan contract of services. Apa beza kami GSTT dengan guru tetap? Beban kerja kami sama seperti guru-guru tetap yang lain. Adakah kami tiada hak untuk bercuti?

-Guru terainaya

Harakah Daily

Kaabah dicuci dengan air Zamzam

17 Muharram 1433H. [MOD] -

MAKKAH: Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal, mengetuai upacara membersihkan Kaabah, bangunan paling suci, menggunakan air Zamzam yang dicampur dengan air mawar, semalam.

Majlis itu dihadiri oleh sebilangan besar tokoh terkenal, antaranya Ketua Presiden Dua Masjid Suci, Sheikh Al-Hosain dan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam, Ekmeleddin Ihsanoglu.

Kenamaan lain yang turut hadir di majlis itu termasuk Menteri, Fouad Haji Al-Farsy, Datuk Bandar Makkah, Osama Al Bar dan Timbalan Gabenor Makkah, Abdul Aziz Al Khodairy.

Beberapa diplomat dari negara Islam dan pegawai Masjidil Haram turut hadir di majlis itu.

Bahagian dalam Kaabah, dicuci dua kali setahun – pada Muharram dan Syaaban, bulan pertama dan kesembilan dalam kalendar Hijrah.

Kaabah, yang terletak di dalam kompleks Masjidil Haram yang luas, adalah penting kepada agama Islam dan menjadi kiblat kepada semua orang Islam di dunia ketika menunaikan solat.

Berjuta-juta umat Islam datang ke Baitullah untuk menunaikan sebahagian rukun haji setiap tahun.

Melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, adalah satu rukun wajib umrah dan haji.

Harian Metro

Patuh seperti kambing

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Pembelaan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhujah, bukti berhubung tingkah laku Mohd Saiful Bukhari Azlan, sebelum dan selepas dakwaan kejadian itu berlaku, tidak boleh dipercayai.

“Sukar untuk dipercayai SP1 (Mohd Saiful) bertindak seperti seekor kambing yang patuh de­ngan arahan tertuduh (Anwar) walaupun banyak peluang untuk­nya melarikan diri dari bilik tidur tersebut sebelum dakwaan liwat itu dilakukan. Dia memilih tidak berbuat demikian,” kata peguam utama Anwar, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi, semalam.

Karpal berkata, tidak ada bukti mengatakan, pintu ke bilik tidur itu dikunci dan Mohd Saiful boleh berlari keluar dari bilik itu ke ruang tamu, kemudian boleh meminta tolong daripada penghuni yang tinggal di unit bertentangan kondominium itu dan membuat aduan kepada mereka.

“Tetapi dia beritahu, dia terima pelawaan tertuduh ke ruang makan,” katanya.

Hujahan itu bagi peringkat pembelaan dalam kes Anwar, 64, atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, 26, yang juga bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Pembelaan mempersoalkan kredibiliti Mohd Saiful dan meminta mahkamah menilai semula kredibilitinya kerana pengadu tersebut tidak bercakap benar walaupun mahkamah mendapati dia saksi boleh dipercayai pada peringkat kes pendakwaan.

Sehubungan itu kata pembelaan, mahkamah mestilah mempertimbangkan sama ada kes terhadap Anwar itu dibuktikan melangkaui keraguan munasabah berikutan pihaknya telah menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Karpal berhujah, daripada keterangan pakar bedah Ortopedik, Dr Thomas Hoogland ketara merobohkan keterangan Mohd Saiful berhubung keupayaan Anwar sebagai lelaki berumur membuat aksi liwat seperti yang digambarkan oleh pengadu itu.

“Mohd Saiful ketika disoal balas menyatakan bahawa pada hari tersebut, beliau (Anwar) melakukannya dengan laju dan rakus,” kata Karpal.

Menurutnya, Mohd Saiful mengatakan telah diliwat sebegitu di atas lantai dalam bilik tersebut.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan Dr Hoogland, adalah tidak mungkin Anwar boleh melakukan aksi seperti dikatakan kerana ia memerlukan pergerakan pinggul yang boleh menyebabkan kesakitan berhubung masalah tulang belakangnya itu.

Selain itu katanya, pembelaan mempertikaikan kredibiliti Mohd Saiful kerana membuat laporan selepas dua hari kejadian didakwa berlaku.

Karpal juga memohon mahkamah menangguhkan keputusan terhadap kes tersebut bagi membolehkan Mohd Saiful dipanggil semula dan turut memanggil bekas anggota pasukan pendakwaan Timbalan Pendakwa raya Farah Azlina Latif, yang didakwa ada hubu­ngan sulit
dengan Mohd Saiful, sebagai saksi, untuk menafikan dakwaan itu di mahkamah.

Peguam Sankara Nair pula berhujah, sekiranya benar pintu di kondominium itu berkunci, siapakah yang menghidangkan kopi dan karipap yang didakwa dimakan Anwar dan Mohd Saiful selepas kejadian liwat tersebut.

Hujahan bersambung 1.30 tengah hari ini.

Sinar Harian

Bekas pengarah JPJ didakwa

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SEREMBAN - Bekas Peng­a­rah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Mohd Kamal Saad, 57, me­ngaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Serem­ban, di sini, semalam, atas tuduhan menerima tiket penerbangan dan penginapan da­ripada sebuah syarikat memandu untuk menghadiri satu mesyuarat di Sabah, tahun lalu.

Mohd Kamal membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Nursinah Adzmi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Kamal didakwa menerima tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Kota Kinabalu berharga RM298 dan penginapan selama satu hari di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah bernilai RM390 bagi menghadiri Mesyuarat Jabatan Pengang­kutan Jalan Bersama Institut Memandu Negeri Sembilan pada 24 Julai hingga 26 Julai 2010.

Mohd Kamal menerimanya daripada pemilik Institut Pemandu Empat Sempurna (M) Sdn Bhd, Lukut Port Dickson, Sharifah Norliza, 45.

Tertuduh yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia di Putrajaya didakwa menerima tiket dan tempahan hotel itu tanpa balasan di pejabat JPJ negeri pada 24 Julai tahun lalu walaupun mengetahui wanita itu ada kena mengena dalam urusan yang dijalankan oleh beliau ketika itu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pence­gahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Fairuz Johari memohon mahkamah membebaskan tertuduh dengan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Mohd Kamal yang diwakili peguam, Ramzani Idris dan Mu­hammad Faiz Fadzil memohon ikat jamin dikurangkan dengan alasan akan bersara dalam tempoh enam bulan lagi, selain perlu menyara keluarganya.

Nursinah membenarkan Mohd Kamal dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Nursinah turut menetapkan 2 Februari tahun depan sebagai tarikh sebutan semula.

Sinar Harian

Samun pekerja stesen minyak

17 Muharram 1433H. [MOD] -

IPOH – Seorang kakitangan agensi pekerja asing dihukum tiga tahun penjara serta satu sebatan dan denda RM40 kerana bersalah terhadap tiga pertuduhan menyamun, memiliki senjata berbahaya dan barang haram di Tambun pada Februari dan Mac lalu.

Majistret Rabiatul Adawiyyah Che Khalib memerintahkan hukuman itu dijalankan serentak dari tarikh ditangkap setelah mempertimbangkan rayuan tertuduh, Yahisyal Yahaya, 26.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dikenakan dua tahun penjara atas kesalahan menyamun seorang pekerja stesen minyak warga Pakistan dengan menyamar sebagai polis dan merompak sebuah telefon bimbit jenama Nokia, wang tunai RM300 dan dokumen penting milik mangsa.

Dia melakukan perbuatan itu di stesen minyak Batu 6, Tambun pada jam 2 petang, 19 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Tertuduh juga didapati bersalah memiliki senjata berbahaya iaitu pisau, parang panjang dan pemotong dawai ketika ditahan oleh anggota polis di Taman Perpaduan pada jam 3.30 petang, 6 Mac lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Yahisyal dikenakan penjara setahun dan satu sebatan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Yahisyal juga dikenakan denda RM40 atas kesalahan memiliki barang haram iaitu satu vest hijau, topi hitam mempunyai logo PDRM, gari dan anak kunci serta mempunyai pelekat kenderaan tertera logo PDRM dan Polis Gerakan Am (PGA) pada waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa dibawah Seksyen 16 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50 atau enam minggu penjara.

Tertuduh tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dengan alasan mempunyai tiga anak kecil dan mahu hukuman dijalankan serentak. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim.

Sinar Harian

Lori ais 'ghaib' rempuh rumah

17 Muharram 1433H. [MOD] -

ALOR GAJAH - Seorang guru yang sedang sibuk memotong rumput terkejut sebaik terdengar dentuman kuat sebuah lori ais yang merempuh stor rumah ibunya, Gan Yok Tau, 62, di Jalan Batu Belang, Pulau Sebang, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, Yap Kiam Fong, 42, berkata, lori ais terbabit bergerak tanpa pemandu dipercayai mengalami masalah pada brek tangan.

“Kedudukan saya memang dekat dengan stor itu, kemudian, mendapati lori itu tiada pemandu dan tembok stor barangan terpakai yang terletak tepi jalan sudah runtuh.

“Ketika kejadian, ada 15 ahli keluarga dalam rumah itu termasuk 11 kanak-kanak kerana kami adik-beradik pulang bersempena cuti sekolah,” katanya.

Difahamkan, pemandu lori ais itu sedang menghantar ais dan menyedari lori yang dinaiki ‘ghaib’ sebaik keluar dari kedai berkenaan sebelum mendapati ia sudah merempuh stor rumah yang terletak kira-kira 25 meter.

“Pemandu lori terkejut apabila mendapati lori yang dipandu itu tiada dan menyangka sudah dibawa lari penjenayah.

“Mujur saya dan adik segera mendirikan sebatang kayu bagi menghalang bumbung zink yang sudah roboh itu terus terjatuh walaupun terdapat rak yang menempatkan barang-barang terpakai dalam stor itu sudah roboh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supe­rintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan kejadian lori muatan ais yang menggelongsor merempuh tembok bahagian stor sebuah rumah itu, namun tiada kecederaan di­laporkan.

“Difahamkan lori ais terbabit mengalami masalah pada brek tangan hingga menyebabkan ia meluncur sendiri pada jalan yang agak landai hingga merempuh bahagian tepi sebuah rumah yang menempatkan stor penyimpanan barangan terpakai,” katanya.

Sinar Harian

Kerajaan Negeri kumpul bukti

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri akan mengumpul bukti dan membuat kajian terperinci berhubung pengurusan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) semasa pentadbiran BN sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama untuk menjamin ketelusan dalam membanteras kegiatan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dengan memperuntukkan sebanyak RM10 juta dalam ‘Geran Selangorku’ bagi tujuan itu.

“Buat masa ini, kita tidak akan laporkan kepada SPRM terlebih dahulu untuk kumpul bukti kukuh. Kita pun tahu SPRM banyak kerja dan boleh jadi mereka tidak mempunyai ramai pegawai untuk jalankan kajian itu.

“Jadi, kita cuba bantu mereka mengumpulkan maklumat kes ini supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya kelmarin yang mendakwa pengurusan GLC semasa ditadbir BN sebelum ini tidak diuruskan secara teratur hingga mewujudkan suasana bermasalah dengan amalan rasuah, perjanjian usaha sama berat sebelah dan pemberian projek kepada kroni yang hanya menguntungkan segelintir pihak, tetapi merugikan rakyat secara keseluruhannya.

Abdul Khalid berkata, pengumpulan bahan bukti itu memerlukan kos tinggi dan beliau mencadangkan agar sedikit peruntukkan tersebut digunakan untuk menampung perbelanjaan kes jika ia memerlukan kajian, sehingga perkara berkenaan dibawa ke mahkamah.

“Kita bukan pandai cakap saja, tetapi akan buat susulan daripada kes ini berdasarkan peruntukan sedia ada dan berharap ia dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kempen Menanam Pokok di Cahaya SPK Resort Club, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Khalid juga turut membantu menanam pokok di kawasan seluas 200 hektar dan beliau menyokong usaha pemaju supaya mewujudkan persekitaran hijau di kawasan perumahan yang dibina.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Selangor,Yaakob Sapari dan Ronnie Liu; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kum­pulan Syarikat Per­modalan Kebangsaan Bhd (SPK), Saiful Aznir Shahabudin.

sinar harian/-

Kaki hutang tidak serik

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki masih tidak serik meminjam RM21,500 dengan ah long sejak 2010 walaupun tahu risiko yang akan menimpanya.

Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, lelaki itu melarikan diri daripada ah long, lalu bersembunyi di rumah rakannya.
http://www.blogger.com/img/blank.gif
“Ibu bapa lelaki itu membantunya apabila dia tidak mampu untuk menyelesaikan hutang itu, namun dia masih tidak menyesal apabila sekali lagi meminjam wang dengan ah long,” katanya.

Beliau berkata, kes yang hampir sama turut menimpa seorang penjual telefon bimbit yang tidak serik meminjam wang hampir RM200,000 dengan 37 ah long.

“Lelaki itu bukan sekali dua berhutang ah long, dia datang berjumpa dengan saya untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu mencari helah lari daripada melangsaikan hutang sehingga cuba merancang penculikan palsu ke atas diri sendiri bagi mendapatkan wang membayar hutang.

Sinar Harian

Isteri orang ditangkap khalwat

17 Muharram 1433H. [MOD] -

AMPANG - Akibat rumah tangga sedang retak, seorang isteri sanggup memenuhi ke­inginan nafsunya bersama lelaki lain.

Tindakan jijik mereka itu tidak bertahan lama apabila dihidu pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim Pandan Indah.

Pegawai masjid itu, Ahmad Nawi Osman berkata, dalam serbuan jam 3 pagi semalam, mereka dapati wanita berkenaan, berpakaian baju tidur, bersekedudukan dengan lelaki terbabit dalam rumah di Taman Kencana, dekat sini.

“Ketika kehadiran penguat kuasa, lelaki berkenaan yang hanya berseluar panjang, cuba meloloskan diri melalui pintu belakang, tetapi ditangkap sewaktu memanjat pagar di rumah teres itu,” katanya.

“Wanita itu warga Indo­nesia dan mempunyai dua anak, manakala pasangannya warga Myanmar bukan Islam dan bujang. Mereka bekerja kilang,” katanya.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua sekali.

Sinar Harian

Pemanggil bom palsu diikat jamin

17 Muharram 1433H. [MOD] -

TAPAH - Mahkamah Majistret Tapah membenarkan ikat jamin ke atas tertuduh, N Navindran, 25 yang didapati bersalah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana membuat panggilan palsu, di sini, pagi semalam.

Navindran yang diwakili peguam, V Santhiran didapati membuat panggilan palsu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah kira-kira jam 1.45 pagi, mengatakan sebiji bom diletakkan di jambatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Bidor ke Tanjung Malim, pada 1 Disember lalu.

Pendakwaan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izalina Rajaai di hadapan Majistret Fairuz Adiba Ismail yang berpuas hati dengan hujah yang disampaikan.

Dalam hujahnya, Nurul Izalina meminta mahkamah memberi ikat jamin sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh kerana menyebabkan kerugian kira-kira RM500,000 kepada KTMB, selain mengganggu perjalanan penumpang.

Santhiran bagaimanapun merayu kepada Fairuz Adiba untuk mengurangkan kadar ikat jamin ke atas Navindran kerana pendapatannya sebagai jurujual hanya antara RM700 hinnga RM800 sebulan.

Berpuashati dengan hujah peguam bela dan pendakwa raya, Fairuz Adiba menetapkan ikat jamin sebanyak RM6,000 ke atas Navindran bersama seorang penjamin, selain diminta untuk menyerahkan pasportnya kepada pihak berkuasa.

Sinar Harian

10 fokus Negara Berkebajikan Pas

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Dokumen 57 halaman bertajuk Negara Berkebajikan Tawaran Pas, membawa 10 agenda bagi merealisasi Negara Berkebajikan didahului agenda pertama, mahu mewujudkan kerajaan beramanah, adil dan bersih.


Menerusi konsep itu, Pas mahu memperkukuh sistem federalisme, mengkaji semula peruntukan Perlembagaan untuk memperkasa amalan pemisahan kuasa, menjamin pilihan raya bersih dan adil, memulihkan agensi-agensi awam seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara dan PDRM.

Konsep kedua, iaitu masyarakat penyayang, aman dan bersatu pula menekankan untuk menambah badan masyarakat madani dan organisasi perniagaan sosial, menyemak semula jumlah pengurangan dan pelepasan cukai, mewujudkan pasukan polis bantuan di bawah pihak berkuasa tempatan, menyemak dasar berkaitan perpaduan nasional dan menubuhkan Majlis Dialog Kebangsaan.

Di bawah konsep ketiga, iaitu mewujudkan ekonomi mampan, seimbang dan saksama, Pas berhasrat menyusun keutamaan pembangunan supaya pertumbuhan tidak diukur berdasar pembinaan dan infrastruktur mega mewah, tetapi selaras matlamat dan strategi pembangunan.

Agenda keempat iaitu pendidikan berkualiti, berdaya saing dan boleh capai, inisiatif ditawarkan ialah memberi yuran pengajian percuma kepada anak luar bandar berpendapatan RM1,500 ke bawah dan keluarga bandar berpendapatan RM2,500 ke bawah memasuki universiti awam.

Bagi agenda kelima iaitu perkhidmatan kesihatan cekap, berkualiti dan boleh capai, ia mewujudkan Skim Pembiayaan Kesihatan Nasional bagi kumpulan rakyat tidak mempunyai skim perlindungan kesihatan daripada majikan.

Bagi agenda keenam, iaitu agenda kebajikan langsung, menyeluruh dan mesra rakyat menggariskan inisiatif memperkukuh dan memperkemas pengurusan zakat, wakaf dan lain-lain dengan memberi lebih kuasa dan peranan kepada masjid sebagai pusat sehenti kebajikan masyarakat Muslim setempat.

Agenda ketujuh pula memupuk gaya hidup kekeluargaan yang memenuhi fitrah semula jadi manusia melalui kempen berterusan.

Agenda kelapan pula meletakkan aspek belia, pekerja produktif, berdaya saing dan terbela dengan mengadakan kuota minimum 15 peratus bagi tenaga kerja di semua peringkat dan bidang bagi menjunjung dan menginsafi hakikat bahawa setiap generasi berhak dan bertanggungjawab ke atas aspirasi dan kemaslahatannya sendiri serta bagi memastikan proses peralihan generasi berlaku secara sihat dan teratur.

Agenda kesembilan mewujudkan kemudahan prasarana berkualiti, cekap dan bertaraf dunia.

Agenda terakhir iaitu mewujudkan alam sekitar segar, terpelihara dan lestari akan menguatkuasakan akta dan peraturan berkaitan pemuliharaan alam sekitar dan menggubal peruntukan tertentu.

Sinar Harian

Enam NGO a'bangsa desak Taib, keluarganya ditangkap

17 Muharram 1433H. [MOD] -

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari enam negara mendesak supaya Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan 13 ahli keluarganya ditangkap atas pelbagai dakwaan, termasuk salah guna jawatan awam, rasuah dan konspirasi untuk membentuk sebuah organisasi jenayah.

NONEAntara NGO yang membuat tuntutan berkenaan adalah Dana Bruno Manser (BMF), Greenpeace dan pertubuhan pemantau hutan dunia, Fern.

Mereka telah mengemukakan surat bertarikh hari ini kepada kerajaan Malaysia supaya menangkap individu berkenaan kerana dituduh dengan pelbagai dakwaan berkaitan dengan pengagihan dana awam secara haram, salah guna jawatan awam, merampas tanah kerajaan, rasuah, eksploitasi konflik kepentingan dan sebagainya.

Surat berkenaan dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.

"Kami memohon pendakwa utama Malaysia pada kadar segera menangkap dan mendakwa Ketua Menteri Sarawak, empat anaknya, lapan adik-beradiknya dan sepupu pertamanya, Abdul Hamed Sepawi," kata NGO itu dalam surat mereka.

NONESelain Abdul Taib, 75, mereka yang dinamakan itu adalah anak-anaknya, Jamilah Hamidah Taib Murray, Mahmud Abu Bekir Taib, Sulaiman Abdul Rahman Taib, Hanifah Hajar Taib.

Manakala adik beradiknya pula adalah Ibrahim Mahmud, Aisah Zainab Mahmud, Zaleha Mahmud, Onn Mahmud, Mohamad Ali Mahmud, Mohd Tufail Mahmud, Amar Hajar Fredahanum Mahmud, dan Raziah Mahmud.

Surat 10 muka surat itu ditandatangani oleh 13 NGO dari Malaysia, Australia, Jerman, Jepun, Switzerland dan United Kingdom serta beberapa tandatangan individu dari Malaysia.

malaysiakini/-

Rakaman tragedi pengeboman menyayat hati

17 Muharram 1433H. [MOD] -

IMEJ menunjukkan Tarana menjerit ketakutan sambil dikelilingi mayat-mayat yang bergelimpangan selepas satu serangan bom berani mati di Kabul.

KABUL - Sorang jurugambar agensi berita AFP di Kabul, Afghanistan, Massoud Hossaini berjaya merakam imej-imej betapa dahsyatnya keganasan antara fahaman mazhab di Afghanistan pada 6 Disember lalu apabila seorang pengebom berani mati menyerang sekumpulan penganut Syiah.

Imej tersebut menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, Tarana Akbari yang memakai jubah berwana hijau terang menjerit kerana terkejut dan dikelilingi oleh sanak-saudaranya yang terbunuh serta cedera.

"Tiba-tiba berlaku letupan. Rasanya seperti dunia sudah terbalik dan semua dinding menimpa saya. Apabila bangun, saya nampak semua orang di sekeliling saya terbaring di tanah dan berdarah. Saya sangat takut," cerita Tarana yang seminggu lalu keluarganya bersedih berikutan kematian saudara mereka.

Gambar yang memaparkan jubah Tarana dipenuhi darah telah menjadi hiasan muka depan akhbar-akhbar di seluruh dunia. Ia turut menggambarkan keganasan di Afghanistan dan masa depannya yang tidak menentu.

Ketika kejadian, Hossaini berada hanya beberapa meter daripada lokasi pengeboman yang membunuh sekurang-kurangnya 70 orang mangsa. Hossaini memberitahu, dia hanya melihat-lihat kameranya ketika letupan berlaku.

"Apabila asap sudah hilang, saya dapati saya berdiri di tengah-tengah mayat yang bergelimpangan.

"Saya berdiri tepat di mana pengebom berani mati berada sebelum itu.

"Saya toleh ke kanan, nampak Tarana dan merakam gambarnya. Sebaik sahaja dia melihat apa yang berlaku kepada saudara-saudaranya, dia hanya menjerit ketakutan," jelas Hossaini. - AFP

Duda jual dadah sara anak

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Walaupun mengetahui memiliki dadah adalah satu kesalahan, namun disebabkan kesempitan hidup, seorang duda sanggup menanggung risiko dengan menjadikan pekerjaan yang dilarang itu sebagai salah satu sumber pendapatan bagi menyara dua anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun, tindakan berani tertuduh, Anuar Affadi Norwawi, 28, dari Kampung Tanjung Pantai Teluk, di sini, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Wan Fadhilah Wan Idris selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin seberat 8.78gram di sebuah rumah di Kampung Tanjung Telok, di sini, pada jam 9.55 malam, 23 Febuari lalu.

Dengan itu tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naslyza Muhamad Nazri manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhammad.

Berdasarkan fakta kes, dadah yang dimiliki oleh tertuduh dijumpai tersorok di dalam botol biskut berwarna merah yang diletakkan di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Telok, di sini.

Semasa serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu itu, tertuduh ditangkap bersama-sama dua lagi rakannya, Tengku Ahmad Fatiff Tengku Muhamad Salim dan Mohd Buhkori Ali.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka, masing-masing berasal dari Kampung Dalam dan Kampung Tanjung Haji Kassim, di sini, yang turut dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengikut seksyen yang sama mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Wan Fadhilah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian

Amaran laut bergelora

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU - Semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk kerja di pelantar minyak di negeri ini adalah berbahaya memandangkan keadaan laut bergelora buat masa ini, menurut Stesen Meteorologi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, semalam.

Jurucakap stesen itu berkata, angin kencang timur laut selaju 60 kilometer sejam dan ombak setinggi melebihi 5.5 meter dijangka berterusan sehingga 17 Disember ini.

Katanya dalam masa yang sama berlaku air pasang sehingga hari ini.

Sementara itu, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata gelombang kedua banjir mula berlaku di Terengganu apabila seramai 196 dari 41 keluarga di Besut dipindah.

Mereka ialah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkalan Atap Kuala Besut dipindahkan ke Balai raya kampung itu.

Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran bagaimanapun berkata paras air sungai utama di Terengganu tidak menampakkan tanda mencemaskan.

“Semuanya berada dalam keadaan stabil dan tidak membimbangkan setakat ini,” katanya.

Sinar Harian

Warga emas cekal usaha tanah

17 Muharram 1433H. [MOD] -

JAMBU BONGKOK – Warga emas cekal. Demikianlah gambaran yang dapat diberikan kepada Ahmad@Sidek Jusoh, 73, atas usaha gigihnya bekerja keras pada usia lanjut walaupun hanya memperoleh pendapatan tahunan sebanyak RM1,500.

Ahmad pernah menjadi nelayan suatu ketika dahulu. Namun, selepas mengalami kecederaan pada tulang belakhttp://www.blogger.com/img/blank.gifang ketika bekerja dia dinasihatkan agar tidak melakukan pekerjaan berat pada usia emas ini sebaliknya perlu lebih banyak berehat di rumah.

Namun, atas desakan hidup bapa tiga anak ini tetap bekerja dengan mengusahakan tanah pertanian seluas 2.5 hektar di halaman rumahnya walaupun sedar pendapatan sebanyak RM1,500 setahun itu tidak sepadan dengan usaha yang dilakukan.

Ahmad berkata, dia adalah penerima bantuan sebanyak RM250 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), namun, kehidu-pannya dan isteri, Maznah Mamat, 45, tetap sukar berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menurutnya, bantuan bulanan diterima itu juga masih tidak mencukupi beriku-tan harga barang semakin meningkat, justeru, dia menanam sayur-sayuran bagi mencari pendapatan sampingan walaupun hanya memperoleh imbuhan kecil.

“Saya terpaksa me-ngusahakan tanaman sayur-sayuran seperti bendi, cili dan sedikit tanaman tebu walaupun keadaan kesihatan tidak menentu kerana faktor usia, ini bagi mengelak saya terus berhutang bagi mendapatkan barang keperluan harian di kedai runcit.

“Saya tiada cara lain kerana itulah pilihan yang ada. Apa pun yang berlaku saya perlu meneruskan hidup, sekurang-kurangnya hasil tanaman yang tidak seberapa itu dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya sambil mengesat air mata.

Menurut Ahmad, mujurlah dia memiliki tanah pertanian walaupun sekangkang kera dan rumah kayunya yang menjadi tempat mereka berlindung di Kampung Telaga Air, Marang jika tidak nasibnya mungkin lebih malang lagi.

Sinar Harian

Perangkap tikus berjaya

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SUBANG JAYA - Tikus dengan seberat hampir satu kilogram setiap seekor antara haiwan pembawa penyakit yang berjaya dikumpul penduduk sempena gotong-royong anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di kawasan komersil SS15, di sini.

Inisiatif pembersihan bangkai tikus dilakukan selama dua jam selepas MPSJ memasang perangkap melalui kaedah intensif dua hari sebelum itu.

Pengarah Kesihatan MPSJ, Dr Roslan Mohamed Hussin berkata, banyak lagi bangkai tikus dijangka ditemui di kawasan komersil itu dalam tempoh seminggu akan datang.

“MPSJ sudah meletakkan kira-kira 45,000 keping roti beracun di beberapa tempat strategik di sekitar kawasan bagi memerangkap haiwan pembawa penyakit itu.

“Sebanyak RM2,000 diperuntukan untuk melaksanakan inisiatif pembersihan tikus ini yang dikesan berkeliaran di kawasan SS15, dalam tempoh dua hari sebelum ini kita berjaya mengumpul 265 bangkai tikus,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan yang turut serta mengutip bangkai tikus dalam program itu berkata, beliau menerima banyak aduan berhubung isu pembiakan tikus daripada penduduk terutama dari SS15 yang merupakan salah satu kawasan tertua di Subang Jaya.

Jelasnya, pelupusan sisa makanan yang tidak sempurna dikesan antara punca utama pembiakan tikus berlaku di kawasan itu.

“Pembuangan secara haram sisa binaan dan perabot lama juga telah memburukkan lagi keadaan di lorong belakang kedai yang menjadi tempat persembunyian haiwan ini,” katanya.

Beliau berkata, MPSJ perlu serius mempertimbangkan untuk menjalankan kutipan sampah dua kali sehari, pada waktu pagi dan malam untuk mengurangkan sumber makanan kepada tikus.

“Sudah tiba masanya MPSJ mengkaji semula garis panduan kawalan perosak, ini juga masa yang tepat bagi penduduk memilih premis makanan mana yang bersih, berikan mesej bahawa anda tidak bertolak ansur dengan restoran kotor,” katanya.

Beliau mengakui, banyak kawasan menghadapi gangguan tikus termasuk SS15, Taipan, PJS11, SS13 dan SS19.

Sinar Harian

Tuanku Mizan, Tuanku Nur Zahirah selamat pulang

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, disambut meriah oleh kira-kira 15,000 rakyat jelata di seluruh negeri ini, semalam.

Kedua-dua pasangan diraja itu yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Ke-13, selamat tiba kira-kira jam 2.00 petang dengan pesawat khas dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), dengan diiringi dua pesawat pejuang Sukhoi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri serta Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mengiringi keberangkatan balik pasangan diraja selain Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan isteri.

Baginda berdua turut disambut kerabat diraja, para pembesar dan kenamaan negeri yang diketuai Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail yang tiba 15 minit lebih awal berbanding ayahanda dan bonda baginda.

Lagu kebangsaan, Negaraku kemudian dipersembahkan selepas kedua-dua pasangan diraja itu berangkat ke Pentas Diraja diiringi Pemangku Raja.

Ketua Pasukan Kawalan Kehormatan Utama, Mejar Khairul Azman Kormin dengan dibantu Penolong Ketua Kawalan Kehormatan Kapten Muhammad Ikhwan Hussin kemudian memohon limpah perkenan Tuanku Mizan untuk memeriksa kawalan kehormatan melibatkan 106 anggota termasuk tiga daripadanya pegawai.


Negaraku akhiri istiadat keberangkatan balik

Sementara Pegawai Panji-Panji adalah Leftenan Mohd Amirul Shafiq Amirudin, manakala pancaragam yang mengiringi Kawalan Kehormatan Utama adalah Gabungan Pancaragam di bawah naungan 2 Divisyen, diketuai oleh Drum Mejar Staff Sarjan Md Isa Mohd Nor.

Sambutan bertambah meriah apabila tembakan meriam oleh Rejimen Artilleri sebanyak 21 das kedengaran bergegar di udara disaksikan ribuan rakyat yang turut memerhati istiadat tersebut di luar pagar LTSM, dengan sebahagian besarnya merakam hari yang penuh bersejarah itu.

Selesai pemeriksaaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Tuanku Mizan, sekali lagi lagu Negaraku dipersembahkan sebelum mengakhiri istiadat kebarangkatan balik setelah mengakhiri tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-13 selama lima tahun.

Tuanku Mizan dan isteri sempat bersalam-salaman dengan dif-dif di sepanjang laluan ke Kenderaan DiRaja bagi mencemar duli ke Majlis Santapan Petang dan Majlis Mengadap Rombongan dari Kuala Lumpur di Istana Maziah, di sini.

Majlis Santapan Petang dan Majlis Mengadap Rombongan dari Kuala Lumpur telah berlangsung dengan meriah di Istana Maziah, di sini, semalam.

Tengku Besar Terengganu berangkat tiba di Istana Maziah pada jam 2.55 petang dan disambut oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Noorbahri Baharuddin; Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Tengku Bentara Raja dan Ketua Istiadat, Datuk Bentara Luar bersama isteri masing-masing.

Turut sama ialah Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Datuk Wan Ahmad Fauzi Wan Husain serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Yahya Khatib Mohamad dan Khazan Che Mat bersama isteri masing-masing.

Datuk Bentara Luar, Ketua Istiadat dan Toh Puan Laily Abdullah kemudiannya mengadap dan memohon limpah perkenan Tengku Ampuan Intan Zaharah berangkat ke Bilik Rehat DiRaja.

Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah serta Pemangku Raja Terengganu berangkat tiba pada jam 3.10 petang di Istana Maziah dengan disambut kumpulan nobat yang mengiringi kereta dari pintu gerbang sehingga ke tempat letak kereta di pekarangan Istana Maziah.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; kerabat-kerabat Raja dan isteri, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku Menteri Pengiring dan isteri serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar merangkap Pegawai Pengiring, Datuk Ibrahim Muhamad.

Bendera peribadi Seri Paduka Paginda Yang Dipertuan Agong dipecahkan sebaik sahaja Tuanku Mizan berangkat tiba di Istana Maziah.

Datuk Bentara Luar, Ketua Istiadat dan Toh Puan Laily Abdullah kemudiannya mengadap dan memohon limpah perkenan Yang Dipertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta Pemangku Raja berangkat ke Bilik Rehat DiRaja dan disusuli keberangkatan ke Bilik Mengadap.

Ahmad Shabery merangkap Menteri Pengiring dan isteri mewakili rombo-ngan dari Kuala Lumpur kemudian memohon limpah perkenan Tuanku Mizan dan Tuanku Nur Zahirah untuk balik ke Kuala Lumpur.

Sinar Harian