19 Jun 2009

APABILA MUKHRIZ BERCAKAP TENTANG HUKUM ISLAM

Oleh: WFAUZDIN NS

NAIK terputus urat kentut saya menahan ketawa apabila menonton berita malam tadi. Terpaculnya Mukhriz Tun Mahathir di muka TV dan bercakap seperti Ketua Pemuda Pas lagaknya yang membicarakan tentang hukum `perpaduan' di dalam Islam. Saya ingatkan Mukhriz ni tahu pasal `berpadu' sahaja (seperti gambar di atas), rupa-rupanya anak Tun Mahathir ini juga boleh dianggap `ustaz' kalaupun bukan Ulamak.

Beliau memberikan `dakwah'nya untuk memperingatkan terutamanya orang-orang Pas bahawa perpaduan di dalam Islam itu WAJIB. Tidak pula beliau sebut samada perpaduan itu merangkumi semua bangsa dan agama. Masakan beliau hendak sebut begitu kerana beliau sendiri ada berkata tidak perlulah Pas hendak berbincang dengan Umno jika dibawa sekali PKR dan DAP. Mengapa takut sangat jika Pas mahu berbincang dengan Umno disertai juga oleh PKR dan DAP? Umno juga boleh menjemput sama MCA, MIC, GERAKAN dan lain-lain parti komponen mereka untuk sama-sama berbincang. Tentu ada `udang di sebalik batu' atau `kutu di sebalik serban'.

Beliau juga menganggap perpaduan itu penting dan disuruh oleh agama, ini bermaksudyang menentang perpaduan itu menyalahi agama. Wah! hebat syarah calon Ketua Pemuda Umno yang tewas ini. Mukhriz mungkin merasakan rakyat lupa siapakah tokoh pemecah belah rakyat terutamanya orang-orang Melayu dan Islam selama ini. Umno berpecah sehingga diharamkan suatu ketika dahulu di bawah siapa Presidennya? Wujudnya perpecahan Melayu yang besar sehingga tertubuhnya Parti Melayu Semangat 46 angkara siapa? Kemudian, siapakah yang menzalimi dan memfitnah tokoh politik Melayu DS Anwar Ibrahim sehinggakan beliau dipecat dari Kerajaan dan parti seterusnya mengakibatkan umat Melayu berpecah dengan lebih teruk lagi? Tahukah Mukhriz, betapa Kelantan sebuah negeri yang hampir 100 % Melayu Islam ini telah dianak tirikan ketika negeri tersebut mulai diperintah oleh Pas sehingga sekarang, dan siapakah pemimpin yang terlalu berusaha untuk merampas Kelantan? Di bawah siapakah ketika kerajaan merampas royalti minyak di Terengganu sewaktu Pas berkuasa? Bukankah Terengganu sebuah negeri Melayu yang seharusnya dibantu oleh kerajaan?

Jika Mukhriz tidak tahu atau sudah lupa siapakah tangan yang punya angkara semua itu, beliau boleh bertanya kepada ayahandanya Tun Mahathir. Mukhriz juga boleh bertanya kepada ayahandanya siapakah yang memecah-belahkan Umno sehingga terpaksa Presiden Umno ketika itu Pak Lah mengundur diri. Adakah ini diertikan dengan perpaduan pada pandangan Mukhriz? Jika inilah yang dimaksudkan dengan perpaduan, amat tepat dan bijak sekali Pas menolak untuk bersama-sama Umno bagi merealisasikan Kerajaan Perpaduan itu. Kecualilah Pas mempunyai agenda lain, Wallahu Aklam. / wfauzdin.blogspot.com.

Peguam Anwar: Tiada bukti Saiful diliwat

Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa kebanyakan bukti penting - yang diperlukan untuk mensabitkan ketua pembangkang itu dengan tuduhan liwat - tidak ada dalam laporan perubatan yang disediakan oleh Hospital Kuala Lumpur.

Menurut mereka, laporan perubatan itu yang dikeluarkan oleh hospital tersebut, mendedahkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan berlaku tusukan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan - pengadu di mana kes jenayah itu diasaskan.

Satu salinan laporan perubatan itu disertakan bersama afidavit yang difailkan oleh Anwar semalam untuk mengetepikan tuduhan liwat terhadapnya. Kes itu akan didengar mulai 1 Julai ini.

Laporan perubatan itu bertaikh 13 Julai 2008 dan disahkan oleh tiga pakar dari hospital kerajaan tersebut.

Sebahagian daripada laporan tersebut, yang diedarkan kepada pihak media oleh peguam Anwar hari ini menyebut, tiada bukti klinikal yang konklusif yang menunjukkan berlaku tusukan di dubur dan tiada luka yang signikan pada tubuh pesakit (Mohd Saiful).

Bukti terpenting dalam tuduhan rogol atau liwat ialah menunjukkan bukti berlakunya tusukan, kata peguam Amer Hamzah Arshad.

Dan ia tidak ada dalam kes ini, tambahnya. Malaysiakini.

10 wakil PAS tolak k'jaan perpaduan

Sepuluh daripada 24 anggota Dewan Rakyat PAS tiba-tiba membuat kejutan petang ini di lobi Parlimen.

Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Ds. Muhammad Nizar Jamaluddin yang tidak berada bersama sepuluh MP tersebut mengesahkan ketiak dihubungi CinaIslam bahawa beliau menyokong sepenuhnya kenyataan tersebut dan beliau telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut namun terpaksa meninggalkan Parlimen lebih awal atas urusan lain di Perak.

Mereka mengisytiharkan beramai-ramai menolak idea kerajaan perpaduan dan sekali gus memberi mandat kepada Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menangani isu tersebut yang sedang menggelegak dalam parti itu.

Dalam kenyataan ringkas tiga perenggan, mereka sebulat suara menegaskan bahawa idea kerajaan perpaduan seperti disarankan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang "tidak pernah merupakan agenda PAS."

Mereka juga menegaskan kembali pentingnya PAS berpegang teguh pada keputusan muktamar di Ipoh tahun lalu yang ingin menguatkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Kenyataan tersebut, bersama tandatangan sepuluh anggota Dewan Rakyat berkenaan, diedarkan dalam satu sidang media (foto kiri).

Ahli-ahli parlimen PAS itu seperti berikut: Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mohd Hayati Othman (Pendang), Taib Azamuddin Md Taib (Baling) dan Dr Mujahid Yusof Rawa (Parit Buntar).

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, tidak hadir kerana berada di luar negara, manakala Nasharuddin (Bachok) pula menghilangkan diri sejak dibidas Nik Aziz petang semalam.

Mesyuarat ukhuwah

Sementara itu di Kota Bharu, Nik Aziz merancang mengadakan mesyuarat khas yang hanya dihadiri pemimpin tertinggi PAS termasuk Abdul Hadi dan timbalannya Nasharudin Mat Isa.

"Saya sendiri akan menjemput presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan presiden (Nasharudin) dan beberapa pemimpin PAS lain yang akan saya tentukan kemudian.

"Pertemuan ini saya namakan mesyuarat ukhuwah (persaudaraan) yang akan menyelesaikan isu kerajaan perpaduan ini.

"Buat masa ini masa, tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa tetapi akan diadakan secepat yang boleh," Nik Aziz dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Kelantan hari ini.

Menurut Bernama lagi, Nik Aziz beliau belum dihubungi Nasharudin berhubung gesaannya agar timbalan presiden itu meletakkan jawatan, termasuk sebagai ahli parlimen Bachok.

Nik Aziz juga dipetik berkata Pakatan Rakyat ketika ini yang sebenarnya kerajaan perpaduan.

"Kenapa perlu nak cari yang lain (kerajaan perpaduan)? Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan 'Islamophobia' oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya dan inilah dianya kerajaan perpaduan," katanya.

Pada mesyuarat hari ini, semua penyandang jawatan parti dalam PAS negeri dikekalkan kecuali jawatan setiausaha yang kini disandang Zaki Ibrahim, menggantikan Datuk Takiyuddin Hassan.

Bekas bendahari Pemuda PAS itu juga timbalan speaker DUN Kelantan yang menarik diri saat akhir daripada bertanding jawatan ketua Dewan Pemuda PAS. Malaysiakini.

Zaki Setiausaha PAS Kelantan yang baru.

KOTA BAHARU, 18 Jun :- Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan kesemua jawatan utama di Perhubungan PAS Kelantan kekal kecuali setiausaha dilantik muka baru iaitu Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim menggantikan Dato' Takiyuddin Hassan.

Timbalan Pesuruhjaya 1, Dato' Ahmad Yakob, Timbalan Pesuruhjaya II, Dato' Husam Musa, Timbalan Pesuruhjaya III, Dato' Mohd Amar Abdullah.

Bendahari, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Ketua Penerangan, Ustaz Ahamd Baihaki Atiqullah. Manakala Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri, Haji Abdul Fatah Harun.

"Hari ini mesyuarat yang pertama penggal baru dan saya masih memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Kelantan," katanya.

Mohd Zaki yang juga Timbalan Speaker Dun Kelantan ketika dihubungi merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan Pesuruhjaya melantiknya sebagai setiausaha baru PAS Kelantan.

Mesyuarat khas bincang isu kerajaan perpaduan - Nik Aziz

KOTA BHARU, 18 Jun :- Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan mempengerusikan mesyuarat khas yang akan dihadiri pemimpin tertinggi parti itu bagi membincangkan isu kerajaan perpaduan.

Katanya, beliau sendiri akan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang akan melibatkan hanya pemimpin utama PAS.

"Pertemuan tersebut sebagai mesyuarat ukhuwah bagi menyelesaikan isu kerajaan perpaduan.

"Tarikh dan lokasinya belum lagi dapat ditentukan sama ada di Kuala Lumpur atau di Kelantan, bergantung kepada kesesuaian masa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian Khas Perhubungan PAS Kelantan di JKR 10, petang tadi.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, gabungan pakatan pembangkang sekarang merupakan kerajaan perpaduan yang sebenar.

"Kenapa perlu nak cari yang lain. Kelebihan gabungan Pakatan Rakyat telah menghilangkan Islam fobia oleh bangsa lain seperti Cina dan sebagainya. Inilah kerajaan perpaduan," katanya. Harakahdaily.

Mahfuz, Salahuddin minta Ustaz Nasharudin jumpa Tok Guru

KUALA LUMPUR, 18 Jun :- Dua Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub meminta Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dalam masa terdekat.

Beliau menasihatkan Nasharudin bertemu dengan Tok Guru bagi meredakan isu berhubung gesaan Tok Guru agar beliau melepaskan jawatan selaku Ahli Parlimen Bachok semalam.


Mahfuz yang ditemui di Dewan Rakyat hari ini berkata, sejak pagi tadi beliau cuba menghubungi Nasharudin bagi membincangkan cadangan bertemu dengan Tok Guru, bagaimanapun gagal.

"Saya cuba telefon beliau tetapi tidak berjaya, namun saya telah mengirimkan SMS kepadanya menyatakan cadangan agar beliau bertemu dengan Tok Guru.

"Sebagai orang muda beliau kena lihat positif bahawa apa yang diluah Tok Guru adalah untuk lihat masa depan beliau dan parti lebih baik.

"Saya percaya Tok Guru tidak ada sifat kebencian terhadap beliau sebab apa yang dilakukan Tok Guru atas dasar kasih sayang sepertimana sifat seorang ayah yang kadang menegur dan memukul anak atas dasar kasih sayang dan bukan kerana benci," katanya.

Mengulas isu yang sama, Salahudin Ayub turut mahu Nasharudin bertemu dengan Tok Guru dalam masa terdekat.

Penyelesaian secara 'anak beranak' adalah penting dalam hal ini bagi meredakan ketegangan, ujarnya.

Beliau berharap harap Nasharudin boleh melakukan demi kebaikan beliau dan redakan keadaan dan keresahan dalam parti.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada mesyuarat khas sekembalinya Presiden PAS dari luar negara hujung minggu ini bagi membincangkan isu terbabit. Harakahdaily.

"Kami berpegang teguh memperkukuh Pakatan Rakyat - Ahli Parlimen PAS

KUALA LUMPUR, 18 Jun : - Ahli Parlimen PAS berpendirian berpegang teguh dengan keputusan Muktamar PAS yang sebulat suara mahu PAS memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR) dan menolak sebarang kerjasama dengan Umno/BN

Demikian kenyataan yang dibacakan Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli yang juga ahli Parlimen Kuala Krai mwakili ahli-ahli Parlimen di Lobi Dewan Rakyat petang tadi.

Bercakap lanjut, Dr Hatta berkata, untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, pihaknya ingin menegaskan bahawa persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah merupakan agenda PAS.

Ia selaras seperti yang dijelaskan oleh Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato Abdul Halim Abdul Rahman semasa berucap di Dewan Rakyat semalam (17 Jun 2009) sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (Pindaan) 2008, ujar Dr Hatta.

"Kami juga menyokong penuh ketegasan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menangani persoalan ini.

Kenyataan tersebut turut disokong oleh kalangan ahli-ahli Parlimen PAS.

Harakahdaily.

KAMI BERPEGANG TEGUH DENGAN `AMANAT HAJI HADI'

`AMANAT HAJI HADI'

"Percayalah, Perjuangan kita adalah jihad..." "Kita menentang Umno Bukan Kerana ianya Umno"... Amanat ini kami pegang walaupun ada pemimpin kami yang melupakannya.

Oleh: WFAUZDIN NS

HANYA seminggu dua sahaja Umno merasa selesa untuk bernafas apabila menyaksikan Pas bergelut dengan isu Kerajaan Perpaduan. Syabas, buat penyokong setia Pas yang terus mara ke hadapan menjadi perisai agar tembok pertahanan Pas tidak ditembusi oleh Umno dengan propagandanya. Disaat pimpinan Pas lebih banyak mendiamkan diri, penyokong-penyokong setia Pas termasuk penyokong-penyokong kuat PR berterusan menjadi penghalang kepada objektif Umno untuk melihat Pas terkubur

Meskipun Harakah, satu-satunya media Pas yang sepatutnya boleh diharapkan untuk mempertahankan maruah dan moral Pas dari di`jual' dengan murah kepada Umno, tetapi akhbar tersebut terikut dengan rentak pemimpin mereka. Lesu dan tidak bermaya malahan kadangkala kelihatan laporan atau beritanya saling tidak tumpah seperti Utusan Meloya pula. Mujur, usaha yang berterusan dari penyokong-penyokong bawahan yang mahukan Pas terus dihormati dan disegani bukan di`beli', disedari oleh Mursyidul Am Pas. Lantas, beliau mengeluarkan kenyataan yang agak keras bagi `mengejut'kan beberapa pimpinan yang mungkin `terlena' dengan mimpi indah bersama bakal `tunangan'nya bernama Umno.

Selepas itu, barulah seorang demi seorang mengeluarkan pandangan masing-masing dari segala pelusuk negeri. Apabila terjaga dari `lena' barulah mereka tahu bahawa idea Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan sesama pimpinan Pas apatah lagi bersama PR rakan yang banyak membantu Pas sebelum ini. Rahsia bahawa cadangan Kerajaan Perpaduan itu sebenarnya tidak pernah dibincangkan, bahkan semata-mata pendapat atau keinginan peribadi dua tiga orang di dalam Pas telah didedahkan di dalam Parlimen baru-baru ini oleh Ustaz Abdul Halim. Ketika itu, baru kita faham sebenarnya situasi yang berlaku walaupun sebelum ini beberapa pemimpin Pas mengutarakan berbagai helah dan dalil untuk meyakinkan kita agar menerima `jalan yang mudah' itu. Alhamdulillah, Tuan Guru Nik Aziz terlebih awal `menghidu' bau busuk dari idea tersebut walaupun Mufti Perak menghidunya sebagai wangi yang teramat harum.

Setelah menyedari bahawa bukan semua penyokong dan ahli-ahli Pas boleh di`beli' dengan harga yang terlalu murah, Umno mula gelisah dan mahu tidak mahu terpaksa juga pemimpin-pemimpin Umno memuji melangit dua tiga tokoh Pas ini agar impian Umno akan menjadi kenyataan. Jika dahulu mereka mengecam tokoh Pas ini dengan menuduh fatwanya `mengkafirkan Umno' dalam amanat yang terkenal itu, kini mereka terpaksa menjilat ludahnya kembali. Umno tidak mengerti bahawa masih ramai di kalangan penyokong-penyokong dan ahli Pas yang masih memegang kuat fatwa `Amanat Haji Hadi' itu kerana mereka yakin bahawa itu adalah amanat yang betul dan tidak silap walaupun mungkin terdapat dua tiga tokoh Pas sekarang ini yang menganggap amanat itu tidak lagi releven. Kerana Amanat itulah penyokong-penyokong dan ahli Pas menentang keras sebarang usaha ke arah Kerajaan Perpaduan bersama Umno. "Kita menentang Umno bukan kerana ianya Umno". / wfauzdin.blogspot.com