08 Ogos 2012

Bukan JK Khas Royalti, tapi JK pilihan raya - Wahid

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Terengganu menyifatkan penubuhan jawatankuasa khas berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri-negeri Pantai Timur yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini sebagai jawatankuasan untuk pilihan raya.

Pesuruhjaya PAS negeri Mohd Abdul Wahid Endut berkata, jawatankuasa itu tidak perlu ditubuhkan kerana perjanjian Petronas dengan kerajaan negeri sudah terang lagi bersuluh.

"Buat apa lagi jawatankuasa ini kerana semua perjanjian sudah ada. Memang sahih minyak di perairan Kelantan tetapi Pusat mendaratkan di Thailand.

"Kerana nak pilihan raya. Jawatankuasa ini untuk pilihanraya,” tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Abdul Wahid yang juga Adun Wakaf Mempelam dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu adalah antara wakil rakyat yang aktif membawa usul dan mengemukakan persoalan berhubung royalti petroleum sama ada di Dewan Undangan Negeri Terengganu mahupun di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu beliau mengingatkan Kelantan agar tidak mudah tertipu dengan permainan oleh kerajaan Pusat.

Abdul Wahid tidak menolak apa yang telah berlaku terhadap Terengganu sebelum ini mungkin boleh terjadi kepada Kelantan.

Misalnya, kata beliau pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu pada 2009, Najib Tun Razak menyampaikan wang hasil minyak berjumlah hampir RM500 juta kepada Terengganu tetapi itu adalah royalti untuk tahun 2009.

“Apa yang berlaku di Terengganu sekarang? Sudah tiga tahun Terengganu tidak mendapat royalti. Petronas bayar terus kepada kerajaan pusat akhirnya hasil itu telah diberikan kepada semua negeri di Malaysia ,” tambahnya.

Abdul Wahid turut mempersoalkan apa tujuan Najib Tun Razak memasukkan negeri Pahang dalam jawatankuasa tersebut, sedangkan Pahang tidak ada minyak?

"Nampaknya Najib mahu mengalihkan ke negeri kelahirannya juga. Selepas ini jika Johor menuntut royalti, Najib akan memasukkan negeri itu pula ," kata beliau.

Jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tan Sri Abdul Hamid Mohamad dan akan dianggotai pakar undang-undang dari dalam dan luar negara, wakil dari kerajaan negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu yang diperkenan Sultan negeri-negeri berkenaan.

harakahdaily/-

Banjir lumpuhkan ibu kota Filipina

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Manila: Hujan lebat yang menyebabkan banjir hingga paras pinggang melumpuhkan ibu negara Filipina semalam selain memaksa 270,000 penduduk dipindahkan manakala pejabat kerajaan dan sekolah terpaksa ditutup.

Hujan lebat berikutan musim monsun menyebabkan empangan utama dan sungai di Manila melimpah membabitkan sembilan wilayah berhampiran dan memerlukan pihak berkuasa untuk berwaspada. Angka kematian akibat Taufan Saola minggu lalu yang melanda Manila dan selatan Filipina selama beberapa hari meningkat kepada 51 orang.

Ketua agensi penyelamat kerajaan, Benito Ramos berkata tiada laporan segera mengenai kematian terbaru semalam selepas hujan lebat di Manila lebih 24 jam.

Kenderaan dan juga trak besar terperangkap di jalan raya manakala beribu-ribu pengguna terkandas sepanjang malam. Kebanyakan kereta tersekat dalam banjir lumpur.

Empangan La Mesa, yang membekalkan air kepada ibu negara dengan sejumlah 12 juta penduduk buat kali kedua melimpah ke sungai di bandaraya Quezon, selain kejiranan Malabon, Valanzuela dan Caloocan di mana beberapa perkampungan turut tenggelam.

Pemindahan paksa

Polis turut memindahkan lebih 5,000 penduduk dari kawasan tebing sungai dalam apa yang disifatkan Datuk Bandar Jose Cadiz sebagai pemindahan paksa. Operasi bermula selepas Dewan Bandaraya membunyikan loceng penggera.
Bursa Saham Filipina di daerah kewangan Makati yang dilanda banjir turut ditutup semalam. Juga ditutup adalah Kedutaan Amerika Syarikat di sepanjang Manila Bay, bandaraya bersejarah.

Kedutaan ditutup hari ini berikutan banjir di jalan dan kebimbangan keselamatan kakitangan serta pemohon konsular, kata Duta Harry Thomas Jr dalam satu pengumuman.

Tentera yang terbabit dalam kerja menyelamat turut membatalkan beberapa acara berikutan banjir termasuk majlis menganugerahkan ganjaran kepada pemberi maklumat yang membantu askar menangkap militan yang dikaitkan dengan al-Qaeda.

Pada 2009, banjir besar disebabkan satu taufan memusnahkan Manila dan kawasan sekitar serta membunuh beratus-ratus penduduk berikutan banjir kilat. Biro cuaca tempatan berkata banjir sekarang tidak seburuk sebelum ini tetapi memberi amaran lebih banyak hujan dalam masa beberapa hari.

Sementara itu, hujan lebat yang berlaku disebabkan taufan Saola di beberapa kawasan di China termasuk di wilayah Hubei, apabila 14 maut dan lima hilang manakala beratus-ratus terkandas kerana banjir dan lumpur runtuh.

Di Hubei, ribut dan lumpur runtuh memusnahkan 512 kediaman dan memaksa 180,000 penduduk berpindah. Di wilayah sebelah timur laut, Liaoning, taufan Damrey membunuh 9 orang manakala empat lagi hilang.

Di barat laut China, anggota penyelamat berusaha mencari lebih 100 penduduk yang terperangkap kerana lumpur runtuh manakala di wilayah Yunnan, lebih 100 terperangkap kerana lumpur runtuh.

AFP/AP

Merdeka: Kedah guna logo dan tema bersama

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Semua negeri Pakatan Rakyat akan menggunakan logo dan tema yang sama dalam sambutan Merdeka ke 55 apabila Kedah memutuskan berbuat demikian hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, keputusan itu dibuat oleh kerajaan negeri Kedah dan dimaklumkan kepada beliau hari ini.

"Saya telah menerima panggilan telefon dari Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah memaklumkan keputusan itu hari ini," kata Mustafa.

Menurut Mustafa yang meruapakan Pengerusi JK Pemilihan Logo Hari Kemerdekaan ke 55 Pakatan Rakyat, beliau telah berbinacang dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak mengenai perkara ini semalam.

"Alhamdulillah hari ini Kedah sudah membuat keputusan menggunakan logo bersama yang diputuskan Pakatan," kata beliau.

Bagi Mustafa (gambar), keputusan Kedah ini menunjukkan betapa hebatnya demokrasi dalam Pakatan Rakyat.

"Kami jawatankuasa peringkat pusat telah bersetuju menerima Kedah dan Kelantan menggunakan tema dan logo mereka sendiri untuk sambutan Kemerdekaan ini walaupun kita ada logo kita sendiri.

"Ini kerana, mereka telah membuat keputusan awal dari keputusan Pakatan tentang pemilihan logo itu.

"Sekarang, mereka (Kedah dan Kelantan) yang membuat keputusan sendiri untuk menggunakan logo dan tema yang sama," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Semalam Kelantan membuat keputusan untuk menggunakan logo dan tema merdeka yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' walaupun memutuskan tema mereka sendiri sebelum ini iaitu 'Kelantan Menerajui Perubahan'.

Kedah telah membuat keputusan untuk menggunakan tema 'Terus Berbakti' sebelum ini kerana ia diputuskan sebelum Pakatan Rakyat memutuskan untuk mempunyai tema tersendiri.

Pakatan memutuskan untuk mempunyai tema sambutan Merdeka ke 55 sendiri selepas tidak bersetuju dengan tema yang diputuskan oleh kerajaan pusat 'Janji Ditepati'.

Ini kerana, tema itu selari dengan tema kempen BN sedangkan sambutan kemerdekaan adalah untuk semua rakyat negara ini.

Tema Pakatan 'Sebangsa, Senegara, Sejiwa' dihasilkan oleh satu penal yang diketuai oleh Datuk A Samad Said.

Logo sambutan Merdeka ke 55 dan Hari Malaysia 2012 akan diperkenalkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat esok.

harakahdaily/-

500 duri landak terpacak pada muka anjing

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DOKTOR yakin masih ada duri dalam badan Bella Mae.
NORMAN: Bella Mae, anjing bulldog berusia tiga tahun dari Oklahoma, mempelajari sesuatu yang mungkin tidak akan dilupakannya selepas diserang seekor landak hingga menyebabkan 500 duri landak melekat pada mukanya.

Doktor veterinar di Norman menjalankan pembedahan untuk membuang duri berkenaan dari kepala dan kaki anjing itu.

DOKTOR menjalankan pembedahan mencabut duri daripada muka, leher, kaki dan dada Bella Mae.

MUJUR tidak ada duri yang terkena matanya.

Mereka percaya sebahagian duri berkenaan masih berada di dalam tubuh Bella Mae meskipun anjing itu kini pulih daripada serangan itu.

Jerry dan isteri, Allison Noles memberitahu stesen televisyen KWTV bahawa anjing itu bermain dengan haiwan peliharaan mereka yang lain berhampiran kolam keluarga itu apabila mereka berdepan dengan seekor landak.

Keluarga itu percaya landak terbabit berada di kolam mereka untuk meminum air yang kini sukar didapati di Oklahoma.

Pasangan itu yakin Bella Mae berada terlalu rapat dan mencetuskan kemarahan landak berkenaan, menyebabkan ia melancarkan serangan.

Doktor veterinar di Pusat Kesemasan Untuk Haiwan, Leonardo Baez memberitahu KWTV, dia belum pernah melihat serangan landak sebegitu teruk ke atas haiwan peliharaan. - DM

Arab Saudi: Myanmar laku 'pembersihan etnik'

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Arab Saudi menuduh pihak berkuasa Myanmar melakukan 'pembersihan etnik' terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya di barat negara itu.

Agensi berita SPA yang memetik kenyataan Menteri-menteri Kabinet Arab Saudi semalam berkata, kerajaan Islam itu mengutuk kempen penghapusan etnik dan serangan ganas yang dilancarkan ke atas penduduk Islam Rohingya.

Katanya, tindakan sedemikian turut menyalahi hak asasi manusia disebabkan penduduk minoriti itu dipaksa meninggalkan tempat asal mereka.

Barisan Kabinet yang dipengerusikan Raja Abdullah juga mendesak masyarakat antarabangsa sama-sama memikul tanggungjawab menyediakan perlindungan dan kehidupan yang lebih baik kepada penduduk Islam di Myanmar, sekali gus menghalang lebih banyak kehilangan nyawa.

Rusuhan etnik dan agama yang tercetus di Rakhine, barat Myanmar sejak Jun lalu, mengorbankan 80 nyawa, termasuk tiga kematian terbaru yang dicatatkan kelmarin.

Kelmarin, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang beribu pejabat di Arab Saudi turut mengemukakan cadangan untuk menghantar pasukan misi khas ke Myanmar bagi menyiasat dakwaan berhubung pembunuhan beramai-ramai masyarakat Islam Rohingya.

Kerajaan Myanmar menganggarkan kira-kira 800,000 etnik Rohingya tinggal di negara itu, dan kebanyakan mereka dianggap sebagai pendatang haram dari Bangladesh. - AFP

Miri diselubungi oleh Jerebu

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Miri - Seperti yang dilapor dalam akhbar tempatan kira-kira jam 11
pada pagi Isnin, Indeks Pencemaran Udara bagi Institut Latihan
Perindustrian (ILP) di Miri berada pada 236, yang merupakan lonjakan
kepada takat 73 dari hari sebelumnya dari API sebanyak 163 yang
dicatatkan pada 11 pagi pada hari Ahad.

