02 Jun 2013

Gempa bumi kuat landa Taiwan

23  Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Gempa bumi kuat berukuran 6.3 pada skala Richter melanda Taiwan pada 1.43 tengah hari ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Kenyataan jabatan itu menyebut gempa itu berpusat di 23.8 darjah Utara dan 121.1 darjah Timur, kira-kira 42 kilometer tenggara Fengshan, Taiwan dan 1,934km timur laut Kudat, Sabah.
Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami, menurut kenyataan itu.
- BERNAMA

Dua mangsa bot karam masih hilang

23 Rejab 1434 H. [MOD] -

  • Paulus Ungkang, seorang daripada tiga mangsa bot ekspres karam yang disebelum ini dilaporkan hilang, disahkan selamat.
    Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau berkata perkara itu disahkan oleh saudara Paulus yang tinggal di Belaga.

    "Pagi tadi, Paulus telah telefon saudaranya di Belaga dari Sibu untuk memberitahu yang dia selamat dalam tragedi itu.

    "...dan saudaranya telah memberitahu Pejabat Daerah Belaga, sebelum menasihati Paulus untuk membuat laporan polis," katanya kepada pemberita pusat operasi di sebuah pulau di tengah Sungai Rajang, di Belaga hari ini.

    Bakar berkata berikutan itu, sehingga petang ini, jumlah mangsa yang selamat ialah 205 orang, dua masih hilang dan satu mayat, Tujok Lah sudah dijumpai.

    Dua lagi mangsa yang masih hilang ialah Roslin Jati dan Maurice Ajan.

    Bernama

Tubuh badan bebas ambil alih peranan SPR

23 Rejab 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Malah, pengumuman tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia,” kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Kaanya, PKR sekali lagi menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik.

Beliau berkata, sebagai langkah permulaan, selaras dengan usul di Kongres Nasional Tahunan ke 9 Parti Keadilan Rakyat pada 25 Mei 2013 yang lalu, PKR kekal menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR segera meletakkan jawatan demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR.

“SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Gombak dalam satu kenyataan.

Oleh kerana itu, jelasnya PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Bersih menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sungguhpun begitu, ujarnya adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar 'public relations exercise' semata-mata.

“Saya menuntut supaya cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak atau stakeholders dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor-syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya.

“Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlakunya conflict of interest dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, penubuhan badan bebas ini penting supaya persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya ini dilaksanakan dengan asas dan kriteria-kriteria yang jelas termasuk mengambil kira kriteria electoral quota and 5 % rule, geographical size, special geographical consideration, local government boundaries, boundaries of existing constituencies and local ties.

Baik pulih persefahaman kebangsaan

23 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah menitahkan semua pihak, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membaik pulih semula persefahaman kebangsaan.

Dalam titah itu, Seri Paduka mahu agar prinsip-prinsip seperti demokrasi berparlimen yang sihat dan matang, Raja Berpelembagaan sebagai teras kestabilan nasional, menghormati falsafah Persekutuan, meraikan kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memuliakan kedaulatan undang-undang dijadikan teras panduan kepada proses itu.
“Membaik pulih semula persefahaman kebangsaan harus menjadi agenda nasional yang menjadi keutamaan semua pihak. Sama ada Malaysia terus berjaya dan mencapai tahap pembangunan berikutnya sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi atau menjadi sebuah negara gagal, semuanya bergantung kepada permuafakatan yang akan sama-sama kita capai.
“Oleh kerana itu, Beta mahu semua pihak mengekalkan dan memperkukuhkan lagi ikatan perpaduan yang sedia wujud,” titah Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Seri Paduka turut mengingatkan sesetengah pihak yang cuba membaja permusuhan dan persengketaan di kalangan rakyat demi kepentingan agenda sempit mereka, supaya segera menghentikan perbuatan yang tidak berperlembagaan itu.
Seri Paduka bertitah usaha pengukuhan perpaduan nasional tidak boleh dianggap sebagai tugas serta tanggungjawab pihak tertentu sahaja, sebaliknya ia menjadi agenda setiap warganegara.
“Beta berkehendakkan agar kerajaan pimpinan Mamanda Perdana Menteri Beta supaya memastikan setiap dasar pembangunan negara hendaklah berpandukan kepada prinsip meraikan kemajmukan.
“Realitinya, masa depan kita saling berkait dan memerlukan satu sama lain. Semua rakyat Beta, tanpa mengira kaum dan agama seharusnya mendapat pembelaan,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim melahirkan rasa sukacita kerana proses pilihan raya umum lepas berjalan dengan tertib dan harmonis.
Baginda turut mengulangi agar semua pihak menerima keputusan yang telah dibuat rakyat iaitu melalui peti undi yang selaras dengan prinsip keluhuran dan kedaulatan undang-undang.
“Jika terdapat sebarang perbezaan atau ketidakpuasan hati, maka gunakanlah mekanisme mahkamah yang sedia ada, sepertimana diperuntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Beta tidak mahu mana-mana pihak mengambil sebarang tindakan yang lampau undang-undang, mahupun lampau Perlembagaan,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka juga berharap agar kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus mendukung cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, beretika, bermoral tinggi dan rakyatnya dikenali sebagai bangsa yang berakhlak, bermaruah serta disegani.
- Bernama

Rusia kuatkuasa larangan merokok

23  Rejab 1434 H. [MOD] -

MOSCOW 1 Jun - Rusia menguatkuasakan larangan merokok di tempat awam bermula hari ini bagi mengurangkan jumlah perokok dan memperbaiki kesihatan awam.

Peringkat pertama penghamaran antitembakau itu menjadikan perokok tidak dibenarkan merokok di dalam bas, pengangkutan awam, stesen kereta api, stesen bas dan lapangan terbang, lif dan pejabat pentadbiran termasuk kemudahan kesihatan dan pendidikan.

Bermula 1 Jun 2014, larangan itu akan melibatkan kapal, kereta api jarak jauh, platfom kereta api, hotel, kafe dan restoran.

Kremlin memulakan inisiatif kesihatan awam itu pada tahun lepas dalam usaha untuk mengurangkan jumlah perokok kepada separuh, ekoran kira-kira 44 juta penduduk Rusia menghisap rokok sehari. - AFP




Lelaki Kristian dihukum penjara hina Islam

23 Rejab 1434 H. [MOD] -

KAHERAH 2 Jun - Sebuah mahkamah Mesir semalam menjatuhkan hukuman penjara selama setahun terhadap seorang lelaki Kristian atas kesalahan menghina agama Islam.

Mahkamah Misdemeanour di bandar Assiut, selatan Mesir, mendapati tertuduh, Romani Saad bersalah kerana menghina al-Quran yang merupakan kitab suci umat Islam.

Saad turut diarahkan membayar ikat jamin sebanyak 500 pound Mesir (RM220) sementara menunggu rayuan terhadap keputusan tersebut. - DPA


India ikrar hapus isu rasuah dalam tentera

23 Rejab 1434 H. [MOD] -

NEW DELHI 2 Jun - Kementerian Pertahanan India semalam mengumumkan satu dasar pembelian senjata yang baharu sebagai usaha membanteras gejala rasuah dalam sektor pertahanan negara.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, polisi baharu itu akan menggariskan tahap piawaian tinggi dalam urusan pembelian senjata.

Februari lalu, orang ramai menyuarakan kemarahan mereka terhadap isu bayaran rasuah daripada syarikat Itali, Finmeccanica untuk mendapatkan kontrak penjualan 12 buah helikopter kepada India.

Kes tersebut masih disiasat dan urusan jual-beli berkenaan ditangguhkan. - AFP