23 Mac 2008

Pulau Kerajaan Baru :Bodohnya Ketua Kampung di Perak

LUMUT 22 Mac – Pertubuhan Ketua-Ketua Kampung Negeri Perak (PKKNP) akan memboikot semua program anjuran kerajaan negeri yang ditubuhkan hasil gabungan parti pembangkang berkuat kuasa serta merta.Ahli Exco PKKNP, Kassim Mohd. Said berkata, ketetapan itu diambil hasil daripada mesyuarat khas pertubuhan tersebut yang diadakan petang kelmarin dan dipersetujui oleh 776 orang ahli dari sembilan daerah.

Keputusan dan kenyataan ini jelas menampakkan rata-rata ketua kampung yang dilantik di Perak adalah kurang cerdik atau "bodoh". Mereka tidak memahami bahawa kedudukan mereka sekarang adalah dibayar gaji dari hasil kerajaan negeri. Jangan bandingkan dengan apa yang ada di Kelantan di mana ketua-ketua kempung yang didakwa di Kelantan adalah yang dilantik oleh Jabatan Pembangunan Perseketuan (JPP) bagi menyalurkan bantuan kerajaan pusat. Tidak lain untuk menafikan saluran Kerajaan dan Ketua Kampung yang dilantik dan digajikan oleh kerajaan negeri.

Jika benar mereka semuanya ingin berperanan semacam ketua kampung JPP di Kelantan, kita cadangkan mereka meletakkan Jawatan dan pulaulah sepuas-puasnya program kerajaan negeri kerana mereka bukan lagi digaji oleh Kerajaan Barisan Rakyat (BR) di Perak. Saya yakin semua rakyat Perak yang telah meilih BR untuk memerintah tidak halalkan walaupun satu sen duitnya untuk diberi kepada ketua kampung yang memulau kerajaan yang dipilihnya.

Jangan sampai mereka dipecat kerana tidak menjalankan tugas dan sikapnya tidak taat kepada kerajaan negeri yang mengajikan mereka. Sesudah itu jangan salahkan kerajaan BR kerana kita telah beri peluang untuk mereka bekerja dengan sebaik mungkin.

Dengan sombong dan tanpa berfikir panjang mereka mendakwa ‘‘Kami dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan perkhidmatan ketua kampung hanya akan berakhir pada 31 Disember ini.‘‘Justeru, kami dilantik bukan untuk berkhidmat dengan kerajaan yang baru dan mereka tiada hak mengarah ketua kampung mengikut telunjuk mereka,” katanya di sini hari ini.

Benarlah kenyataan tersebut, maka letaklah jawatan sebagaimana yang dilakukan di Selangor kalau benar-benar rasa bertanggung jawab. Jangan fikir rakyat boleh mengikut keputusan ketua kampung yang kurang cerdik. Rakyat pun rata-rata setuju kalau " tok ketua" ditukar dengan segera.

Tunggulah perlantikan dari JPP , itupun kalau dipilih kembali dan pulaulah semua program kerajaan negeri dengan penyokong BN yang sudah hampir pupus di negeri Perak.

Zaid Cadang Undang-undang sekat lompat parti

KOTA BHARU, 22 Mac :-Isue mengenai ada wakil rakyat BN yang akan melonpat parti kepada kumpulan parti pembangkang sangat membimbangkan banyak pihak terutamanya pihak BN sendiri. Bermula kenyataan yang tidak masuk akal dari pemimpin BN bahawa pembangkang yang sebelum ini didakwa miskin ingin membeli wakil rakyatnya dengan harga jutaan ringgit sehinggalah kepada kenyataan kelmarin bahawa telah dilantik perisik-perisik khusus untuk menyiasat perkara tersebut.

Setelah kehilangan 5 buah negeri di Semenanjung, dan kemungkin akan kehilangan Terengganu jika PR diadakan sekali lagi. Kerajaan sekarang nampaknya sangat bergantung kepada majoriti kursi parlimen di Sabah dan Sarawak sahaja. Mereka sangat takut untuk hilang kuasa sehingga memikirkan sesuatu untuk mengelaknya.
Kebimbangan pemimpin BN tersebut terbukti dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim akan mencadangkan kepada Kabinet supaya satu undang-undang untuk menyekat wakil rakyat daripada melompat parti digubal secepat mungkin.Beliau yang pernah mencadangkan undang-undang antilompat parti beberapa tahun lalu berkata, ia perlu digubal segera bagi menjaga kepentingan awam serta tidak menyusahkan pentadbiran sesebuah negeri.

Beliau berkata, undang-undang antilompat parti bukan perkara baru malah telah diamalkan oleh beberapa negara seperti India bagi mengelak timbulnya pelbagai masalah kepada pentadbiran negara.

‘‘Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan tetapi ia bergantung kepada kuasa kerajaan dan Kabinet bagi memutuskannya,’’ katanya kepada pemberita pada majlis kesyukuran di rumahnya di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Walaupun kita melihat melompatnya wakil-wakil rakyat kepada parti pembangkang adalah atas kesedaran mereka sendiri bagi menyelamatkan Malaysia yang sangat parah. Berhijrah dari tempat yang tidak baik ke tempat yang baik adalah disuruh oleh Islam. Berlainan dari usaha yang dilakukan oleh mereka untuk menarik wakil-wakil rakyat dari tempat yang baik, apa lagi berjuang atas landasan Islam ke landasan yang bercanggah dengan Islam.

Kemelut Perlantikan MB Terengganu

KUALA TERENGGANU 22 Mac - Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) hari ini mengeluarkan kenyataan yang menamakan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said, 51, sebagai MB Terengganu yang baru sekaligus mengenepikan Idris Jusoh yang mendapat watikah pelantikan sebagai MB bagi penggal kedua daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac lalu.

Ekoran kenyataan dari Pejabat Sultan Terengganu itu, 23 ADUN Barisan Nasional (BN) menolak pelantikan itu dan berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Idris.Mereka juga bertegas tidak akan menghadiri upacara angkat sumpah yang dijadual berlangsung di Istana Tetamu, di sini pukul 8 pagi esok.

Kesemua 23 ADUN diketuai ADUN Ajil, Datuk Rosol Wahid pada sidang akhbarnya petang ini, menyatakan sokongan kepada Idris dan tidak akan hadir pada upacara angkat sumpah jika calonnya bukan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu. Ahmad Said tidak bersama dengan kumpulan tersebut dan berkemungkinan menerima tawaran tersebut.

Rosol yang juga Setiausaha UMNO negeri memberitahu, 23 ADUN BN akan turut membuat undi tidak percaya kepada MB Terengganu yang baru sebagai menunjukkan sokongan mereka terhadap Idris.‘‘Mana-mana calon selain Idris, kami tidak akan terima. Malah ada di kalangan kami yang sanggup meletak jawatan jika beliau tidak dipilih.‘‘Oleh itu, bersedialah untuk menghadapi kemungkinan pilihan raya sekali lagi,” tegasnya pada sidang akhbar di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Iman di sini hari ini.

Dalam pada itu, Rosol berkata, tindakan tidak menghadiri upacara mengangkat sumpah jawatan esok bukan perbuatan menderhaka kepada raja, sebaliknya dilakukan atas alasan untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.Namun apapun kemelut yang berlaku ini menampakkan sikap ADUN yang menang untuk tidak meghormati keputusan MPPR.

Dalam pada itu kita masih tidak faham dengan kenyataan Peguam Negara, Abdul Gani Patail dalam kenyataannya sebelum ini menjelaskan urusan pelantikan Menteri Besar Terengganu terletak sepenuhnya pada Pemangku Raja dan MPPR negeri itu. Katanya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin sedar tentang peruntukan tersebut yang baginda tidak boleh mencampuri urusan pelantikan Menteri Besar di negeri berkenaan.

Nampaknya kenyataan ini berbaur politik, dan seolah ingin menafikan hak Sultan Mizan walaupun untuk menasihati MPPR dalam kemelut ini. Kita yakin tanpa mengeluarkan kenyataan tersebut Sultan Mizan faham sangat dengan peranan dan tugasnya. Jangan pula Peguam Negara sengaja memainkan api kemarahan rakyat Tertengganu yang telahpun sangat marah kepadanya. Apapun yang difikirkan oleh Tuanku adalah untuk kebaikan rakyat Terengganu, Namun kita 100% pastikan apa yang difikirkan oleh Peguan Negara adalah untuk kepentingan BN dan UMNO semata-mata.

‘‘Tak bagus boleh tukar”

MUKADIMAH
PILIHAN Raya Umum Ke-12 ternyata memberi kejutan. Barisan Nasional (BN) bukan sahaja gagal menawan semula Kelantan tetapi tewas di negeri-negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah. Bagi sesetengah orang termasuk pemerhati politik, ia bagaikan ‘mimpi’.
Begitu juga bagi Pesuruhjaya Pas Kedah, Azizan Abdul Razak yang tidak menjangka kemenangan besar parti berkenaan seterusnya berjaya membentuk kerajaan negeri. Bagaimanapun, dalam tidak menjangka itu, menurut Azizan, Pas sebenarnya telah bersedia untuk memerintah. Selepas menanti begitu lama, akhirnya impian menawan Kedah menjadi kenyataan.

Segala-galanya atas pilihan rakyat yang memberi peluang kepada Pas dengan kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR). Bagi Azizan, yang lebih mesra dipanggil ustaz, rakyat berhak menentukan kerajaan yang dipilih. Jadi, sepanjang pemerintahan kerajaan Pas di Kedah, rakyat akan menilai dari segenap aspek berhubung kerajaan baru mereka.

Sehubungan itu, Azizan akur bahawa rakyat akan menjadi penentu kejayaan hari ini dan esok (Pilihan Raya Umum Ke-13). Jika rakyat tidak puas hati, mereka boleh menukar kerajaan lain. Itulah kuasa rakyat dan Azizan mengakui tentang peranan besar masyarakat di Kedah.

Wartawan Mingguan Malaysia, Zainu‘l Azhar Ash‘ari dan Shariza Abdullah serta jurugambar ISMAIL KAMADIN sempat meluangkan masa menyelami hati dan perasaan Azizan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di pejabat beliau di Wisma Darul Aman baru-baru ini. Berikut ialah wawancara dengan beliau:

MINGGUAN: Tahniah kerana dilantik sebagai Menteri Besar Kedah. Tanggungjawab ustaz sekarang adalah lebih besar. Jika sebelum ini menjaga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, tetapi kini menjaga seluruh rakyat negeri Kedah. Bagaimana ustaz melihat tanggungjawab yang bertambah ini?

AZIZAN: Alhamdulillah, terima kasih. Sebenarnya saya bukan hanya menjaga Sungai Limau. Sebagai Pesuruhjaya Pas negeri, saya menjaga Kedah sejak enam tahun lalu. Sebelum itu sebagai Setiausaha Pas Kedah sejak 1995. Sebagai wakil rakyat, saya mewakili DUN Sungai Limau sejak 1995 sehingga sekarang. Maknanya kira-kira 13 tahun. Sekarang ini, peranan lebih besar bukan sekadar menjaga politik negeri tetapi juga sebagai ketua kerajaan. Saya juga biasa dengan pentadbiran dan pada peringkat awal penubuhan kerajaan ini banyak tugas baru perlu dilakukan.

Kini ustaz memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat, Pesuruhjaya Pas dan Menteri Besar. Bagaimana membahagikan masa dengan tugas-tugas ini.
AZIZAN: Dengan izin Allah s.w.t. saya berjaya mengagihkan bahagian itu. Pada sebelah siang, saya berada di Pejabat Menteri Besar dan saya akan berpolitik pada sebelah malam. Pembantu-pembantu saya menjaga kawasan di peringkat negeri, mereka akan menolong menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Saya juga tidak ada masalah kerana duduk dalam kawasan, berdekatan pula dengan pejabat negeri. Jadi apabila saya balik dari pejabat negeri saya singgah di kawasan, rakyat boleh tengok saya setiap hari

Bagaimana dengan urusan mentadbir Kedah selepas dua minggu menjadi Menteri Besar?
AZIZAN: Tidak ada masalah, saya mula bertugas pada hari kedua (selepas dilantik). Saya dah mempengerusikan mesyuarat Exco, menghadiri majlis-majlis dan memanggil pengarah-pengarah. Ia berjalan seperti biasa dari pagi sampai ke petang.

Difahamkan pada mulanya ustaz menolak jawatan ini?
AZIZAN: Saya bukan macam orang lain, nak berebut. (Saya fikirkan) kalau ada orang lain lebih layak, bagi kepada orang lain. Cumanya saya Pesuruhjaya Pas negeri dan tua sikit, maka saya dipilih menjadi Menteri Besar. Tetapi kalau saya tak mampu, tukarlah orang lain. Alhamdulillah sehingga kini sokongan orang-orang lain adalah baik.

Ada pihak yang beranggapan Pas Kedah masih belum bersedia untuk mengambil alih kepimpinan negeri ini. Mungkin Pas Kedah sendiri tidak menjangkakan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
AZIZAN: Semua tak jangka, kita tak jangka, UMNO pun tak jangka. Kita tidak jangka menang, UMNO tak jangka dia kalah. Tetapi kita bersedia untuk memerintah. Kalau kita tak bersedia, bagaimana kita nak buat manifesto?

Ada pemerhati mengatakan sebagai sebuah kerajaan baru, ada campur tangan dari luar, mungkin dari kepimpinan Pas pusat sendiri?
AZIZAN: Kita terima pandangan semua. Sudah tentu kita sebahagian daripada Pas pusat. Kita bukan satu negeri yang berasingan daripada Pas. Saya dilantik sebagai Menteri Besar pun adalah dengan restu Pas pusat. Kita akan menerima segala arahan yang diberi oleh Pas pusat dan melaksanakannya dengan mengambil kira keupayaan dan suasana tempat kita. Suasana setiap tempat adalah berbeza. Negeri Terengganu berbeza, Kelantan berbeza dan Kedah berbeza. Suasana tempat diambil kira tetapi kita masih ikut arahan yang diberi oleh Pas pusat.

Sejauh mana ustaz melihat barisan Exco yang dilantik dapat menunaikan amanah mentadbir negeri?
AZIZAN: Saya melantik Exco berdasarkan keupayaan dan pengalaman yang ada pada mereka. Maknanya orang yang berkelayakkanlah. Contohnya orang tu pernah jadi jurutera, saya bagi (portfolio) Jabatan Kerja Raya; orang yang jadi doktor saya bagi kesihatan dan orang jadi peguam saya bagi dia kerajaan tempatan. Saya mengambil sedikit sebanyak semua itu. Buat masa sehari dua ini, kita tak boleh nak menilai kerana masih terlalu awal. Tetapi selepas dua atau tiga bulan kita tengoklah. Dengan kerjasama semua pihak insya-Allah kita boleh menjalankan tugas dengan baik. Yang penting sekarang kita mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Pegawai Tadbir Negeri (KCS).

Apakah dasar pentadbiran yang akan dilaksanakan oleh kepimpinan kerajaan baru Kedah?
AZIZAN: Ke arah untuk mewujudkan Kedah sejahtera seperti manifesto kita. Masalah kerajaan negeri ni dua sahaja. Satu rasuah dan kedua perbelanjaan tidak berhemah. Kita akan buat perbelanjaan berhemah, rasuah sifar dan adil untuk semua. Kita juga akan memastikan pentadbiran yang cekap dan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri.

Sesetengah masyarakat akar umbi Kedah menyatakan bahawa mereka akan melihat keupayaan kerajaan Pas. Jika tidak berpuas hati mereka akan ‘kalih’ (tukar) tetapi pada masa sama kalau benar-benar bagus, kata mereka kenapa nak tukar? Apa komen ustaz?
AZIZAN: Kedua-dua bagus. Nak tukar bagus, nak kekal bagus. Itu hak rakyat. Tetapi semua ini kena sabar. Lima puluh tahun boleh sabar dengan UMNO, kenapa tak boleh dengan Pas? Kalau kita bagus kenapa nak tukar? Kalau tak bagus kenapa nak kekal dia, bagilah kepada orang yang bagus. Itu bukan isu.

Apakah akan jadi macam Kelantan, rakyat berikan sokongan kepada kerajaan kerana menyifatkannya mentadbir dengan bagus?
AZIZAN: Kalau bagus tukar buat apa. Kalau tak bagus, tukarlah. Saya pun tukar kalau tak bagus. Kereta tak bagus pun kita tukar. (ketawa)

Sebelum ini kerajaan BN banyak merencana program pembangunan. Adakah ia akan diteruskan?
AZIZAN: Kita akan teruskan tetapi akan kaji beberapa projek.
Selepas Pas mengambil alih, apakah yang ustaz nampak mengenai potensi-potensi di Kedah?
AZIZAN: Kita tengok pelaburan datang balik. Apa pun (mengenai potensi) saya kena duduk dulu bincang dengan Exco dan peringkat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Manifesto Pas Kedah menggariskan 15 perkara pokok. Bagaimana Pas Kedah akan melaksanakan kesemua janji yang terkandung dalam manifesto tersebut.
AZIZAN: Kita kena study apa yang kita kena buat dahulu, satu-satu. Kita kena study apa yang kita nak buat dalam 100 hari ini. Dulu kita buat apa pun ketika tidak duduk dalam kerajaan tetapi sekarang kita dalam kerajaan, jadi kita tau apa boleh dan apa yang tak boleh.

Berapa lama tempoh yang diperlukan untuk melaksanakan semua ini?
AZIZAN: Sepanjang kita memerintahlah, ada yang awal ada yang akhir.

Pelantikan secara automatik Menteri Besar. Umpamanya menjadi presiden persatuan bola sepak negeri secara automatik. Adakah ustaz akan ikut?
AZIZAN: Tugas itu undang-undang kata begitu. Saya akan tanggung. Tetapi saya tidak akan buat keputusan melainkan saya bincang dulu dengan pegawai-pegawai atau penasihat. Kemudian saya buat keputusan.

Pesanan ustaz untuk rakyat Kedah.
AZIZAN: Saya minta supaya mereka sabar dulu. Mari sama-sama kita bina negeri Kedah, negeri kita. Apa-apa yang berlaku disebabkan perbezaan politik dah berlalu selepas pilihan raya, minta polisi Kerajaan Pusat pun diteruskan kerana kita buat sesuatu pun bukan di luar perlembagaan. Alhamdulillah setakat ini saya puas hati, istana juga merestui, keselamatan pun baik, yang menang (pilihan raya) pun tak melompat sangat, yang kalah pun tenang balik. Alhamdulillah semua bagus.
dipetik dari : Mingguan Malaysia.