13 Disember 2011

Kelantan bangga dengan perlantikan Timbalan Agong

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 13 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Kelantan atas perlantikan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataannya, Husam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, "Perkenan para kekanda ke Bawah DYMM Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Kelantan selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.

"Besar pula maknanya bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim," kata Husam dalam satu kenyataan medianya.

Husam juga melahirkan keyakinannya, Tuanku Faris Petra mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negeri ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik dan berdedikasi yang ada pada baginda.

"Selama ini, dalam tempoh yang singkat, Tuanku menjadi kebanggan rakyat Kelantan dan rasa bangga itu akan Insya Allah akan dikongsi pula oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas Husam dalam kenyataannya.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan ‘sembah tahniah’ di atas pengisytiharan Sultan Muhammad ke V memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pihaknya berbesar hati di atas perlantikkan itu.

“Semoga perlantikan tuanku membawa berkah dan keamanan di negeri Kelantan Tadahan Wahyu ini.

“Patik mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, merakamkan sembah tahniah kepada tuanku semoga tuanku di lindungi dunia dan akhirat,”ujarnya.

Syukur atas perlantikan Agong

Husam juga mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas perlantikan DYMM Al Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan DYMM Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang masing-masing selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang ke 14.

Selaku rakyat yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu selaku teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, saya merasa bangga dan bertuah menyaksikan perlantikan Tuanku berdua, kata Husam.

"Selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua bagi Ke Bawah DYMM Al Sultan Kedah, sudah tentu memberikan nostalgia zaman anak-anak saya dengan ketinggian budi, hemah, bijaksana dan mesra rakyat ke Bawah Duli Tuanku sewaktu berada di atas singgahsana sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali pertama dahulu.

"Insya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, Malaysia akan terus bersatu maju, adil, makmur, maju dan aman damai," kata Husam.

Husam juga mengucapkan junjung kasih kepada DYMM Yang di-Pertuan Agung ke 13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atas khidmat baginda yang cemerlang.

"Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan 'afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan," katanya dalam kenyataan itu.

Harakah Daily

Tiada ulasan: