23 Jun 2011

Wanita bakar anak dalam ketuhar ditahan

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SACRAMENTO - Seorang wanita ditahan, kelmarin selepas pihak berkuasa menemui mayat bayi perempuannya berumur enam minggu di dalam ketuhar gelombang mikro.

Suspek dikenali sebagai Ka Yang, 29, kini ditahan di Penjara Daerah Sacramento dan tidak dibenarkan untuk diikat jamin.

Siasatan polis mendapati bayi malang itu mengalami kesan melecur teruk seperti dibakar dan menjadi punca utama kematian bayi itu.

Polis arah jangan jual baju Bersih

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Polis malam tadi mengarahkan seorang aktivis PKR, Razali Abd Ghafur agar tidak menjual baju berwarna kuning bercetak perkataan 'Bersih' kepada orang ramai atau bakal berdepan tindakan.

Amaran tersebut yang didakwa "arahan pihak atasan" diberikan kepada beliau pada majlis ceramah Jelajah Selangor Tawan Malaysia (Jelas 2) di Kampung Sungai Merab Luar, Bangi.

Ceramah tersebut dihadiri Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazree Yunus.

"Pada mulanya dia datang ke gerai saya, minta ambil gambar. Lepas ambik gambar, saya tanya awak siapa. Dia bagtau dia polis sambil tunjuk IC polis.

"Kemudian dia ambik dua helai baju Bersih, dan suruh saya jangan jual baju itu. Katanya arahan dari atasan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Menurutnya, beliau kemudiannya dijemput ke Balai Polis Datuk Abu Bakar Baginda dan dirakam kenyataan selama 20 minit.

Arahan tersebut dipercayai ada kaitan dengan rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mahu mengadakan himpunan aman 9 Julai ini.

Dalam respon segera, Shuhaimi turut mempersoal tindakan pihak berkuasa itu.

"Sejak bila jual baju tak boleh? Umno BN makin gila," tulisnya di Twitter.

Sebelum ini, polis juga telah memberi amaran kepada penganjur himpunan itu agar membatalkan hasrat mereka.

Ratusan laporan polis juga turut dibuat diseluruh negara termasuk oleh Umno.

Selain itu, polis juga memberi amaran akan membuat tangkapan awal sebagai pencegahan.

Bagaimanapun, Bersih sehingga kini tetap dengan pendirian akan meneruskan himpunan itu.

harakahdaily/-

Australia mahu guna cap jari kenal pasti wanita pakai burqa

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SYDNEY - Polis Australia mempertimbangkan untuk menggunakan cap jari bagi mengenal pasti wanita yang memakai burqa, selepas seorang hakim menyatakan dia tidak dapat memastikan sama ada seorang wanita yang memakai burqa adalah orang yang sama membuat laporan palsu kepada polis.

Menurut hakim Clive Jeffreys, kes terhadap Carnita Matthews, yang pada awalnya didapati membuat aduan palsu kepada polis oleh majistret, tidak dapat dikenakan tindakan kerana beliau tidak dapat memastikan adakah wanita itu yang membuat aduan tersebut.

Laporan itu dibuat oleh seorang wanita yang memakai burqa di balai polis Sydney tetapi pegawai polis tidak pernah melihat wajah wanita itu.

Akibat daripada keputusan itu, Menteri bagi Perkhidmatan Kecemasan dan Polis New South Wales, Mike Gallacher memberitahu akan meminta polis mempertimbangkan untuk memperbaiki kaedah mengenal pasti mereka yang menggunakan burqa.

"Satu daripada kaedah itu termasuklah dengan menggunakan cap jari jika mereka tidak mahu menanggalkan burqa yang dipakai," katanya kepada televisyen ABC.

Gallacher berkata, adalah tidak mustahil untuk menjadikan cap jari sebagai sebahagian daripada pengisytiharan undang- undang dan beberapa kenyataan lain untuk memastikan kebenaran. - AFP

Isa Samad: Pinjam duit KWSP satu 'penghormatan'

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad berkata tidak ada masalahnya jika Felda meminjam wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – berjumlah RM6 bilion seperti yang ditimbulkan oleh Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) sebelum ini.

Mohd Isa turut menangkis tanggapan bahawa pinjaman berkenaan menunjukkan Felda kini menghadapi krisis kewangan walau dilaporkan meraih keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun.

Beliau berkata pinjaman berkenaan merupakan satu "penghormatan" kepada Felda kerana ia menunjukkan keyakinan KWSP bahawa lembaga pembangunan tanah itu mampu melunaskan pinjaman berkenaan.

"Apa masalahnya pinjam? Kita pinjam pun daripada (KWSP), (KWSP) bagi kita pinjam itu juga satu penghormatan sebab yakin pada kita, kita boleh bayar.

"Kalau saya meniaga saya ada duit, takkan saya nak guna semua duit saya sendiri, saya mesti pinjam. Itu yang penting, apa yang masalahnya kalau pinjam?

"Saya pun tak tahu apa masalah yang ditimbulkan itu. Saya beli kereta pun pinjam, saya tak tahulah kalau semua orang ANAK ini semua bayar tunai, saya tak tahulah," katanya lagi, menyindir NGO yang menimbulkan isu berkenaan.

Selain ANAK, perkara itu juga ditimbulkan oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menuntut Felda menjelaskan sama ada salah sebuah anak syarikatnya – Felda Global Ventures – mengalami kerugian dalam pelaburan di seberang laut.

Dalam satu kenyataannya, Anwar mendakwa kerugian daripada pelaburan dalam tempoh 2007 hingga 2010 itu berjumlah hampir RM500 juta.

Kerugian itu didakwa melibatkan pelaburan ke dalam syarikat Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, TRT-ETGO Canada, Felda Global Ventures Middle East dan juga Felda Global Ventures Arabia.

Pernah rugi

Sementara itu, ditanya sekiranya beliau menyentuh mengenai kerugian yang dialami Felda Global Ventures dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa secara ringkas berkata beliau hanya menyentuh mengenai kerugian itu secara umum.

"(Felda) pernah juga rugi pada awal-awal, tapi yang penting adalah bagaimana kita menguruskan kerugian itu supaya jadi baik," katanya lagi.

Dalam ucapannya terdahulu, Mohd Isa turut meminta wakil peneroka ke AGM berkenaan supaya "bersyukur" dan "tidak terpedaya" dengan golongan tertentu yang didakwa terus "mencucuk" masyarakat peneroka berhubung kerugian yang dialami Felda.

"Kita akan rugi sebab perjuangan mereka ini sampai pilihan raya ke-13... Jangan terpedaya kata kami di Felda nak menindas, nak menipu. Tak ada begitu sebab kita tahu tujuan hendak hapuskan kemiskinan luar bandar.

"Ada orang mencucuk masyarakat Felda, tapi apa nak buat memang ada orang macam itu," katanya lagi yang dipercayai merujuk kepada tindakan berterusan oleh kumpulan peneroka yang memfailkan saman ke atas Felda.

malaysiakini/-

Taib nafi ada akaun rahsia di Bank Swiss

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KM sudah maklumkan kepada Presiden Switzerland

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menafikan mempunyai sebarang akaun rahsia di Bank Swiss mahupun aset atau pelaburan dalam apa juga bentuk di Switzerland.

Beliau menjelaskan, perkara berkenaan sudah dibawa kepada pengetahuan Presiden Switzerland, bulan lalu melalui surat yang memaklumkan bahawa dakwaan yang dilemparkan terhadapnya tidak berasas sama sekali.
“Di dalam surat berkenaan, saya minta Presiden Switzerland mengesahkan sama ada terdapat arahan daripada Tabung Bruno Manser (BMF) kepada Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland (FINMA) supaya menyiasat saya dengan pelbagai dakwaan.

“Saya sedia memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Switzerland untuk menegakkan kebenaran. Saya juga minta supaya salinan dakwaan itu diserahkan kepada saya supaya tindakan undang-undang sesuai boleh diambil atas hak saya, bagi membuktikan bahawa semua ini adalah tuduhan palsu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bangun untuk membaca kenyataannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pagi semalam.

Abdul Taib berkata, sebagai seorang ketua kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertanggungjawab terhadap DUN yang mulia itu, beliau memilih untuk mengeluarkan kenyataan di dewan berkenaan.

“Adalah lebih tepat dan lebih baik untuk saya membuat kenyataan mengenai dakwaan tidak berasas terhadap saya ini di dewan yang mulia ini berdasarkan Peraturan Mesyuarat (S.O) 22.
“Dakwaan dibuat BMF jelas palsu dan terbukti hanya untuk menjejaskan kerjaya politik saya berdasarkan rekod BMF yang kerap menyerang Sarawak sejak dulu lagi," katanya.

Beliau dalam kenyataannya kelmarin, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kesilapan apabila melakukan siasatan ke atasnya.

Sementara itu, SPRM dalam kenyataan berasingan semalam menjelaskan, kenyataan perenggan pertama suruhanjaya itu kelmarin iaitu “Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, tindakan SPRM menyiasat dirinya adalah satu kesilapan” membawa maksud sangat mengelirukan.

Katanya, kenyataan Ketua Menteri itu merujuk kepada SPRM seolah-olah `menyalak pada pokok yang salah’ (barking at wrong tree), mungkin silap dan kenyataan media lain pula merujuk perkara itu kepada pihak pembangkang.

“Ini menunjukkan seolah-olah SPRM yang membuat kesilapan, walhal kenyataan ini merujuk kepada pihak pembangkang seperti yang dilaporkan oleh media lain,” tambah SPRM.

beritaharian/-

Undian tajuk Sejuta Sokong Bersih 2.0

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Mulai hari ini, undian dilakukan adakah wajar Sejuta Sokong Bersih 2.0 digunakan sebagai tajuk muka depan Harakah.

Sejauh mana popularnya tajuk ini digunakan sebagai tajuk utama akhbar Harakah akan dilihat dalam tempoh dua hari, yakni hari ini dan esok.

Undian ini terbuka kepada semua pembaca dan mereka boleh mengundi sekali sahaja sama ada untuk setuju atau tidak setuju atau tidak pasti dengan pilihan tajuk berkenaan.

Untuk membuat undian tinjauan@harakah, boleh terus kepada link http://myharakah.net.

Keputusan undian “UTUSAN HINA ISLAM” meningkat secara mendadak sebanyak 20 % berbanding dengan tajuk sebelum ini "CETUS PROVOKASI" jatuh kepada 71.7% atau 228 daripada 318 undian yang bersetuju dengan tajuk tersebut dijadikan tajuk utama.

Keputusan undian tajuk ini adalah 314 daripada 342 undian, iaitu 91.81 peratus bersetuju dengan tajuk tersebut dijadikan tajuk utama Harakah.

Walaubagaimana pun terdapat 25 undian (7.31%) yang tidak bersetuju dan 3 undian (0.88%) yang berkecuali.

Untuk melihat keputusan terperinci terhadap undian semasa dan yang telah dilakukan sebelum ini, boleh terus kepada link http://myharakah.net/polls.php

harakahdaily/-

Terdapat 27,902 isi rumah miskin tegar di Sarawak

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Sejumlah 27,902 Ketua Isi Rumah (KIR) atau 49.8 peratus daripada 55,975 yang didaftarkan di dalam sistem e-Kasih tergolong di bawah kategori kumpulan miskin tegar di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata seramai 55,975 KIR berpendapatan rendah telah didaftarkan di dalam sistem e-Kasih yang termasuk kumpulan mudah miskin membabitkan 23,235 KIR dan keluarga miskin (4,838 KIR), sehingga 11 Jun ini.

KIR mempunyai pendapatan sebanyak RM520 sebulan tergolong di bawah kategori miskin tegar manakala RM830 sebulan dikategorikan miskin, katanya ketika menjawab soalan Violet Yong (DAP-Pending) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kuching hari ini.

"Daripada 27,902 KIR yang tergolong di bawah miskin tegar, sebanyak 13,349 KIR merupakan Iban, 5,601 (Melayu), 2,925 (Orang Ulu), 2,757 (Bidayuh), 1,974 (Melanau) yang merupakan Bumiputera di negeri ini manakala 647 (Cina) dan 622 KIR lain-lain," katanya

Untuk memastikan keberkesanan sistem e-Kasih, Jabu berkata Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah akan bertindak untuk melakukan penyisihan awal kepada senarai permohonan bagi memastikan hanya pemohon yang layak sahaja dibuat pengesahan.

"Ini dapat memastikan proses penyelarasan bancian di peringkat lapangan dapat dipercepatkan," katanya.

Jabu berkata data e-Kasih akan dikemas kini dengan kemasukan data daripada semua agensi pemberi bantuan dan golongan yang masih belum didaftarkan (di luar e-Kasih) untuk memastikan data dan maklumat golongan berpendapatan rendah dicakupi dan komprehensif.

"Sistem ini masih dalam fasa pembangunan dan pelaksanaan dan dijangka siap pada tahun 2012," katanya.

Menjawab soalan Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai), Jabu berkata seramai 18,876 penerima bantuan Program Bantuan Rumah (PBR), termasuk projek bina baru sebanyak 10,847 dan baik pulih rumah sebanyak 8,029, di Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 1,877 KIR telah menerima bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Mulai penghujung tahun lepas, bantuan peningkatan pendapatan tertumpu kepada program 1Azam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Setakat bulan Mei tahun ini, kerajaan negeri telah melaksanakan 3,426 projek 1AZAM melalui pelbagai agensi pelaksana," katanya.

- Bernama

SPRM diminta siasat kos guaman menteri

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Audit Negara diminta menyiasat isu wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) digunakan untuk membiayai kos guaman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam kes qazaf membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain Jamil Khir, kos guaman bagi Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali juga digunakan daripada peruntukan yang sama.

Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, wang MAIWP tidak sepatutnya digunakan untuk membiayai urusan itu kerana ia hanya boleh disalurkan untuk kegunaan lapan asnaf yang layak.

“Mengikut kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim di Dewan Rakyat, sebanyak RM32,000 peruntukan MAIWP yang berupa wang zakat digunakan untuk tujuan itu. Saya mahu tanya, apakah seorang menteri dan pengarah Jawi termasuk dalam asnaf yang layak terima zakat? Sudah tentu tidak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Selain itu, kata Saifuddin, Che Mat yang juga Setiausaha MAIWP turut memohon dan meluluskan peruntukan itu atas namanya sendiri.

“Dari segi tata kelolanya, jelas salah. Dari segi undang-undang, yang memohon dan meluluskan orang yang sama, jadi kita minta SPRM dan Ketua Audit Negara siasat perkara ini,” katanya.

sinarharian/-

Tanam RM1 juta

21 Rejab 1432H. [MOD] -

IPOH – Polis menemui petunjuk baharu untuk menyelesaikan kes tipu melibatkan pasangan suami isteri yang dicari sejak April lalu apabila menemui wang RM1.095 juta yang ditanam di belakang rumah anak lelaki mereka di Kuala Muda, Kedah 14 Jun lalu.

Wang yang dimasukkan ke dalam sebuah beg itu ditemui selepas polis menyoal siasat anak pasangan itu yang ditahan pada hari sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya percaya, pasangan terbabit, Chong Heoy Choo, 50, dan Song Siew Weng, 49, bertindak menanam sebahagian daripada wang RM7 juta yang diperoleh hasil penipuan kerana bimbang kegiatan mereka telah terbongkar.

Bagaimanapun katanya, pasangan itu masih belum diberkas.

“Mereka dicari selepas kita menerima laporan daripada tujuh mangsa yang mendakwa ditipu mengenai penawaran projek dan tender yang tidak wujud di sekitar Perak sejak awal tahun ini.

“Anak mereka yang berusia 21 tahun itu juga disyaki terlibat dalam membantu ibu bapanya untuk menipu,” katanya.

kosmo/-

Pemuda PAS Sarawak: SPRM perlu terus siasat kes rasuah Ketua Menteri Sarawak

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SPRM perlu terus siasat kes rasuah Ketua Menteri Sarawak
Pemuda PAS Sarawak mengucapkan syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tindakan untuk memulakan siasatan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Ini merupakan tindakan yang tepat dilakukan oleh SPRM.

Pemuda PAS Sarawak berharap agar pihak SPRM dapat menjalankan siasatan penuh seperti mana yang dilakukan terhadap bekas Menteri Besar Selangor , Dr Mohamad Khir Toyo. Pemuda PAS Sarawak turut meminta agar SPRM tidak akan mudah tunduk kepada tekanan-tekanan politik parti pemerintah dalam menjalankan proses siasatan yang lengkap dan telus.

Dalam perkembangan yang sama, Pemuda PAS Sarawak bersimpati dengan Ketua Pemuda PBB YB Datuk Hj Fadhillah Yusof yang terus mendapat tekanan daripada kepimpinan Pemuda PBB negeri yang lain dalam usaha memberi sokongan kepada Ketua Menteri dalam proses siasatan rasuah oleh SPRM ini.

Pemuda PAS Sarawak juga ingin mengucapkan syabas kepada YB Datuk Hj Fadhillah atas tindakan beliau yang tidak tergesa-gesa dalam menyatakan sokongan membuta-tuli terhadap Ketua Menteri dalam perkara ini. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kemungkinan besar ada kebenaran terhadap laporan rasuah yang diketengahkan sebelum ini.

Pemuda PAS Sarawak berharap dengan perkembangan ini akan memberi gambaran jelas kepada seluruh rakyat Sarawak bahawa telah banyak hasil kekayaan negeri yang disalahgunakan oleh Ketua Menteri Sarawak. Kekayaan negeri Sarawak seharusnya kembali kepada rakyat negeri Sarawak dengan pembinaan kemudahan-kemudahan asas yang terbaik untuk rakyat.

Mohammad Arifiriazul,
Ketua Pemuda PAS Sarawak

Kedai 1Malaysia? harga barang apa cerita?

21 Rejab 1432H. [MOD] -

PARIT BUNTAR, 23 JUN : Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Yb Drs Khalil Idham Lim memuji langkah Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah melancarkan kedai 1Malaysia yang berhasrat merealisasikan slogan rakyat didahulukan tetapi beliau mempersolakan adakah kedai 1Malaysia yang sebenarnya rakyat perlu?

“Beliau patut lebih kritis dalam mencari idea dan resolusi penyelesaian masalah yang membelengu rakyat berikutan pemansuhan subsidi yang dilakukan dalam perkara asas dan kesannya, harga barag di seluruh Negara meningkat dengan mendadak,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya yang juga adun titi serong, PM patut fokus terhadap isu kenaikan harga dalam perkara-perkara keperluan asas rakyat, seperti tariff elektrik, petrol, dan gula .

“Tangani segera isu pemansuhan penerimaan subsidi super diesel yang melibatkan sembilan (9) ketegori kenderaan yang digunakan untuk tujuan pengangkutan barangan serta perkhidmatan yang telah berkuat kuasa 1 Jun 2011.

“Kenaikan demi kenaikan harga perkara keperluan asas ini amat berkait rapat dengan isu pemansuhan subsidi yang disifatkan sebagai mengejutkan ramai pihak,” kata Khalil yang juga Pengerusi Idham Care.

“Terutamanya kepada pembekal perkhidmatan pengangkutan logistik dan lain-lain sembilan (9) ketegori kenderanan yang menyediakan perkhidmatan logistik dan pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, Antara 9 ketegori kenderaan pengangkutan yang dimaksudkan adalah seperti penggerak utama, kargo am, luton kotak, van, teksi limosin, lori rigid (minimum botol), lori tangki rigid (tepung) lori rigid (refrigerated) dan lori tangki air.

Isu ini sepatutnya jadi perkara utama kerajaan pusat, bukannya buat kedai 1malaysia yang cuma menjual barang yang berskala kecil.

“Beliau cuma laksanakan perkara yang layak kita kata melepaskan batuk di tangga sahaja dengan buat (kedai 1Malaysia),” ujarnya.

Malaysia Negara pengeluar minyak, tetapi tiada lebihan kuasa dalam ekonomi untuk manfaat rakyat seperti Negara-negara pengeluar minyak yang lain, lebihan kuasa ekomoni yang sepatutnya ada, sekarang kita tiada lebihan tersebut, mana perginya wang itu? Soalnya.

Peneroka perlu bangkit, sedar penipuan BN

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Pengarah Biro Felda dan Orang Asal PKR, Suhaimi Said (gambar) berkata, peneroka Felda perlu bangkit dan sedar tentang penipuan yang dilakukan kerajaan BN.

Ini kerana agensi kerajaan seperti Felda yang sepatutnya membela dan menjaga kepentingan peneroka, sebaliknya mengkhianati amanah yang diberikan kepada mereka selama ini, lapor KeadilanDaily.

Menurut Suhaimi, ketika rizab tunai Felda susut hampir RM3 bilion dalam tempoh lima tahun, agensi itu pula membuat pinjaman sebanyak RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Peneroka berhak untuk tahu apakah tujuan pinjaman tersebut itu dilakukan. Adakah pinjaman ini akan digunakan untuk menutup kerugian pelaburan mereka (Felda) di luar negara?” ujarnya.

“Felda dikatakan mempunyai kewangan yang besar, aset juga banyak. Jadi apa keperluan untuk meminjam KWSP,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.

Dalam masa yang sama, katanya, Felda pula melakukan penipuan dan penyelewengan seperti isu dana tanam semula dan penipuan Kadar Perahan Gred Kelapa Sawit terhadap peneroka.

Disebabkan itu katanya, peneroka tidak mempunyai jalan lain untuk menuntut keadilan kecuali memfailkan saman terhadap pengurusan Felda.

“Kita perlu sedar kerana kita sering dimanipulasi. Banyak keraguan yang timbul terutamanya di pihak pengurusan Felda itu sendiri,” kata beliau lagi.

Tahun lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana menteri, Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab terhadap Felda mengaku, rizab tunai agensi itu susut daripada lebih RM4 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009.

Meskipun menafikan agensi itu mengalami kedudukan kewangan yang parah, Felda sehingga kini tidak memberi penjelasan tentang isu pinjaman KWSP sebanyak RM6 bilion dan kerugian pelaburan yang ditanggung di luar negara.

Felda juga kini berdepan ratusan saman daripada peneroka di seluruh negara berhubung penyelewengan yang dilakukan agensi itu.

Sebelum ini Felda disaman peneroka di Kelantan, Johor dan Negeri Sembilan.

Terbaru, seramai 711 peneroka Felda dari kawasan Jengka Pahang memfailkan saman sebanyak lebih RM344 juta terhadap Felda kerana melakukan penipuan.

harakahdaily/-

Majlis Peguam sokong semua himpunan 9 Julai

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Majlis Peguam berkata kebebasan berhimpun adalah hak yang perlu bagi sesebuah demokrasi. Justeru, badan itu menyokong ketiga-tiga kumpulan yang bercadang mengadakan perhimpunan pada 9 Julai ini.

Pengerusinya Lim Chee Wee berkata kebebasan berhimpun dijamin mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan pihak berkuasa mesti mengambil-kira perkara itu.

Katanya, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak sepatutnya menyekat perhimpunan dan mengingatkannya bahawa arwah datuknya, Datuk Onn Jaafar juga pernah turun ke jalanan atas nama demokrasi.

"Perlu diingatkan bahawa Umno yang diketuai oleh Onn Jaafar, yang ketika itu presiden Umno, yang adalah datuk kepada Menteri Dalam Negeri sekarang, pernah memimpin rakyat turun ke jalanan bagi memprotes pembentukkan Malayan Union.

“Begitu juga dengan pemimpin Umno lain yang juga pernah turun ke jalanan, sebagai contoh menuntut kemerdekaan dan juga menyokong perjuangan Palestin,” katanya.

Lim berkata perhimpunan awam adalah sebahagian daripada sejarah negara sama ada bagi membantah ketidak-adilan seperti yang diami dengan sistem pilihan raya sekarang ini.

“Mereka yang kata protes jalanan bukan sebahagian daripada budaya kita jelas adalah jahil dengan sejarah negara kita yang kaya,” katanya pada sidang akhbar bagi mendesak kerajaan supaya menghormati perhimpunan yang bersih dan aman.

malaysiakini/-

SMS ugut bunuh Ambiga, pemimpin Pakatan diedarkan

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Beberapa wartawan dan ahli Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung ugutan bagi membunuh pemimpin NGO itu dan Pakatan Rakyat lewat malam semalam dan awal pagi ini.

SMS yang dihantar dari nombor telefon 601119732179 memuatkan ugutan bunuh ke atas pengerusi BERSIH 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan dan juga beberapa pemimpin PAS serta PKR yang akan terbabit pada perhimpunan 9 Julai bagi menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya negara.

Ambiga, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan beliau menerima SMS itu.

"Ya, saya juga terima dan akan buat laporan polis,” katanya.

SMS itu berbunyi: "Korg ni buta hati ke?? buat apa sokong ambiga keling paria haramjadah tu? dia ni kapir laknat. korang tau tak dia ni jadi alat anjing2 politik untuk musnahkan keutuhan melayu. dia kata je nak BERSIH kan SPR. bersih kepala bapak dia.

“puak2 PAS n PKR pun buta tuli n pekak badak.. kalau SPR tak bersih, boleh ke diorang menang kat Sgor, Kedah, Penang, Kelantan n perak dulu? DAP cina sial tu pulak lagi haram jahanam. dia tengok je melayu bertekak. hujung2 dia perintah negara ni dan kristiankan kita semua. aku nak kasi amaran kat korang semua.

“kalau perhimpunan ni jadi, aku dan org2 aku akan bunuh ambiga dan korang2 keliling dia satu persatu, termasuklah orang2 politik bangang yg bersekongkol ngan kafir laknat tu.. ini amaran aku. Korang tengokla nanti."

Ahad lalu, kumpulan pendesak Melayu - PERKASA yang diketuai oleh presidennya, Datuk Ibrahim Ali juga membakar dan memijak gambar Ambiga pada satu perhimpunan dan memanggilnya sebagai "wanita Hindu yang merbahaya".

malaysiakini/-

Waris P Ramlee cadang tuntut royalti

21 Rejab 1432H. [MOD] -

MOHD YUSOFF menujukkan kad pengenalan P Ramlee kepada warisnya Najua Nasir, 25 (kanan), Gurnarisasca, 34 (dua dari kanan) dan Gurlina, 40 (tiga dari kanan), pada majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Georgetown, semalam.
Hasil bayaran tayangan filem seniman di stesen televisyen didakwa cecah RM200 juta

GEORGETOWN: Waris Tan Sri P Ramlee bercadang menuntut royalti daripada bekas majikan seniman agung itu hasil bayaran tayangan filem lakonan Allahyarham di stesen televisyen, termasuk televisyen berbayar yang dikatakan mencecah RM200 juta.

Setakat ini, waris P Ramlee hanya menerima royalti daripada lagu Allahyarham, termasuk RM200,000 yang dibayar syarikat rakaman dan Persatuan Perlindungan Hak Cipta Muzik Malaysia (MACP), pada tahun lalu.
Bagi tujuan itu, waris Allahyarham melantik peguam, Datuk Hamzah Mohd Kassim bagi mengendalikan urusan berkaitan usaha mendapatkan imbuhan daripada bekas majikan P Ramlee itu.

Hamzah semalam mengakui tiada undang-undang jelas berkaitan royalti antara P Ramlee dengan Shaw Brothers, ketika Allahyarham menjadi pelakon di syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, Shaw Brothers mempunyai tanggungjawab sosial untuk memberikan bayaran kepada waris P Ramlee.

“Saya sudah mendapatkan pandangan pakar perundangan dan kami mempunyai ruang mendapatkan sejumlah royalti,” katanya selepas majlis pelancaran Jejak Warisan P Ramlee di Rumah Kelahiran P Ramlee, di sini semalam.

Pelancaran disempurnakan Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Mohd Yusoff Latiff.
Hamzah berkata, pihaknya sudah membuat kajian mengenai perkara itu dan berjumpa beberapa rakan Allahyarham serta mendapatkan pandangan pakar undang-undang.

Namun, beliau tidak dapat menyatakan jumlah tepat pendapatan diperoleh Shaw Brothers hasil tayangan filem lakonan P Ramlee melalui televisyen, tetapi menjangkakan mencecah RM200 juta.

“Saya difahamkan, dalam tempoh tiga tahun lalu saja syarikat itu dibayar RM20 juta oleh ASTRO,” katanya yang menyasarkan royalti sebanyak 20 peratus diberikan kepada waris Allahyarham.

Mengenai maklum balas Shaw Brothers, Hamzah berkata, pihaknya akan berunding dengan syarikat itu selepas mendapat semua maklumat berkaitan.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, PEMENANG menyokong usaha memastikan waris P Ramlee mendapat hak mereka dan berharap persatuan dalam industri perfileman turut membantu bagi memastikan keluarga Allahyarham mendapat pembelaan sewajarnya.

beritaharian/-

Peniaga mohon maaf pada kerajaan negeri

21 Rejab 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 23 Jun: “Saya bagi pihak Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB memohon maaf kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan YAB Tuan Guru Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang mana silap laku saya itu saya mohon maaf,” demikian pengakuan mohon maaf secara terbuka Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad.

Berucap pada sidang media sempena Majlis Pengundian Bazar Tok Guru oleh pada peniaga Majlis Perbandaranan Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Dewan Jubli Perak MPKB di sini semalam, Salim mendakwa sekiranya beliau telah bertindak kasar dan agresif sebelum ini, maka itu adalah sebagai tuntutan daripada ahli persatuannya.

Sehubungan itu beliau menyeru kepada ahli persatuan serta para peniaga umumnya agar berprasangka baik dengan pihak kerajaan negeri.

Beliau berharap selepas ini, pihak persatuan dan para peniaga berbaik-baik dengan pihak kerajaan negeri dan para pegawainya.

“Berbaik-baik dan jangan salah sangka kepada pimpinan kerajaan negeri dan para pegawainya yang telah banyak membantu kita khususnya dalam segi pemilihan lot-lot gerai di Bazar Tok Guru.

“Kini ada jalan penyelesaian, dan kita pun jemu dah dengan keadaan semasa, berarak sana, berarak sini. Saya sebagai pengerusi persatuan, maka setakat inilah perjuangan saya bersama ahli-ahli saya.

“Saya terimalah mandat kerajaan negeri, dan kita tidak akan bincang (memanjangkan) lagi cerita kita ini,” katanya sambil menyifatkan keputusan pihak kerajaan negeri yang meluluskan dibuang sebanyak 26 gerai dengan nilaian lebih RM2 juta sebagai ‘kebajikan laluan’ di bazar itu adalah sebagai pengorbanan kepada para peniaga berkenaan.

“Ini bermakna, tidak terkiralah pengorbanan kerajaan negeri kepada peniaga-peniaga kita, alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Sanusi Osman dalam satu kenyataan media berkata, seramai 230 peniaga telah diundang hari ini (22 Jun 2011) bagi menjalani proses pengundian petak perniagaan di tingkat bawah Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim di sini.

Sementara proses menandatangani perjanjian jual beli akan diselesaikan selewat-lewatnya pada 28 Jun ini dan serahan milikan kosong akan dilaksanakan sebelum 1 Julai.

“Seramai 326 peniaga dijangka dapat memulakan perniagaan di Bazar Tok Guru pada 1 Julai 2011,” katanya.

M Yarisman

Kepimpinan Baru PAS Perak, BN perlu bersedia jadi Pembangkang.

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Saya mengucapkan tahniah diatas perlantikan Kabinet Baru Pas Perak yang telah berlangsung baru-baru ini, Bagi saya kabinet baru ini merupakan persiapan untuk mengambil semula Perak dari genggaman UMNO-BN yang telah hilang daya kepimpinan.

PAS komited mahu merakyatkan lagi parti kepada semua kaum dan juga agama, usaha tersebut telah direalisasikan pada peringkat awal dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Pas.

Pemilihan Kabinet baru PAS saya yakin telah mengambil kira pelbagai aspek keperluan semasa bagi menjadikan PAS Perak sebuah parti yang bersedia menggantikan Umno yang kian hancur dan tiada moral kerana amalan salahlaku kuasa, politik lucah dan rasuah yang makin menjadi-jadi.

Tambahan pula situasi Negeri Perak dilihat sudah hilang daya saing sejak BN merampas kuasa dan kesannya dari rampasan kuasa pada 6 Februari 2009 telah meletakkan Perak sebagai satu-satu negeri yang dikuasai oleh BN secara tidah sah.

Dengan perlantikan Kabinet Baru Pas Perak itu maka saya BN Perak mestilah diingatkan supaya bersedia mental fizikal untuk kembali menjadi pembangkang selepas PRU13 nanti.

Drs. Khalil Idham lim

62 banduan al-Qaeda di Yemen melarikan diri

21 Rejab 1432H. [MOD] -

ADEN 23 Jun - Sekurang-kurangnya 62 orang banduan Al-Qaeda melepaskan diri dari penjara selatan Yemen hari ini selepas mereka bertempur dengan pengawal, mengorbankan seorang pengawal serta dua lagi tercedera.

Banduan-banduan tersebut melarikan diri dari penjara di Al-Mukalla yang terletak di tenggara Hadramawt ke kawasan pergunungan berdekatan selepas mereka bertempur dengan pengawal penjara dan merampas senjata dari mereka.

Mereka dikatakan berjaya melarikan diri selepas sekumpulan militan Al-Qaeda menyerbu penjara tersebut dan membebaskan mereka. - AFP

Polis edar gambar bomoh Siam

21 Rejab 1432H. [MOD] -


KUALA TERENGGANU - Polis semalam mengedarkan gambar seorang bomoh bergelar Kak Yah atau Kak Moh yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki ketika melakukan rawatan tradisional konon untuk membuang makhluk asing yang mendiami badan mangsa minggu lalu.

Kak Yah, 30-an, yang sebelum ini menetap di Kampung Pulau Rusa, Merchang, Marang, dipercayai telah melarikan diri bersama suaminya, Norhisham Mustapha, 33, dengan menaiki sejenis kenderaan sebaik mangsa dibawa ke hospital oleh ahli keluarganya pada 16 Jun lalu.

Kak Yah berasal dari Thailand manakala suaminya dari Rantau Panjang, Kelantan.

Difahamkan, polis menghadapi kesukaran untuk menjejaki Kak Yah kerana kekurangan maklumat mengenai dirinya dan Norhisham merupakan kunci bagi mencari wanita tersebut.

Jika sebelum ini, polis percaya bomoh tersebut telah melarikan diri ke Thailand namun semalam Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa memberitahu wanita berkenaan sedang bersembunyi di sempadan Malaysia-Thailand.

"Kita sedang berusaha keras untuk menjejaki wanita tersebut dan telah meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) bagi mencarinya.

"Dengan penyebaran gambar pasangan tersebut, kita harap orang ramai yang mengetahui di mana mereka berada supaya menghubungi polis dengan segera," katanya di sini semalam.

Himpunan Bersih : Jangan lupa membawa garam dan wang secukupnya.

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Saya menyeru supaya seluruh rakyat yang cintakan sebuah Negara yang adil dan berkebajikan supaya turun beramai-ramai bagi menyertai perhimpunan aman anjuran BERSIH 9 julai ini.

Sehubungan dengan itu segala langkah yang dilakukan oleh pelbagai pihak bagi mengagalkan himpunan itu telah membuktikan bahawa tuntutan BERSIH telah menggugat kuasa BN yang dimiliki selama ini.

Saya ingin menegaskan bahawa usaha BERSIH 2.0 ini perlu diteruskan bagi menyuarakan suara rakyat yang sejak 50 tahun melalui pilihanraya dalam keadaan banyak kepincangan dan banyak unsur penipuan untuk mengekalkan kuasa BN.

9 Julai 2011 (Sabtu) merupakan tarikh keramat untuk mencetuskan suasana pilihanraya yang adil dan bermakna, SPR yang diharapkan menjadi orang tengah yang tidak memihak kepada mana-mana pihak sudah tidak boleh diharap lagi selagi diperkuda UMNO BN.

Sokongan kira-kira lebih 1.3 juta rakyat mengundi melalui portal mahukan BERSIH 2.0 dilancarkan 9 julai ini sebagai mana yang dilaporkan melalui portal The Star Online telah menafikan dakwaan dan tohmahan yang tidak berasas pelbagai pihak yang pro BN bahawa himpunan itu ditolak dengan alasan menimbul huru hara dan kekecohan.

Sebenarnya Umno-Bn sudah cuak dan tidak senang duduk, media pencacai bn di dapati meningkatkan usaha mereka untuk memburukkan Bersih 2.0. Namun undian yang memihak kepada BERSIH membuktikan rakyat yakin himpunan itu wajar diadakan dan tidak menimbulkan huru-hara seperti yang diakwa oleh mereka.

Selain itu dakwaan pengusaha teksi akan kerugian sebanyak 3.2 juta sehari jika bersih diadakan saya sifatkan satu kenyataan yang karut serta sengaja diada-adakan .

Saya juga amat kesal dengan usaha Perkasa telah menjalankan strategi kotor mereka untuk menggagalkan usaha himpunan aman bersih 2.0 dengan mengeluarkan kenyataan media yang boleh mencetus suasana panik awam.

Pengerusi perkasa yang dikenali umum dengan gelaran raja katak , baru-baru ini telah bertukar menjadi panglima perang salin dan kita menjadi juara demokrasi pula.

Biarlah Ibrahim dipenghujung usinya berkokok sehingga keluar anak tekaknya namun saya yakin masa depan politiknya sudah terlalu gelap pada masa akan datang. Kerana itu saya lihat tindakan beliau tidak lebih dari usaha mendapat tempat dimasa akan datang.

Jadi rakyat digesa supaya turun beramai dalam perhimpunan aman anjuran bersih yang akan dilancarkan 9 julai 2011 ini bertempat di perkarangan Masjid Jamek, Masjid Negara dan di Dataran Merdeka Ibu Kota..

Jangan lupa membawa garam dan wang secukupnya

WASSALAM,

YB. Drs. Khalil Idham Lim

Gangguan air kerana Syabas gagal selenggara loji

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Gangguan bekalan air yang menjejaskan hampir sejuta pengguna di beberapa daerah di Lembah Kelang bukan kerana bekalan air tidak mencukupi tetapi disebabkan kerja-kerja penyelenggaran loji rawatan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).

Sehubungan itu, exco Selangor, Elizebeth Wong berkata tindakan Syabas menjadikan rundingan penstrukturan semula sebagai alasan gangguan bekalan air berkenaan amat dikesali.

Sebaliknya menurut Wong, gangguan itu adalah kerana kegagalan Syabas untuk menyelenggara loji rawatan tersebut sejak tahun 1997.

"Saya ingin menekan bahawa gangguan ini bukan disebabkan kekurangan bekalan air, tetapi kerja-kerja penyelenggaraan oleh Syabas.

"Kenyataan pihak Syabas (yang) menyalahkan rundingan penstrukturan semula aset air langsung tidak tepat, penswastaan aset air telah dilaksanakan pada tahun 1997 dan sejak itu, Syabas tidak menjalankan kerja- kerja menaiktaraf kepada loji-loji perawatan air yang sepatutnya.

“Pada hari ini pula, perundingan dengan kerajaan negeri senang-senang digunakan sebagai alasan menghalang syarikat swasta tersebut dari menaiktaraf infrastrukturnya. Sepatutnya kerja-kerja ini dibuat sebelum ini.," katanya dalam satu kenyataan akhbar, lewat petang semalam.

Tahap tinggi

Wong juga berkata simpanan air di empangan sekitar negeri itu masih berada pada tahap yang tinggi.

Beliau membekalkan data Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung kedudukan tahap simpanan air empangan sehingga 21 Jun lalu bagi membuktikan kata-katanya itu.

Empangan Sungai Selangor - 98.81 peratus
Empangan Sungai Tinggi - 99.17 peratus
Empangan Sungai Batu - 100 peratus
Empangan Klang Gate - 100 peratus
Empangan Sungai Semenyih - 100 peratus
Empangan Sungai Langat - 100 peratus
Empangan Tasik Subang - 96.88 peratus
Wong turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan khabar angin yang mendakwa negeri Selangor akan mengalami krisis air dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri Selangor akan tetap berusaha memastikan bekalan air yang mencukupi kepada semua. Pada tahun ini, kami telah memeriksa dan memastikan semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor.

“Tambahan itu, kerajaan negeri telah membuat persediaan untuk menangani masalah sekiranya jangkaan musim kering atau fenomena El-Nino melanda Malaysia,” katanya.

Berikutan perkembangan itu, Wong mahu Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau (KeTTHA) untuk menilai semula kecekapan dan keupayaan Syabas dalam pengurusan sistem bekalan air kepada penduduk.

Mulai pulih

Sementara itu, Syabas dalam satu kenyataan media berkata pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air di Lembah Klang dijangka akan mula menerima bekalan secara berperingkat mulai awal pagi ini sehingga pulih sepenuhnya pada pukul 8 pagi, Jumaat ini.

Menurut kenyataan itu, kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) telah berjalan lancar dan siap dua jam setengah lebih awal daripada dijadualkan.

Kerja-kerja penyelenggaraan tersebut dijalankan oleh Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH).

"Oleh kerana kerja-kerja penyelenggaraan ini siap lebih awal, maka pihak Syabas akan mula mengisi kolam-kolam takungan lebih awal dan menjangkakan bekalan air akan dapat disalurkan semula ke dalam sistem," kata Syabas.

Katanya kawasan yang terletak di tanah tinggi dan jauh dijangka paling akhir menerima bekalan air berbanding kawasan yang rendah.

Pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ataupun mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (Puspel) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPEL jarak aduan dan hantar ke 39222.

Pengguna juga boleh membuat laporan kepada Syabas menerusi laman web Twitter dan Facebook dengan mendaftar di laman web berkenaan.

malaysiakini/-

Himpunan Bersih: Pemuda PAS wilayah sasar 60,000 anak muda

21 Rejab 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) mensasarkan sekurang-kurangnya 60,000 untuk menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, hasil tinjuan dan promosi yang diadakan, sokongan dan minat masyarakat khususnya golongan muda amat menggalakkan.

“DPPWP menetapkan sasaran seramai 60,000 anak-anak muda Kuala Lumpur akan menyertai himpunan kali ini.

“Bahkan, DPPWP masih mendapat respon positif dari ramai orang yang ingin menyertainya termasuk mereka yang akan datang dengan berkeluarga,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, terdapat juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas yang turut menunjukkan minat untuk hadir bersama-sama menjayakan perhimpunan itu.

Sementara itu di Kelantan pula, Pemuda Pas dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), akan menghantar kira-kira 30,000 peserta pada program berkenaan.

Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, setiap kawasan di Kelantan dijangka menghantar 1,000 peserta pada perhimpunan tersebut.

”Ini bermakna Pemuda PAS Kelantan menyumbang seramai 14,000 peserta bagi mencapai matlamat menghimpunkan ratusan ribu rakyat pada perhimpunan aman tersebut,” katanya seperti dilapor Harahkahdaily.

Karikatur: Utusan enggan minta maaf, Pemuda PAS anjur demo esok

21 Rejab 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR, 23 Jun — Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan Utusan Malaysia sebagai “keras kepala” kerana enggan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada umat Islam ekoran tindakannya menyiarkan karikatur didakwa menghina agama Islam, 15 Jun lalu.

Menurut ketuanya Nasrudin Hasan, pihaknya kesal dengan tindakan akhbar milik Umno itu kerana mengambil pendirian seolah-olah “tidak bersalah” dalam perkara tersebut.

Tegas beliau, tempoh tujuh hari yang diberikan kepada Utusan Malaysia telah tamat kelmarin dan pihaknya akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara esok.

“Sehingga hari ini kita masih belum menerima apa-apa pemohonan maaf daripada Utusan Malaysia dan kita kesal dan kecewa dengan keangkuhan yang ditunjukkan Utusan Malaysia seolah-olah mereka berbangga dengan apa yang mereka lakukan.

“Melihat tindakan Utusan Malaysia ini saya percaya rakyat boleh menilai bagaimana media ini berperanan dengan mewujudkan banyak kekeliruan sama ada dalam hal agama atau perkauman.

“Oleh itu, kami akan mengadakan demonstrasi di setiap negeri bagi menunjukkan sikap dan pendirian kami dalam hal ini yang mana Utusan Malaysia ini angkuh, degil dan keras kepala,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Kata Nasrudin, pihaknya akan mengarahkan Pemuda PAS setiap negeri untuk mengadakan demonstrasi esok.

“Kita akan adakan demonstrasi ini selepas solat Jumaat dan saya akan arahkan Dewan Pemuda PAS negeri untuk turun bagi mengatakan pendirian kita.

“Kita tidak akan jumpa lagi Utusan Malaysia, kita telah jalankan tanggungjawab kita... lagipun buang masa sahaja kalau jumpa Utusan Malaysia, mereka tetap begitu,” katanya.

Minggu lalu Dewan Pemuda PAS pusat memberi tempoh tujuh hari kepada Utusan Malaysia agar memohon maaf bermula dari tarikh karikatur itu disiarkan.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS pusat juga mahu Utusan Malaysia mengambil tindakan ke atas pelukis karikatur itu yang hanya dikenali sebagai “Miki.”

Utusan Malaysia telah menyiarkan karikatur bertajuk “Kekeliruan Kes Rogol” dan ia menurut Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Dewan Pemuda PAS Kelantan menghina Islam.

Selain itu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar Utusan Malaysia memohon maaf secara terbuka.

Penghujahan kes Khir Toyo pada 13 Julai

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM - Pihak pendakwaan hari ini mengakhiri kes terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa melakukan rasuah berhubung pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Mohtaruddin Baki selepas saksi ke-25 pendakwaan, pemangku penguasa kanan Chang Ching daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai memberi keterangan.

Selepas perbicaraan bermula 6 Jun lepas, Mohtaruddin kemudian menetapkan 13 Julai ini untuk mendengar hujah pembelaan dan pendakwaan.

Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Mohamad Khir didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007. - Bernama

Kalau gout jangan minum air kosong

21 Rejab 1432H. [MOD] -

Baru-baru ini saya kena serangan gout di kaki yang teramat sakit buat pertama kali sehingga saya terpaksa mengambil cuti sakit sehari dan begitu sukar untuk bergerak. Beberapa hari selepas itu sakit mula reda selepas mengambil ubat dan menjaga pemakanan. Namun selepas seminggu saya mengalami sakit gout yang sederhana.

Agak menghairankan, walaupun menjaga pemakanan, tidak memakan makanan yang mengandungi purin yang tinggi, banyak makan sayur daun hijau kecuali bayam, mengelakkan kekacang dan banyak minum air kosong sekitar 2 liter sehari masih terkena gout.

Ada sesuatu yang tidak kena, apa kah ianya mengandungi hikmah? Selepas puas berfikir, diilhamkan saya perasan sepanjang minggu ini dan sebelum saya kena serangan yang pertama, saya banyak minum air kosong yang diproses dan dibotolkan secara komersial.

Lalu saya membuat ujian kertas pH ke atas air ini, dan mendapati pH ialah 5, iaitu berasid, amat tidak baik untuk mereka yang ada gout. Air kosong yang sepatutnya diminum banyak sebagai penawar , kini menjadi racun pula untuk pesakit gout.

Kemudian saya buat ujian ke atas air paip, mendapat pH antara 6 dan 7, di mana piawaian sesetengah negara untuk air paip ialah antara 6.5 ke 8.5.

Disebabkan tidak tahan sangat sakit, saya cuba mencari air yang beralkali untuk menutralkan asid dalam badan saya. Saya cuba satu jenama air , ujian pH saya dapati antara 7 dan 8, hampir kepada pH air Zam zam yang pH ialah 7.9 ke 8.0. Alhamdulillah setelah saya minum air tersebut dan berhenti minum air yang dibotolkan tadi sakit gout saya mula reda, hanya dengan izin Allah.

Mungkin itulah hikmah kenapa saya terkena serangan gout yang akut.

Ujian diatas bukan dijalankan secara klinikal dan hanya atas diri saya. Ujian yang lebih sempurna perlu dilakukan oleh pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan yang mempunyai banyak fasiliti, peralatan, makmal, kepakaran, sumber manusia dan sumber kewangan.

Jadi kalau sesiapa yang ada gout atau demam kalau sebelum ini doktor kata kena banyak minum air kosong, kena tambah lagi kena banyak minum air kosong yang tidak berasid.

Sedikit fakta mengenai air Zamzam, baru-baru ini ayah saya dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan jantung, didapati tiga saluran tersumbat, walhal ayah baru balik dari Mekah mengerjakan umrah dalam keadaan semput dan tidak sihat. Kemungkinan kadar pH air Zamzam yang beralkali serta mengandungi mineral lain yang dikurniakan Allah antara faktor kenapa ramai yang merasa segar apabila melakukan haji dan umrah.

Hidup di dunia tak sampai sekelip mata, hidup di akhirat kekal sampai bila-bila.

Rozmal bin Malakan
http://waghih.blogspot.com