11 September 2010

Balik kampung...

2 Syawal 1431H.
Jarjani Usman

“Dan kampung akhirat itu lebih baik bagi mereka yang bertaqwa. Maka apakah kamu sekalian tidak mengerti?” (QS. Al-A’raf: 169).

Mudik atau balik kampung di waktu-waktu tertentu, seperti pada waktu hari raya, pertanda manusia dianugerahi perasaan rindu. Tidak sedikit manfaat bagi orang-orang yang diselimuti rasa rindu akan kampungnya. Antara lain, boleh mengingatkan akan asal usul, tempat dilahirkan atau dibesarkan suatu ketika dulu, dan bahkan tempat akan kembali nanti suatu masa nantri. Yang disebutkan terakhir kiranya amat penting di antara semuanya, karena banyak orang yang lupa akan tempat kembalinya yang sebenar.

Bahawa setiap manusia berasal dari tanah memang sudah sangat difahami, sebagaimana difahami bahwa manusia akan kembali ke tanah sesudah nyawa berpisah dari jasad. Juga difahami bahwa manusia pasti akan menuju kampung akhirat. Namun pemahaman itu tidak sebanding dengan persiapannya. Dengan kata lain, persiapan ke akhirat tidak semeriah persiapan pulang kampong di dunia.

Padahal kalau diteliti ayat di atas, kampung akhirat jauh lebih baik dari dan tidak ada bandingnya dengan kampung dunia. Dengan demikian, seharusnya siapapun lebih meriah mempersiapkan kepulangan ke kampung akhirat. Rasa sedih tiada bekal waktu pulang kampong di dunia tidak sesedih tanpa bekal waktu pulang ke kampung akhirat. Ke akhirat, kalau balik kampung kita boleh berhutang jika ada kekurangan namun siapapun tidak boleh berhutang kalau tidak membawa bekal diakhirat kelak. Setiap orang hanya mampu dengan nasibnya sendiri. Juga, di sana akan kekal selama-lamanya. Sedangkan balik kampung cuma beberapa hari sahaja.

Oleh kerana itu, beruntunglah orang-orang yang sentiasa merindukan kampung akhirat dan seawal mungkin mempersiapkan bekal sebanyak-banyaknya. Iaitu, orang-orang yang senantiasa tidak melepaskan sedikit pun kesempatan untuk beribadah dan berbuat kebaikan. Itulah orang-orang beriman. Makanya, orang-orang seperti ini akan dialu-alukan kedatangannya ke kampung akhirat.

SMS : Salam, Maaf, dan Silaturrahim

2 Syawal 1431H.
Jarjani Usman

“Kalian tidak akan masuk surga hingga kalian beriman. Kalian tidak akan beriman sampai kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan pada kalian suatu amalan yang jika kalian melakukannya kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian” (HR. Muslim).

Apa yang paling dinantikan muslim yang taat setelah selesai Ramadhan atau memasuki bulan Syawal ialah kembali suci. Tentunya suci dari dosa dengan Allah dan sesama manusia. Dosa dengan Allah mungkin sudah terampun setelah sebulan penuh beribadah dan berdoa memohon keampunan. Namun, dosa dengan manusia tentunya belum lekang sebelum meminta maaf. Makanya penting ber-sms (salam, maaf, dan silaturrahim).

Salam disunatkan bagi setiap muslim. Sebagaimana namanya, salam itu artinya damai atau sejahtera. Lebih afdhal tentunya kalau mengucapkan salam seperti yang dianjurkan, yaitu: “Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.” Sebab, sudah ditambah dengan doa agar mendapat rahmat dan berkah dari Allah. Jika salam ini selalu digunakan, insya Allah tali ukhuwah dengan sesama akan terikat erat.

Maaf dengan sesama manusia juga merupakan amalan yang mulia. Manusia memiliki sejumlah keterbatasan, mulai keterbatasan mengenali perilakunya apakah telah menganiaya orang lain dengan sengaja atau tidak, sampai keterbatasan mengendalikan emosi dan kata-kata. Keranana itu, sangat dianjurkan untuk meminta maaf dengan sesama insan.

Silaturrahim juga termasuk perbuatan mulia. Sebagaimana namanya, silah artinya hubungan, sedangkan ar-rahim artinya kasih sayang. Dengan demikian, kalau silaturahim dibina karena Allah, dijamin akan menciptakan kedamaian di dunia ini.

Kerana itu, hambar makna hari kemenangan Aidil Fitri sebelum membina damai dengan salam yang baik, memaafkan satu sama lain, dan bersilaturrahim. Namun, dari semua perbuatan itu, yang paling baik menurut Rasulullah ialah yang memulainya. Misalnya, memulai salam, memulai minta maaf, dan memulai silaturrahim.

Pendekatan rasional, wasatiyyah berdepan bakar al-Quran

2 Syawal 1431H.
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Umat Islam di AS dalam keadaan dilema apabila Sambutan Aidilfitri bertembung dengan tarikh yang hampir sama dengan sambutan memperingati tragedi 911. Lebih teruk adalah apabila kempen ‘Ground Zero’ yang membantah pembinaan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam yang terletak berhampiran dengan tempat tragedi Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang telah runtuh, dilancarkan. Protes besar-besaran rencana akan dilakukan pada hujung minggu ini menjangkakan akan turut dihadiri pemimpin seluruh dunia yang anti-Islam termasuklah Geert Wilders.

Lebih menakutkan adalah apabila ada pihak yang ingin menganjurkan hari membakar al-Quran iaitu Terry Jones, paderi daripada Dove World Outreach Centre yang berpusat di Gainesvaille, Florida. Pertubuhan ini adalah hanya pertubuhan kecil yang pengaruhnya adalah sekitar 60 orang. Namun dengan teknologi semasa, maklumat Terry John, dan idea Hari Membakar Quran tersebar melalui laman sosial facebook beliau. Pada awal tahun ini, beliau telah menulis sebuah buku Islam is of the Devil.

Imam Musri, Presiden Pertubuhan masyarakat Islam di Florida, AS berjumpa dengan paderi Terry Jones, Dove World Outreach pada hari Khamis untuk berbincang dan berdialog berhubung isu hari membakar al-Quran yang dijadualkan esok, Sabtu petang. Selepas perbincangan tertutup itu, ternyata paderi tersebut mempunyai pandangan yang salah tentang Islam. Beliau berpendapat bahawa Al-Quran adalah punca kepada tindakan terroris 911.

Di akhir perbincangan tertutup tersebut paderi Terry Jones tetap berpendirian untuk meneruskan agenda untuk mencemar kitab suci Islam dengan membakar lebih daripada 200 naskah al-Quran. Pihak berkuasa AS, termasuk Presiden Obama turut menentang tindakan tersebut dan pihak badan-badan pelbagai agama termasuk Kristian menentang tindakan tersebut.

Walaupun berdepan dengan pendirian keras seperti itu, ummat Islam di AS tidak putus asa untuk memberi pemahaman Islam sebenar kepada paderi ini. Imam Musri menghadiahkan paderi tersebut senaskah kitab Al-Quran. Imam Musri juga menutup pertanyaan media dengan menyatakan hasrat bahawa pihaknya bersama pertubuhan Islam yang lain akan terus mendamping dan berdialog dengan Paderi Terry demi memberikan maklumat yang benar tentang Islam.

Selaku ummat Islam yang sedar akan cabaran baru yang kita hadapi, marilah kita ambil iktibar peristiwa Umar al-Khattab yang ingin membunuh adiknya kerana masuk Islam. Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, dia mendengar bacaan suci al-Quran. Al-Quran telah melunakkan hati Umar yang keras. Bacaan surah Taha daripada kitab Al-Quran ini terdapat mukjizat yang besar yang didengarkan kepada Umar secara tidak sengaja.

Umar yang kemudiannya terus berjumpa Rasulullah s.a.w. Baginda menepa Umar sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!”

Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak. “Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!”

Di Hari kemenangan kita pada 1 Syawal ini, marilah kita doakan paderi Terry Jones agar hatinya dilembutkan Al-Quran yang beliau ingin bakar sepertimana peristiwa kemasukkan Umar al-Khattab ke dalam Islam. Jika saya dibenarkan menggunakan doa yang sama yang oleh Rasulullah: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Terry dan mereka yang belum menerima hidayah Mu, Ya Allah muliakanlah mereka dengan hidayahMu”

Saya menulis makalah ini pada pagi 1 Syawal, sehingga waktu ini saya masih tidak tahu sama ada Terry Jones bersama pengikut gerejanya akan membatalkan atau tidak, tetapi jika rancangan untuk membakar al-Quran itu diteruskan ummat Islam seharusnya mengambil sikap yang tenang dan rasional.

Islam adalah agama yang menghormati agama lain apatah lagi kepada agama samawi atau agama wahyu yang kita kenali sebagai ahli kitab. Dalam maslahah sebegini saya yakin bahawa tidak menjadi ancaman kepada Islam jika Jones dan pengikutnya membakar al-Quran kerana mereka adalah golongan jahil yang tidak tahu terhadap Islam berbanding tindakan ummat Islam yang mengambil jalan kekerasan dan ganas yang hanya memburukkan imej Islam dan mengiyakan segala fitnah adalah lebih jahat daripada tindakan Jones yang membakar kita suci al-Quran.

Dalam hal ini, kita perlu memberi kepercayaan kepada ulama kita termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam untuk menjawab kontroversi yang bakal berlaku. Kita juga perlu doakan sahabat-sahabat kita di AS agar terus kuat menghadapi fitnah besar kepada agama kita dan terus istiqamah berdakwah memberi pemahaman Islam yang sebenar. Sokongan dan dorongan dari semua ummat Islam adalah amat diharapkan. Jalan yang terbaik untuk berdoa dan mengamalkan apa yang diajar oleh Islam, dengan mempamerkan qudwah hasanah, contoh teladan yang baik terutama kepada mereka yang salah faham terhadap Islam.

Teladan juga kepada kita yang tinggal di negara majoriti ummat Islam agar tidak lakukan apa yang berlaku di negara majoriti bukan Islam. Jika kita berasa jijik dengan tindakan membakar al-Quran kitab suci Islam dan tidak menghormati ummat Islam yang minoriti seperti di barat, maka sewajarnya adalah baik juga jika kita menghormati kesucian agama lain dan mengiktiraf hak kaum minoriti di negara sendiri. Malangnya kita masih mendengar gereja dibakar dan hak untuk mengamalkan agama bukan Islam sentiasa mempunyai halangan.

Secara kesimpulan yang saya ingin lontarkan adalah permasalahan salah faham terhadap Islam tidak boleh diselesaikan dengan reaksi ganas dan kekerasan. Pendekatan rasional dan pertengahan ‘wasatiyyah’ mampu membetulkan salah faham tersebut. Jika kita mahukan masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang indah dan bukan ancaman, maka wajar untuk kita tunjukkan kebenaran tersebut di negara-negara yang kita tinggal sebagai majoriti termasuk Malaysia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi Hamd.

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli,
Petaling Jaya, Selangor.
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

Umat islam di China menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan penuh meriah.

1 Syawal 1431H.

Bermula pukul 7.30 pagi hari ini, Jalan Niujie Beijing telah ditutup secara sementara kepada semua kenderaan bagi menjamin kelancaran pelbagai aktiviti sambutan. Dengan ini, Jalan Niujie telah menjadi tempat perayaan yang paling meriah di bandar Beijing.

Pagi-pagi, Masjid Pudong, Shanghai dibanjiri ribuan jemaah tempatan dan penganut Islam asing yang menunaikan solat sunat Aidilfitri di sana.

Hari raya Aidilfitri juga disambut di Wilayah Autonomi Hui Ningxia di bahagian utara China. Kerajaan tempatan telah menetapkan hari cuti bagi hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidil-Adha akan diperpanjangkan kepada 2 hari daripada 1 hari mulai pada tahun ini.

Selain itu, di Daerah Autonomi Bai, Dali Provinsi Yunnan di bahagian selatan China, persatuan agama Islam tempatan mengadakan majlis sambutan pada setiap tahun walaupun jumlah penduduk Islam di sana tidak begitu ramai. Pada tahun ini, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri diadakan pada 8 September lalu. Majlis tersebut turut dihadiri oleh pegawai utama kerajaan tempatan.

Selamat Hari Raya.

1 Syawal 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Pada kesepatan ini saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua pengunjung Blog Cina Islam, tidak kira di mana saja anda berada di dalam ataupun di luar negara.

Marilah kita mengambil segala pengajaran dan hikmah dari ibadah selama bulan Ramadhan untuk memastikan sambutan Hari Raya pada kali ini benar-benar berarti setelah kita mencapai kemenangan yang diharapkan.

Besarlah harapan saya dengan menyusun jari sepuluh untuk memohon kemaafaan dari segala salah silap dan kealpaan selama ini, sesungguhnya saya sangat insaf dan menyedari bahawa sebagai insan biasa saya tidak lepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan.

Tidak ada sesuatu yang paling manis sebagai seorang insan dan hamba Allah yang daif ini bila Allah mengampunkan dosa-dosa kita dibulan Ramadhan yang mulia dan saudara memaafkan kesalahan saya.

Pada masa yang sama saya mengajak diri saya dan saudara sekalian untuk terus meningkatkan keazaman dan tekad untuk memastikan ibadah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal kita tuniakan. Tidaklain untuk mencapai tahap seperti puasa setahun sebagaimana yang disabdakan oleh Baginda Rasulullah.

Selain itu marilah kita meneruskan amal-amal soleh yang kita mampu lakukan dibulan Ramadhan seperti solat berjemaah, banyak bersedekah, bersederhana dalam makan dan minum serta segala akhlak mulia yang dituntut dalam Islam.

Sesungguhnya sinar kegemilangan Islam akan sirna dalam masa yang makin hampir, ayuh kita terus layar bahtera perjuangan ini sehingga kebatilan dapat kita runtuhkan dibumi tercinta ini, salam Aidil Fitri, MAAF ZAHIR BARIN, Wassalam.