13 Disember 2011

Duda jual dadah sara anak

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Walaupun mengetahui memiliki dadah adalah satu kesalahan, namun disebabkan kesempitan hidup, seorang duda sanggup menanggung risiko dengan menjadikan pekerjaan yang dilarang itu sebagai salah satu sumber pendapatan bagi menyara dua anaknya yang masih kecil.

Bagaimanapun, tindakan berani tertuduh, Anuar Affadi Norwawi, 28, dari Kampung Tanjung Pantai Teluk, di sini, menerima pembalasan setelah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hukuman tersebut dijatuhkan oleh Hakim Wan Fadhilah Wan Idris selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin seberat 8.78gram di sebuah rumah di Kampung Tanjung Telok, di sini, pada jam 9.55 malam, 23 Febuari lalu.

Dengan itu tertuduh didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) Akta yang sama.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naslyza Muhamad Nazri manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Hayyatuddin Muhammad.

Berdasarkan fakta kes, dadah yang dimiliki oleh tertuduh dijumpai tersorok di dalam botol biskut berwarna merah yang diletakkan di dalam sebuah rumah di Kampung Tanjung Telok, di sini.

Semasa serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis Bahagian Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu itu, tertuduh ditangkap bersama-sama dua lagi rakannya, Tengku Ahmad Fatiff Tengku Muhamad Salim dan Mohd Buhkori Ali.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka, masing-masing berasal dari Kampung Dalam dan Kampung Tanjung Haji Kassim, di sini, yang turut dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan mengikut seksyen yang sama mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan.

Wan Fadhilah menetapkan 11 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sinar Harian

Tiada ulasan: