02 Februari 2010

Jambatan Bailey

17 Safar 1431H
Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Jambatan Bailey yang dibina beberapa hari selepas banjir besar melanda beberapa buah kampung termasuk Taman Kota Tampan dalam Mukim Temelong dekat sini pertengahan November tahun lalu mungkin bukan alternatif mengatasi masalah berkenaan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Lenggong, Razman Zakaria berkata jambatan sedia ada sebelum diganti jambatan bailey itu bukan punca berlakunya banjir, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu dibuat kajian teliti sebelum dilaksanakan projek mengatasinya.

Katanya, jambatan bailey itu selain menjadi masalah kerana sempit, tidak membolehkan kereta berselisih, bunyinya juga mengganggu ketenangan penduduk, lebih-lebih lagi pada waktu malam apabila kenderaan lalu.

"Kajian yang mendalam sepatutnya dilakukan, bukan kajian yang tergesa-gesa lalu projek yang dilaksanakan untuk mengatasi masalah banjir pun dibuat dengan tergesa-gesa.

"Saya percaya banjir yang berlaku bukan saja disebabkan jambatan sedia ada sebelum dibina jambatan bailey itu, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu dikenal pasti," katanya.

Razman berkata, sekiranya pihak berkenaan percaya pembinaan jambatan di kuala Sungai Nerok itu sebagai alternatif mengatasi masalah yang berlaku, sepatutnya bukan jambatan bailey yang dibina kerana jalan itu adalah jalan utama kepada penduduk.

Katanya, sampai bila jambatan itu akan menjadi alternatif kepada laluan penduduk di situ yang sudah tentu tidak mahu lagi bentuk-bentuk pembangunan berwajah lama itu.

Seorang penduduk, Abdullah Mat Zain, 35, berkata bunyi jambatan itu terlalu bising apabila kenderaan lalu tertama pada waktu malam.

Selain itu, katanya laluan air di bawahnya tetap sepertimana jambatan dulu di mana banyak sampah sarap lekat di sebelah hulunya kerana tidak dapat hanyut terus dengan selesa.

"Musim panas seperti sekarang ini tidak berlaku air pasang, tunggu musim hujan nanti sekiranya pembinaan jambatan bailey itu benar-benar dapat mengatasi masalah," katanya.





Tiada ulasan: