23 Jun 2011

Pemuda PAS Sarawak: SPRM perlu terus siasat kes rasuah Ketua Menteri Sarawak

21 Rejab 1432H. [MOD] -

SPRM perlu terus siasat kes rasuah Ketua Menteri Sarawak
Pemuda PAS Sarawak mengucapkan syabas dan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tindakan untuk memulakan siasatan rasuah terhadap Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud. Ini merupakan tindakan yang tepat dilakukan oleh SPRM.

Pemuda PAS Sarawak berharap agar pihak SPRM dapat menjalankan siasatan penuh seperti mana yang dilakukan terhadap bekas Menteri Besar Selangor , Dr Mohamad Khir Toyo. Pemuda PAS Sarawak turut meminta agar SPRM tidak akan mudah tunduk kepada tekanan-tekanan politik parti pemerintah dalam menjalankan proses siasatan yang lengkap dan telus.

Dalam perkembangan yang sama, Pemuda PAS Sarawak bersimpati dengan Ketua Pemuda PBB YB Datuk Hj Fadhillah Yusof yang terus mendapat tekanan daripada kepimpinan Pemuda PBB negeri yang lain dalam usaha memberi sokongan kepada Ketua Menteri dalam proses siasatan rasuah oleh SPRM ini.

Pemuda PAS Sarawak juga ingin mengucapkan syabas kepada YB Datuk Hj Fadhillah atas tindakan beliau yang tidak tergesa-gesa dalam menyatakan sokongan membuta-tuli terhadap Ketua Menteri dalam perkara ini. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kemungkinan besar ada kebenaran terhadap laporan rasuah yang diketengahkan sebelum ini.

Pemuda PAS Sarawak berharap dengan perkembangan ini akan memberi gambaran jelas kepada seluruh rakyat Sarawak bahawa telah banyak hasil kekayaan negeri yang disalahgunakan oleh Ketua Menteri Sarawak. Kekayaan negeri Sarawak seharusnya kembali kepada rakyat negeri Sarawak dengan pembinaan kemudahan-kemudahan asas yang terbaik untuk rakyat.

Mohammad Arifiriazul,
Ketua Pemuda PAS Sarawak

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebagai pribumi Sarawak saya bersetuju. Bukan hanya "Pak Uban" sahaja malah kuncu-kuncunya. Terdapat ramai jutawan mengejut kebelakangan ini. Rasuah dah menjadi-jadi berlaku di tanah air Sarawak. Ada yang sanggup menipu kerajaan kononnya pemohon tanah kerajaan untuk diusahakan, sebaliknya tanah tersebut dijual bersama syarikat kepada orang yang ketiga dengan harga berjuta-juta. Bangunlah pribumi Sarawak. Mereka menjual hak kita, maruah kita ! So SPRM HENTIKAN RASUAH DI NEGERI SARAWAK.