13 Disember 2011

Gelombang baru PRU-13 memihak kepada PR

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU – Gelombang baru yang memihak kepada pembangkang dijangka berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), khususnya di negeri ini dan negara amnya.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut berkata, gelombang tersebut amat terasa ketika kini memandangkan PRU13 memperlihatkan satu titik baru dalam sejarah negara apabila Pakatan Rakyat (PR) buat pertama kali bertemu Barisan Nasional (BN).

Bagi Pas Terengganu, beliau berkata, pihaknya tekad memastikan Terengganu jatuh ke tangan pembangkang buat kali ketiga selepas memenangi negeri ini sebanyak dua kali pada 1959 dan 1999.

“Kalau pilihan raya sebelum ini, kita (Pas) bersendirian, Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersendirian dan DAP bersendirian tetapi kita tidak cukup kuat untuk bersendirian lagi.

“Kita juga rasa satu gelombang baru akan berlaku bukan sahaja di negeri ini tetapi di seluruh negara dan untuk menghadapi pilihan raya kali ke-13 dalam tempoh 54 tahun merdeka, inilah kali pertama pili-han raya iaitu satu pakatan lawan satu barisan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kelab Veteran Pas Terengganu di Jalan Sultan Mahmud, di sini, kelmarin.

Pada majlis tersebut, keputusan mesyuarat bersetuju melantik Abdul Wahab Salleh sebagai Pengerusi Kelab Veteran Pas Terengganu bagi menggantikan Allahyarham Kassim Ahmad yang meninggal dunia, 19 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Abdul Wahid turut meminta golongan veteran mengadakan perjumpaan lebih kerap sebagai platform menyampaikan maklumat kepada ahli supaya mereka tetap dengan perjuangan parti dan bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, Kelab Veteran Pas perlu memainkan peranan untuk sebarang perbincangan, selain memberi sumbangan termasuk kewangan untuk kemajuan parti.

“Veteran kena bermaklumat dan kena bekerja untuk menghadapi pilihan raya. Kita harap perjumpaan ini bukan yang pertama dan terakhir. Kalau pertemuan ini boleh dibuat sekali sebulan lebih baik,” katanya.

Pada majlis sama, beliau turut mempertahankan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang bakal disaman Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berhubung satu artikel membabitkan kontrak perbekalan pakaian seragam sekolah.

Beliau berkata, Adun tersebut tidak menipu dan mendapati tiada apa yang tidak kena berhubung fakta yang dikaitkan dengan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Sinar Harian

Tiada ulasan: