11 September 2010

Pendekatan rasional, wasatiyyah berdepan bakar al-Quran

2 Syawal 1431H.
Mohd Saifullah Mohd Zulkifli

Umat Islam di AS dalam keadaan dilema apabila Sambutan Aidilfitri bertembung dengan tarikh yang hampir sama dengan sambutan memperingati tragedi 911. Lebih teruk adalah apabila kempen ‘Ground Zero’ yang membantah pembinaan masjid dan Pusat Kebudayaan Islam yang terletak berhampiran dengan tempat tragedi Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang telah runtuh, dilancarkan. Protes besar-besaran rencana akan dilakukan pada hujung minggu ini menjangkakan akan turut dihadiri pemimpin seluruh dunia yang anti-Islam termasuklah Geert Wilders.

Lebih menakutkan adalah apabila ada pihak yang ingin menganjurkan hari membakar al-Quran iaitu Terry Jones, paderi daripada Dove World Outreach Centre yang berpusat di Gainesvaille, Florida. Pertubuhan ini adalah hanya pertubuhan kecil yang pengaruhnya adalah sekitar 60 orang. Namun dengan teknologi semasa, maklumat Terry John, dan idea Hari Membakar Quran tersebar melalui laman sosial facebook beliau. Pada awal tahun ini, beliau telah menulis sebuah buku Islam is of the Devil.

Imam Musri, Presiden Pertubuhan masyarakat Islam di Florida, AS berjumpa dengan paderi Terry Jones, Dove World Outreach pada hari Khamis untuk berbincang dan berdialog berhubung isu hari membakar al-Quran yang dijadualkan esok, Sabtu petang. Selepas perbincangan tertutup itu, ternyata paderi tersebut mempunyai pandangan yang salah tentang Islam. Beliau berpendapat bahawa Al-Quran adalah punca kepada tindakan terroris 911.

Di akhir perbincangan tertutup tersebut paderi Terry Jones tetap berpendirian untuk meneruskan agenda untuk mencemar kitab suci Islam dengan membakar lebih daripada 200 naskah al-Quran. Pihak berkuasa AS, termasuk Presiden Obama turut menentang tindakan tersebut dan pihak badan-badan pelbagai agama termasuk Kristian menentang tindakan tersebut.

Walaupun berdepan dengan pendirian keras seperti itu, ummat Islam di AS tidak putus asa untuk memberi pemahaman Islam sebenar kepada paderi ini. Imam Musri menghadiahkan paderi tersebut senaskah kitab Al-Quran. Imam Musri juga menutup pertanyaan media dengan menyatakan hasrat bahawa pihaknya bersama pertubuhan Islam yang lain akan terus mendamping dan berdialog dengan Paderi Terry demi memberikan maklumat yang benar tentang Islam.

Selaku ummat Islam yang sedar akan cabaran baru yang kita hadapi, marilah kita ambil iktibar peristiwa Umar al-Khattab yang ingin membunuh adiknya kerana masuk Islam. Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, dia mendengar bacaan suci al-Quran. Al-Quran telah melunakkan hati Umar yang keras. Bacaan surah Taha daripada kitab Al-Quran ini terdapat mukjizat yang besar yang didengarkan kepada Umar secara tidak sengaja.

Umar yang kemudiannya terus berjumpa Rasulullah s.a.w. Baginda menepa Umar sambil duduk berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, baginda pun bertanya: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam wahai Ibnu Al Khattab? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Umar bin Al Khattab, Ya Allah muliakan Islam dengan Umar bin al Khattab ini!”

Tanpa sebarang banyak pertanyaan apatah lagi cuba melawan lalu Umar pun melafazkan kata-kata yang sangat mengejutkan semua pihak. “Aku menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan engkau Muhammad adalah Rasulullah!”

Di Hari kemenangan kita pada 1 Syawal ini, marilah kita doakan paderi Terry Jones agar hatinya dilembutkan Al-Quran yang beliau ingin bakar sepertimana peristiwa kemasukkan Umar al-Khattab ke dalam Islam. Jika saya dibenarkan menggunakan doa yang sama yang oleh Rasulullah: “Bila lagi kamu hendak menerima Islam? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah sebagaimana yang menimpa Al Walid bin al Mughirah? Ya Allah, inilah Terry dan mereka yang belum menerima hidayah Mu, Ya Allah muliakanlah mereka dengan hidayahMu”

Saya menulis makalah ini pada pagi 1 Syawal, sehingga waktu ini saya masih tidak tahu sama ada Terry Jones bersama pengikut gerejanya akan membatalkan atau tidak, tetapi jika rancangan untuk membakar al-Quran itu diteruskan ummat Islam seharusnya mengambil sikap yang tenang dan rasional.

Islam adalah agama yang menghormati agama lain apatah lagi kepada agama samawi atau agama wahyu yang kita kenali sebagai ahli kitab. Dalam maslahah sebegini saya yakin bahawa tidak menjadi ancaman kepada Islam jika Jones dan pengikutnya membakar al-Quran kerana mereka adalah golongan jahil yang tidak tahu terhadap Islam berbanding tindakan ummat Islam yang mengambil jalan kekerasan dan ganas yang hanya memburukkan imej Islam dan mengiyakan segala fitnah adalah lebih jahat daripada tindakan Jones yang membakar kita suci al-Quran.

Dalam hal ini, kita perlu memberi kepercayaan kepada ulama kita termasuk pertubuhan-pertubuhan Islam untuk menjawab kontroversi yang bakal berlaku. Kita juga perlu doakan sahabat-sahabat kita di AS agar terus kuat menghadapi fitnah besar kepada agama kita dan terus istiqamah berdakwah memberi pemahaman Islam yang sebenar. Sokongan dan dorongan dari semua ummat Islam adalah amat diharapkan. Jalan yang terbaik untuk berdoa dan mengamalkan apa yang diajar oleh Islam, dengan mempamerkan qudwah hasanah, contoh teladan yang baik terutama kepada mereka yang salah faham terhadap Islam.

Teladan juga kepada kita yang tinggal di negara majoriti ummat Islam agar tidak lakukan apa yang berlaku di negara majoriti bukan Islam. Jika kita berasa jijik dengan tindakan membakar al-Quran kitab suci Islam dan tidak menghormati ummat Islam yang minoriti seperti di barat, maka sewajarnya adalah baik juga jika kita menghormati kesucian agama lain dan mengiktiraf hak kaum minoriti di negara sendiri. Malangnya kita masih mendengar gereja dibakar dan hak untuk mengamalkan agama bukan Islam sentiasa mempunyai halangan.

Secara kesimpulan yang saya ingin lontarkan adalah permasalahan salah faham terhadap Islam tidak boleh diselesaikan dengan reaksi ganas dan kekerasan. Pendekatan rasional dan pertengahan ‘wasatiyyah’ mampu membetulkan salah faham tersebut. Jika kita mahukan masyarakat bukan Islam melihat Islam sebagai agama yang indah dan bukan ancaman, maka wajar untuk kita tunjukkan kebenaran tersebut di negara-negara yang kita tinggal sebagai majoriti termasuk Malaysia.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa lillahi Hamd.

Mohd Saifullah Mohd Zulkifli,
Petaling Jaya, Selangor.
www.saifullahzulkifli.blogspot.com

2 ulasan:

RAMAI MENGANUT ISLAM SLPS MEMBACA AL-QURAN berkata...

ADA AGENDA ZIONIS DI BELAKANG TINDAKAN TERRY JONES ITU.

UMAT ISLAM DI MANA2 PON DI DUNIA HENDAKLAH SENTIASA MENGAMBIL KESEMPATAN MEMPERKENALKAN ISLAM SAMADA SECARA LANGSUNG ATAUPUN TIDAK LANGSUNG. MAKANYA DI HARAP AKAN ADA TINDAK BALAS BIJAK OLEH UMAT ISLAM DI MERATA DUNIA ATAS ISU INI, SEPERTI GERAKAN MEMPERKENALKAN KITAB SUCI AL QURAN INI KEPADA ORG2 BUKAN ISLAM DALAM SEMUA BAHASA, HUBUNGAN AL-QURAN DGN KITAB2 INJIL, TAURAT(BIBLE), ZABUR DLL TERUTAMA MELALUI SEGALA SEBARAN MEDIA,DIALOG TERMASUK INTERNET, FACEBOOK DAN SEBAGAINYA.

"KEMPEN KENALI AL-QURAN" DI MALAYSIA KPD ORG2 BUKAN ISLAM (TERUTAMA DI BULAN RAMADHAN)SEBAGAI TINDAKBALAS BIJAK UMAT ISLAM DI MALAYSIA HENDAKLAH DI LAKUKAN OLEH SEMUA BADAN ISLAM YG ADA DI MALAYSIA... SUPAYA MASALAH ANTARA AGAMA DI NEGARA2 LUAR TIDAK BERJANGKIT KE MALAYSIA.

Awanama berkata...

Mohon hidayah untuk si paderi pun pohonlah, tapi sertakan bersama bacaan qunut nazilah sekiranya dia ingkar. Takkan nak tunggu Al-Quran dibakar baru nak baca. Kita pohon Allah tunjukkan kekuasaannya yang membinasakan di bumi Florida sekiranya mereka meneruskan niat mereka itu.