Stesen pemantauan terletak berhampiran kebakaran yang bermula pada
hari Jumaat. Bacaan API yang baik adalah dari 0-50, sederhana
(51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-299) dan
berbahaya dari 300 dan ke atas.

Ini menunjukan API bagi kawasan Miri terutama sekali kawasan Baram
adalah amat tidak sihat bagi penduduk yang tinggal dalam kawasan
tersebut. Apakah tindakan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini
selain dari melarang orang ramai dari pembakaran terbuka?

Pihak berkuasa tempatan seharusnya memaklumkan kepada orang ramai agar
jangan keluar rumah terutama kepada pesakit asma atau penyakit lelah.
Kebanyakkan orang ramai tidak mengetahui atau tidak mempunyai maklumat
terkini tentang masalah jerebu yang melanda Miri terutama sekali
penduduk kampung.

Pihak berkuasa tempatan seharusnya telus dalam memberi laporan dan
memaklumkan kepada orang ramai agar bersedia untuk berpindah sekiranya
keadaan semakin teruk.

Kita mendesak agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas keatas
aktiviti pembakaran terbuka oleh syarikat perladangan di negeri ini
bukan saja membekukan susulan kebakaran tanah gambut yang berlaku di
kawasan Tudan, Miri, Sabtu lalu tetapi juga mengawal kebakaran dari
terus merebak ke kawasan lain.

Jangan hanya mengambil tindakan tegas terhadap orang awam yang
membakar sampah di kawasan perumahan tetapi punca utama jerebu adalah
disebabkan oleh pembakaran terbuka yang dijalankan oleh syarikat
perladangan dalam negeri ini.

Mereka ini yang perlu dikawal serta dipantau agar segala aktiviti
mereka ini benar-benar mengikut prosedur yang dibenarkan oleh
undang-undang negara.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak

PAS Kota Samarahan santuni masyarakat

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA SAMARAHAN: Melihat kesusahan dan penderitaan sebilangan masyarakat yang kurang bernasib baik, PAS Kota Samarahan terpanggil untuk memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Bersempena Ramadhan Al-Mubarak, seramai 105 orang penerima yang terdiri daripada golongan fakir miskin, anak yatim, orang kelainan upaya, ibu tunggal dan warga emas dikenalpasti untuk menerima sumbangan itu.

Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus, dalam program Sekampit Beras Negara Kebajikan.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada penduduk di Kampung Baru dan Kampung Pengkalan Kuap baru-baru ini berkata, program sebegini amat bermakna dan membahagiakan dalam kehidupan mana-mana insan apabila dapat menggembirakan hati insan lain yang kurang bernasib baik, terutamanya anak-anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin.

Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rekod pendapatan tertinggi pada 2011 iaitu melebihi RM4 billion, katanya, sepatutnya pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh BN, hendaklah lebih cakna atau prihatin kepada rakyatnya.

"Bukan sekadar membuat pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan rohani kepada semua rakyat," katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Samarahan, Zul Ramzi beserta dengan pimpinan Pemuda negeri dan Kawasan Petrajaya.

Harapan beliau agar sumbangan itu dapat mengurangkan bebanan rakyat dalam bulan Ramadhan ini tambahan Syawal yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Beberapa penduduk kampung yang ditemui menyatakan kesyukuran dan mengakui bahawa PAS merupakan parti yang prihatin dan benar-benar bersifat rakyat, sekaligus menepati slogan yang dibawa PAS iaitu Membangun Negara Berkebajikan.

Kehadiran Abang Ahmad Kerdee dan rombongannya dirai dengan penuh kegembiraan oleh penduduk kampung yang rata-ratanya bekerja sebagai petani dan nelayan.

Sementara itu, Abang Ahmad dan rombongannya juga turut membuat tinjauan khas ke tempat pelupusan sampah di Kota Samarahan yang menjadi masalah kepada masyarakat sekitar kawasan ini.

Dari tinjuan yang dilakukan katanya, tempat ini tidak diselenggara dan diurus dengan baik, menyebabkan bau busuk dan sampah sarap terbiar begitu sahaja.

Tambah memburukkan lagi keadaan, kawasan ini berdekatan dengan penempatan penduduk tempatan, antara kampung yang berdekatan ialah Kampung Plaie, Kampung Sungai Batu, Kampung Rembus, Kampung Jegoi dan Kampung Baru.

Menurut penduduk Kampung Sungai Batu yang ditemui, masalah bau busuk akan bertambah buruk apabila waktu hujan dan mereka telah menanggung masalah ini sejak 20 tahun yang lalu.

Menurut Abang Ahmad Kerdee turut menyatakan kekecewaan beliau mengenai pengurusan pusat pelupusan sampah yang begitu teruk.

"Bukan itu sahaja, aktiviti pembakaran terbuka di pusat pelupusan sampah ini memburukkan lagi keadaan," katanya.

Justeru katanya, penduduk sekitar berharap agar PAS Kawasan Kota Samarahan dapat membawa permasalahan ini ke pihak berkuasa tempatan agar penderitaan mereka selama 20 tahun akan berakhir terutama sebelum bulan Syawal menjelma tidak lama lagi.

harakahdaily/-

CIJ lancar hari cegah siar internet Selasa ini

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Malaysia akan melancarkan hari cegah siar internet Selasa depan dalam kempen menentang pengenalan 114A, Akta Keterangan yang dikatakan akan mengongkong kebebasan Internet.

Ia bertujuan untuk mewujudkan kesedaran di kalangan pengguna Internet mengenai impak negatif pindaan tersebut terhadap kebebasan bersuara di talian.

Pegawai Eksekutif CIJ, Masjaliza Hamzah (kanan), dalam satu
kenyataan berkata, matlamatnya adalah untuk warga internet mendesak kerajaan menarik balik pindaan yang diluluskan secara tergesa-gesa bersama dengan beberapa undang-undang lain, dalam sidang Parlimen April lalu dan diwartakan pada 31 Julai.

"Pindaan ini telah menimbulkan kebimbangan banyak pihak seperti peguam, aktivis dan perniagaan berasaskan Internet. Di bawah seksyen itu, seseorang pengguna internet dianggap penerbit mana-mana kandungan dalam talian, melainkan ia dibuktikan sebaliknya.

"Ia juga menjadikan individu dan mereka yang mentadbir, mengendali atau menyediakan ruang untuk forum komuniti dalam talian, blog dan hos perkhidmatan, bertanggungjawab ke atas kandungan yang disiarkan.

"Anggapan bersalah ini bertentangan dengan prinsip asas
keadilan, iaitu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan membebankan seseorang yang mungkin tidak mempunyai sumber untuk mempertahankan dirinya di mahkamah," katanya.

Jangkauan luas pindaan tersebut, katanya, akan memberi kesan kepada semua pengguna internet, lamanweb yang menyediakan ruang untuk komen dalam talian, dan mana-mana premis perniagaan yang menyediakan Wi-Fi percuma kepada pelanggan mereka.

Seksyen baru ini telah digubal walaupun pada hakikatnya undang-undang yang sedia ada - termasuk Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 - telah digunakan untuk menangkap dan mendakwa mereka yang dituduh melakukan fitnah, penipuan dan hasutan melalui talian.

Ia telah dilaporkan oleh peguam hak asasi manusia Edmund Bon bahawa pindaan Seksyen 114A tidak perlu kerana polis boleh mendapatkan bukti dengan cara lain, dan tidak mempertanggungjawabnya terhadap pengendali perkhidmatan itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah menggesa supaya seksyen itu dibatalkan kerana ia mengongkong media Internet.

malaysiakini/-

Filem TANDA PUTERA Ditayangkan Sebelum PRU13 Untuk Hasut Rakyat Benci PR

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Tanda Putera’ Didakwa Semarak Perkauman, PR Mahu Dikaji Semula

PETALING JAYA 7 OGOS: Pakatan Rakyat (PR) mendesak agar kerajaan mengkaji semula kelulusan tayangan Filem Tanda Putera yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 September nanti.

Menurut kenyataan bersama PR itu, terdapat maklumat bahawa filem arahan pengarah terkenal, Shuhaimi Baba itu mengandungi unsur-unsur menyemarakan semula api perkauman di negara ini.

“Kita dah dapat gambaran sedikit tentang apa yang akan ditayangkan itu dan kami merasakan kandungan dari filem ini tidak mengambarkan suatu usaha yang benar-benar menyatukan rakyat.

“Trailer filem ini pun dah tengok, nampak hanya membakarkan api perkauman di negara ini.

“Bagaimanapun kami mahu kerajaan dapat tayangkan kepada kami terlebih dahulu sebelum ia ditayangkan kepada umum supaya kita boleh beri pandangan,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menambah, selain filem bertema kemerdekaan yang dijadikan hak milik Umno-BN, pengunaan dana kerajaan dalam pembikinannya juga dilihat sebagai tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab dan berfikiran sempit.

Tanda Putera merupakan sebuah filem yang mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail.

Watak Abdul Razak dalam filem ini merujuk kepada bapa kepada Perdana Menteri yang ada sekarang, Datuk Seri Najib Razak.

Antara yang dipaparkan semula dalam filem tersebut adalah sejarah hitam negara, peristiwa 13 Mei 1969. -selangorku

Kenapa dolak-dalih dalam royalti - Ku Li

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Petronas yang menandatangani perjanjian dengan Menteri Besar Kelantan mengenai royalti Petroleum, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) menempelak sikap pihak yang suka berdolak dalih dalam itu royalti minyak untuk Kelantan.

Dalam posting terbaru melalui Facebook beliau, anggota Parlimen Gua Musang itu mempersoalkan "Mengapa kita masih suka berdolak-dalik dalam perkara yang begitu jelas seperti yang termaktub dalam akta dan perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui?"

Beliau menghubungkan komen beliau itu dengan muka depan Akta 144 - Akta Kemajuan Petroleum 1974 (gambar kanan) yang menyatakan dengan jelas kedudukan royalti minyak untuk Kelantan dan lain-lain negeri.

Tengku Razaleigh dipercayai mempertikaikan penubuhan Jawatankuasa untuk mengkaji pemberian bayaran tunai/royalti Petroleum yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Najib telah menghantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan meminta beliau menghantar nama wakil kerajaan negeri untuk menyertai jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Hamid Mohamad itu.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh dalam kenyataannya meminta kerajaan Pusat agar menyelesaikan isu pembayaran royalti ini menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana, kata beliau, isu ini akan menyusahkan BN jika ia tidak diselesaikan sebelum itu.

harakahdaily/-

Gelora cintai isteri kawan

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

PARAH...Thenagaran menunjukkan kecederaan pada kepala serta jari kiri isterinya.
ALOR GAJAH: Seorang lelaki bertindak kejam menyerang seorang ibu muda beranak lima dengan cota hingga parah di sebuah taman perumahan di sini, awal pagi kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 24 tahun itu adalah rakan sekerja suami mangsa yang tinggal di taman sama dan menaruh hati terhadap wanita itu sejak tujuh tahun lalu.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa, P Anjalai, 27, sedang tidur bersama anak bongsunya berusia tiga tahun di dalam bilik selepas suaminya, P Thenagaran, 31, keluar bekerja.

Manakala empat lagi anaknya iaitu T Yogeswaran, 9, T Phavitra, 8, T Thiviya, 5, dan T Sutharshini, 4, tidur di ruang tamu rumah berkenaan sebelum seorang lelaki meluru masuk ke dalam bilik tidur mangsa.


Anjalai dikatakan cuba mempertahankan diri ketika lelaki itu cuba menanggalkan baju dan seluarnya sebelum berlaku pergelutan hingga menyebabkan mangsa pengsan akibat dipukul dengan senjata tumpul.

metro/-

Perbicaraan pemimpin Baju Merah mungkin ditangguh

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BANGKOK 8 Ogos - Perbicaraan melibatkan 23 pemimpin kumpulan Baju Merah berhubung tragedi berdarah pada 2010 dijangka ditangguhkan ekoran sesetengah daripadanya memiliki pengecualian Parlimen.

Kesemua pemimpin tersebut termasuk empat wakil rakyat dijadual menghadiri perbicaraan pada Khamis ini di sini.

"Sesetengah daripada defendan memiliki pengecualian Parlimen dan perbicaraan tidak boleh dijalankan secara individu," kata peguam Karom Polpornklang. - AFP

DAP: Dokumen tunjuk Noh Omar terlibat projek udang

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

DAP mendedahkan dokumen yang didakwa membuktikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar terlibat dalam satu perusahaan kolam ternakan udang di Tanjung Karang, Selangor.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim hari ini menunjukkan satu salinan akuan sumpah bertarikh 11 Januari 2011 dan satu dokumen permohonan kaveat bertarikh sama ke atas tanah yang disewa syarikat itu daripada Noh Omar.

"Saya ada dokumen Syarikat Pristine Agrofood yang dalam akuan sumpahnya menyatakan syarikatnya ada usaha sama dengan Noh bin Omar.

"Surat kaveat yang saya ada, syarikat ini (juga) bersetuju mengusahakan tanah itu bersama Noh Omar.

"Ini (adalah) usaha sama. Beliau tak nafikan akuan sumpah ini," kata Ng selepas mengetuai satu demonstrasi di hadapan tapak projek tersebut pagi ini.

Menurut Ng, kaveat berkenaan bertujuan untuk menghalang Noh daripada menjual tanah berkenaan selama perjanjian itu berkuatkuasa.

Ng mendakwa surat akuan sumpah yang menyebut "syarikat telah bersetuju mengusahakan hartanah bersama dengan Noh bin Omar...." membuktikan Noh Omar terlibat dalam projek itu lebih daripada sebagai pemilik tanah yang menyewakan tanahnya.

Katanya, "usahasama" yang disebut dalam dokumen itu menimbulkan "keraguan yang munasabah" dan definisi istilah itu juga sangat luas.

"Jadi kita mahu pihak berkuasa siasat. Sama ada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak), polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya.

Beliau memberi contoh, seorang menteri perumahan boleh membeli rumah tetapi menteri berkenaan tidak boleh terlibat dalam mana-mana syarikat perumahan.

Justeru, prinsip yang sama katanya diguna pakai dalam kes projek udang yang membabitkan Noh Omar.

"Noh Omar boleh makan udang termasuk otak udangnya tetapi dia tak boleh ternak udang. Ini salah guna kuasa.

"Orang yg kononnya nak jadi menteri besar Selangor ini wajib tampil ke depan dan jawab (dakwaan ini)," kata Ng lagi.

Noh pada 14 Julai lalu dilaporkan mengakui mempunyai pegangan dalam satu perniagaan penternakan udang di Tanjong Karang, dan menegaskan tidak ada salahnya berbuat demikian.

Akhbar Sin Chew Daily pada hari itu melaporkan, Noh mendakwa masih belum dilantik sebagai menteri ketika tanah seluas 30 ekar di Bagan Tengkorak itu dimilikinya.

Bagaimanapun, dua hari kemudian beliau menafikan mempunyai sebarang pegangan kewangan dalam projek penternakan udang di Tanjung Karang yang diuruskan oleh Pristine Agrofood Sdn Bhd.

"Pegangan" yang dimaksudkannya, seperti dilaporkan Sin Chew, jelas Noh, tidak lebih daripada bermaksud tanah yang dipajakkannya kepada syarikat.

Isu berhubung projek ternakan udang tersebut pertama kali dibangkitkan Ng ketika membentangkan satu usul di DUN Selangor bagi menyekat wakil rakyat Selangor dan ahli majlis di negeri tersebut daripada membeli tanah semasa tempoh khidmat mereka.

malaysiakini/-

Malaysia & Masa Depan Wanita

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Kerajaan British merupakan perintis kepada Persidangan Meja Bulat yang pertama kalinya diadakan di London pada tahun 1930. Model proses pertukaran maklumat ini direka khusus untuk mencari penyelesaian yang melibatkan perbincangan strategi, resolusi dan cadangan penambahbaikkan sesuatu dasar.

Di Malaysia, budaya Sidang Meja Bulat ini merupakan suatu platform bagi dialog mengenai isu-isu semasa yang akan membantu memupuk kerjasama serta perkongsian maklumat dan pengalaman.

Dominasi hampir 70% pelajar perempuan dalam bidang keilmuan merupakan antara aset negara yang penting bagi menerajui masa depan Malaysia yang terus gemilang. Firman Allah ‘Azza Wajalla dalam Surah at-Taubah, ayat 71 :

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana “

Ayat ini boleh difahami bahawa mahasiswi juga merupakan sekumpulan manusia yang memiliki potensi, cerdas dan mampu melibatkan diri dengan hal ehwal kenegaraan dan sosial yang baik sesuai dengan fitrah wanita itu sendiri.

Keterampilan sahsiah dan kesarjanaan ilmu merupakan tunjang persiapan dalam mematangkan pengalaman mahasiswi sebagai pewaris harapan negara. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Bapak Natsir :

“Pemimpin tidak boleh dicetak. Pemimpin tidak lahir di bilik kuliah tetapi tumbuh sendiri dalam hempas pulas kancah, muncul di tengah-tengah pengumpulan masalah, menonjol dalam kalangan rakan seangkatan lalu diterima dan didukung oleh umat “

Menyedari keperluan penglibatan mahasiswi terhadap agenda pembangunan masa depan negara Malaysia, Kelab Ma’ruf Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengadakan Persidangan Meja Bulat Mahasiswi Islam pada 4 Ogos 2012 bertempat di Kulliyah Pendidikan UIAM.

Perbicangan ini memfokuskan kepada tiga isu penting iaitu Kes Jenayah di Malaysia, Survival Institusi Kekeluargaan dan Karakter Ikon Wanita Malaysia.

Antara resolusi yang disepakati ialah :

1.Mengadakan Konvensyen Wanita Muda Malaysia
2.Memperkasakan SIGMA GAMIS sebagai platform untuk front mahasiswi Islam bersatu dan bersepakat terutamanya hal ehwal isu-isu kewanitaan.
3.Mencadangkan pihak berwajib untuk mewujudkan garis panduan yang jelas bagi melindungi wanita dari dieksploitasi.
4.Mendesak Kerajaan Malaysia untuk mewujudkan Akta Undang-Undang Gangguan Seksual.
5.Mencadangkan kepada pihak berkuasa menjalankan Kursus Pemantapan Kekeluargaan selepas perkahwinan.
6.Mendesak Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula silibus Kursus Pra-Perkahwinan.
7. Mendesak pentadbiran universiti untuk memperkasakan penguatkuasaan etika pemakaian pelajar di kampus.

Resolusi ini dipersetujui sebulat suara oleh :

1.Illeya bt. Ibrahim, Moderator Ma’ruf Club UIAM Gombak
2.Ustaz Sufian Mat Nan, Mantan Presiden Ma’ruf Club
3.Emy Marhin bt. Aman, ISI UKM
4.Saidatul Akma bt. Zakaria, ISI UKM
5.Hanis bt. Abdul Rani, UIAM Kuantan
6.Afiqah Saleh Huddin, UIAM Kuantan
7.Noor Afifah bt. Jamaludin, Naib Pengerusi PMI UM
8.Nur Syazwani Abd Aziz, Timbalan Pengerusi SIGMA
9.Nur Adiela bt. Kamarizzaman, Timbalan Presiden 2 Ma’ruf Club UIAM Gombak
10.Nur Hanani bt. Ahmad Puaad, Ma’ruf Club UIAM Gombak
11. Nur Ain bt Samsudin, Pengerusi Nisa’ ALAM KUIS

Nur Adieyla binti Kamarizzaman ialah Pengerusi Sisters: Wielding Experience, Empowering Thoughts (SWEET) Ma'ruf Club IIUM merangkap Timbalan Pengerusi 2 Ma'ruf Club UIAM.

harakahdaily/-

Konflik Syria: Iran pertahan Presiden Bashar

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

ALEPPO, Syria - Tekanan di rantau Timur Tengah dilihat meningkat semalam dengan Iran melahirkan sokongan kepada Syria sambil menyifatkan negara yang berhadapan dengan konflik berterusan itu sebagai "paksi ketahanan".

Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) pula menganggap Syria, yang dilanda konflik yang berlarutan lebih 17 bulan, sebagai pusat proksi dan aktiviti keganasan.

CNN melaporkan, ketua keselamatan Iran, Saeed Jalili mengadakan pertemuan dengan Presiden Syria Bashar al-Assad di Damsyik semalam.

Beliau dipetik berkata, Iran tidak akan membiarkan "musuh" memecahbelahkan Syria, yang dilihat sebagai "paksi ketahanan, yang mana Syria adalah bahagian yang penting."

"Apa yang berlaku di Syria bukan isu dalaman, sebaliknya satu konflik antara paksi yang berdepan dengan tentangan dan di satu sebelah lagi paksi musuh di rantau ini dan dunia, dengan matlamat mahu menyerang peranan bertahan Syria," katanya Saeed dipetik media kerajaan.

Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton yang bercakap dengan media di Pretoria berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana yang mengeksploitasikan suasana di Syria sama ada secara langsung atau dengan menghantar wakil.

sinar harian/-

Persiapan nikah tinggal kenangan

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

HIBA...Che Ku Nurul Hamizah (tengah) mencium baju raya milik kakaknya yang sudah siap sambil ditemani Tuan Roshani (kiri) dan Che Ku Md Amin. Gambar kecil, majlis pertunangan arwah (kiri).

KUALA TERENGGANU: “Arwah sudah membuat persiapan untuk hari perkahwinannya, tetapi apakan daya, hasratnya tidak kesampaian,” kata Che Ku Md Amin Che Ku Embong, 62, bapa kepada Che Ku Nurul Hamimie, 22, yang maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung ambulans di Kampung Kepong, Pengadang Baru, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, seorang warga emas, Ngah Ismail, 70, yang berada di dalam ambulans berkenaan turut meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada jam 10.30 malam kelmarin.

Che Ku Nurul Hamimie pula yang dijadual berkahwin selepas Aidilfitri meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital yang sama pada jam 8.15 malam akibat cedera parah di kepala dan organ dalaman.

Ketika kejadian, Che Ku Nurul Hamimie yang bekerja sebagai jurujual kedai bunga di bandar raya ini, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Kepong, di sini, dengan menunggang motosikal.

Difahamkan, setiba di lokasi kejadian, dia ingin membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat Kampung Kepong, di sini, namun bertembung dengan ambulans yang dalam perjalanan ke HSNZ.

metro/-

Nasional RM88 juta beli cinta 'Awang Hitam'

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Kuala Lumpur: RM87.6 juta! Itulah jumlah kerugian warga Malaysia, sebahagian besarnya gadis dan ibu tunggal akibat menjadi mangsa penipuan sindiket warga Afrika sejak tiga tahun lalu.

berita harian/-

Bom keldai, ketua polis daerah Afghanistan maut

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KABUL 8 Ogos - Sebutir bom yang diikat pada seekor keldai meletup di wilayah Ghor, menyebabkan Ketua Polis Daerah berkenaan maut manakala tiga yang lain cedera, kata pegawai kerajaan semalam.

Dalam kejadian yang berlaku kelmarin, keldai yang membawa bom itu ditambat di sebuah jambatan berhampiran pagar ibu pejabat kerajaan tempatan Charsada.

Bom yang dibawa oleh haiwan tersebut telah diletupkan ketika Ketua Polis Daerah Charsada, Gul Ahmad dalam perjalanan ke tempat kerja.

"Apabila kenderaan yang dinaiki Gul melintasi jambatan terbabit, bom tersebut diletupkan menggunakan alat kawalan jauh dan beliau mati di tempat kejadian," kata jurucakap wilayah, Abdulhai Khatibi. - AFP

Bukan baiah tetapi arah polis sokong BN - Teras

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta polis berbaiah dan hampir dengan waktu pilihan raya, maka seruan itu menjadi jelas maksudnya yang sebenar.

Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Najib Razak kelmarin memohon agar PDRM berbaiah dengan kerajaan.

Kata Najib jika PDRM menjaga Kerajaan , Kerajaan akan menjaga PDRM.

“Apakah bezanya permintaan ini dengan Aku Janji yang selama ini menjadi dokumen yang mesti ditandatangani oleh semua penjawat awam belum jelas, tetapi kelihatan seiras?” tanya Azmi dalam satu kenyataan.

Katanya, Najib kelihatan mahu membuat sentuhan kepada semua pihak seperti pemandu teksi, petani, peneroka Felda, belia, pendidik, mahasiswa dan kini polis.

“Pada hakikatnya semua perhimpunan yang diadakan sepanjang roadshow beliau atas konsultasi dengan dan ahli-ahli pemikir strategi yang melengkari beliau akan diikuti dengan pengumuman berupa pemberian wang dan pelbagai janji yang lain.

“Jadi soal baiah bukan sangat isu memastikan PDRM berjanji untuk setia kepada kerajaan tetapi adalah untuk memesan agar semua pegawai tinggi menentukan undi dalam PRU13 dari kalangan anggota PDRM hendaklah diarah menyokong BN,” ujarnya.

Padahal, kata beliau baiah semua anggota kerajaan pada hakikatnya adalah untuk memastikan khidmat terbaik diberi kepada rakyat.

Katanya lagi, kerajaan hanyalah pemegang amanah kuasa yang diberi oleh rakyat.

Menurutnya, kerajaan tidak perlu merayu undi kepada PDRM kerana tumpuannya adalah untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau berkata, jauh lebih mendalam insignia pada logo PDRM terdapat kalimah Allah dan Muhammad.

“Maka pertanggungjawapan yang tertinggi ialah kepada Allah dan amanah Rasul, bukan kepada kerajaan semata-mata. Baiah yang hakiki ialah untuk menunaikan perintah Allah dan Rasul,” jelasnya.

harakahdaily/-

7 atlit Cameroon "hilang" di London

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

YAOUNDE: Tujuh atlit Cameroon dikatakan "hilang" di London pada ketika sebahagian daripada mereka sedang menyertai Sukan Olimpik 2012, kata pegawai hari ini.

Kehilangan tujuh atlit berkenaan dilaporkan menerusi laman web akhbar Cameroon Tribune.
Ketua Kontinjen Olimpik Cameroon, David Ojong, berkata 28 atlit sudah kembali ke Cameroon manakala 24 masih berada di perkampungan sukan dan tujuh lagi menghilangkan diri. - AFP

Puasa pintu ibadah

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

Selain dijanjikan oleh Allah SWT ganjaran berlipat kali ganda, bulan Ramadan yang disyariatkan berpuasa kepada umat Islam merupakan pintu kepada ibadah. - Gambar hiasan

SIAPA yang tidak mahu mendapatkan sesuatu secara berganda. Bayangkan kita membeli sebuah kereta mewah dan diberikan lagi percuma sebuah, malah sehingga lebih 70 kereta secara percuma.

Kedengaran agak melucukan, namun begitulah perumpamaan kelebihan ganjaran yang Allah SWT janjikan kepada umat Islam yang melakukan amal ibadah pada bulan mulia iaitu Ramadan yang sedang kita lalui sekarang.

Terasa amat rugi jika kita tidak mengambil peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini di mana di dalamnya terdapat satu malam yang bersamaan seribu bulan.

Tanpa kita sedari, pantasnya masa berlalu, Ramadan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Bagi mereka yang benar-benar menghayati bulan yang penuh istimewa ini pasti terasa amat berat untuk meninggalkannya.

Bulan Ramadan yang dijanjikan pelbagai kelebihan itu hanya tiba sebulan dalam setahun. Tiada siapa dapat menjamin akan peluang untuk menemuinya pada tahun akan datang.

Pendakwah terkemuka, Datuk Ismail Kamus berkata, selain dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda, bulan Ramadan yang disyariatkan berpuasa kepada umat Islam merupakan pintu kepada ibadah.

Ini kerana katanya, melalui berpuasa dapat menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan untuk menghasut manusia daripada melakukan amal kebajikan dan meninggalkan pelbagai perbuatan mungkar.

"Amalan berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum. Oleh itu dengan cara berlapar menjadikan saluran darah dalam tubuh manusia yang menjadi laluan syaitan akan mengecil.

"Justeru dengan melaksanakan puasa dapat menyempitkan laluan syaitan itu daripada melalui tubuh manusia dan menghasut fikiran kita untuk melakukan perkara-perkara mungkar.

"Malah, dengan itu, kita perlu mengambil peluang menjadikan bulan puasa sebagai salah satu bulan untuk muhasabah diri dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramah umum sempena sambutan Ramadan 2012 di Madrasah al-Ikhsaniah, Pangsapuri Bukit Baru, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat tiga kategori atau tingkat orang yang berpuasa iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus.

"Puasa umum adalah orang yang hanya mendapat penat, lapar dan dahaga sahaja tanpa diberikan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT. Ini kerana, puasa umum adalah puasa orang yang tidak berusaha mencegah daripada melakukan perbuatan mungkar dan juga meninggalkan perintah Allah SWT yang lain.

"Puasa Khusus pula adalah puasa orang yang sentiasa menjaga tingkah lakunya daripada melakukan perbuatan mungkar dan menunaikan perintah Allah SWT yang lain, di samping memperbanyak amalan sunat.

"Manakala puasa Khususul Khusus pula adalah dengan menyertakan semua perbuatan di atas di samping disertai dengan puasa di hati, iaitu berpuasa daripada cita-cita kotor dan pemikiran duniawi. Puasa ini adalah puasa tahap Anbiya', Siddiqin dan para ulama," jelasnya.

utusan malaysia/-

Isu sebenar gagal bayar royalti, bukan JK khas

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU: Isu sebenar kegagalan Kerajaan Persekutuan dan Petronas melunaskan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Kelantan berjumlah RM7 bilion sejak 1975 ‘dialih’ dengan menubuhkan Jawatankuasa Khas mengkaji isu pembayaran royalti petroleum.

Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas Ke Negeri Kelantan (Royalti) Nazri Deraman menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu merupakan satu ‘helah politik’ bagi ‘meredakan’ keadaan.

“Isu yang sebenarnya Kerajan Persekutuan dan Petronas telah gagal membayar royalti kepada Kerajaan Kelantan berjumlah RM7 bilion bermula tarikh perjanjian, 1975.

“Dan kita tidak akan menunggu selama itu lagi, dan juga tidak akan menunggu selama enam bulan atau enam bulan campur 80 hari," katanya pada sidang media khas di pekarangan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di sini semalam.

Ini, ujarnya kerana justifikasi masa tersebut itu enam bulan campur 80 hari adalah bersamaan dengan tempoh akhir wajib pihak Kerajaan Persekutuan perlu mengadakan Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU13).

Badan itu menyeru Kerajaan Persekutuan supaya menjelaskan bayaran royalti yang telah tertunggak sebanyak RM7 bilion itu kepada Kelantan dengan kadar segera sebelum PRU13.

“Kita menolak penubuhan jawatankuasa khas itu kerana ianya merupakan satu proses pembayaran normal kepada mana-mana kerajaan negeri terbabit yang termaktub dalam perjanjian ditandatangani pada 9 Mei 1975 khususnnya di antara Kerajaan Negeri Kelantan dan juga Petronas," ujarnya.

Rombongan diketuai Nazri itu berkumpul di pekarangan JPP untuk menghantar memorandum kepada Perdana Menteri melalui JPP.

harakahdaily/-

Ibu Tunggal Perlu Bantuan Segera

19 Ramadhan 1433H. [MOD] -

BEKENU - Baru-baru ini PAS Miri telah membuat lawatan dan memberi
sumbangan Ramadhan di kampung Dagang Bekenu dalam kawasan parlimen
Sibuti. Semasa lawatan tersebut PAS Miri telah berkunjung ke sebuah
rumah yang agak usang dalam kampung tersebut.

Pemilik rumah tersebut Puan Zaida bt Tuah seorang ibu tunggal yang
telah membeli rumah tersebut lebih 10 tahun yang lalu dengan harga
RM8000. Puan Zaida tinggal bersama dengan anak dan cucunya, mereka
hanya memunggut dan berjual hasil dari hutan ke pekan Bekenu. Beliau
juga mempunyai seorang anak yang kurang upaya atau OKU (Orang Kurang
Upaya).

Beliau pernah memohon bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT)
lebih dari 4 kali namun sampai ke hari ini masih belum berhasil
walaupun ada pihak tertentu yang pernah datang membuat pengukuran di
tapak kediaman beliau. Beliau juga mengadu yang pihak Bantuan
Kebajikan Masyarakat atau pun Baitulmal tidak pernah datang menjengok
atau memberi bantuan kepada nasib keluarga beliau yang kurang bernasib
baik ini.

Yang peliknya, walaupun beliau seorang yang setia dengan BN, sehingga
rumah beliau dipasang dengan bendera BN, payung BN, namun pihak
kerajaan BN yang memerintah sekarang mengabaikan nasib beliau
sekeluarga.

Pihak PAS amat simpati dengan nasib keluarga tersebut dengan melakukan
inisiatif awal dengan memberi bantuan keperluan harian kepada beliau
sekeluarga dalam bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini agar beliau
sekeluarga dapat menyambut Aidil fitri dengan perasaan gembira seperti
kebanyakan keluarga lain yang hidup disekitar kampung tersebut.

Kita berharap pihak yang berwajib serta badan Kebajikan Masyarakat dan
Baitulmal dapat datang membantu meringankan bebanan kelurga tersebut
bukan saja semasa menyambut Aidil fitri bahkan terus memberi bantuan
keperluan harian mereka secara bulanan.

Kita mendesak agar pihak Bantuan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal
turun padang dengan memberi bantuan segera dan menyalurkan keperluan
harian kepada keluarga tersebut.

Semoga dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini dapat
menyedarkan kita betapa masih ramai lagi orang yang amat memerlukan
bantuan akibat dari tekanan hidup dalam kemiskinan dan kesusahan.

Kepada pihak yang berkenaan, marilah kita sama-sama membantu
meringankan bebanan mereka ini tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman
politik agar Allah memberkati usaha kita.

Jofri Jaraiee
PAS Miri, Sarawak