14 Julai 2011

Kes rasuah: Nasib Khir Toyo diketahui 8 Ogos

12 Syaaban 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 13 Julai — Mahkamah Tinggi akan memutuskan pada 8 Ogos ini sama ada bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, perlu membela diri ataupun sebaliknya berhubung tuduhan melakukan rasuah berkaitan pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah rumah agam empat tahun lalu.

Hakim Datuk Mohtaruddin Baki menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai mengemukakan hujah masing-masing pada akhir kes pendakwaan hari ini.

Dr Khir (gambar) didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

malaysianinsider/-

Tiada ulasan: