13 Disember 2011

Kerajaan Negeri kumpul bukti

17 Muharram 1433H. [MOD] -

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri akan mengumpul bukti dan membuat kajian terperinci berhubung pengurusan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) semasa pentadbiran BN sebelum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama untuk menjamin ketelusan dalam membanteras kegiatan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dengan memperuntukkan sebanyak RM10 juta dalam ‘Geran Selangorku’ bagi tujuan itu.

“Buat masa ini, kita tidak akan laporkan kepada SPRM terlebih dahulu untuk kumpul bukti kukuh. Kita pun tahu SPRM banyak kerja dan boleh jadi mereka tidak mempunyai ramai pegawai untuk jalankan kajian itu.

“Jadi, kita cuba bantu mereka mengumpulkan maklumat kes ini supaya perkara ini dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataannya kelmarin yang mendakwa pengurusan GLC semasa ditadbir BN sebelum ini tidak diuruskan secara teratur hingga mewujudkan suasana bermasalah dengan amalan rasuah, perjanjian usaha sama berat sebelah dan pemberian projek kepada kroni yang hanya menguntungkan segelintir pihak, tetapi merugikan rakyat secara keseluruhannya.

Abdul Khalid berkata, pengumpulan bahan bukti itu memerlukan kos tinggi dan beliau mencadangkan agar sedikit peruntukkan tersebut digunakan untuk menampung perbelanjaan kes jika ia memerlukan kajian, sehingga perkara berkenaan dibawa ke mahkamah.

“Kita bukan pandai cakap saja, tetapi akan buat susulan daripada kes ini berdasarkan peruntukan sedia ada dan berharap ia dapat dilakukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Kempen Menanam Pokok di Cahaya SPK Resort Club, di sini, semalam.

Pada majlis itu, Abdul Khalid juga turut membantu menanam pokok di kawasan seluas 200 hektar dan beliau menyokong usaha pemaju supaya mewujudkan persekitaran hijau di kawasan perumahan yang dibina.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Selangor,Yaakob Sapari dan Ronnie Liu; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kum­pulan Syarikat Per­modalan Kebangsaan Bhd (SPK), Saiful Aznir Shahabudin.

sinar harian/-

Tiada ulasan: