14 Julai 2011

AS pandang berat tindakan keras atas perhimpunan

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Amerika Syarikat memandang berat tindakan pihak berkuasa Malaysia terhadap peserta perhimpunan yang disokong pembangkang hujung minggu lalu dan berkata ia akan memantau perkembangannya.

Polis anti-rusuhan melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perhimpunan menuntut pembaharuan pilihan raya Sabtu lalu dan menangkap lebih 1,600 orang.

Seorang lelaki meninggal dunia semasa perhimpunan tersebut. Keluarganya berkata dia pengsan selepas lari untuk mengelak gas pemedih mata, manakala polis berkata dia meninggal dunia akibat serangan sakit jantung.

"Kita mempunyai beberapa kebimbangan," kata jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner kepada pemberita. "Kami... terus menyokong hak rakyat untuk bebas menyuarakan aspirasi demokratik masing-masing dan menyatakan pandangan mereka dengan bebas.

"Kami akan terus memantau rapat keadaan tersebut," kata Toner.

Malaysia telah berjanji untuk menyiasat dakwaan terhadap keganasan polis. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mempertahankan polis, dengan berkata perhimpunan itu merupakan satu muslihat untuk mencemarkan imej negara.

Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa mengecam tindakan keras tersebut dan menggesa Amerika dan negara-negara lain supaya mengenakan tekanan ke atas Malaysia untuk memastikan akauntabiliti.

"Kerajaan Malaysia perlu menjalankan segera siasatan yang adil dan telus terhadap dakwaaan kekerasan yang melampau dan tangkapan yang tidak wajar oleh pasukan keselamatan," kata Badan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpejabat di New York dalam satu kenyataan.

Malaysia sedang berusaha untuk membina hubungan erat dengan Amerika Syarikat di tengah-tengah usaha pentadbiran Presiden Barack Obama untuk mendekati rantau Asia Tenggara.

Malaysia dan Amerika telah lama menjadi rakan dagangan utama tetapi hubungan politik antara keduanya tidak selesa, terutama semasa 22 tahun pentadbiran Tun Mahathir Mohamad yang merupakan pengkritik lantang dasar luar negara Amerika.

Amerika juga memandang berat layanan terhadap ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghabiskan masa selama enam tahun dalam penjara dan sekali lagi berdepan dalam perbicaraan mengenai dakwaan liwat, yang merupakan satu kesalahan di negara majoriti Islam ini.

Anwar berkata tuduhan itu bermotifkan politik.

Obama menjemput Najib ke Washington pada April 2010 untuk menghadiri sidang kemuncak mengenai keselamatan nuklear dan menemui beliau di luar persidangan tersebut. Setiausaha Negara Hillary Clinton melawat Malaysia pada bulan November.

malaysiakini/-

"PAS Miri Usaha NGO Menentang Pelacuran"

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

PAS Kawasan Miri menyokong penuh tindakan sebuah badan bukan kerajaan
(NGO) yang bertindak untuk mengumpul tanda tangan daripada
isteri-isteri di Bandaraya Miri sebagai tanda bantahan kepada
penularan gejala pelacuran di Bandaraya Miri melalui pusat-pusat urut
di bandaraya ini.

Perkara ini pernah diketengahkan oleh PAS Kawasan Miri sebelum ini
berkenaan pembukaan pusat-pusat urut yang semakin banyak di Bandaraya
Miri. Namun masih belum ada satu tindakan konkrit daripada pihak yang
berwajib bagi mengawal dan mengurangkan pusat-pusat seumpama ini. Bagi
PAS Kawasan Miri, bagi menarik pelancong asing ke Bandaraya Miri
pembukaan tempat-tempat hiburan seumpama ini bukanlah caranya.
Bandaraya Miri memiliki banyak sumber daya tarikan yang lain bagi
menarik kehadiran pelancong-pelancong bagi melawat Bandaraya Miri.

Pihak Majlis Bandaraya Miri perlu lebih kreatif dalam membangunkan
sektor pelancongan di Bandaraya Miri dan dalam masa yang sama
memastikan kemudahan-kemudahan awam berada pada tahap yang baik. Tidak
seperti keadaan sekarang, pusat hentian bas dalam bandar masih lagi
tidak ada penambah-baikan dan tidak memberikan kemudahan yang
sebaiknya kepada pengguna kemudahan awam ini.

Oleh yang demikian PAS Kawasan Miri ingin mencadangkan beberapa
perkara bagi menangani perkara ini:

1. Lesen pembukaan pusat-pusat urut perlu diperketatkan dan dikurangkan
2. Penguatkuasaan bagi memeriksan pusat-pusat urut ini perlu dilakukan
sekerap mugkin dengan penglibatan pihak PBT, Polis dan JAIS
3. PAS Kawasan Miri bersedia untuk bersama-sama dalam gerak-kerja
penguatkuasaan ini.

M Arifiriazul,
Ketua Penerangan PAS Miri

RM70 juta cegah banjir Sibu

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

SIBU - Kerajaan menyediakan peruntukan RM70 juta di bawah pelaksanaan awal Rancangan Malaysia ke-10 khusus buat fasa kedua program pencegahan banjir Sibu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini perunding yang dilantik sedang mengkaji reka bentuk dan komponen bagi pelaksanaan program itu.

"Tender bagi projek itu dijangka akan dibuka September ini," katanya pada satu persidangan media di sini selepas menghadiri taklimat mengenai perkembangan fasa pertama projek itu di sini.

Beliau berkata antara komponen utama program itu ialah usaha meninggikan beberapa jalan khusus untuk bertindak sebagai tambak, serta pembinaan dua lagi stesen pam air di kawasan banjir.

Merujuk kepada kerja-kerja fasa pertama, Uggah berkata 67.8 peratus pelaksanaanya sudah disiapkan, dengan kelewatan kecil berlaku akibat wujud masalah dalam kerja-kerja mengubah tiang-tiang elektrik dan telefon.

Menurutnya fasa pertama itu dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual pada awal Februari tahun depan. - Bernama
12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Lelaki mengaku salah rakam wanita dalam tandas

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja am hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas kesalahan merakam aksi seorang wanita di dalam tandas.

Khairulsfairuse Ahmad Madli, 30, melakukan kesalahan itu menggunakan telefon bimbitnya di tandas wanita, Unit Forensik, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia ketika wanita berusia 31 tahun itu sedang membuang air pada 10.45 pagi, 7 Julai lepas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM5,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos untuk menjatuhkan hukuman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

my metro/-

Nik Aziz sokong Bersih 3.0 diadakan

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan sokongan untuk mengadakan Bersih 3.0 sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak melakukan sebarang tindakan berhubung lapan tuntutan gabungan tersebut untuk perubahan pilihanraya.

Lapan tuntutan yang dikemukakan Bersih 2.0 ialah supaya SPR membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Menteri Besar Kelantan itu menegaskan perubahan dalam pilihanraya adalah penting bagi memastikan pilihanraya yang adil dan telus dijalankan di negara ini. Beliau turut memaklumkan pilihanraya yang adil juga dituntut oleh Islam serta ia mempersoalkan mengenai pentadbiran negara.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memberi amaran kepada SPR supaya melaksanakan empat dari lapan tuntutan tersebut dengan segera jika tidak mahu menghadapi Bersih 3.0.

Sementara itu, Nik Aziz hanya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian masing – masing berhubung dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicederakan ketika mengikuti perhimpunan tersebut Sabtu lalu.

malaysia today/-

Antara cincin berlian, gelang, beg tangan dan Zionis....

12 Syaaban 1432H. [MOD] -
Oleh : EDYES @ edyesdotcom


Sebelah tangannya, menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Gaza dalam beberapa siri bantuan agar ada sinar harapan buat mereka yang menjadi mangsa keganasan Zionis. Namun tangannya yang sebelah lagi membantu zionis menyembelih anak-anak Palestin apabila tangan itu dipenuhkan dengan cincin bertatahkan intan berlian yang dibeli dari sebuah syarikat barangan mewah yang pengasasnya berbangsa Yahudi.

Hipokrasi ini tidak akan disenyapkan begitu sahaja. Kita cukup mual melihat tangisan kesedihan Rosmah yang melambaikan tangan kepada para petugas kempen bantuan kemanusiaan ketika mereka berlepas ke Mesir sebelum memasuki Gaza melalui jalan laut. Rupa-rupanya, orang yang sama ini juga telah membantu kempen tidak berperi-kemanusiaan yang dilakukan zionis.

Bagaimana ini berlaku ?

Adalah tidak mustahil daripada keuntungan yang diperolehi oleh syarikat Jacob & co termasuklah beberapa pembelian Rosmah yang berjuta RM nilainya, disalurkan untuk pembinaan sebuah negara haram bernama Israel. Untuk mendirikan sebuah negara haram Israel pula, terlebih dahulu sekatan demi sekatan telah dilakukan untuk melemahkan gerakan-gerakan pro-penubuhan Palestin dan tidak kurang juga anak-anak Palestin yang bangkit menentang yahudi dibunuh agar tiada kebangkitan dari kalangan empunya negara.

Persoalan dari mana datangnya dana untuk membeli barangan mewah puluhan juta ringgit adalah satu perkara, persoalan mengapa syarikat yahudi menjadi pilihan juga adalah satu perkara. Kedua-dua perkara ini harus dijawab oleh Rosmah kerana telah jelas namanya tertera dalam urusan sistem KDRM dan juga terdapat gambar Rosmah menggayakan dirinya dengan gelang emas putih rekaan Jacob & co yang menunjukkan Rosmah adalah pelanggan syarikat terbabit.

Untuk seorang isteri kepada Perdana Menteri, yang juga menjadi penaung kepada beberapa pertubuhan dan NGO, adalah tidak logik untuk Rosmah mengumpul duitnya dari segelinap kantong hanya untuk membeli cincin bernilai RM24 juta. Jika Rosmah sanggup menghabiskan wang sakunya RM24juta untuk hanya membeli sebentuk cincin, berapa pula yang sanggup dihabiskan oleh Rosmah dalam majlis perkahwinan anaknya kelak ?

Pagi tadi sekumpulan anak muda dari SAMM telah hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang untuk membuat laporan rasmi mengenai beberapa bukti mengaitkan Rosmah Bin Mansur dengan kemasukan belian bernilai RM 24.4 j tanpa cukai yang masuk melalui KLIA. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus mengambil tindakkan dan mengemukakan hasilnya kepada tatapan umum kerana kes ini melibatkan isteri kepada Perdana Menteri.

Siasat Rosmah dari mana datangnya uwang yang berjuta itu. Adakah ia dari projek Permata, tidaklah diketahui. Yakin dan percaya ramai lagi pihak yang akan tampil ke hadapan untuk memastikan siasatan ke atas Rosmah tidak dibakul-sampahkan. SAMM juga akan bertidak dari semasa ke semasa jika pihak SPRM tidak menjalankan tugasnya.

Bayangkan sekiranya seorang kerani bank secara tiba-tiba memiliki BMW yang bernilai RM2juta yang mana gajinya hanya sekitar RM2ribu sebulan, sudah tentu kerani bank ini akan dikejarkan ke pejabat SPRM. Begitu jugalah dengan kisah isteri Perdana Menteri membeli cincin bukan sejuta harganya tetapi RM24juta. Sebelum ini juga dilaporkan nilai beg-beg tangan isteri Perdana Menteri ini mencecah ratusan ribu.

Tidak cukup dengan aksoseri sahaja yang merangkumi cincin berlian, gelang emas putih dan beg tangan mewah, Rosmah sebelum ini juga telah menginap di sebuah hotel termahal dalam dunia. Harga bilik hotel termahal itu untuk satu malam, bukan beli tetapi sewa, ialah melebihi RM100ribu. Itu belum termasuk harga bilik hotel bagi delegasi kehormat yang sentiasa mengikuti Rosmah melancong ke luar negara.

Isteri Perdana Menteri ini juga pernah menggemparkan negara apabila membangunkan sebuah jabatan yang diberi nama First Lady of Malaysia atau singkatannya FLOM. Jabatan FLOM adalah sebaris dengan beberapa jabatan penting yang berada di bawah JPM. Buat pertama kalinya seorang isteri perdana menteri bukan sahaja mempunyai pejabat, tetapi mempunyai Jabatan FLOMnya tersendiri. FLOM pernah didedahkan oleh Edyes sebelum nama bahagian tersebut telah dipadam dari diakses melalui laman rasmi Jabatan Perdana Menteri.

Rosmah juga telah membazirkan wang negara apabila mengadakan Sidang Kemuncak Wanita Pertama yang berlangsung di hotel paling terkemuka dalam negara iaitu Hotel Palace of The Golden Horses. Berpuluh juta juga dilapor telah dihabiskan oleh Rosmah dalam program yang menjemput wanita pertama dari kebanyakkan negara benua Afrika dan Oceania. Duit negara telah dibazirkan untuk memenuhi kehendak isteri Perdana Menteri dalam rangkanya menjamu isteri-isteri pemimpin negara yang lain.

Program Sidang Kemuncak Wanita Pertama ini juga dikatakan satu pembaziran kerana adalah tidak wajar bagi seorang isteri Perdana Menteri mendakwa dirinya seorang First Lady, di dalam sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berpelembagaan. Ini bermakna Seri Paduka Baginda Permaisuri Agong sahaja yang berhak digelar Wanita Pertama Negara.

Justeru itu, dapat kita lihat dari banyak sudut yang menunjukkan negara hari ini berada dalam keadaan yang menyedihkan apabila banyak berlaku ketirisan terutamanya di kalangan pembesar negara hidup dengan begitu bermewah-mewahan tatkala rakyat bawahan semakin dijerut oleh cukai dan kenaikkan harga semua sektor perbelanjaan harian.

Bercerita tentang cukai, adakah anda sedar bahawa anda dicukai setiap kali makan di restoran makanan segera, anda dicukai ketika membayar bil astro, bil telifon dan dicukai dalam banyak perkara yang bisa dilakukan seharian. Tetapi cincin yang dibeli Rosmah ini, Gelang yang dimiliki Rosmah ini, tidak dicukai di atas dasar Perdana Menteri suatu ketika dahulu sewaktu pembentangan bajet. Aksoseris wanita termasuk pakaian dalam wanita akan bebas cukai, maka sekarang rakyat faham betapa Perdana Menteri telah tunduk kepada isterinya yang bermewah-mewahan.

Atas sebab-sebab ini, tidak hairanlah sekiranya ada yang mengelarnya sebagai Imelda Rosmah, merujuk kepada Imelda Marcos First Lady of Philiphine. Seorang isteri kepada Presiden Filipina ke-10 Ferdinand Marcos. Imelda Marcos terkenal dengan sejarah perbelanjaan mewahnya ketika rakyat Filipina yang lain sengsara. Negara kita juga mempunyai Imelde Marcos dalam pembikinan iaitu Imelda Rosmah.
Justeru itu, berbalik kepada perkara pokok iaitu bagaimana kedudukan kewangan Rosmah sehingga mampu membelanjakan RM24.5juta untuk sebentuk cincin. Kita menjemput Rosmah untuk menafikan pembelian cincin ini.

Dalam masa yang sama, kami rakyat yang bersimpati kepada dunia Palestin juga ingin tahu mengapa begitu tergamak seorang isteri Perdana Menteri sebuah negara Islam memilih untuk memberi keuntungan kepada sebuah syarikat kroni zionis ?

Cukuplah sekali kita mempunyai isteri Perdana Menteri yang sebegini. Cukuplah sekali...

Adakah kempen 1Malaysia berdaftar?

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

BENTONG, 14 Julai: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa semua pihak memahami antara satu kempen dengan sebuah pertubuhan supaya tidak keliru.

Menolak tohmahan Menteri Dalam Negeri yang mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan haram, beliau berkata ia merupakan satu kempen bagi membersihkan sistem pilihan raya yang didukung oleh lebih 60 buah pertubuhan bukan kerajaan.

“Cuba kita tanya adakah kempen 1Malaysia iaitu agenda propaganda Perdana Menteri, sebuah pertubuhan berdaftar?

“Begitu juga sebagai contoh, jawatankuasa Sambutan Bulan Kemerdekaan kali ke-50, adakah terpaksa berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan?” soalnya.

Tambahnya, ia sudah tentu tidak berdaftar kerana merupakan kempen.

Begitu juga, ujarnya Bersih 2.0 yang menggabungkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan satu matlamat mahukan permbersihan dalam sistem pilihan raya di negara ini yang amat dipertikaikan.

“Jadi pihak tertentu sama ada menteri dan media sengaja mahu menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat sedangkan isu yang sebenar ditutup,” ujarnya ketika berucap di Kedai Tok Ayah, Felda Mempaga semalam sempena pembebasan empat orang aktivis PAS yang ditahan selama lima hari di Balai Polis Bentong.

Mengenai beberapa pihak yang mempertikaikan PAS hanya menurut Datuk S. Ambiga sebagai pengerusi Bersih, Tuan Ibrahim berkata ia tidak ada masalah jika tujuannya baik.

Beliau mengambil contoh dalam sejarah Islam bagaimana pada satu hari kumpulan Arab jahiliyyah yang dipengerusikan oleh Abu Jahal untuk membersihkan Kota Mekah di mana Nabi Muhammad s.a.w. sendiri dilantik sebagai seorang daripada ahli jawatankuasanya.

“Maknanya tidak ada masalah jika satu program dan kempen yang baik, disokong oleh umat Islam walaupun pengerusinya bukan Islam,” katanya.

harakahdaily/-

SPRM digesa siasat dakwaan Rosmah beli cincin RM24j

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Sebuah kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia cawangan Pulau Pinang berhubung dakwaan pembelian sebentuk cincin oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

samm police report on rosmah diamond ring 130711 badrul hisham shaharinKetua SAMM Badrul Hisham Shaharin berkata beliau juga akan menyerahkan salinan cetakan dokumen itu dari skrin komputer bagi membuktikan pembelian cincin berharga RM24.4 juta itu bebas daripada dikenakan cukai import.

Menurut Badrul, yang popular dengan panggilan Chegubard, berdasarkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai“Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Harga barangan itu diletakkan pada RM24,458,400, dakwanya.

Antara maklumat tertera pada cetakan komputer itu adalah:

Nama Barangan:
Natural Fancy Blue Gray Cushion Cut Diamond
Nama Pengekspot: Jacob & Co dari New York
Nama Pengimpot: Datin Seri Paduka Rosmah Mansor dan Jeremi Beh Sin Tee
Tarikh Impot: 6-04-2011
Tempat Impot: KLIA

Sehubungan itu, Badrul menggesa SPRM mengadakan siasatan secara terperinci dan telus sebelum menyatakan hasil siasatan.

"Kita mendesak SPRM untuk tampil menyatakan hasil siasatan mereka kepada umum kerana ini melibatkan bukan sedikit jumlah wang rakyat Malaysia."

Beliau berkata cetakan maklumat yang diperolehi "hampir mustahil" untuk dipalsukan.

samm police report on rosmah diamond ring 130711 group"Hampir mustahil untuk seseorang membekalkan butiran penerbangan, nama pegawai kastam yang bertugas, nama pengimport dan sebagainya," kata beliau.

"Ini mengingatkan kita kepada negara jiran kita yang pernah dihancurkan oleh seorang wanita pertama yang bernama Imelda Marcos. Kita tidak mahu negara kita jadi begitu.

“Cukuplah rakyat yang terseksa. Kita tidak mahu orang yang bernama sebagai wanita pertama bersikap sedemikian rupa." tambahnya.

Badrul turut menggesa Rosmah tampil memberi penjelasan bersabit dakwaan itu, khususnya mengenai cetakan maklumat pengisytiharan Kastam yang diperolehinya.

Beliau juga berkata syarikat Jacob dan Co yang dikatakan mengeksport cincin itu, turut dikaitkan dengan barangan perhiasan yang diguna oleh isteri Perdana Menteri.

NONE"Jacob & Co merupakan sebuah syarikat yang berpengkalan di New York. Beberapa barang keluarannya yang terpapar dalam web sitenya, kita dapat padankannya dengan beberapa perhiasan yang sering dipakai oleh Rosmah Mansor," katanya.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana pengimport cincin berlian itu mendapat pengecualian cukai bagi membawa masuk perhiasan itu.

"Adakah suami individu yang dinamakan di atas menggunakan kuasanya sebagai Menteri Kewangan untuk memperolehi cukai kosong itu?" soalnya.

Malaysiakini/-

Komen :

Kami mengucapkan takziah kepada rakyat Malaysia yang masih menyokong Najib dan Rosmah serta BN. Semuga Malaysia lebih cepat Bankrap dari tempoh yang dijangkakan oleh Idris Jala iaitu pada tahun 2019.

Alangkah rasa terkejut dan sedih dengan laporan ini sedangkan rakyat Malaysia sedang bergelut dengan suasana ekonomi muram dan terpaksa berjimat dalam berbelanja.

Sedangkan Rosmah membuktikan dialah 1Malaysia yang sebenarnya, iaitu satu-satunya di Malaysia seorang isteri PM yang berbelanja paling mewah dalam abad ini.


Kesedaran Terhadap Buku Jingga Pasca Bersih 2.0 Meningkat

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT ADUN TITI SERONG/
KETUA SEKRETARIAT PAKATAN RAKYAT PERAK

Saya ingin menegaskan bahawa tawaran 100 hari Buku Jingga adalah penyelamat kepada Perlembagaan Negara dan rakyat mestilah bertekad untuk memastikan pengkhianat kepada Perlembagaan Negara iaitu UMNO-BN dikalahkan dalam PRU akan datang.

Dalam perkara pertama Buku Jingga menyebut dan berhasrat mahu mengubah (mereformasi) insititusi kerajaan seperti PDRM dan lain-lain institusi untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.

Pakatan Rakyat melihat tindakan mengarahkan pihak polis dan FRU bertindak ganas terhadap peserta himpunan aman Bersih adalah bukti yang jelas bahawa wajar institusi itu perlu diselamatkan dan dikembalikan imej nya dimata rakyat.

Semuanya hanya boleh belaku setelah Pakatan Rakyat berada di Putrajaya dan rakyat semestinya melihat tawaran itu sebagai penting dan serius.

Rakyat yang arif sudah pasti mampu menilai apakah wajar pemimpin Negara membiarkan kezaliman berleluasa dan ia berlaku terhadap rakyat Malaysia yang dibelasah polis sewaktu perhimpunan Bersih 2.0 di ibu Negara baru-baru ini.

Jika tuntutan NGOs -NGOs dibawah Bersih masih tidak dilayan, kemungkinan besar Bersih 3.0 dilancarkan, isu ini perlu diambil perhatian oleh BN kerana mereka menguasai Kerajaan Persekutuan yang masih berpeluang untuk membaiki kelemahan dalam peraturan dan undang-undang pilihan raya yang tidak betul dan pincang selama hari ini.

Malangnya BN dan seluruh jentera kerajaan lebih berminat untuk menyerang Pengerusi Bersih, Ambiga dalam isu peribadi .

BN mengaitkan Datuk S Ambiga kepada isu-isu lama bertujuan mencetuskan ketegangan dan rasa benci rakyat terhadap Bersih 2.0.
Kecemasan BN terserlah apabila pengerusi bersih dikaitkan dengan IFC dan lain-lain tuduhan yang tidak masuk akal walaupun 8 tuntutan tersebut adalah bersifat rakyat bagi menuntut sebuah Negara demokrasi tulen.

Kerana itu saya yakin Buku Jingga mampu melahirkan sebuah ngara yang aman dan adil yang berpaksikan demokrasi yang tulen serta menjaga kebajikan seluruh rakyat tidak mengira batasan kaum.

Setelah 53 tahun Negara ditadbir UMNO-BN dengan sedemikian zalim dan kotor, kini telah tiba masanya rakyat membuat perubahan, pesatkan gerakan daftar pemilih di lokasi masing-masing, gerakkan golongan tua dan muda untuk memilih Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti untuk tumbangkan BN .

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Parit Buntar,14 July 2011

Kes rasuah: Nasib Khir Toyo diketahui 8 Ogos

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 13 Julai — Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 8 Ogos ini sama ada bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, perlu membela diri ataupun sebaliknya berhubung tuduhan melakukan rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah rumah agam empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai mengemukakan hujah masing-masing pada akhir kes pendakwaan hari ini.

Dr Khir (gambar) didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

malaysianinsider/-

"Saya dipukul ketika dalam tahanan SPRM"

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Seorang pegawai kastam memberitahu inkues yang menyiasat punca kematian timbalan ketua pengarah Kastam Selangor Allahyarham Mohd Sarbaini Mohamad bahawa beliau dipukul ketika ditahan bersama rakannya itu.

"Pada hari sebelum saya dibebaskan, saya sakit dan terpaksa dibawa ke klinik.

"Sebelum saya dihantar ke lokap, sepatutnya kenyataan saya dicetak. Dalam perjalanan, saya dipukul dari belakang. Ada seseorang yang memukul kepala saya. Saya tidak dapat melihat siapa atau tidak tahu mengapa saya dipukul,” kata Abdul Rahim Abdul Kadir (kiri).

Rahim, adalah saksi ke-24 yang dipanggil oleh inkues itu yang diketuai oleh majistret Aizatul Akmal Maharani yang bertindak sebagai koroner.

Katanya, beliau merasakan kesakitan yang menucuk di kepalanya selepas itu. Namun beliau tidak diberi rawatan berhubung kecderaannya itu.

Inkues yang masuk hari kesembilan ini adalah untuk menentukan punca kematian Sarbaini yang jumpai tidak bernyawa di gelanggang badminton tingkat lima di bangunan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 6 lalu selepas didakwa terjatuh.

Sarbaini ditahan bersama Rahim, 41, pada 1April ketika operasi membanteras gejala rasuah di kalangan pegawai kastam dan kargo yang dinamakan Operasi 3B.

Pegawai kastam kanan itu dilaporkan ke pejabat SPRM pada 6 April lalu bagi menukar pengakuan yang dibuatnya pada 4 April.

malaysiakini/-

Peserta BERSIH: Polis ancam nak bunuh saya

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Beberapa peserta perhimpunan BERSIH menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyiasat dakwaan keganasan polis yang dialami mereka semasa perhimpunan itu Sabtu lalu.

Diketua ahli jawatankuasa pemandu BERSIh 2.0, Maria Chin Abdullah, kira-kira 30 peserta menyerahkan memorandum kepada timbalan pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee di ibupejabat suruhanjaya itu di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum menyerahkan memorandum tersebut, empat peserta mengimbas kembali pengalaman traumatik mereka dengan pihak polis pada hari berkenaan.

Salah seorang daripada mereka mendakwa seorang anggota polis mengancam untuk membunuhnya ketika menangkapnya.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika dia sedang berjalan kaki di hadapan Dataran Pahlawan dengan sepupunya pada jam 4.10 petang selepas perhimpunan itu telah bersurai.

Menurutnya, dia kemudiannya ternampak sekumpulan FRU hendak menyerbu ke arah seorang lelaki muda yang tidak melakukan apa-apa,sedang berdiri di atas jalan.

Berikutan itu, dia meminta mereka jangan memukul lelaki itu kerana dia tidak berbuat apa-apa pun.

Sebaliknya, kata beliau, anggota FRU menyerbu ke arahnya. Manakala sepupunya yang meminta polis jangan memukulnya, turut ditangkap.

Beliau mendakwa polis menendang dan menumbuknya semasa ditangkap, dan mencederakan dahinya (atas) dan tangan (bawah).

Pengadu lain termasuk aktivis Sarawak Hii Tiong Huat, yang ditahan sehari sebelum perhimpunan tersebut, dan bapa saudara dan anak kepada Baharuddin Ahmad, yang meninggal dunia selepas ditangkap pada hari Sabtu.

malaysiakini/-

Kereta wartawan Sinar Harian dipecah

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

BALING - Cermin kereta jenis Perodua Viva milik Wartawan Sinar Harian Daerah Baling, Mohd Rizal Abdullah dipecahkan pada jam 8 pagi ketika diparkir berhadapan Kompleks Sultanah Sambungan, semalam.

Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku selepas beliau pulang dari Program Konvoi Sinar Harian di Perlis.

“Saya sampai di pejabat Sinar Harian Alor Setar pada jam 6 petang kelmarin. Disebabkan terlalu letih, saya tertidur di pejabat. Keesokannya, apabila ingin pulang ke Baling, saya dapati cermin kereta bahagian pemandu pecah,” katanya.

Menurutnya, kejadian berkenaan kemungkinan disebabkan unsur khianat berikutan barangan berharga dan wang ringgit tidak terusik.

“Saya dapati telefon, kad minyak dan beberapa wang ringgit saya tidak hilang. Selain itu, kereta saya berada dalam keadaan kemas.

“Saya tak tahu apakah punca utama kereta saya dipecahkan. Saya berkawan dengan semua orang berikutan konsep Sinar Harian sendiri iaitu telus dan tulus,” katanya.

Rizal berkata, kejadian ini sama sekali tidak mematahkan semangatnya untuk terus menjalankan tanggungjawabnya.

“Wartawan memang terdedah kepada risiko. Yang penting, kita melaporkan perkara yang tepat dan benar,” katanya.

Menurutnya, sekiranya marahkan nyamuk janganlah dibakar kelambunya.

“Kalau tak puas hati boleh jumpa. Selesaikan cara elok,” katanya.

sinar harian/-

Henti tangkap rakyat pakai baju-T Bersih

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 14 Julai: Meskipun Himpunan Bersih 2.0 sudah berlalu Sabtu lalu, namun pasukan keselamatan masih menangkap orang awam yang memakai baju T Bersih berwarna kuning.

Seorang aktivis PAS Suhaimi Abdullah ditangkap ketika berniaga di pasar malam di sini, kelmarin kerana memakai baju kuning Bersih.

“Kira-kira pukul 6.40 petang ketika saya sedang berniaga, empat orang anggota polis menghampiri lalu menahan saya kerana kesalahan Seksyen 47 Akta Pertubuhan.

“Saya dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Temerloh menaiki kereta peronda dan disoal siasat. Alhamdulillah kira-kira pukul 10 malam saya dibebaskan dengan jaminan sahabat,” katanya ketika ditemui di hadapan balai polis.

Menurut Suhaimi beliau tidak gentar cuma sedih dengan sistem demokrasi negara sehinggakan memakai baju kuning pun ditangkap sedangkan perhimpunan sudah selesai.

Sementara itu, peguam Ahmad Nizam Hamid yang turut berada di balai polis, meminta supaya pihak berkuasa menghentikan penangkapan orang awam yang memakai baju kuning kerana masih ada kes di mahkamah.

“Bersih 2.0 telah memfailkan penghakiman untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengatakan Bersih haram. Jadi pihak keselamatan perlu hormati mahkamah dengan berhenti menangkap sehingga keputusan semakan (judicial review) itu keluar.

“Apa kata jika mahkamah putuskan Bersih bukan pertubuhan haram? Tidakkah tindakan menangkap itu sia-sia?” soalnya.

Serentak itu beliau meminta mana-mana pihak berhenti daripada mengganggu rakyat yang memakai baju-T Bersih.

harakahdaily/-

Sebelas doktor sahkan 2 hospital diserang

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

Sekumpulan doktor kanan dan pakar perubatan telah mengeluarkan kenyataan membidas kerajaan berhubung 'serangan polis' ke atas peserta perhimpunan BERSIH 2.0 Sabtu lalu di dua buah hospital.

Sehubungan itu, dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada Malaysiakini lewat hari ini, doktor berkenaan yang bertugas di Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu berkata mereka akan mengemukakan afidavit bagi menyokong hujah bahawa hospital diserang.

Mereka mendakwa tindakan polis pada Sabtu lalu jelas mencabul pengiktirafan antarabangsa apabila hospital sebagai tempat santuari diserang.

