13 Disember 2011

Mat Sabu fail permohonan

17 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu memfailkan permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Malaysia berhubung pembentangan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 di Parlimen.

Saman pemula itu difailkan Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu dan dua yang lain iaitu Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad di Mahkamah Tinggi, di sini melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates pada 2 Disember lepas.

Mereka selaku pemohon menamakan Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Hakim Datuk Rohana Yusuf kemudiannya menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan itu selepas menemui Peguam Kanan Persekutuan Muzila Mohamed Arsad yang mewakili responden dan Peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili pemohon di kamar, semalam.

Dalam saman pemula itu, ketiga-tiga mereka memohon perintah deklarasi bahawa responden telah bertindak melebihi kuasa dan menyalahgunakan kuasa apabila memperkenalkan dan membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen bagi tujuan menjadikannya sebagai

undang-undang/Akta yang boleh dikuatkuasakan, meskipun ia mengandungi peruntukan yang bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) dan 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka juga memohon perintah larangan bagi melarang responden daripada terus bertindak melebihi kuasa dengan melarang responden meneruskan segala proses bagi menjadikan rang undang-undang itu sebagai Akta yang boleh dikuatkuasakan.

Ketiga-ketiga mereka juga memohon satu perintah bagi memaksa responden me­ngam­bil langkah yang perlu dan wajar sama ada menarik balik rang undang-undang itu atau membuat pindaan yang perlu agar ianya selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, mereka memohon semua arahan dan perintah yang perlu dan berbangkit diberikan dan perintah lain yang difikirkan sesuai dan wajar mahkamah. - Bernama

Tiada ulasan: