02 Februari 2010

Jambatan Bailey

17 Safar 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Jambatan Bailey yang dibina beberapa hari selepas banjir besar melanda beberapa buah kampung termasuk Taman Kota Tampan dalam Mukim Temelong dekat sini pertengahan November tahun lalu mungkin bukan alternatif mengatasi masalah berkenaan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Lenggong, Razman Zakaria berkata jambatan sedia ada sebelum diganti jambatan bailey itu bukan punca berlakunya banjir, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu dibuat kajian teliti sebelum dilaksanakan projek mengatasinya.

Katanya, jambatan bailey itu selain menjadi masalah kerana sempit, tidak membolehkan kereta berselisih, bunyinya juga mengganggu ketenangan penduduk, lebih-lebih lagi pada waktu malam apabila kenderaan lalu.

"Kajian yang mendalam sepatutnya dilakukan, bukan kajian yang tergesa-gesa lalu projek yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir pun dibuat dengan tergesa-gesa.

"Saya percaya banjir yang berlaku bukan saja disebabkan jambatan sedia ada sebelum dibina jambatan bailey itu, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu dikenal pasti," katanya.

Razman berkata, sekiranya pihak berkenaan percaya pembinaan jambatan di kuala Sungai Nerok itu sebagai alternatif mengatasi masalah yang berlaku, sepatutnya bukan jambatan bailey yang dibina kerana jalan itu adalah jalan utama kepada penduduk.

Katanya, sampai bila jambatan itu akan menjadi alternatif kepada laluan penduduk di situ yang sudah tentu tidak mahu lagi bentuk-bentuk pembangunan berwajah lama itu.

Seorang penduduk, Abdullah Mat Zain, 35, berkata bunyi jambatan itu terlalu bising apabila kenderaan lalu tertama pada waktu malam.

Selain itu, katanya laluan air di bawahnya tetap sepertimana jambatan dulu di mana banyak sampah sarap lekat di sebelah hulunya kerana tidak dapat hanyut terus dengan selesa.

"Musim panas seperti sekarang ini tidak berlaku air pasang, tunggu musim hujan nanti sekiranya pembinaan jambatan bailey itu benar-benar dapat mengatasi masalah," katanya.





Ke Zhou Qiu Jian

17 Safar 1431H

Menanda Sisi Perahu Untuk Cari Pedang Yang Jatuh ke Sungai

Asal Usul:

Pada zaman Negeri-Negeri Berperang, iaitu lebih 2000 tahun yang lalu, di Negeri Chu, ada seorang lelaki yang mahu menyeberangi sungai dengan menaiki perahu. Apabila sampai ke tengah sungai itu, tiba-tiba, pedang yang terikat pada pinggangnya terjatuh ke dalam sungai. Dia segera membuat tanda pada bahagian sisi perahu yang dinaikinya itu, sambil berkata,

"Inilah tempat pedang saya terjatuh."

Maka, sebaik sahaja perahu itu berlabuh, lelaki itu pun terjun ke dalam sungai dari tempat yang sudah ditandanya itu, untuk mencari pedangnya. Bodoh benar lelaki ini! Fikirnya, pedangnya yang terjatuh ke dalam sungai itu boleh bergerak bersama perahunya yang belayar itu?

Catatan Keterangan:

Peribahasa "Ke Zhou Qiu Jian" ini digunakan untuk menyindir orang atau golongan yang mempunyai pemikiran yang dangkal, sempit dan ketinggalan jika dilihat dari realiti semasa. Orang atau golongan ini masih berpegang kuat kepada rutin-rutin yang lama, dan tidak tahu menyesuaikan diri dengan situasi yang berubah-ubah ketika menguruskan sesuatu hal.

CRI/-

Isu tanah Kuala Sepetang dituntut sejak Pakatan Rakyat

17 Safar 1431H
PasGopeng, Thursday, January 28, 2010

Kota Sepetang nama asalnya Port Weld adalah sejarah pertama keretapi di Tanah Melayu yang menghubungi pelabuhan itu dengan bandar Taiping, Perak. Kini perkhidmatan keretapi ini telah lama ditamatkan manakala tanah milik KTMB ini telah diduduki sebilangan 643 keluarga setinggan kebanyakannya berbangsa Cina.

Semasa kerajaan Pakatan Rakyat dipimpin Menteri Besar Negeri Perak, Dato Seri Ir Nizar Jamaludin telah meluluskan pemberian hak milik Kampung Baru, Kampung Tersusun termasuk masalah pemilikan tanah penduduk di penempatan KTMB di Kuala Sepetang.

Usaha ini telah dijadikan isu oleh UMNO hinggakan Nizar dituduh menggadaikan tanah-tanah Negeri Perak untuk kaum Cina. Isu pengkhianatan ditimbulkan bagi menyisihkan Nizar dengan orang Melayu. Kesannya dapat dilihat semasa pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang, Dun Kuala Sepetang memberikan kepercayaan kepada Nizar dengan peningkatan undi manakala dikawasan pengundi Melayu kemerosotan ketara.

Sedangkan penempatan yang diberi hak milik ini yang diduduki lebih 70 tahun dan memberi masalah kepada tuntutan keluarga pewaris. Dengan cara menukar status tanah bergeran ini, kerajaan Negeri Perak mendapat keuntungan berjuta ringgit setahun dari hasil cukai tanah dan cukai perbandaran.

Hari ini apa yang diusahakan Pakatan Rakyat Negeri Perak di bawah pimpinan Nizar telah dilaksanakan oleh kerajaan BN dengan kelulusan ini. Isu pengkhianat bangsa yang dilaungkan UMNO hilang entah ke mana.

PUTRAJAYA 28 Jan 2010, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat mengumumkan Kabinet telah bersetuju menggugur milik tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bawah Kementerian dengan nilai RM38 juta kepada Kerajaan Negeri.


Katanya permulaannya Kerajaan merancang menggantikan tanah berkenaan di tempat lain tetapi menghadapi kesukaran mencari nilai yang sama tanah seluas 94.5 ha penempatan kaum Cina ini. Jadi tanah ini ditawarkan dengan harga berpatutan kerana tidak lagi digunakan keretapi semenjak 1941.

“Bagi mengutamakan rakyat dan konsep 1Malaysia tanpa mengira kaum kerajaan menunaikan janjinya kepada penduduk Kuala Sepetang” kata Ong yang juga Presiden MCA kepada wartawan selepas mesyuarat kabinet di sini.

Bumiperak/-

Kerajaan silap tutup kementerian

17 Safar 1431H
Dr Nordin

Sesudah membaca artikel tulisan rakan saya Datuk Salleh Majid berkaitan isu usahawan bumiputra, saya terfikir adakah kerajaan wajar ataupun tersilap congak ketika membubarkan MECD berbanding kementerian lain. Impak dari MECD amat besar kepada ekonomi negara terutama sekali kepada bumiputra. Pembubaran MECD benar-benar melesukan program keusahawanan.

Walaupun fungsi MECD diagihkan kepada beberapa kementerian tapi banyak yang menjadi lesu. Lihat saja INSKEN yang sehingga kini gagal mewujudkan program latihan. Layarilah web INSKEN dan anda akan terkejut dengan mesej mereka. Semua menteri yang diagihkan fungsi MECD samada MITI, Kem. Agro, KPLB lebih memberi tumpuan kepada aktiviti dana besar saja. Aktiviti usahawan diberikan perhatian amat rendah dan ada juga tiada langsung. Bayangkan permohonan geran pelancaran pun tidak selesai setelah 6 bulan.

Kalaupun Kerajaan nak menjimatkan kos pengurusan sekalipun. Lihatlah juga setakat mana impak dan sumbangan kementerian sebelum in dibubarkan. Impak ke atas rakyat dan ekonomi adalah sangat besar. Tak perlulah kerajaan malu sekiranya terpaksa mewujudkan semula MECD. Malah kerajaan akan dipuji kerana prihatin.

Terbaca saya komen Tun M bahawa parti Melayu kini sudah mengabaikan kebajikan bumiputra. Mungkin lebih baik dibubarkan Kementerian Pengajian Tinggi yang bermasalah. Serap saja kepada kedudukan asalnya iaitu di Kementerian Pelajaran seperti dulu. Kedudukan IPT pasti menjadi lebih kukuh dan mantap di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri kita yang lebih berautoriti. Kementerian Pengajian Tinggi menelan kos yang amat tinggi yang sepatutnya diberikan kepada kemakmuran ekonomi negara. Mereka sekadar posmen dan bukan pun pos laju. Semua masalah dikembalikan kepada IPTA untuk diselesaikan atas nama autonomi.

Jadi kita tak perlukan begitu ramai orang yang memberi arahan saja. Apabila perlaksanaan AUKU diperturunkan kepada pihak IPTA, apakah masih perlu lagi sebuah kementerian untuk terus mengelirukan pelajar. Bajet IPTA tahun 2010 ini terlalu banyak berkurangan sekadar cukup untuk membayar gaji saja. Aktiviti pencarian ilmu pun seperti persidangan, seminar telah ditangguhkan. Pelajar dalam kesempitan apabila jam mengajar pun dikurangkan kerana penjimatan elektrik dan gaji pengajar kontrak. Tentunya lebih baik kementerian berkenaan dibubar dan bergabung dengan Kemeterian Pelajaran dan kos pengurusan kementerian berkenaan yang tinggi itu diagihkan kepada IPTA untuk kepentingan pelajar.

Harakahdaily.net/-

Mohon sumbangan bina surau baru Orang Asli

17 Safar 1431H
Harakahdaily

HULU SELANGOR, 31 Jan: Jawatankuasa Surau Ehsaniah Kampung Orang Asli Songkok, Jalan Genting Highland merayu sumbangan orang ramai untuk membina surau baru.

Pengerusinya, Haji Mohd Zulkifli Dawam berkata, pihaknya memutuskan untuk membina sebuah surau baru kerana surau sementara adalah bangunan Kemas yang akan digunakan untuk kanak-kanak Orang Asli yang akan menduduki kelas prasekolah.

Katanya, keperluan surau baru ini adalah sebagai tempat Orang Asli Islam berkumpul untuk solat berjemaah dan mengikuti kelas fardu ain, aktiviti keagamaan bagi memantapkan lagi aqidah mereka dan melatih pelapis Orang Asli yang berkebolehan menjadi imam, bilal dan siak.

Tambahnya, segala sumbangan boleh disalurkan atas nama akaun SURAU EHSANIAH KG ORANG ASLI SONGKOK yang bernombor 08068020524074 Bank Islam (M) Bhd Tanjung Malim.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Pusat Khidmat Penggerak Orang Asli Kg Asli Hulu Tamu, 44300 Batang Kali, Hulu Selangor atau melalui talian 019-2735641.

PR anjur dialog antara agama sebelum Tahun Baru Cina

17 Safar 1431H
Hazayani Zakarria

PETALING JAYA, 31 Jan: Pakatan Rakyat akan menganjurkan dialog antara agama menjelang Tahun Baru Cina ini bagi meredakan ketegangan antara agama di negara ini sekarang.

Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diadakan di ibu pejabat PKR dekat sini.

PR berpendapat, pemimpin Umno yang memimpin negara sekarang tidak tegas dalam menangani isu ini dan berubah-ubah pendirian mereka bergantung kepada siapa yang bercakap.

Demikian dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat PR di pejabatnya.

Dalam mesyuarat itu, PR juga bersetuju agar anggota Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin PKR ekoran laporan polis yang dibuat beliau terhadap anggota Parlimen Shah Alam, Khalis Samad.

Anwar juga menegaskan, JK Displin juga akan bersidang segera bagi mengambil pendirian terhadap beberapa pimpinan PKR yang membuat kenyataan negatif terhadap pimpinan PR yang lain termasuk Datuk Zaharin, pemimpin PKR dari Pulau Pinang.

Dalam mesyuarat hari ini juga, PR mengambil keputusan untuk mengadakan Konvensyen PR yang kedua Mac depan. Ia akan diadakan di Pulau Pinang,

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang turut serta dalam sidang media itu berkata, adalah tidak wajar semua perkara yang berlaku dalam kerajaan yang diperintah PR dipersalahkan kepada PR.

Ini kerana, PR hanya baru sekejap memerintah sedangkan BN sudah sekian lama memerintah termasuk di peringkat pusat.

Selain Anwar dan Ustaz Hadi, turut serta dalam sidang media hari ini adalah timbalan presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Harakahdaily.net/-

Azan dedah Umno cuba ‘beli’ ahli parlimen PR

17 Safar 1431H
Hazayani Zakaria

PETALING JAYA, 31 Jan: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parlimen Pakatan Rakyat (PR) khususnya PKR agar sentiasa berwaspada dengan usaha Umno memujuk dan 'membeli' mereka untuk menyertai parti itu.

Ingatan itu dibuat ekoran pendedahan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail bahawa beliau menerima 'pelawaan' untuk menyertai Umno.

Anwar diberitahu Azan bahawa usaha tersebut diketuai oleh bekas menteri kabinet, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis dan juga pemimpin Parti Cinta Malaysia, Huan Cheng Guan, yang menghubungi Azan melalui telefon bimbit.

"Seperti yang dimaklumkan Azan kepada saya, ada percubaan untuk menghasut dan meyogok beliau untuk meninggalkan PKR dan Pakatan. YB Azan sendiri menunjukkan sms mereka untuk tujuan itu," katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di ibu pejabat PKR, dekat sini, hari ini.

Anwar juga berterima kasih kepada Azan kerana memaklumkan perkara itu sebagai bukti terdapat usaha membeli ahli parlimen Pakatan oleh Umno.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Azan yang dedahkan perkara ini. Jadi orang tahu bahawa wujudnya usaha Umno untuk membeli ahli parlimen Pakatan.

"Kita faham modus operandi orang-orang ini yang cuba membuat semua cara yang tidak bermoral untuk menimbulkan masalah dalam Pakatan Rakyat.

"Oleh itu, saya minta semua rakan dalam Pakatan berwaspada dengan pelancaran pembelian besar-besaran sebelum hari raya Cina ini," katanya.

Harakahdaily.net/-

Pemuda PAS ikrar kembalikan Perak kepada Pakatan Rakyat

17 Safar 1431H
Nazri Abdullah

LARUT, 31 Jan: 10 ribu pemuda PAS Perak yang berhimpun di sini hari ini membuat ikrar janji akan memastikan Pakatan Rakyat mendapat kembali kerajaan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan.

"Bahawasanya kami pemuda PAS Perak dengan ini berikrar setia dan berjanji akan mempertahankan hak demokrasi tulen pengundi-pengundi Perak.

"Bahawasanya kami akan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya negeri Perak.

"Bahawasanya kami akan memulangkan tampuk pemerintahan negeri Perak kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin".

Bacaan ikrar tersebut diketuai pemangku ketua pemuda PAS, Nuru Al-Amin diikuti seluruh pemuda PAS Perak di hadapan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ianya sekaligus membuktikan kesiapsediaan jentera pemuda menggalas tugas parti dalam misi mengembalikan hak dan maruah rakyat negeri ini.

Nasruddin dalam ucapannya sebelum itu memberikan kata-kata semangat kepada seluruh jentera pemuda PAS Perak agar melakukan persedian mental, fizikal dan rohani berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"Soal tarikh Pilihan Raya soal kedua, yang penting pemuda PAS sedia bila-bila masa.

"Kita kena yakin, kemenangan adalah kurnian Allah SWT, oleh itu hubungan kita dengan Allah jangan sesekali retak, jangan sesekali putus," katanya.

Namun jelasnya apa yang lebih penting adalah tugas pemuda berdamping setiap anak muda di semua peringkat termasuk Dun, kawasan mahupun cawangan.

Tugas pemuda bukan sekadar memenangkan Pakatan Rakyat, malah lebih besar dari tu adalah menyampai dan menerangkan dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

"Gerakkan komitmen semaksima mungkin, hidupkan jentera kita di semua peringkat sama ada cawangan, Dun, kawasan mahupun negeri.

"Kita kena cipta pelbagai aktiviti untuk bersama dengan anak muda," katanya lagi.

Tugas tersebut jelasnya adalah tanggungjawab semua ahli pemuda tanpa mengira pangkat dan jawatan yang dipegang.

"Saya harap tiada siapa yang mengecualikan diri dari amal Islami ini.

"Ayuh kita memberikan sumbangan, pengorbanan kepada perjuangan agama Allah ini untuk kebaikan umat Islam dan rakyat di negeri Perak ini," katanya.


Harakahdaily.net/-


Zahrain ada agenda peribadi, raih populariti

A17 Safar 1431H
Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 31 Jan: Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang (AMKPP) menyifatkan semua kenyataan bekas Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tidak lebih daripada untuk meraih populariti dan sarat dengan agenda peribadi.

Sehubungan itu, ketuanya, Amir Haji Ghazali mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh Zahrain yang terus memburuk-burukkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau juga menggesa Zahrain menarik semua kenyataan negatif dan tuduhan melulu terutama terhadap Anwar.

"AMKPP kecam kenyataan Zahrain dan memohon beliau menarik balik semua kenyataan dan kemaafan demi kebaikan parti dan keharmonian Pakatan Rakyat serta meminta pucuk pimpinan parti agar segera menghadapkan beliau ke Lembaga Displin parti," ujarnya.

AMKPP juga, katanya kesal dengan tindakan yang seolah-olah bercakap bagi pihak Umno dan BN apabila setiap hujah yang diutarakan seperti menuduh Ketua Menteri diktator dan chauvinis selari dengan modal yang selalu dicanangkan oleh Umno dan BN.

Sedangkan, ujarnya Lim Guan Eng telah banyak melakukan perubahan yang adil demi rakyat sekaligus menghapuskan survival politik perkauman dan kronis yang hanya menguntungkan dua tiga kelompok apabila memperkenalkan dasar Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dijuarai oleh Pakatan Rakyat khususnya di negeri ini.

Sementara itu, Ketua Penerangan AMKPP, Rizal Hamid berkata, pihaknya memberi sokongan dan ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutamanya Anwar untuk meneruskan agenda membebaskan Malaysia dari kerakusan regim Umno dan BN.

Katanya, semua itu penting kerana perjalanan menuju ke Putrajaya tidak mudah sepertimana yang disangkakan jika tiada sebarang usaha atau kerja kuat.

"Sekarang ini kita harus tumpukan pada gerak kerja menumbangkan BN kerana tanpa usaha itu sukar untuk menuju ke Putrajaya. Perancangan amat penting kerana semangat saja tidak memadai bagi memastikan agenda besar tercapai,” ujarnya.

Harakahdaily.net/-

Royalti: Exco pertikai kenyataan Rais

17 Safar 1431H
Yusri Amin

KOTA BHARU, 1 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi mempertikai kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mendakwa isu tuntutan royalti petroleum perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang di mahkamah dan bukannya melalui ceramah.

“Selalunya macam itulah, sebagaimana juga ISA, apabila kita bawa rakyat berdemonstrasi untuk menuntut hak rakyat, mereka mengatakan sepatutnya tidak dibawa ke jalan itu, sepatutnya dibawa ke meja rundingan, sepatutnya dibawa ke Parlimen,” katanya.

Menurutnya, sudah beberapa kali isu royalti itu dibawa ke Parlimen dan meja rundingan, bahkan surat kerajaan negeri secara rasmi telah dihantar kepada pihak berkenaan, namun belum ada perbincangan.

Tambahnya, sebenarnya penafian royalti itu diucapkan di jalanan juga, sebagaimana dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein di Bachok dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed di Jeli dan Manek Urai sebelum ini.

“Keadaan itu serupa saja, cuma program kita ramai rakyat, tidak sebagaimana program mereka. Hari ini, siapa kerajaan negeri, yang dipilih oleh rakyat menyebabkan tiba-tiba mereka mendawa (berceramah) di Bachok dan di Jeli dengan menyatakan mahu memberi wang ehsan dan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Jawapan mereka itu (diberikan) di pentas apa, Mereka mendakwa hendak memberi RM20 juta, hendak memberi royalti, wang ehsan, bahkan sanggup mendakwa bahawa wang ehsan itu sama dengan royalti.

“Tidakkah dakwaan itu di pentas ceramah?” katanya pada majlis perasmian penutup Taklimat Hala Tuju Perniagaan Koperasi Hilal (Al-Hilal) Malaysia Berhad, di sebuah hotel di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Baru turut menyeru rakyat agar melangkah lebih jauh ke hadapan.

Sehubungan itu, katanya rakyat yang memahami Al-Quran tidak akan menyertai Umno, bahkan kefahaman mendalam terhadap kitab suci itu menyebabkan mereka berjuang menegakkan ajaran Al-Quran itu sendiri.

Harakahdaily.net/-

Rakyat sedang menilai PAS, PR

17 Safar 1431H
Seri

Pilihan raya Umum mungkin akan berlaku dalam masa setahun atau lebih. Pilihan raya kecil di Perak juga tidak mustahil akan berlaku dalam masa terdekat. Adakah gelombang perubahan rakyat akan berlaku lagi jika pilihan raya diadakan? Adakah rakyat di sesetengah tempat masih setia menyokong PAS dan PR?

Kepimpinan dan penyokong PAS serta PR perlu tahu dan faham bahawa rakyat sedang menilai kemampuan parti dokongan mereka. Parti yang mahu menggantikan Umno mestilah lebih mantap dan kuat. Begitu jugalah jika Pakatan Rakyat (PR) mahu menggantikan Barisan Nasional.

Kekalutan beberapa pemimpin PR yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin Parti menunjukkan PR sendiri tidak mantap dan mudah goyah. Pemimpin pusat dilihat tidak mampu mentarbiah pemimpin dan ahli bawahannya. Dengan kata lain, beberapa ahli parti gagal memahami konsep serta gagasan parti dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

Tuduh-menuduh, menyaman serta mengeluarkan kenyataan media di kalangan ahli parti dan Pakatan sepatutnya tidak berlaku. Media arus perdana memang telah berjaya memainkan isu bagi kepentingan Umno.

Begitu juga kenyataan umum seperti penggunaan kalimah Allah, keagamaan serta isu-isu nasional perlu dikeluarkan melalui saluran pusat. Komen yang didedahkan kepada media tanpa melalui saluran pusat boleh menjejaskan imej parti.

Untuk semua ahli dan penyokong PAS serta PR, kembalilah kepada konsep berparti. Apa hebatnya jika niat yang disangka baik boleh merosakkan parti itu sendiri? Parti yang mantap sudah tentu mempunyai saluran tertentu bagi meluahkan ketidakpuasan hati ahlinya. Persoalannya, mengapa saluran berkenaan tidak digunakan?

Adakah kita mahu tujuan murni Pakatan Rakyat menggantikan Kerajaan Barisan Nasional berkubur begitu sahaja disebabkan kerenah beberapa pemimpinnya. Justeru itu tindakan Lembaga Disiplin dilihat sangat wajar.

Ketahuilah, kelemahan Umno tiada memberikan apa-apa makna jika PAS dan Pakatan semakin lemah. Jangan kerana kepentingan peribadi, kepercayaan dan harapan rakyat dilupakan begitu sahaja. Semoga apa yang terjadi akan lebih mematangkan PAS dan PR.

Seri, Terengganu.

Harakahdaily.net/-