Malah menurut sebelas doktor berkenaan, semasa peperangan hospital juga tidak akan diserang tetapi dalam kes di Malaysia, polis memasuki bangunan hospital bagi mencari peserta yang melarikan diri daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia.

"Apa yang paling memeranjatkan dan disaksikan ramai bahawa serangan yang tidak diprovokasi itu berlaku di kawasan hospital dan beberapa peserta masuk ke hospital bagi mencari perlindungan daripada tembakan gas pemedih mata dan pancutan meriam air,” kata mereka.

Ini adalah reaksi pertama oleh sekumpulan pakar perubatan berikutan penafian pihak polis dan kerajaan bahawa tidak ada gas pemedih mata dilontarkan ke perkarangan hospital berkenaan pada 9 Julai lalu.
Isnin lalu, menteri kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata polis tidak menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah Hospital Tung Shin ketika menyuraikan perhimpunan BERSIH 2.0.

Katanya, dakwaan yang berlegar di media internet berhubung tembakan ke arah hospital itu adalah tidak benar.

Liow juga berkata sebenarnya polis menembak gas pemedih mata itu ke arah jalan besar dan asap berkenaan mungkin dibawa angin ke arah hospital berkenaan.

Beberapa rakaman video dan gambar yang dikemukakan terus diperlekehkan oleh kerajaan termasuk anggota jemaah menteri.

Menurut kesebelas-sebelas doktor berkenaan, pihak berkuasa tanpa rasa malu terus menafikan serangan itu di sebalik pelbagai bukti yang dikemukakan dan ramai saksi yang tampil membuat pengakuan.

Kenyataan media itu ditandatangani oleh Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong.

"Adalah menjijikkan pihak berkuasa yang diamanahkan tanggungjawab kepolisian menjaga negara dan melindungi mereka yang lemah, tanpa rasa malu menafikan perbuatan mereka secara umum, di sebalik kejadian itu disokong banyak gambar, video dan pengakuan saksi termasuk pemerhati berkecuali,” kata mereka.

Doktor-doktor itu berkata mereka tidak berhasrat menyertai polemik selepas perhimpunan itu, tetapi sebahagian daripada mereka yang sedang bertugas ketika kejadian, bersedia memberi keterangan bersumpah, jika diperlukan bagi memberitahu apa yang sebenarnya berlaku.

Mereka juga mengingatkan pemegang jawatan awam untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan "integriti moral, maruah, dan penuh ketelusan".

"Kegagalan mereka untuk berbuat demikian akan menimbulkan keraguan orang ramai terhadap kecekapan dan kredibiliti mereka dan juga merosakkan imej orang-orang di pejabat awam," kata mereka.

malaysiakini/-

Bersih 2.0 :Tung Shin "Mangsa" Sindrom Penafian Kerajaan, Kata Tian

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 14 JULAI : Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua menyifatkan kenyataan Hospital Tung Shin menafikan hospital itu menjadi sasaran tembakan gas pemedih mata dan pancutan air berkimia polis pada perhimpunan Bersih Sabtu lalu sebagai hasil tekanan kerajaan.

Penafian oleh Lembaga Pengarah hospital itu dibuat ekoran pertemuan mereka dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai Isnin lalu.

Tian berkata ratusan rakyat menjadi saksi dan menyaksikan apa sebenarnya yang berlaku hari itu di Hospital Tung Shin apabila Polis mengepung peserta Bersih yang berlindung di kawasan hospital berkenaan.

"Saya anggap mereka (Kerajaan) cuba intimidasikan pihak hospital. Yang mereka tidak boleh tukar ialah kenyataan yang berlaku. Ratusan rakyat yang ada di Hospital (Tung Shin) dan kita ada video dan gambar.

"Apa yang Liow Tiong Lai atau Chua Soi Lek cakap... pihak Tung Shin tak kan menafikannya," kata Tian ketika dihubungi TV Selangor.

Presiden MCA Dr Chua Soi Lek kelmarin mendakwa gambar dan video rakaman tentang Polis menembak gas pemedih mata kedalam kawasan Hospital Tung Shin tidak semestinya menceritakan kejadian yang sebenar kerana ianya boleh dimanipulasi.

Pengerusi Lembaga Pengarah Ng Beh Tong pula semalam menafikan dakwaan sebuah berita portal bahawa gas pemedih mata dan meriam air yang dilepaskan oleh polis untuk meleraikan perhimpunan haram Sabtu lepas, memasuki kawasan hospital itu sebepas bertemu dengan Tiong Lai.

Tian yang turut menyertai dan ditangkap pada himpunan Sabtu lalu menyifatkan pembohongan Kerajaan Pusat hanyalah menipu diri sendiri sedangkan laporan sebenar tersebar di internet dan media asing.

"Mereka (Kerajaan) seperti burung unta yang menanam kepala sendiri ke dalam pasir kerana cuba menafikan rakyat telah bangkit menuntut Pilihan Raya bersih dan telus.Mereka cuba nafikan bahawa polis telah lakukan kekerasan terhadap orang awam. Ini tidak akan mengubah apa yang terpahat di kepala rakyat yang hadir pada hari itu," tegas beliau.

tv news/-

Guan Eng kena ugut tiga kali

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN - Ketua Menteri Lim Guan Eng sudah tiga kali menerima ugutan menerusi mesej telefon bimbit yang dipercayai ada kaitan dengan ancaman bom palsu di Komtar yang menempatkan pejabatnya kelmarin.

Menurut Guan Eng, kali terakhir ugutan itu diterimanya pada jam 4.05 petang 9 Julai lalu.

“Saya percaya kejadian ini (ancaman bom palsu) ada hubung kait dengan SMS yang saya terima,” katanya.

Guan Eng bagaimanapun menyerahkan kepada polis untuk menyiasat kes itu.

Dalam kejadian kelmarin, polis menemui tiga beg berisi anak babi, biawak dan itik dtinggalkan di ruang menunggu Komtar ketika menyiasat ancaman bom yang kononnya diletakkan di situ.

Siasatan bagaimanapun mendapati tiada alat letupan di tempat itu selain tiga haiwan berkenaan.

sinar harian/-

Tiga letupan gegar Mumbai

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

PENYIASAT mengumpul bukti serangan di kawasan Dadar di Mumbai.

SUASANA kelam-kabut selepas tiga letupan menggegarkan Mumbai.

20 maut serangan di kawasan pusat bandar ketika waktu puncak

MUMBAI: Tiga letupan menggegarkan kota kewangan India, Mumbai, semalam ketika waktu puncak menyebabkan sekurang-kurangnya 20 orang maut dan lebih 80 lagi cedera.
Satu letupan berlalu di Opera House, sebuah lokasi pelancongan di selatan Mumbai, tempat militan berpangkalan di Pakistan melancarkan serangan pada 2008 menyebabkan 166 terbunuh.

Letupan kedua juga di selatan kota itu bertempat di pusat berlian Zaveri Bazaar manakala letupan ketiga adalah di Dadar, pusat bandar itu yang terkenal dengan industri filem Bollywood.

Stesen berita CNN-IBN melaporkan, polis memberitahu mereka bahawa letupan itu adalah daripada bom buatan sendiri (IED) dan berlaku di kawasan padat penduduk khususnya ketika waktu puncak.

“Disebabkan serangan berlaku hampir serentak, ini adalah serangan pengganas,” kata Menteri Dalam Negeri, Palaniappan Chidambaram.

Siaran televisyen CNN-IBN menunjukkan serpihan besi, motosikal dan kereta yang rosak teruk di kawasan kejadian.
“Kami ada dalam pejabat apabila satu bunyi kuat kedengaran. Keadaan kelam kabut di luar, kami lihat trak bomba dan anggotanya membawa dua atau tiga mayat,” kata seorang saksi, Jasraj Jain.

Tiga letupan itu berlaku dalam tempoh 15 minit antara 6.45 petang hingga 7 malam waktu tempatan.

Saksi di luar bangunan urus niaga berlian di selatan Mumbai berkata, letupan kereta berlaku pada round 6.45 petang.

“Ramai orang cedera teruk. Kami tidak tahu berapa ramai mati tetapi letupan itu memang kuat,” kata peniaga warung, Nimesh Mehta, 38.

“Saya mahu kerajaan segera ambil langkah untuk menyiasat siapa yang menjadi dalang serangan ini,” kata Manohar Joshi yang mengetuai cawangan parti Shiv Sena di sini, ketika mengunjungi satu daripada tempat kejadian.

Pesuruhjaya Polis Mumbai, Arup Patnaik, memberitahu stesen televisyen bahawa IED itu diletak dalam payung di Zaveri Bazaar.

Seorang wartawan dekat Opera House berkata, anggota polis mengadakan sekatan di satu tempat letupan dan menghantar anjing pengesan bagi mencari sebarang kesan bukti manakala ambulans dan anggota bomba turut bersiap sedia.

Kementerian Dalam Negeri juga mengeluarkan arahan supaya kawalan keselamatan diperketatkan di seluruh negara.

Letupan terbaru mengingatkan semula kepada keganasan tiga tahun lalu apabila militan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, dipersalahkan.

Selain 2008, serangan lain ke atas Mumbai berlaku pada 1993 yang menyaksikan 260 orang maut di sekitar bursa saham dan kawasan lain.

Selain itu, pada 2006, lebih 180 orang terbunuh apabila militan melakukan serangan terhadap beberapa kereta api penumpang. – AP/AFP/Reuters

Kualiti Udara Semakin Baik Di Seluruh Negara

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Status kualiti udara di seluruh negara pada pagi ini telah bertambah baik.

Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada pukul 7 pagi Khamis mencatatkan 23 kawasan berada pada tahap baik dan 29 kawasan berada pada tahap sederhana.

Tiada stesen berada pada tahap tidak sihat.

Bagaimanapun, JAS sentiasa mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan terus mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri dan menggerakkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara.

Di samping itu, penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri-industri terus dipertingkatkan.

Dalam keadaan status kualiti udara yang tidak stabil dalam tempoh cuaca panas dan kering ketika ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka.

Orang ramai juga diminta berkerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol, 1-800-88-2727.

mStar/-

Penganut agama lain digalak pelajari Islam

13 Syaaban 1432H. [MOD] -



Harakahdaily   
KUALA TERENGGANU, 14 Julai: Mempelajari tentang Al-Quran dan al-Hadis merupakan suatu tuntutan yang bukan sahaja terpaksa digalas oleh seluruh umat Islam tetapi juga turut digalakkan ke atas orang yang bukan Islam.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, ini kerana Al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.
“Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau menegaskan demikian sebagai mengulas tindakan seorang Adun BN di Selangor yang mempertikaikan tindakan salah seorang Adun DAP yang membaca hadis.
Perkara tersebut disiarkan dalam salah satu akhbar perdana kelmarin yang bertajuk ‘Adun DAP tak layak berhujah guna hadis’.
Berdasarkan laporan berita tersebut, Adun Umno itu dipetik berkata: “Saya ingin bertanya kenapa beliau bercakap soal Islam sedangkan beliau tidak beriman kepada Islam. Kami orang Islam pun tidak berani berhujah kerana takut terpesong daripada maksud hadis”.
“Bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam. 
“Sekiranya ada kesilapan dalam kefahaman, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam membimbing dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang tidak ‘mesra’  yang akhirnya mereka lari daripada memahami ajaran Islam,” jelas Ustaz Harun yang juga Adun Manir.
Beliau menjelaskan, PAS bersikap ‘menerang dan bukannya menyerang’. 
Justeru, katanya Umno wajib sedar bahawa Al-Quran dan hadis adalah sumber hukum.
“Jika Umno benar-benar ikhlas cintakan al-Quran dan hadis, maka sokonglah agenda Islam yang dibawa oleh PAS,” katanya.

Krisis politik: Mesir pecat 700 pegawai kanan polis

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

KAHERAH, 14 Julai — Hampir 700 pegawai kanan polis Mesir dibuang kerja ekoran insiden membunuh penunjuk perasaan ketika kebangkitan rakyat negara itu menggulingkan Presiden Hosni Mubarak awal tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Mansour Essawy berkata seramai 505 jeneral dan 164 pegawai biasa akan ditamatkan perkhidmatan mereka mulai 1 Ogos ini.

Tindakan itu diambil ekoran protes yang berterusan di Dataran Tahrir di sini, menggesa kerajaan mempercepatkan tindakan ke atas anggota polis dan pegawai-pegawai Hosni yang berasuah.

Pihak tentera juga mengesahkan bahawa pilihan raya September ini akan ditangguh.

“Diputuskan bahawa (pilihan raya Parlimen) akan diadakan Oktober atau November,” kata seorang pegawai majlis tentera dipetik laporan BBC.

Laporan stesen TV Mesir berkata seramai 37 pegawai yang dipecat turut berhadapan dengan tuduhan membunuh penunjuk perasaan.

Lebih 800 penunjuk perasaan terbunuh ketika kebangkitan rakyat selama 18 hari yang membawa kepada Hosni meletakkan jawatan pada 11 Februari.

malaysianinsider/-

Judi: Exco Melaka hina kaum Cina

13 Syaaban 1432H. [MOD] -



Harakahdaily   
MELAKA, 14 Julai: Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka menyelar tindakan Adun Ayer Molek, Datuk Mohd Yunos Husin yang menghina kaum Tionghua dengan mengatakan budaya judi menjadi budaya kaum tersebut.
Ketua penerangannya, Muhamad Aizat Bahrudin berkata, tindakan menyamakan budaya judi sebahagian budaya Cina adalah suatu yang tidak wajar dan ianya tindakan yang menghina kaum itu.
Adun Barisan Nasional  itu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Melaka telah menyatakan sedemikian dalam menjawab soalan tambahan pembangkang di dalam sidang dewan undangan negeri yang bersidang kelmarin.
Dalam soalan tambahan itu, Goh Leong San selaku Ketua Pembangkang mempersoalkan tentang mesin judi yang kemudiannya dijawab oleh Mohd Yunos bahawa ia tidak boleh disekat kerana ianya telah menjadi budaya sebilangan orang Cina.
“Kita sudah maklum bahawa budaya judi adalah budaya yang mendatangkan keburukan kepada masyarakat. Setiap kaum dan setiap agama menolak judi,” kata Aizat.  
Katanya, Mohd Yunus dilihat gagal dalam memahami budaya kaum Tionghua walaupun negara ini telah lama merdeka.
“Ianya suatu yang sangat malang bagi Adun yang seharusnya menjadi ‘role-model’ kepada rakyat memandangkan beliau adalah seorang pemimpin rakyat,” ujarnya.
Beliau berkata, Exco itu juga telah gagal dalam memahami konsep 1Malaysia yang telah digagaskan sendiri oleh pemimpin mereka.
Menurutnya, sejarah juga membuktikan gagasan 1Malaysia telah gagal memandangkan telah ramai pemimpin dari Barisan Nasional dan Umno menghina kaum dan agama lain sebelum ini.
Tambahnya, tindakan menghina kaum Tionghua itu juga menjadi penyebab kepada Ketua Pembangkang, Goh Leong San yang merupakan Adun Kesidang digantung daripada menghadiri sidang dewan setelah beliau bangkit dan mendesak Adun Ayer Molek itu menarik kata-kata menghina tersebut.
Justeru, ujarnya rakyat jangan lupa bahawa pemimpin Barisan Nasional juga yang menghalalkan judi bola sepak sebelum ini.
“Jangan nanti orang kata, kata dulang paku serpihkata orang dia yang lebih,” ujarnya lagi.

Rombongan kenderaan mewah dalam perarakan jenazah

13 Syaaban 1432H. [MOD] -



SATU perarakan melibatkan kenderaan mewah mengiringi kereta jenazah Rolls-Royce di sebatang jalan raya di Essex, Britain baru-baru ini.



BILLERICAY - Satu perarakan melibatkan sejumlah kenderaan mewah mengiringi sebuah kereta Rolls-Royce yang membawa jenazah pengasas lokasi tempat tinggal pengembara terbesar di Eropah, William Saunders di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Sejumlah kereta mewah Mercedes dipandu mengiringi jenazah itu selain trak pikap berwarna putih, van dan lori di sebatang jalan raya ke lokasi pengebumian dari rumah Saunders di Bukit Crays, Essex, Britain baru-baru ini.
Beberapa pegawai polis menutup sebahagian jalan raya bagi memberi laluan perarakan tersebut.
Seorang saksi berkata: "Saya tidak pernah melihat satu perarakan jenazah seperti ini."
Saunders yang berumur dalam lingkungan 60-an mati kerana kanser pada bulan lalu.
Keluarganya membeli tanah di Bukit Crays pada tahun 1980-an selepas lama berusaha untuk mendapatkannya daripada Majlis Perbandaran Basildon.
Kaum keluarga Saunders dan rakan-rakannya kemudian berpindah manakala pada tahun 2000-an, pengembara Ireland turut menetap di kawasan itu. - Agensi

Jet Israel bom Gaza

13 Syaaban 1432H. [MOD] -


BEBERAPA penduduk meninjau satu struktur bangunan yang musnah akibat dibom jet Israel di bandar Gaza semalam.


BAITULMUQADDIS – Jet-jet Israel mengebom dua kawasan di Gaza semalam yang mencederakan seorang wanita selepas beberapa pejuang Palestin membedil tiga roket ke selatan Israel, kata sumber Israel dan Palestin.
Tentera Israel menyatakan, jet-jetnya menyasarkan dua kawasan pengeluaran senjata di utara Genting Gaza.
“Bedilan disahkan mengenai sasaran dan beberapa letupan susulan dikenal pasti,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan.
Sumber-sumber perubatan Palestin memberitahu, seorang wanita cedera ringan dalam serangan udara itu di timur Bandar Gaza dan dia dihantar ke hospital Shifa yang terletak berdekatan.
Dalam perkembangan berkaitan, tentera Israel kelmarin menyatakan, tiga roket dibedil ke selatan Israel dari Gaza tetapi tiada kecederaan dilaporkan dengan sebuah roket berkenaan cuma menyebabkan sebuah rumah mengalami kerosakan kecil. – AFP

Pukat pari punca mati

13 Syaaban 1432H. [MOD] -



KEBANYAKAN penyu mati terdampar di pantai selepas tersangkut pada pukat nelayan di Terengganu.– Gambar hiasan



KUALA TERENGGANU – Sebanyak 15 ekor penyu agar yang dipercayai terperangkap dalam pukat pari semasa hendak naik ke pantai untuk bertelur ditemui mati di pantai Terengganu sejak Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Zakaria Ismail berkata, berikutan itu pihaknya telah merampas 113 bidang pukat pari dalam operasi pemusnahan pukat pari sejak Mac hingga Jun lalu.
“Kita percaya penyu-penyu itu dicampak keluar oleh nelayan-nelayan pukat pari sebelum dihanyutkan ke pantai,” katanya kepada Bernama di sini semalam.
Zakaria berkata, pihaknya sedang meningkatkan operasi memusnahkan pukat-pukat pari sepanjang pantai Terengganu di samping banyak menerima aduan daripada pencinta-pencinta penyu tentang kegiatan nelayan pukat pari di negeri itu.
Pada perkembangan lain, jabatan berkenaan telah berjaya melepaskan sebanyak 26,766 ekor anak penyu agar yang baru menetas ke laut sejak Mac hingga Jun lalu.